Rabu, 9 Julai 2014

Puasa Meningkatkan Sistem Imuniti Tubuh Manusia

Dalam akhbar Daily Mail bertarikh 9 Jun 2014, satu kajian terkini yang dilakukan oleh Prof. Valter Longo merupakan pakar jangka hayat dari University of California Southern mendapati amalan berpuasa selama dua hari dapat meningkatkan sistem imuniti tubuh manusia. Pesakit kanser yang menerima rawatan kemoterapi merupakan individu yang paling banyak mendapat manfaat daripada amalan berpuasa. Kaedah berpuasa secara perlahan-lahan dapat menjana sistem imunisasi yang baru untuk memulihkan tubuh badan pesakit kesan rawatan kemoterapi dan juga proses penuaan. Sistem tubuh badan manusia mengalami kerosakan akibat penuaan. Kajian makmal ini juga menggunakan mencit (dari sudut biologi mencit diklasifikasi sebagai genus bagi rodensia/rodentia yang lebih kecil daripada tikus dan tergolong dalam spesies mamalia kecil) dalam ujikaji mendapati puasa dapat mengurangkan kesan-kesan kurang sihat dan kematian mencit yang terdedah kepada rawatan kemoterapi dan meningkatkan imunisasi bagi mencit yang telah tua.

Amalan berpuasa menyebabkan manusia berada dalam keadaan lapar menyebabkan sistem tubuh badan manusia berusaha menjimatkan tenaga dan sistem imunisasi berperanan mengitar semula sebanyak mungkin sel-sel tubuh yang rosak dan sudah tidak diperlukan. Selain itu, amalan berpuasa selama dua hari hingga empat hari setiap enam bulan membolehkan badan menggunakan simpanan lemak dan gula. Sistem tubuh badan manusia bertindak balas dengan menghantar isyarat memberitahu sel-sel stem untuk menjana dan membina semula keseluruhan sistem tubuh badan manusia.  

P/S: Hasil penemuan kajian ini di antaranya mewajarkan firman Allah s.w.t. yang terkandung dalam surah Al-Baqarah ayat 184 menyatakan "Dan berpuasa lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui." Wallahu'alam.

2 ulasan:

  1. tiada keburukan bagi setiap perkara yang allah wajibkan .

    BalasPadam
  2. Puasa meningkatkan kesihatan jasmani dan rohani...

    BalasPadam