Sabtu, 27 Oktober 2012

Konvokesyen PhD Di UKM

Aku sibuk dengan pelbagai persiapan dan menghadiri majlis yang disediakan oleh Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan serta Pusat Pengurusan Siswazah, UKM untuk para graduan PhD yang telah tamat dan diraikan dalam konvokesyen yang berlangsung pada 20 Oktober 2012.

Aku berada di UKM, Bangi selama dua minggu dari 12hb Oktober sehingga 26hb Oktober. Aku cuma ingin mengulangi perkara-perkara yang biasa aku lakukan sepanjang dalam pengajianku di UKM - pergi Perpustakaan Tun Seri Lanang, Masjid Universiti sama ada pada waktu subuh atau maghrib dan pergi ke Alamanda, Putrajaya apabila terasa kepala otak telah menjadi tepu. Aku tidak tahu bila lagi aku boleh mengulangi kebiasaan itu semua. Kali ini, aku menyambut hari raya Aidiladha di Bangi. Entah kali ke berapa aku menyambut Hari Raya Aidiladha di UKM, Bangi semenjak aku memulakan pengajian ijazah sarjanamuda pada sesi 1996/1997 kemudian diikuti ijazah sarjana dalam sesi 1999/2000. Sepanjang pengajianku di UKM, aku terpaksa menyambut hari raya Aidiladha di UKM kerana sibuk menyiapkan tesis. Semuanya menjadi kenang-kenangan dalam hidupku.
Tahniah Kepada Semua. Gambar Ini Selepas Majlis Pengiktirafan Penyelia dan Pemakaian Jubah Graduan PhD 2012 di DECTAR, UKM.
Gambar di atas pertama kali aku masukkan di dalam blog ini yang di dalamnya ada pemilik blog ini - Cik Misstree. Selepas konvokesyen ini dan secara rasmi aku bergelar Dr - berbaur pelbagai perasaan sedih dan gembira. Tamatlah sudah segala jerih perih perjalanan pengajian PhD aku selama tujuh tahun.

Prof. Dato' Dr. Abdul Rahman Embong dari IKMAS, UKM pernah bertanya kepadaku, "Apakah maksud doktor yang difalsafahkan?" Aku terdiam. Mujur pelajar PhD yang diselia oleh Prof. Dato' Dr. Abdul Rahman Embong memberikan jawapan, "Jangan sombong, jangan angkuh, jangan suka pandang rendah pada orang lain". Aku fikir itu bukan jawapannya tapi itu adalah peringatan yang berharga. Sebelum aku menamatkan pengajian PhD ini, aku telah mempersiapkan perenggu minda (mind set) dalam fikiranku, Dr. itu hanya gelaran di atas dunia, saat aku dikuburkan dan ditalkinkan, orang akan menyeru namaku (tanpa sebarang gelaran) berbintikan ibuku. Perkara yang paling penting ialah jerih perih itu dikira sebagai pahala kebajikan untukku, semoga sumbanganku dalam perkembangan ilmu memberi manfaat kepada ramai pihak dan menjadi pahala yang tidak putus sehingga hari akhirat. 

Peringatan Allah di dalam al-Quran surah al-Israa' ayat 85 yang bermaksud "Tidaklah kamu diberikan ilmu melainkan sedikit" mencantas rasa bangga dan sombong yang ada di dalam dada setiap manusia yang merasakan tinggi diri ekoran ilmu yang diberikan Allah.

Isnin, 1 Oktober 2012

Kata Pujangga: Charles ‘Tremendous’ Jones

Charles ‘Tremendous’ Jones

Anda akan menjadi orang yang sama dalam lima tahun akan datang seperti anda pada hari ini kecuali dengan siapakah anda berkawan dan apakah buku-buku yang anda baca.

Khamis, 27 September 2012

Wasiat Imam Syafie: Tunaikan Sepuluh Hak

Imam Syafie berwasiat, sesiapa yang ingin meninggalkan dunia dengan selamat, hendaklah dia mengamalkan sepuluh perkara berikut:
  • Hak diri: mengurangkan tidur pada waktu malam untuk beribadah, mengurangkan makan dengan cara berpuasa, mengurangkan bercakap perkara yang sia-sia serta berpada-pada dengan rezeki yang ada.
  • Hak malaikat maut: mengqada kewajipan yang tertinggal, berusaha mendapatkan kemaafan daripada orang yang telah kamu zalimi, membuat persediaan untuk mati dan menanam rasa cinta kepada Allah. 
  • Hak kubur: mengelakkan tabiat suka menabur fitnah dan membuang air kecil di merata-rata tempat, menyuci kemaluan dan paha termasuk kaki (jika terpercik air kencing ke paha dan kaki) dengan bersih selepas membuang air kecil, memperbanyakkan solat tahajud serta membantu orang yang dizalimi. 

Sumber: Gambar Profil Facebook Tanah Perkuburan Islam Sungai Petani, Kedah.

Sumber: Sila klik di sini [...]
  • Hak Mungkar Nakir: tidak berdusta, meninggalkan maksiat dan memperbanyakkan amalan nasihat-menasihati.
  • Hak mizan: menahan marah, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan berusaha menanggung kesusahan dalam melaksanakan perintah Allah.
  • Hak sirat: mengelakkan tabiat mengumpat, warak, membantu orang beriman dan suka berjemaah.
  • Hak Malik: memperbanyakkan menangis kerana takutkan azab Allah, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah secara terang atau sembunyi dan memperelokkan akhlak.
  • Hak Ridhwan: redha dengan qada Allah, bersabar menerima bala/ujian Allah, bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan oleh Allah dan bertaubat daripada segala perbuatan maksiat.
  • Hak Rasulullah s.a.w.: berselawat ke atas baginda, berpegang dengan syariat, mengamalkan sunnah Rasullullah s.a.w. dan menyayangi keluarga dan para sahabat baginda.
  • Hak Allah: mengajak ke arah kebaikan, mencegah kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci maksiat.
Selamat Beramal.  

Sabtu, 15 September 2012

Cara Terindah Untuk Mati


Buku Cara Terindah Untuk Mati (2011) ditulis oleh Rachmat Ramadhana al-Banjari dan diterbitkan oleh PTS Milinnea Sdn. Bhd. Semasa aku membaca dan apatah lagi selepas selesai aku membaca buku ini, aku terasa tersentak seperti masa hendak balik kepada Pencipta semakin hampir. Aku berdoa dan mengharap kepada Allah agar aku diberi kesempatan untuk menyelesaikan perkara-perkara yang tertangguh yang wajib aku melaksanakannya sepanjang hayatku; untuk menyelesaikan semua perkara itu juga menuntut masa dan kesihatan yang baik walaupun aku tahu firman Allah di dalam surah Yunus (10: 49) iaitu:
 
Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak berkuasa menolak mudarat dan tidak juga berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku kecuali apa yang dikehendaki Allah. Bagi tiap-tiap umat ada tempoh yang ditetapkan maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka melambatkannya sesaat pun, dan tidak dapat mereka menyegerakannya".
Kematian itu merupakan kiamat kecil yang dihadapi oleh setiap manusia  bagi memasuki alam kubur dan alam barzakh. Cara yang terindah untuk mati yang dinyatakan di dalam buku ini ialah husnul khatimah. Oleh itu, Rachmat Ramadhana al-Banjari (2011: 173-202) membincangkan keperluan untuk menyiapkan bekalan bagi menghadapi kematian iaitu:
  • Bekal Takwa
Bertakwa kepada Allah bermaksud takut dan tunduk dengan sepenuh jiwa dan raga, serta melindungi dan memelihara segala hak Allah sama ada hubungan dengan Allah atau hubungan dengan manusia. Takwa itu mengandungi tiga unsur iaitu pertama, memelihara diri daripada perbuatan yang dimurkai oleh Allah. Kedua, memelihara diri daripada perbuatan yang dapat merosakkan diri sendiri dan ketiga, memelihara diri daripada perbuatan yang dapat merosakkan individu lain atau makhluk-Nya yang lain.
  • Jadikan Dunia Sebagai Jambatan Menuju Akhirat
  • Sempurnakan KeIslaman Diri - Islam secara menyeluruh.
Doa Nabi Yusuf kepada Allah seperti yang dinyatakan dalam al-Quran surah Yusuf (12: 101) iaitu "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau mengurniakan aku sebahagian daripada kekuasaan pemerintahan dan mengajarku sebahagian daripada ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, Engkau penguasa dan perlindunganku di dunia dan akhirat. Sempurnakankan ajalku apabila mati dalam keadaan Islam dan hubungkan daku dengan orang-orang yang soleh".
  • Taubat Nasuha - proses mengembalikan kewujudan diri kepada rohani yang suci di hadapan Allah dengan cara memohon ampun daripada semua dosa dan kesalahan yang melekat di dalam jiwa, kalbu, akal, pancaindera dan anggota badan. Taubat nasuha perlu memilki dua unsur iaitu pertama, berazam tidak mengulangi lagi perbuatan dosa dan maksiat yang pernah dilakukan dan kedua, memperbanyakkan amal kebaikan bagi menebus dosa-dosa yang lalu.
  • Berwasiat - tindakan berwasiat mempengaruhi keadaan individu yang telah meninggal dunia apabila berada di hadapan Allah. Wasiat tidak hanya berkaitan dengan harta benda, tetapi berkaitan dengan kemaslahatan dirinya dan keluarga yang ditinggalkannya. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
Aku bermimpi melihat dua orang wanita. Salah seorang daripada mereka bercakap, manakala seorang lagi tidak. Mereka berdua adalah penghuni syurga. Kemudian aku bertanya kepadanya, "Engkau bercakap sedangkan temanmu tidak." Wanita itu menjawab, "Aku meninggal dan berwasiat. Manakala, dia meninggal dunia tetapi tidak meninggalkan wasiat sehingga tidak dapat berbicara sampai hari kiamat". (Riwayat ad-Dailami). 
Selain itu, tuntutan berwasiat turut dinyatakan oleh Allah di dalam al-Quran iaitu "Diwajibkan atas kamu, apabila seorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, berwasiat untuk ibu-bapa dan kaum kerabatnya secara makruf, (ini adalah) kewajiban atas orang-orang yang bertakwa" (Al-Baqarah 2: 180).
  • Menyiapkan bekalan tiga amalan yang tidak akan putus pahala yang dapat mengangkat darjat di sisi Allah sama ada di dunia atau di akhirat seperti yang dinyatakan dalam hadis riwayat Muslim iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang selalu mendoakannya.
Sesungguhnya kematian itu pasti, hidup itu Insya-Allah. Senarai daftar kematian ditetapkan oleh Allah dalam setiap bulan Sya'ban. Daripada Aisyah menyatakan, "Nabi berpuasa selama sebulan Sya'ban. Kemudian aku bertanya berkenaan hal itu. Beliau menyawab, "Sesungguhnya Allah menetapkan setiap jiwa yang mati pada bulan itu. Aku mahu ajalku datang kepadaku apabila aku dalam keadaan berpuasa". Walau bagaimanapun, dalam sebuah hadis riwayat Ibnu Jarir dinyatakan bahawa "dihapuskan daripada Malaikat Maut nama individu yang meninggal dunia pada saat lailatul qadar". Moga ayat al-Quran di bawah menjadi zikrul maut (peringatan kematian) bagi kita semua:
Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan (Ali-Imran 3: 185).

Isnin, 10 September 2012

Ujian

Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang dusta." (Al-Ankabut 29: 2-3)

Semalam aku baca blog Warkah Buat Isteri yang ditulis khusus oleh En. Abil Fikri Ahmad kepada isterinya Pn. Fauziah yang sedang sakit mengalami brain damage ekoran serangan asma yang menyebabkan bekalan oksigen tidak sampai ke otak. Ungkapan En. Abil kepada isterinya di dalam entry Harapan yang menyentuh hatiku iaitu: 

"Harap Allah pun dapat beri kita sijil lulus ujianNya..aminn."

Sumber: Sila klik di sini [...]

Ya, aku mengaminkannya.

Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (At-Taghaabun 64: 11)

P/S: Kisah mereka berdua akan disiarkan dalam slot Buletin Utama TV3 yang ke udara bermula pukul 8-9 malam pada 17 September 2012.

Sabtu, 1 September 2012

Takwim Puasa Sunat (1 Syawal 1433H - 30 Sya'ban 1434H)

Puasa dari sudut bahasa ialah menahan manakala dari sudut syarak, puasa ialah menahan nafsu dan semua perkara yang dapat membatalkan puasanya pada siang hari bermula terbit fajar sodiq (masuk waktu Subuh) hingga terbenamnya matahari (masuk waktu Maghrib). 

Sumber: Sila klik di sini [...]

Firmah Allah s.w.t. menjelaskan tentang hikmah puasa Ramadhan yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa atas kamu sebagaimana diwajibkan atas umat-umat yang terdahulu sebelum kamu, semoga kamu bertakwa (Surah al-Baqarah:183) 
Dengan puasa juga, kita akan memperolehi kesihatan jasmani dan rohani. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:  
Berpuasalah kamu, tentu kamu akan sihat.  
Perut besar itu adalah sarang penyakit dan banyak makan itu punca segala penyakit.
Pelaksanaan ibadah puasa juga mempunyai hikmah dan faedah seperti berikut:
  • Tanda bersyukur kepada Allah s.w.t. atas segala kurniaan-Nya.
  • Puasa adalah salah satu bentuk tazkiyatun nafs (menyucikan jiwa) dan tarbiyatun iradah (mendidik kehendak). Mendidik nafsu ammarah (yang lebih banyak mengajak kepada keburukan) agar berubah menjadi nafsu lawwamah (nafsu lawwamah ini tinggi sedikit daripada nafsu ammarah. Nafsu ini masih di taraf rendah dan hina  namun ia mudah ditegur dan hatinya mudah terdorong ke arah ibadah dan kebaikan, tetapi nafsunya masih belum dapat ditundukkan) dan seterusnya meningkat kepada nafsu mutmainnah yakni nafsu yang tenang tenteram.
  • Melatih dan mendidik jiwa supaya mempunyai sifat belas kasihan  terhadap golongan yang susah dan kurang bernasib baik.
  • Membersihkan diri daripada sifat-sifat mazmumah (keji) seperti tamak, sombong dan hasad dengki.
  • Mendidik jiwa supaya bersifat sabar, tahan menanggung kesusahan dan pelbagai cabaran dalam menempuh perjuangan hidup.
  •  Memperolehi kecerdasan akal fikiran. Di antara nasihat Luqman al-Hakim terhadap anaknya ialah: "Wahai anakku, apabila perut dipenuhi makanan, maka gelaplah fikiran, bisulah lidah dari menuturkan hikmah (kebijaksanaan), dan malaslah segala anggota badan untuk beribadah."
Oleh itu, ibadah puasa mengandungi faedah dan manfaat yang besar, maka selain puasa yang wajib pada bulan Ramadhan eloklah melakukan puasa sunat yang terdapat dalam sepanjang tahun. Di bawah ini, aku sertakan Jadual Puasa Sunat (1 Syawal 1433H - 30 Sya'ban 1434H) sebagai panduan kita bersama:


Puasa Sunat
Tarikh
Puasa Enam
(Puasa enam hari dalam bulan Syawal kecuali pada 1 Syawal)


20 Ogos 2012 – 16 September 2012
Puasa 1-8 Zulhijah
17-24 Oktober 2012
Puasa Hari Wuquf (Bagi yang tidak menunaikan haji)
  
25 Oktober 2012
Puasa 1-9 Muharam
15-3 November 2012
Puasa Hari Asyura 
(Pada 10 Muharam berserta sehari sebelumnya) 
atau
(Pada 10 Muharam beserta sehari selepasnya)


23-24 November 2012
atau

24-25 November 2012
Puasa Hari Isnin dan Khamis
Kecuali:
·     Hari Tasyrik 13 Zulhijah (29 Oktober 2012 bersamaan hari Isnin)
·        Hari Syak 30 Sya’ban (7 Julai 2013 bersamaan hari Isnin)
Puasa Hari Putih 
(Pada 13, 14 dan 15 hari bulan setiap bulan dalam kalendar Hijrah)
·         Syawal (31 Ogos – 2 Sept. 2012)
·         Zulkaedah (29 Sept. – 1 Okt. 2012)
·         Zulhijah (29 – 31 Oktober 2012)
·         Muharam (2729 Nov.  2012)
·         Safar (2729 Disember 2013)
·         Rabiulawal (2527 Januari 2013)
·         Rabiulakhir (2426 Februari 2013)
·         Jamadilawal (25 – 27 Mac 2013)
·         Jamadilakhir ( 24 – 26 April 2013)
·         Rejab (23 – 25 Mei 2013)
·         Sya’ban (2224  Jun 2013)
Puasa Sunat Sya’ban
10 Jun – 8 Julai 2013

Di sini aku menyeru kepada pengunjung blog ini agar berusaha menunaikan ibadah puasa sunat sepanjang tahun bermula 1 Syawal 1433H sehingga 30 Sya'ban 1434H. Semoga madrasah Ramadhan 1433H yang telah kita lalui menjadi tarbiyah agar kita menjadi insan yang bertaqwa dan beristiqamah dalam melakukan amalan kebaikan dan meninggalkan segala larangan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Amin. 

Sabtu, 18 Ogos 2012

Aidilfitri



Kepada semua pembaca dan pelawat blog ini, aku mengucapkan: 

Taqabbalallahu minna wa minkum1
(Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu)

 
Nota tapak kaki:
1 Rasulullah menganjurkan agar kita menyebarkan ucapan kegembiraan sempena Aidilfitri sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani RH yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair RA katanya: "Apabila para sahabat Rasulullah SAW bertemu pada hari raya, sebahagian mereka mengucapkan 'taqabbalallahu minna wa minkum' (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu)." - (Rujuk Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani, Jil. 5, halaman 270-271).
 

Isnin, 13 Ogos 2012

Amina @ A Novel: Amina

Sumber: sila klik di sini [...]

Buku Amina merupakan karya Mohammed Umar telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu daripada A Novel: Amina dan diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia pada tahun 2011. Buku ini berkisar mengenai perjuangan wanita di Bakaro, Nigeria, Afrika yang digerakkan oleh Amina dan para mahasiswa (segelintir golongan yang berpendidikan tinggi) melalui Persatuan Wanita Bakaro untuk membasmi ketidakadilan dan penindasan  terhadap wanita. Faktor budaya, politik dan salah faham dalam pentafsiran hukum syariah Islam menjadi sebuah lingkaran yang membelenggu kehidupan wanita di Nigeria. Budaya masyarakat Nigeria meletakkan keutamaan kepada kaum lelaki berbanding wanita sehingga wujud perbezaan dari aspek hak bekerja, hak memperolehi upah yang setara dan hak memperolehi pendidikan. Anak-anak perempuan lazimnya dibesarkan untuk dikahwinkan menyebabkan berlaku perkahwinan paksa dan bawah umur dalam kalangan wanita. Perkahwinan bawah umur turut menyebabkan berlaku kerosakan pundi kencing dalam kalangan ibu-ibu muda ketika proses melahirkan anak secara normal. Mohammed Umar menyatakan kedudukan wanita dari sudut pandangan kebanyakan budaya Afrika:
Majoriti budaya tradisional di Afrika ini merupakan budaya yang didominasi oleh kaum lelaki sehungga menyebabkan kita, kaum wanita, dinafikan hak untuk bersuara walaupun ke atas perkara yang melibatkan diri kita sendiri. (halaman 132). 
..., wanita menjadi objek untuk keseronokan dan juga sebagai buruh domestik atau sebagai komoditi untuk jualan dan mesin pembuat anak. Majoriti wanita Afrika ketika ini menjadi hamba kepada lelaki pada waktu siang dan kemudiannya menjadi ratu mereka pada waktu malam (halaman 132).
Dalam politik, kaum wanita Nigeria tidak mempunyai pemimpin wanita yang bertindak sebagai wakil dalam kerajaan sebaliknya penglibatan mereka dalam politik hanya terhad sebagai pengundi dalam pilihan raya. Selain itu, buku ini juga mengetengahkan para pemimpin politik Nigeria yang korup dan kelemahan sistem ekonomi kapitalis (diwarisi dari zaman kolonial) sehingga muncul perdebatan kelas dalam masyarakat. 

Justeru, Mohammed Umar mentengahkan kepincangan yang wujud dalam masyarakat Nigeria dalam konteks kelas menurut perpektif Karl Marx. Hal ini menyebabkan perdebatan kelas dalam masyarakat Nigeria adalah berasaskan ketidaksetaraan pengagihan peluang ekonomi. Para pemimpin agama di Nigeria memanipulasikan agama untuk kepentingan kelas pemerintah yang kaya melalui hasil merampok harta rakyat dan menggelapkan wang kerajaan dengan menyatakan bahawa kewujudan kelas kaya dan miskin dalam masyarakat merupakan takdir Allah yang perlu diterima oleh rakyat. Agama turut digunakan sebagai alat untuk menindas dan menafikan hak wanita dalam masyarakat:
Di Nigeria ini, agama Islam yang sepatutnya dijadikan landasan untuk pembebasan wanita, telah ditafsirkan mengikut kepentingan pemimpin agama kita dalam usaha menekan dan menakluki kita semua.
Buku ini turut menyatakan hasrat Mohammed Umar terhadap masa depan Nigeria melalui perbualan di antara Amina (watak utama dalam buku ini) dengan Bilkisu:
Amina: "Kita perlu meletakkan sesuatu pada haknya dan untuk meletakkan sesuatu pada tempatnya itu, kita perlukan revolusi."
Bilkisu: "Revolusi yang bagaimana?"
Amina: "Revolusi yang boleh mengubah keseluruhan struktur masyarakat dan membantu ke arah pembinaan cara hidup baharu, membawa keadilan, kebebasan dan kesamaan, kasih sayang, persefahaman dan rasa hormat antara kita semua. Revolusi sebenar ialah revolusi yang dapat memenuhi kehendak rakyat; yang boleh memberikan tanah, makanan dan kehidupan lebih baik kepada petani dan keluarga mereka, kerja dan kehidupan yang lebih baik kepada golongan pekerja, harapan dan pendidikan kepada golongan muda, peluang untuk kaum wanita terlibat secara aktif dalam pembangunan masyarakat. Dan paling penting, kita memerlukan satu revolusi untuk memodenkan masyarakat kita". (halaman 372).