Jumaat, 11 Disember 2015

Hari Ini 29 Safar 1437H

Aku kongsi puisi di bawah ini sempena hari ini adalah hari lahir aku yang ke-41 dalam kalendar hijrah. Puisi di bawah aku tulis ketika aku berusia 18 tahun sempena hari lahir aku yang ke-18 dalam kalendar masihi. Beberapa bulan lepas, aku terjumpa puisi ini di dalam kotak yang menyimpan barang-barang lama milik aku.


TAJUK: 18

I
Tanggal 18 Ramadhan 1414H
genap 18 piama anakanda
meniti jurang-jurang kehidupan
bersama suka duka yang penuh
berhikmah.

      Jutaan kasih
      kepada ayah dan bonda
      atas kelahiran anakanda
      di alam fana ini.

Tak terbalas oleh anakanda
setiap bibit kasih
dan taburan budi
yang tersemai di batas-batas hari.

    Hanya sekalung doa
    daripada anakanda:
    "Bismillahirrahmannirrahim
         Ya Allah,
          Kasihanilah ayah dan bondaku
          sebagaimana mereka mengasihaniku 
          dari tapak kaki sebesar dua jaris hingga
          kudewasa.
                                                          Amin"
                  ***********

II
Namun,
terlalu banyak peritiwa
menumpang-himpit
di hari bahagia.

    Hampir nanar aku
    kuharap panas sampai ke petang
    rupanya hujan di tengah hari
    Kufikir kurenung
    adakah ia satu bala atau rahmat
    buat jiwaku?

Tetapi,
aku tidak mengharap
sebuah rentetan sejarah
berakar umbi
dari bala atau rahmat
yang sukar kutafsir.

     Namun,
     butir-butir kenangan
     bermain di ruang mataku
     tak mungkin dapat kugulung
     seperti secebis kertas,
     tapi, lan kulontar ia
     jauh di sudut hati.


ATI
6 ATAS I
SMKS.

Isnin, 2 November 2015

Takwim Puasa Sunat Bermula 1 Muharam 1437H Sehingga 29 Zulhijjah 1437H

Puasa Sunat
Tarikh
Puasa 1 – 9 Muharam
·                     14 – 22 Oktober 2015
Puasa Hari Asyura

(Pada 10 Muharam berserta sehari sebelumnya)

atau



(Pada 10 Muharam berserta sehari selepasnya)


·                     22 – 23 Oktober 2015

                       atau


·                     23 – 24 Oktober 2015
Puasa Sunat Sya'ban
·                     8 Mei – 5 Jun 2016
Puasa Enam (Puasa enam hari dalam bulan Syawal kecuali pada 1 Syawal)
·                     7 Julai – 3 Ogos 2016
Puasa 1 – 8 Zulhijah
·                     3 – 10 September 2016
Puasa Hari Wuquf (Bagi sesiapa yang tidak menunaikan haji)
·                     11 September 2016
Puasa Hari Isnin dan Khamis
Kecuali:

·    Hari Raya  'Aidiladha (Hari Isnin 12 September 2016)
·         Hari Tasyrik 13 Zulhijah (Hari Khamis 15 September 2016)
Puasa Hari Putih

(Pada 13, 14 dan 15 hari bulan setiap bulan dalam kalendar Hijrah)
·                     Muharam (26 – 28 Oktober 2015)
·                     Safar (25 – 27 November 2015)
·                     Rabiulawal (25 –27 Disember 2015)
·                     Rabiulakhir (23 – 25 Januari 2016)
·                     Jamadilawal (22 – 24 Februari 2016)
·                     Jamadilakhir (22 – 24 Mac 2016)
·                     Rejab (21 – 23 April 2016)
·                     Sya’ban (20 – 22 Mei 2016)
·                     Syawal (18 – 20 Julai 2016)
·                     Zulkaedah (16 – 18 Ogos 2016)
·                     Zulhijah (16 – 17 September 2016)**
Puasa Hari Gelap***

(Pada 27, 28 dan 29 hari bulan setiap bulan dalam kalendar Hijrah)
·                     Muharam (9 – 11 November 2015)
·                     Safar (9 – 11 Disember 2015)
·                     Rabiulawal (8 – 10 Januari 2016)
·                     Rabiulakhir (7 –  9 Februari 2016)
·                     Jamadilawal (7 – 9 Mac 2016)
·                     Jamadilakhir (5 – 7 April 2016)
·                     Rejab (5 – 7 Mei 2016)
·                     Sya’ban (3 – 5 Jun 2016)
·                     Syawal (1 – 3 Ogos 2016)
·                     Zulkaedah (30 Ogos – 1 September 2016)
·                     Zulhijjah (29 September – 1 Oktober
            2016)

** Puasa Hari Putih pada 13 Zulhijjah 1437H jatuh pada Hari Tasyrik iaitu bersamaan 15 September 2016. 

*** Puasa Hari Gelap juga boleh dilakukan pada 28, 29 dan 30 hari bulan bagi bulan dalam kalendar Hijrah yang mengandungi 30 hari). Pada masa ini, matahari dan bulan berada pada kedudukan sebaris. Ketika ini, daya tarikan matahari telah bergabung dengan daya tarikan bulan. Kesan tarikan ini amat kuat di mana kebiasaannya air laut pasang akan lebih tinggi pada waktu tengahari dan air laut surut lebih rendah pada waktu malam. Manusia dan segala yang ada di bumi menjadi lebih ringan pada waktu siang dan lebih berat pada waktu malam. Fenomena ini memberikan kesan seperti berada dalam keadaan tekanan (stress). Berpuasa pada hari gelap dapat mengurangkan kesan tersebut. Wallahu'alam.

P/S: Selamat Berpuasa

Selasa, 20 Oktober 2015

Jodoh

Sumber: https://www.facebook.com/gloriaabdullah?fref=nf&pnref=story
Tatkala aku membaca kenyataan di atas, aku teringat suatu masa dulu semasa aku belajar pada peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Pada peringkat usia (awal sehingga pertengahan 20-an) ketika melanjutkan pengajian sarjana muda, sama ada siswa atau siswi masing-masing ada menyimpan niat untuk mempunyai jodoh dan berhasrat mendirikan rumah tangga. 

Ada seorang siswa menyatakan, "Aku kalau tak dapat yang bertudung labuh pun tak apa. Aku dapat yang pakai tudung tiga segi pun ok, yang penting dada tutup".

P/S: Kepada semua ibu bapa yang beragama Islam, ajarlah anak-anak gadis anda agar mereka menutup aurat dengan sempurna. 

Sabtu, 26 September 2015

Pembinaan Masjid Kariah Kelisa Ria, Sungai Petani, Kedah

Kepada muslimin dan muslimat di seluruh dunia yang ingin menyumbang dana bagi pembinaan Masjid Kariah Taman Kelisa Ria, Sungai Petani, Kedah anda boleh menyalurkan
sumbangan melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad atas nama:

JAWATANKUASA PEMBINAAN MASJID KELISA RIA
NO. AKAUN BANK ISLAM MALAYSIA BERHAD: 0202 00100 66 346 

atau

Melalui Bendahari Masjid Kariah Kelisa Ria: 
Tuan Haji Nasron. No. Tel: 017-5588771

Rujukan kelulusan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah:
No. Kebenaran: Bil(17)dlm.AGAMA(K)A-4-2013



P/S: Jom berinfak. Infak merupakan ibadah yang dituntut dalam Islam yang bermaksud sumbangan sama ada berbentuk wang tunai, makanan, harta yang bernilai dengan penuh keikhlasan dan mengharapkan ganjaran pahala daripada Allah s.w.t. Dari sudut bahasa, infaq berasal dari perkataan anfaqa yang bermaksud mengeluarkan harta untuk kepentingan sesuatu manakala dari sudut syarak, infaq merujuk kepada perbuatan mengeluarkan sebahagian harta yang diperintahkan dalam Islam.

Selasa, 1 September 2015

Falsafah Kacang

Keakraban masyarakat Melayu lama dengan alam tergambar dengan jelas melalui pepatah-petith yang menggunakan alam sebagai perlambangan. Pepatah-petitih adalah aspirasi pemikiran Melayu secara tersurat dan tersirat mengandungi nilai sosial, moral, fungsi adat bermasyarakat dan menonjolkan falsafah kehidupan bangsa Melayu. Peribahasa Melayu bagai kacang lupakan kulit memberi gambaran mengenai orang yang lupa akan asalnya setelah menikmati kesenangan. Dalam hal ini, kacang dalam perumpaan itu merujuk kepada kacang tanah dijadikan sebagai perlambangan orang manakala kulit (kacang) dilambangkan sebagai asal-usul seseorang individu.

Sumber: klik [...]
Berbalik kepada persoalan dalam entri ini, kenapa perumpamaan kacang lupakan kulit? Kenapa tidak ada perumpamaan pinang lupakan kulit? Penelitian bangsa Melayu lama terhadap alam amat halus sehingga pinang (dalam hal ini, buah pinang merujuk kepada pinang yang telah tua) dan kulitnya tidak sesuai dijadikan perlambangan yang memberi makna orang yang lupa akan asalnya setelah menikmati kesenangan sebaliknya kacang dan kulitnya lebih sesuai dijadikan perlambangan yang menepati maksud tersebut. Hal ini dapat dilihat berdasarkan sifat kacang tanah itu sendiri di mana ia mudah/senang dibuka kulitnya sehingga boleh dibuka tanpa menggunakan sebarang alat. Buah pinang tua sifatnya lain, untuk mengupas kulit pinang perlu kepada alat seperti parang khas jenis bendo atau cengkok/cokok/kikuk. Sifat kulit buah pinang tua itu sendiri yang mempunyai sabut maka proses mendapatkan isi pinang yang telah licin dibuang sabut adalah proses yang sukar kerana memerlukan tenaga dan tekanan yang kuat.

Dalam kehidupan masyarakat Melayu, falsafah ‘kacang’ menggambarkan sesuatu yang mudah. Kini, masyarakat Melayu moden turut menggunakan ‘kacang’ bagi perkara yang senang tanpa perlu bersusah-payah contohnya, generasi muda bangsa Melayu menyatakan ‘kacang je’ menunjukkan perkara itu mudah dilakukan. Belum ada perumpamaan dalam masyarakat Melayu lama dan moden menggunakan buah pinang tua sebagai sesuatu yang mudah atau senang.

Dalam hal ini, wajarlah perumpaan kacang lupakan kulit merujuk kepada orang yang lupa akan asalnya setelah menikmati kesenangan. Orang yang lupa akan asalnya menunjukkan orang yang MUDAH/SENANG lupa kepada asal-usulnya setelah kehidupannya senang.

Ahad, 23 Ogos 2015

Pemerdagangan Manusia Dalam Perkahwinan

Pemerdagangan manusia adalah satu bentuk perdagangan atau perniagaan yang melibatkan beberapa aspek seperti migrasi manusia secara haram, aktiviti buruh secara sah atau mengandungi unsur paksaan. Istilah ini digunakan dalam konteks lebih sempit oleh kumpulan-kumpulan penyokong dengan merujuk kepada aktiviti pemerdagangan manusia melalui kaedah pengrekrutan, pengangkutan, perlindungan atau pengambilan manusia bagi tujuan seperti perhambaan, pelacuran, buruh paksa dan perjualan organ tubuh manusia. Pengeksploitan pemerdagangan manusia termasuk pemaksaan melakukan pelacuran atau eksploitasi seks, buruh paksa dan bentuk-bentuk pengamalan yang boleh disifatkan sebagai satu bentuk perhambaan.

Dalam sesebuah institusi perkahwinan, terdapat sesetengah kes di mana suami yang melakukan pemerdagangan manusia terhadap isteri. Bagi isteri yang bekerja, suami memaksa isteri menggunakan wang pendapatan dan simpanan tanpa kerelaan isteri untuk menanggung diri suami dan anak-anak walhal jelas dalam Islam tanggungjawab memberi nafkah terletak di pundak suami. Dalam konteks pemerdagangan manusia, perdagangan atau perniagaan yang dilakukan oleh suami bukan hanya terhad untuk memperolehi wang daripada isteri tetapi juga termasuk seks sebagai imbalan kepada pertolongan dalam bentuk perlindungan yang diberikan oleh suami terhadap isteri dan anak-anak. Cinta dan kasih sayang yang mengikat sesuatu perkahwinan telah menjadikan pemerdagangan manusia yang dilakukan oleh suami terhadap isteri merupakan satu bentuk pemerdagangan manusia secara halus. Walau bagaimanapun, pemerdagangan manusia dalam perkahwinan yang paling hina ialah wujud suami yang sanggup melacurkan isteri untuk mendapatkan wang atau sebagai cara untuk melangsaikan hutang.

Khamis, 6 Ogos 2015

Cinta

Betapa ramai orang yang jatuh cinta harus menghabiskan hartanya, merosakkan kehormatan dirinya, membuang masanya, menentang keluarganya, mengesampingkan kepentingan agama gara-gara orang yang dicintainya 

[Ibnu Qayyim Al-Jauziyah 691H-751H]

Rabu, 17 Jun 2015

Selamat Datang Ramadhan Karim 1436H


P/S: Ahlan wa sahlan ya Ramadhan karim. Allahu Akram. Happy fasting to all Muslims wherever you are 

Khamis, 30 April 2015

Orang Malaya Di Sabah #3

Ya Seam@Seam (Mohd Hashim Ujang) adalah individu yang meninggalkan banyak komen tidak puas hati terhadap Kerajaan Persekutuan dalam entri Orang Malaya di Sabah #1

























Aku tidak sangka entri Orang Malaya Di Sabah #1 yang ditulis dan diterbitkan pada 9 November 2011 mendapat page view yang paling tinggi dalam blog ini sehingga dipos dalam forum dan facebook. Entri itu ditulis bukan bertujuan mempertikai peraturan imigresen di Sabah tetapi untuk menjelaskan kedudukan anak-anak orang Malaya yang lahir di Sabah. 

Aku sendiri tidak menyimpan harapan walau sebesar zarah pun agar diterima sebagai orang Sabah dari aspek perundangan. Seandainya suatu hari nanti anak-anak orang Malaya yang lahir di Sabah diperakui sebagai orang Sabah dari aspek perundangan, aku tidak berkehendak untuk menurut sebarang prosedur perundangan agar aku menjadi orang Sabah. 
Aku lebih suka menjadi anak orang Malaya yang lahir di Sabah. Aku lebih suka menjadi orang berketurunan Melayu dari Malaya.
Setelah tamat pengajian Masters di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pada tahun 2002, aku bekerja di sebuah cawangan badan berkanun di Wilayah Persekutuan Labuan. Induk badan berkanun itu berada di Kota Kinabalu, Sabah. Urusan berkaitan slip gaji aku diurusakan oleh induk badan berkanun tersebut. Walaupun aku sudah mempunyai nombor kad pengenalan baru (xxxxxx-12-xxxx) tetapi memandangkan aku adalah anak orang Malaya yang lahir di Sabah maka urusan gaji aku menggunakan nombor kad pengenalan lama Negeri-Negeri Tanah Melayu (A31xxxxx). Tujuannya agar badan berkanun tersebut dapat membezakan bahawa aku ini anak orang Malaya yang lahir di Sabah setaraf dengan anak orang Malaya yang lahir di Malaya.

Sepanjang 20 tahun aku tinggal di Sabah, bapa aku telah berurusan dengan Jabatan Imigresen Negeri Sabah maka kedua ibu bapa aku dan aku telah mendapat permit masuk tinggal tetap di Sabah pada tahun 1979. Situasinya sama seperti warganegara asing yang mendapat taraf penduduk tetap di Malaysia dengan menggunakan kad pengenalan berwarna merah. Bezanya kedua-dua ibu bapa aku dan aku tidak menggunakan sebarang kad pengenalan khas. Kedua-dua ibu bapa aku dan aku diberikan sepucuk surat yang menyatakan Jabatan Imigresen Negeri Sabah meluluskan pemberian permit masuk tinggal tetap di Sabah. Tujuan bapa aku mendapatkan permit masuk tinggal tetap di Sabah adalah untuk memudahkan kami agar tidak perlu lagi setiap tahun memperbaharui permit masuk tinggal di Sabah dari Jabatan Imigresen Negeri Sabah. Sehingga hari ini aku masih menyimpan surat itu seperti yang tertera dalam gambar di bawah. 

Surat ini adalah surat lama pada tahun 1979 yang ditaip menggunakan mesin taip. Maklumat yang dihitamkan dalam surat ini melibatkan data peribadi, nombor rujukan surat dan cawangan pejabat imigresen yang terlibat.

Selain itu, kedua-dua ibu bapa aku mesti hadir membawa passport Malaysia masing-masing di Jabatan Imigresen Negeri Sabah untuk catitan khas bahawa kedua ibu bapa aku dan aku telah mendapat permit masuk tinggal tetap di Sabah. Ketika itu, aku masih kanak-kanak maka aku tidak mempunyai passport Malaysia, rekod diri aku dimasukkan dalam passport ibu aku pada bahagian maklumat anak-anak. Selama 20 tahun aku tinggal di Sabah, urusan pengeluaran passport Malaysia bagi orang Malaya mesti dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen di Semenanjung Malaysia. 

Aku tidak boleh melupakan pengalaman aku ketika hendak memperolehi passport Malaysia agar aku boleh keluar seorang diri dari negeri Sabah ke Semenanjung Malaysia untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana Muda (degree) di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Pegawai imigresen negeri Sabah (aku pasti pegawai itu adalah orang Sabah) memaklumkan kepada bapa aku berkenaan prosedur mengeluarkan passport Malaysia untuk aku:
Jika dia mahu buat passport antarabangsa, kami kena hantar ke sana (Semenanjung Malaysia). Apa yang diambil kira di sini ialah asal-usul keturunan. Kami tidak bertanggungjawab kalau passport dia belum siap sedangkan dia mahu jalan sudah. Kami hanya boleh keluarkan Dokumen Perjalan Terhad saja.
Sekarang sudah berbeza, urusan pengeluaran passport Malaysia bagi orang Malaya sudah boleh dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Negeri Sabah. Walaupun kedua-dua ibu bapa aku dan aku mempunyai permit masuk tinggal tetap di Sabah, tetapi kami kembali menetap ke Malaya di mana tempat kami berasal.
Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Walaupun negeri orang berhujankan emas tetapi lebih baiklah di negeri sendiri yang berhujankan batu.
P/S: Jika anda hendak meninggalkan komen berkenaan entri ini, sila pastikan anda tidak melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan Akta Hasutan 1948. 


Selasa, 28 April 2015

99 Cahaya Di Langit Eropah







Tajuk: 99 Cahaya Di Langit Eropah

Penulis: Hanum Salsabiela Rais & Rangga Almahendra



Penterjemah: Siti Hawaliah Binti Darmanshah


Tahun Terbit: 2014

Penerbit: Jootawan Book Sdn. Bhd.







Aku memberi nilai buku ini  dari .  Novel ini ditulis oleh pasangan suami-isteri dari Indonesia dan telah difilemkan dan ditayangkan di Indonesia. Penulis buku ini, Hanum Salsabiela Rais merupakan anak kepada Muhammad Amien Rais yang pernah berkecimpung dalam politik Indonesia. Novel ini sarat dengan fakta sejarah dan bersifat catatan travelog Hanum Salsabiela Rais dan Rangga Almahendra di Austria-Perancis-Sepanyol-Turki-Mekah. 

Keseluruhan novel ini menarik namun bahagian yang cukup menarik bagi aku ialah mengenai 'pengIslaman' Napoleon Bonaparte (1769 – 1821). Sejarah mencatatkan Napoleon Bonaparte amat mengagumi Al-Quran dan Nabi Muhammad s.a.w. sekembalinya beliau dari melakukan serangan ketenteraan ke atas Mesir pada tahun 1798. Di Perancis, beliau telah melaksanakan sistem perundangan yang digelar Napoleonic Code senafas dengan syariah Islam. Selain itu, beliau telah membina Axe Historique merupakan garis imaginasi yang lurus membelah kota Paris mengarah ke Makkah. Beliau memerintahkan agar membangunkan dua monumen besar berbentuk pintu gerbang diberi nama Arc de Triomphe du Carrousel yang mengapit jalan Champs-Élysées.
Sukar awalnya menentukan arah muka dan belakang monumen ini (Arc de Triomphe du Carrousel) kerana bangunan pintu gerbang ini dibuat simetri - seperti depan dan belakang sama saja. Tapi kemudian mataku terpaku pada patung Quadriga yang diapit 2 malaikat emas di atas monumen itu.
... Patung Quadriga dan malaikat semua mengadap ke timur tenggara. Arah Makkah. 
Justeru, nama lain bagi Axe Historique ialah Voie Triomphale yang bermaksud "Jalan Kemenangan". Islam menunjukkan jalan kejayaan (kemenangan) di dunia dan akhirat. 

Hakikat yang jelas nyata ialah Jeneral Jacques-François Menou (The supreme command of the French Oriental Army) telah memeluk agama Islam setelah kembali dari Mesir pada tahun 1799 dan berkahwin dengan wanita Mesir bernama Zobeida El Bawab dari jurai keturunan Nabi Muhammad s.a.w. Namun begitu, kebenaran 'pengIslaman' Napoleon Bonaparte tidak pernah dicatatkan dalam sejarah Eropah.
Kenyataan bahawa dia Muslim jelas akan mengurangi 'kebesaran' namanya dan mungkin jelas memupuskan kebanggaan warga Perancis pada bangsanya.
Walaupun Napoleon memang memeluk Islam, fakta ini tidak akan diungkapkan demi kepentingan nasional yang lebih besar. 

Selasa, 7 April 2015

Croissant Lambang Anti-Islam






















Croissant sejenis pastri dicipta sebagai lambang anti-Islam. Sejarah pastri ini bermula di Vienna, Austria pada 11 September 1683. Dalam tahun 1683, tentera Kerajaan Turki Uthmaniah yang dipimpin oleh Kara Mustafa telah mengepung dan menyerang Kota Vienna sebagai langkah untuk menguasai negara-negara di Eropah Barat. 

Pembuat roti bekerja sehingga lewat malam di bahagian dapur bawah tanah telah mendengar bahasa Turki di sebalik dinding kota yang bergegar. Para pengawal Kerajaan Vienna mendapati tentera Turki Uthmaniah telah menggali terowong bawah tanah dan meletakkan bahan letupan untuk meruntuhkan Kota Vienna. Tentera salib pakatan Jerman dan Poland telah mara dari bukit Kahlenberg mengalahkan tentera Turki Uthmaniah. 

Croissant dicipta berbentuk bulan sabit mengambil simbol yang terdapat pada bendera Turki untuk merayakan kekalahan Turki Uthmaniah. Vienna adalah kota terakhir yang menjadi tempat perjuangan Islam terhenti. Makan croissant melambangkan "makan bendera Turki" dan secara tidak langsung bermakna "makan Islam". Hal ini menyebabkan wujud golongan Islam fundamentalis yang melarang umat Islam makan croissant.

Kini, croissant lebih dikenali sebagai makanan khas negara Perancis. Google translate menterjemahkan croissant sebagai "a French crescent-shaped roll made of sweet flaky pastry, often eaten for breakfast." Perkahwinan puteri Kerajaan Austria, Marie Antoinette (1755-1793) dengan Louis Auguste de France (1754-1793) telah menyebabkan dalam setiap pesta yang dianjurkan oleh Kerajaan Perancis, pastri dari Vienna ini dihidangkan kepada para tetamu. Pastri dari Vienna ini yang berbentuk bulan sabit menyebabkan ia popular dipanggil croissant dalam bahasa Perancis.

Rabu, 25 Mac 2015

Peringatan


Allah s.w.t. berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:
Dan Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada); kemudian Ia menyempurnakan tempoh umur kamu; (maka ada di antara kamu yang disegerakan matinya), dan ada pula di antara kamu yang dikembalikannya kepada peringkat umur yang lemah (peringkat tua kebudak-budakan), sehingga menjadilah ia tidak ingat akan sesuatu yang telah diketahuinya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa. (An-Nahl: 70)
Dialah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari (setitis) air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging; kemudian Ia mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian kamu (dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; kemudian kamu (dipanjangkan umur) hingga sampai menjadi tua. Dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan sebelum itu. (Allah melakukan kejadian yang demikian) supaya kamu sampai ke masa yang ditentukan (untuk menerima balasan); dan supaya kamu memahami (hikmat-hikmat kejadian itu dan kekuasaan Tuhan). Dan barangsiapa yang kami panjangkan umurnya nescaya kami kembalikan dia kepada kejadiannya (serba lemah). Maka apakah mereka tidak memikirkan? (Al-Ghaafir: 67) 
Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah; hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya? (Yaasiin: 68) 
Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Ia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya, dan Dialah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa. (Ar-Ruum: 54)

Khamis, 19 Mac 2015

Tingkat-Tingkat Jannah

جنّة (Jannah) adalah perkataan dalam Bahasa Arab dan jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu ia disebut sebagai syurga yang merupakan sebahagian daripada konsep hidup selepas mati. Perkataan syurga dalam bahasa Melayu berasal daripada bahasa Sanskrit iaitu swargam. Dalam al-Quran, Allah s.w.t. menyatakan terdapat lapan tingkat Jannah iaitu:
  • Jannatul Fidaus - Allah s.w.t. menyediakan jannah ini untuk orang yang benar-benar beriman dan beramal soleh. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. (1) Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. (2) Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. (3) Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu). (4) Dan mereka yang menjaga kehormatannya. (5) Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. (6) Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas. (7) Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya. (8) Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya. (9) Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. (10) Yang akan mewarisi Jannatul Firdaus; mereka kekal di dalamnya. (11)." [Al-Mukminun: 1-11]

  • Jannatul 'Adnin - Allah s.w.t. menyediakan jannah ini untuk orang yang bertakwa kepada Allah s.w.t., beriman, beramal soleh, sentiasa membuat kebajikan dan sabar dalam mencari keredhaan Allah s.w.t. . Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Dan ditanya pula kepada orang-orang yang bertaqwa: "Apakah yang telah diturunkan oleh tuhan yang telah diturunkan oleh Tuhan kamu?" Mereka menjawab: "Kebaikan" orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan yang baik, dan sesungguhnya balasan negeri akhirat itu lebih baik lagi; dan memanglah negeri akhirat ialah sebaik-baik negeri bagi orang-orang yang bertaqwa. (30) (Untuk mereka) Jannatul 'Adnin yang mereka akan memasukinya, yang mengalir padanya beberapa sungai; mereka beroleh di dalam Syurga itu apa yang mereka kehendaki; demikianlah Allah membalas orang-orang yang bertaqwa. (31)" [An-Nahl: 30-31]
"Dan sesiapa yang datang kepada-Nya sedang ia beriman, serta ia telah mengerjakan amal-amal yang soleh, maka mereka itu akan beroleh tempat-tempat tinggal yang tinggi darjatnya. (75) (Iaitu) Jannatul 'Adnin yang kekal, yang mengalir padanya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itu ialah balasan orang-orang yang membersihkan dirinya dari perbuatan kufur dan maksiat" (76) [Thoha: 75-76]
"Kemudian Kami jadikan Al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata). (32) (Balasan mereka ialah) Jannatul 'Adnin, yang mereka akan masukinya; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan dari emas dan mutiara; dan pakaian mereka di situ adalah dari sutera." (33) [Faatir: 32-33]
"Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat; (22) Iaitu Jannatul 'Adnin yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu" (23) [Ar-Ra'd: 22-23]

  • Jannatul Na'im -  Allah s.w.t. menyediakan jannah ini untuk orang yang sentiasa mengerjakan perintah Allah s.w.t., beriman dan  beramal soleh. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh Jannatul Na'im yang penuh dengan berbagai nikmat" [Luqman: 8]

  • Jannatul Ma'wa - Allah s.w.t. menyediakan jannah ini untuk orang yang bertakwa dan memiliki iman yang kuat serta sentiasa mengawal hawa nafsu. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Yang di sisinya terletak Jannatul Ma'wa" [An-Najm: 15]
"Adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka akan beroleh Jannatul Ma'wa tempat tinggal yang tetap sebagai balasan bagi apa yang mereka telah kerjakan" [As-Sajdah: 19]
"Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu. (40) Maka sesungguhnya Jannatul Ma'wa tempat kediamannya." (41) [An-Nazi'at: 40-41]

  • Jannatul Darus Salaam - Allah s.w.t. menyediakan jannah ini untuk orang yang memiliki iman yang kuat serta melakukan amal soleh kerana Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Bagi merekalah Darus Salaam (tempat tinggal yang aman sejahtera) di sisi Tuhan mereka, dan Dia lah Penolong mereka, disebabkan amal-amal (yang baik) yang mereka telah kerjakan" [Al-An'aam: 127]

  • Jannatul Darul Muqamah - Allah s.w.t. menyediakan jannah ini untuk orang yang mempunyai kebaikan yang sangat banyak dan jarang melakukan kesalahan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Dan (sebagai bersyukur) berkatalah mereka: "Segala puji tertentu bagi Allah, yang telah menghapuskan perasaan dukacita dari kami; Sesungguhnya Tuhan kami Maha Pengampun, lagi sentiasa memberi balasan yang sebaik-baiknya (kepada orang-orang yang taat) (34) Tuhan yang telah menempatkan kami dalam Darul Muqamah (tempat yang kekal), dengan limpah kurnia-Nya semata-mata. Kami tidak akan merasa penat lelah di situ, dan kami juga di situ tidak merasa letih dan lesu" (35) [Fathir: 34-35]

  • Jannatul Al-Maqamul Amin - Allah s.w.t. menyediakan jannah ini untuk orang yang bertakwa kepada-Nya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang yang bertaqwa (akan ditempatkan) di Maqamin Amin (tempat yang aman)." [Ad-Dukhaan:51]

  • Jannatul Khuldi - Allah s.w.t. menyediakan jannah ini untuk para muttaqin (mereka yang bertakwa). Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Bertanyalah (kepada mereka): "Adakah (azab seksa neraka) yang demikian itu lebih baik atau Jannatul Khuldi (yang kekal), yang dijanjikan kepada mereka yang bertaqwa?" Yang disediakan untuk mereka sebagai balasan dan tempat kembali" [Al-Furqan: 15]
P/S: Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "... Apabila kamu memohon kepada Allah, maka mohonlah kepada-Nya (untu mendapatkan) Jannatul Firdaus, kerana ia adalah syurga yang paling tengah dan paling tinggi.” (Perawi hadis: Abu Hurairah; dalam kitab: Sahih Al-Bukhari; nombor rujukan hadis: 2790)

Rabu, 25 Februari 2015

Selawat Nabi Muhammad ﷺ Dalam Microsoft Word

Semalam aku belajar sesuatu yang baru dan aku ingin berkongsi dengan anda semua. 

Selepas menaip perkataan Rasulullah dengan menggunakan Microsoft Word, kita tidak perlu lagi menaip "s.a.w." atau "pbuh" (pbuh adalah akronim kepada peace be upon him) [contoh: Rasulullah s.a.w. atau Prophet Muhammad pbuh].

Kini, kita hanya perlu menaip huruf "fdfa" (tanpa quotes) selepas perkataan Rasulullah/Prophet Muhammad [contoh: Rasulullah fdfa] dan diikuti tekan kunci Alt dan huruf x serentak, hasilnya ia menggantikan huruf "fdfa" dengan ﷺ [The Arabic salawat on Prophet Muhammad icon "Sallahu 'Alaihi Wa Sallam"].

P/S: Selamat Mencuba 

Ahad, 22 Februari 2015

Pilo Toq







Tajuk: Pilo Toq

Penulis: OP Zaharin, Azzam Supardi & Bahruddin Bekri

Tahun Terbit: 2015

Penerbit: Puteh Press









Buku bertajuk Pilo Toq merupakan himpunan kisah-kisah rumah tangga yang mencuit hati menurut perspektif suami; merupakan pengalaman tiga penulis lelaki OP Zaharin, Azzam Supardi dan Bahruddin Bekri. Tatkala membaca buku ini, ia tidak hanya membuatkan aku tersenyum tetapi ketawa terbahak-bahak seorang diri. 

Buku ini sarat dengan nasihat-humor yang dihidangkan melalui perbualan santai sweet-sweet suami-isteri khas untuk lelaki yang sudah berkahwin atau bakal mendirikan rumah tangga bagaimana suami perlu menghargai isteri yang menjadi suri hidupnya. Pilo Toq juga sesuai dibaca oleh golongan wanita untuk melihat pendapat lelaki/suami mengenai wanita dan rumah tangga. Hakikatnya dalam sebuah rumah tangga, suami-isteri memainkan peranan saling lengkap-melengkapi di antara satu sama lain. 

Ketiga-tiga penulis seperti bersepakat bahawa "orang perempuan sukar untuk diduga". Aku beri  dari 

Buku ini dinyatakan sebagai "siri". Adakah akan ada buku-buku seterusnya diterbitkan dalam genre yang sama untuk melengkapkan "Siri Bercakap-Cakap Dengan ..."? Aku tunggu dan lihat .

P/S: Lelaki yang membaca Pilo Toq jika mengamalkan nasihat yang terkandung dalam buku ini boleh jadi "Lelaki Melayu Terakhir"

Jumaat, 13 Februari 2015

Pemergian Seorang Ulama


P/S: Dalam karier politik, beliau tidak pernah kalah dalam pertandingan pilihanraya umum di Malaysia. Saya ingat beliau. Dalam tahun 2010, saya pernah temubual beliau ketika beliau sedang menjawat jawatan Menteri Besar Kelantan untuk keperluan tesis PhD saya. Takziah kepada keluarga Allahyarham Dato' Bentara Setia Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.

Rabu, 4 Februari 2015

Suamiku Encik Perfect 10

Aku sudah tengok filem Suamiku Encik Perfect 10 di Golden Screen Cinemas (GSC), Amanjaya Mall, Sungai Petani  pada 23 Januari 2015 cuma hari ini baru aku berpeluang untuk menulis entri berkenaan filem ini. Filem Suamiku Encik Perfect 10 adalah adaptasi novel yang bertajuk Suamiku Encik Perfect 10 karya Syamnuriezmil. 

Filem Suamiku Encik Perfect 10 berada dalam top ten filem yang ditayangkan di GSC dari 29 Januari - 1 Februari 2015 

Semenjak usia aku mencecah tiga siri (30-an), amat berat bagi aku untuk membaca novel-novel kategori cinta orang muda berbanding ketika usia aku belasan tahun dan dalam lingkungan usia 20-an, mungkin aku mula merasakan aku sudah tua. Aku menonton filem Suamiku Encik Perfect 10 tanpa terlebih dahulu membaca versi filem ini dalam bentuk novel.

Filem ini adalah kisah  berkenaan Aleeya Azmeen (Lisa Surihani) yang dirogol oleh teman lelakinya bernama Syed Muzaffar (Syazwan Zulkifly). Aku menonton filem Suamiku Encik Perfect 10 dalam panggung yang penuh didominasi oleh gadis-gadis muda (tidak termasuk aku) yang melontarkan suara 'so sweet' ketika menonton adegan di bawah. 


Seperkara yang menarik dalam filem ini, para pelakon utama menggunakan dialek Kedah. Dialog yang mencuit hati (really sweet) diucapkan oleh pelakon Normah Damanhuri yang memegang watak nenek kepadZarief Danial (Aaron Aziz) ialah "Mai celah mana suami?" ketika melawat Aleeya Azmeen (Lisa Surihani) yang mengalami pendarahan ketika awal kehamilan di wad Hospital Pantai, Sungai Petani.

Aku menonton filem Suamiku Encik Perfect 10 tanpa terlebih dahulu membaca versi filem ini dalam bentuk novel. Aku menonton filem ini 'kosong' tanpa mengetahui jalan ceritanya. Keseluruhan filem ini mudah difahami tetapi agak membosankan cuma adegan akhir filem ini mengelirukan kerana kemunculannya secara tiba-tiba iaitu babak ketika Zarief Danial (Aaron Aziz) dan Aleeya Azmeen (Lisa Surihani) berada dalam kapal terbang di mana sebelum itu Aleeya Azmeen (Lisa Surihani) berada di hospital sedang menjaga suaminya Syed Muzaffar (Syazwan Zulkifly).

P/S: Ini adalah sebahagian daripada keanehan tajuk dan plot novel-novel Melayu yang tidak mencabar minda namun ia difilemkan dan berada dalam pasaran Malaysia.  Aku beri  dari .

Ahad, 25 Januari 2015

Panduan Pengambilan Suplemen

Keperluan nutrisi setiap individu berbeza berdasarkan faktor umur, gaya hidup, keturunan dan tabiat pemakanan. Aspek utama nutrisi ialah mencegah penyakit untuk menjamin kehidupan yang lebih berkualiti untuk jangka masa panjang. Walau bagaimanapun, pengambilan nutrisi juga berperanan untuk merawat penyakit, sesetengah penyakit disebabkan oleh kekurangan vitamin/mineral dalam tubuh badan. Di bawah ini, beberapa panduan pengambilan suplemen:
  1. Keperluan pemakanan seseorang adalah berbeza. Suplemen yang baik untuk seseorang mungkin tidak memberi kesan yang sama kepada individu yang lain.
  2. Elakkan minum kopi dan teh (mengandungi kafein) sekurang-kurang 15 minit sebelum mengambil suplemen kerana ia menganggu penyerapan nutrien.
  3. Makan suplemen diikuti minum air pada suhu bilik, bukan dengan air suam atau air sejuk (air yang mengandungi ais).
  4. Baca arahan dengan betul sama ada ia perlu diambil selepas atau sebelum makan.
  5. Harga tidak menjadi ukuran kepada kualiti, suplemen yang mahal tidak semestinya yang terbaik.
  6. Suplemen bukan pengganti kepada khasiat mikro nutrien yang terdapat dalam makanan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran, susu, ikan dan sebagainya.
  7. Rujuk kepada doktor perubatan sebelum memulakan pengambilan suplemen khususnya individu yang mengambil ubat-ubatan, sedang hamil dan menyusukan bayi. Seperkara yang anda perlu tahu, bukan semua doktor perubatan yang mempunyai ijazah dalam bidang perubatan mempunyai pengetahuan mengenai setiap fungsi vitamin/mineral yang perlu diambil oleh seseorang pesakit. Hal ini kerana para pelajar dari sekolah/fakulti perubatan tidak mengkhusus dalam bidang sains pemakanan (dietitian) melainkan mereka mengambil sains pemakanan sebagai kursus elektif. Mereka diajar untuk merawat sesuatu penyakit menggunakan dadah sintetik yang dihasil dalam makmal.
  8. Vitamin larut lemak (vitamin A, D, E dan K) mesti diambil secara berhati-hati kerana pengambilan vitamin larut lemak yang berlebihan boleh memudaratkan kerana ia tersimpan dalam bahagian tubuh yang berlemak seperti organ hati. Hal ini berbeza dengan pengambilan vitamin larut air (vitamin C dan kumpulan vitamin B) yang berlebihan di mana ia akan dikeluarkan melalui proses perkumuhan.
  9. Multi-vitamin merupakan pilihan suplemen yang paling selamat kerana ia mengandungi campuran vitamin dan mineral yang seimbang dan tidak ada risiko terlebih dos. Walau bagaimanapun, setiap produk multi-vitamin mengandungi vitamin dan mineral serta dos yang berbeza. Semak kandungan dos dan jenis vitamin/mineral yang tertera pada label. Beli multi-vitamin yang sesuai dan dapat memenuhi keperluan harian tubuh badan anda.
  10. Periksa tarikh luput pada label sebelum anda membeli sesuatu produk suplemen. Walau bagaimanapun, satu tips yang aku perolehi dari seorang ahli farmasi, jika anda mempunyai suplemen yang telah tamat tempoh, anda masih boleh makan suplemen tersebut dalam tempoh tiga bulan dari tarikh luput. Tips ini tidak termasuk lambakan produk kesihatan yang lain seperti produk kak tonn, de herbs dan sebagainya.

Sabtu, 17 Januari 2015

Bagaimana Menentukan Sesuatu Objektif Kajian?

Hari ini aku melihat statistik blog aku mengandungi kata carian "Bagaimana menentukan objektif sesuatu kajian?" 


















Dalam melakukan sesuatu penyelidikan, objektif kajian tidak timbul begitu sahaja. Pembinaan objektif kajian mempunyai kaitan langsung dengan bahagian penyataan masalah/permasalahan kajian (problem statement) yang dinyatakan dan dibincangkan dengan jelas dalam bab satu tajuk Pengenalan di bawah sub tajuk bahagian Penyataan Masalah atau Permasalahan Kajian.

Penerangan dalam bahasa yang mudah, objektif kajian timbul ekoran daripada kewujudan permasalahan yang menyebabkan kenapa ia perlu dikaji. Objektif kajian mesti lahir dari bahagian penyataan masalah. Isu-isu yang ditimbulkan dalam bahagian penyataan masalah pula mesti diolah secara kritis meliputi semua isu yang menjadi objektif dalam sesebuah kajian. Dalam hal ini, latar belakang kepada objektif kajian sudah dibayangkan dalam perbincangan bahagian penyataan masalah.

P/S: Dalam sesebuah penyelidikan tidak kira sama ada pada peringkat PhD, Masters atau Ijazah Sarjana Muda, lazimnya mengandungi tiga objektif kajian, paling banyak empat objektif kajian dan tidak lebih dari itu