Selasa, 12 September 2017

Kalimah Suci Dalam Islam

Kalimah suci ialah apa-apa perkataan yang dikaitkan dengan nama yang dihormati dalam Islam sama ada berbentuk tulisan, lukisan simbol, gambar dan apa sahaja yang dimaksudkan dan difahami mewakili sesuatu kalimah. Di antara kalimah suci yang dihormati dalam Islam ialah:
  1. Mushaf Al-Quran
  2. Petikan ayat Al-Quran
  3. Kalimah Allah dan nama-nama Allah yang lain (Asma ul-Husna) serta apa sahaja kalimah yang menunjukkan sifat-sifat Allah.
  4. Nama Nabi Muhammad s.a.w.
  5. Nama Nabi-Nabi
  6. Nama malaikat
  7. Hadis Nabi Muhammad s.a.w.
  8. Doa-doa
  9. Gambar-gambar yang mengandungi kalimah suci. Contohnya, gambar masjid yang tertera ayat-ayat Al-Quran pada dinding masjid.
Kalimah suci termasuk apa sahaja yang ditulis dalam bentuk tulisan termasuk tulisan rumi. Sesuatu kalimah suci dibaca dalam bahasa Arab walaupun kalimah suci tersebut ditulis dalam tulisan rumi. Hal ini termasuklah singkatan s.a.w., s.w.t. dan r.a. tatkala kita melihat singkatan tersebut kita tidak membaca huruf singkatan sebaliknya kita berselawat, bertasbih dan sebagainya.

Contohnya, wujud sebahagian orang yang menulis No. 786 mewakili kalimah Bismillah maka apabila mereka melihat perkataan No. 786, mereka tidak membaca “nombor tujuh lapan enam” sebaliknya mereka menyebut lafaz Bismillah. Oleh itu, No. 786 diklasifikasikan sebagai kalimah suci yang perlu dihormati. 

Semua bahan yang mengandungi kalimah suci sama ada ditulis, dicetak, diukir, dilukis dan sebagainya mesti dihormati dan tidak boleh disimpan atau diletak di tempat yang tidak sewajarnya.

Pelupusan bahan-bahan yang mengandungi kalimah suci sama seperti kaedah pelupusan mushaf Al-Quran. Terdapat dua kaedah pelupusan:
  1. Menanam di dalam tanah di tempat yang tidak didiami dan tidak akan dimajukan. Kawasan tersebut menjadi seperti tanah kubur yang tidak boleh dibangunkan atau dimajukan.
  2. Menghilangkan tulisan dengan cara dibakar dan dihanyutkan ke laut. Bahan-bahan yang mengandungi kalimah suci hendaklah dibakar dalam bekas kedap haba sehingga abunya berwarna putih; abu berwarna hitam dikhuatiri masih terdapat huruf-huruf yang masih boleh dibaca. Setelah bahan-bahan tersebut dibakar, abunya bertukar menjadi warna putih tidak boleh dibuang ke dalam sungai kerana dibimbangi tersangkut di tebing sungai atau di tempat lain sebelum ia sampai ke laut.

Sumber: Diubah suai dari artikel bertajuk Haram Menulis, Mencetak Ayat Al-Al-Quran Dalam Huruf Selain Huruf Arab yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) untuk Takwim Dan Waktu Ibadah Bagi Seluruh Negeri Kedah Darul Aman (bulan Rabiul Awal 1437H). 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan