Jumaat, 13 Julai 2012

Madu Lebah


Dalam entry pada kali ini aku ingin mengetengahkan perbincangan mengenai madu lebah yang merupakan sejenis manisan yang berkhasiat dan menjadi penawar kepada manusia. Firman Allah di dalam al-Quran 
Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah: Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat yang dibuat oleh manusia. Kemudian makanlah daripada setiap macam buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan. Daripada perut lebah itu keluar minuman madu yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda kebesaran Tuhan bagi orang yang memikirkan. (Surah An-Nahl: 68-69)
 Rasulullah SAW, bersabda :
Ambillah / pergunakanlah olehmu sekalian akan dua ubat penyembuh iaitu madu dan al-Qur’an. (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Ibnu Sina menyatakan bahawa khasiat madu boleh memanjangkan umur dan memelihara kemampuan bekerja ketika seseorang telah menjangkau usia tua.  Menurut Ibnu Sina, seseorang yang telah berusia 45 tahun mesti mengamalkan minum madu secara teratur disertai dengan minyak zaitun. Ibnu Sina juga menjelaskan madu lebah dapat menguatkan semangat, menambah kerajinan, menjaga awet muda dan melancarkan percakapan.
Justeru, aku mengetengahkan buku Khasiat & Manfaat Madu Herba (tanpa tahun penerbitan) ditulis oleh Dr. Adji Suranto terbitan Synergy Media sebagai asas perbicangan di dalam entry ini. Buku ini juga boleh didapati dalam edisi bahasa Melayu yang telah diterjemahkan dari bahasa Indonesia.

Sumber: http://www.sambooks.com.my/CATEGORY/Kesihatan/SIRI-HERBA-UBATAN-%2811-Buku%29/Khasiat-Manfaat-Madu-Herba.aspx

Jenis madu yang dihasilkan oleh lebah adalah menurut sumber utama makanan lebah. Contohnya, lebah yang dibiakkan di ladang epal menghasilkan madu epal manakala lebah yang dibiakkan di ladang kopi menghasilkan madu kopi. Negara Rusia mengeluarkan madu epal, Canada mengeluarkan madu maple, madu mata kucing dan madu laici dikeluarkan oleh negara Thailand dan China manakala negara Perancis mengeluarkan madu lavender.  

Rasa dan khasiat yang terkandung di dalam madu juga bergantung kepada sumber nektar daripada bunga tanam-tanaman yang menjadi makanan lebah. Rasa madu yang pahit dihasilkan dari bunga mahoni dan bunga pahitan (sejenis bunga matahari). Rasa madu yang masin pula dihasilkan dari bunga pokok jamblang (Eugenia Cumini) manakala madu yang beracun berasal dari bunga rhododendron yang mengandungi racun. Di Jepun, madu beracun berasal dari tanaman heather. Khasiat madu juga berbeza di antara satu dengan yang lain. Contohnya, pengambilan madu kopi menimbulkan kesan yang berbeza dengan sifat kopi yang membuatkan peminumnya bersemangat. Madu kopi menimbulkan rasa mengantuk dan sesuai bagi orang yang sukar tidur. 

Sumber: http://pedagangherba.wordpress.com/category/madu/

Selain itu, penulis buku ini Dr. Adji Suranto menyatakan di antara manfaat yang terkandung di dalam madu iaitu:
Walaupun memiliki pH yang rendah, ternyata madu boleh meningkatkan pH perut. Hal ini disebabkan madu mengandungi mineral yang bersifat alkali dan berfungsi sebagai buffer. Semakin gelap warna madu, kandungan mineralnya semakin tinggi sehingga semakin tinggi pula alkalinya. Kandungan mineral magnesium dalam madu ternyata sama dengan kandungan magnesium yang ada dalam serum darah manusia. Selain itu, kandungan ferum (fe) dalam madu boleh meningkatkan jumlah eritrosit dalam darah manusia dan dapat meningkatkan kadar hemoglobin. Madu juga sering digunakan sebagai ubat ulser. (Halaman 26-27).

Madu juga boleh dicampurkan dengan beberapa herba untuk dijadikan ubat. Hasil pencampuran madu dan herba dinamakan madu herba. Buku ini memberikan informasi berupa resepi bagaimana menghasilkan madu herba. Di dalam buku ini dipaparkan aneka cara membuat madu herba, mengenal pelbagai jenis herba yang sesuai digunakan untuk menghasilkan madu herba dan pelbagai jenis madu herba untuk merawat penyakit.

P/S: Beli madu asli yang dijual di kedai atau stokis yang dipercayai. Jangan beli madu yang terjual di pasaraya-pasaraya yang turut menjual barang-barang keperluan dapur. Madu yang dijual di pasaraya-pasaraya lazimnya menjual madu tiruan yang dihasilkan dari sirap jagung. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan