Sabtu, 30 November 2013

Orang Malaya Di Sabah #2

Sudah lama aku ingin menyambung entri Orang Malaya Di Sabah #1 tetapi baru kini aku berkesempatan untuk menulis. Entri ini dan sewaktu dengannya lebih kepada pendapat dan pengalaman peribadi aku ketika tinggal di Sabah. Selepas 50 tahun pembentukan Malaysia, isu prejudis orang Sabah terhadap orang Malaya yang tinggal di Sabah tetap ada. Prejudis ini bukan sahaja dalam kalangan orang Sabah yang berpendidikan tamat sekolah rendah atau sekolah menengah tetapi turut wujud dalam kalangan mereka yang berpendidikan tinggi termasuk graduan PhD. Isu ini menunjukkan pendidikan di Malaysia masih belum dapat mendakap erat rakyat Malaysia dalam konteks perpaduan. 

Isu nama ‘Malaya’ yang terdapat pada maskot ‘Harimau Malaya’ yang digunakan oleh Pasukan Bola Sepak Kebangsaan Malaysia malah digunakan juga sebagai gelaran kepada pasukan itu turut menjadi isu kepada segelintir orang Sabah yang menyatakan “Kenapa mesti Malaya?, Kenapa bukan Malaysia?”. Isu utama pada ‘Harimau Malaya’ ialah perkataan ‘Malaya’ merupakan sebahagian dari nama harimau itu. ‘Harimau Malaya’ atau nama saintifiknya ialah Panthera tigris malayensis merupakan sub spesies harimau yang hanya didapati di Semenanjung Malaysia. Oleh itu, tidak ada sub spesies harimau yang bernama ‘Harimau Malaysia’. 

Pemilikan tanah di Sabah dalam kalangan orang Malaya turut menjadi isu besar bagi orang Sabah. Aku mempunyai seorang sepupu berasal dari Kedah yang berkahwin dengan orang Sabah yang berturunan Kadazan Dusun. Sepupu aku membeli tanah di Sabah, maka menjadi persoalan besar bagi rakan-rakan sekerjanya yang berasal dari Sabah, “Macam mana orang Semenanjung boleh beli tanah di Sabah?” Jawapan sepupu aku “Kenapa aku bukan orang Malaysiakah?”, walhal tanah itu atas nama suami dan anak-anaknya. Kedudukan orang Malaya di Sabah menjadi isu yang besar, menjadikan orang Malaya sebagai ancaman kepada orang Sabah. Hal ini menghairankan apabila kaum bumiputera Sabah tidak rasa terkesan pula jika bangsa Cina memiliki aset tanah di Sabah asalkan bangsa Cina itu orang Sabah. Peluang pekerjaan hatta guru sandaran keutamaan diberi kepada orang Sabah walaupun ada anak-anak orang Malaya yang menetap di Sabah mempunyai kelayakan yang lebih baik.

Di Sabah, aku merasakan orang Indonesia yang menetap di Sabah lebih akrab-istimewa berbanding orang Malaya yang berstatus warganegara Malaysia. Kedudukan geografi negeri Sabah yang hampir dengan kepulauan Indonesia di samping bahasa yang lebih kurang sama menjadikan bangsa Indonesia lebih bersaudara dengan orang Sabah berbanding dengan orang Malaya yang berasal dari Semenanjung Tanah Melayu. 

Aku bersekolah sepenuhnya di Sabah dari tadika, sekolah rendah sehingga sekolah menengah. Aku generasi X yang lahir dalam tahun 1970-an pastinya zaman itu kerajaan Malaysia belum menguatkuasakan penggunaan kad pengenalan mykad kepada seluruh rakyat Malaysia. Ketika aku berada di sekolah menengah, aku mempunyai seorang kawan berketurunan Bugis suku Bone dilahirkan di Sabah mempunyai kad pengenalan berwarna merah (status pemastautin tetap). Dia mempunyai adik-beradik yang ramai, maka seorang kakaknya (juga dilahirkan di sabah) telah dijadikan anak angkat oleh sebuah keluarga bumiputera Sabah tanpa didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Negara seperti yang terkandung dalam Ordinan Pengangkatan Negeri Sabah 1960. Ketika kakaknya berusia 12 tahun, maka kedua-dua ibu bapa angkat kakaknya telah membawa kakaknya ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk proses memperolehi kad pengenalan. Proses yang mudah, penjaga menunjukkan kad pengenalan biru yang dimilikinya maka satu keberuntungan apabila kakaknya layak memperolehi kad pengenalan berwarna biru dengan status warganegara Malaysia tanpa menyiasat dan mengambil kira latar belakang sebenar pemohon. Pada ketika itu, kelahiran rakyat Malaysia hatta di Sabah sekalipun hanya mempunyai surat beranak sebagai bukti pendaftaran tanpa cacatan nombor kad pengenalan ibu bapa memadai dengan hanya menyatakan butiran bangsa anak, tempat lahir, nama dan bangsa ibu bapa serta pekerjaan bapa.

Dalam zaman 1990-an, seseorang yang berstatus pemastautin tetap (mempunyai kad pengenalan berwarna merah) tidak layak memasuki institusi pengajian tinggi di Malaysia dengan menggunakan saluran kelayakan warganegara Malaysia. Semasa aku bersekolah Tingkatan 6 Atas, aku mempunyai beberapa orang kawan yang berstatus pemastautin tetap. Seorang cikgu aku berkelulusan universiti berketurunan Bugis warganegara Malaysia telah memberi panduan kepada para pelajarnya yang mempunyai kad pengenalan berwarna merah agar boleh memasuki institusi pengajian tinggi di Malaysia dengan menggunakan saluran kelayakan warganegara Malaysia. Caranya mudah iaitu ketika mengisi borang kemasukan universiti, hanya nyatakan tidak mempunyai kad pengenalan. Pada ketika itu, cara ini dikira sebagai kaedah paling berkesan untuk memboloskan diri para pemegang status pemastautin tetap agar memperolehi keistimewaan yang dimiliki oleh rakyat Malaysia.

Aku bersyukur kerana kini rakyat Malaysia meggunakan mykad sebagai kad pengenalan rasmi di mana kerajaan Malaysia telah menggunakan kaedah biometric dan centralized database untuk merekodkan identiti setiap rakyat Malaysia. Walaupun mutaakhir ini banyak berita yang dipaparkan di dada-dada akhbar mengenai kegiatan ‘orang dalam’ bahagian Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia yang melakukan pecah amanah membuat dan menjual mykad palsu kepada warganegara asing, namun kini lebih mudah mengenal pasti sama ada mykad tersebut palsu atau tidak.



                                                                              Bersambung... sila klik Orang Malaya Di Sabah #3 

14 ulasan:

  1. uitt. cik misstreee.. misteri lah sangat.. ahaha

    BalasPadam
  2. kegiatan 'orang dalam' tu lagi misteri.. huhu

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sangat setuju tentang kegiatan misteri peranan 'orang dalam'.

      Padam
  3. Terima kasih berkungjung di http://cik-misstree-macam2-ada.blogspot.com/

    BalasPadam
  4. Sal tanah ni, dgr2 org smnjung tx boleh beli tnah d sabah.. klu tanah geran jenis N.T, org smnjung tx layak beli... tntg apa ar???? komen skit cik misstree

    BalasPadam
    Balasan
    1. Jika status tanah itu Native Title (N.T.), usahkan orang Semenanjung tak boleh beli tanah tu, orang Cina dan India yg dikatakan asal Sabah pun tak boleh beli tanah tu. Isu utama: Adakah org Cina dan India asal Sabah? Bukan mereka masing-masing asal keturunan dari Negara China dan Negara India ke? Pemilikan tanah berstatus N.T. bergantung dengan taraf peribumi seseorang. Suku kaum yang berasal dari Indonesia dan Filipina seperti Bugis, Jawa dll tetapi mendapat taraf kewarganegaraan tidak layak memiliki tanah berstatus N.T.

      Situasi yang sama jika dilihat dalam hal kedudukan Tanah Rizab Melayu di Semenanjung Tanah Melayu hanya boleh dibeli dan dimiliki oleh bangsa Melayu. Seperkara yg membezakan dengan kes negeri Sabah ialah, bangsa Melayu ditakrifkan dalam konteks Malaysia berteraskan konsep rumpun bangsa Melayu yang berintikan Melayu jati yang berasal dari Semenanjung Tanah Melayu dan ditambah suku-suku pendatang dari tempat lain yang disebut Melayu Anak Dagang seperti suku Bugis, Jawa, Aceh, Minangkabau, Banjar, Mandailing, Bawean, Riau, Brunei, Champa dan lain-lain yang ada di Malaysia diklasifikasikan sebagai bangsa Melayu. Oleh itu, di samping Melayu jati berasal dari Semenanjung Tanah Melayu, suku-suku Melayu Anak Dagang yang telah berhijrah, menetap di Semenjung Tanah Melayu dan mendapat taraf warganegara boleh membeli dan memiliki status Tanah Rezab Melayu. Walau bagaimanapun, hal ini bergantung kepada takrifan 'Melayu' di setiap negeri di Semenanjung Tanah Melayu sama ada mereka boleh memiliki Tanah Rezab Melayu di negeri berkenaan. Cth: bangsa Arab yang berhijrah di Johor malah telah terasimilasi dengan masyarakat tempatan tidak diterima sebagai 'Melayu' oleh Kerajaan Negeri Johor. Berbeza pula di Kedah, bangsa Arab yang berhijrah di Kedah malah telah terasimilasi dengan masyarakat tempatan, Kerajaan Negeri Kedah menerima golongan ini sebagai 'Melayu'.

      Padam
  5. saya suka penerangan ini.banyak sebenarnya yang kite kurang faham antara negeri sabah sarawak dan juga semenanjung..tq atas info ini..harap pihak berwajib dapat buat kerja dengan lebih telus tentang pengeluaran MYKAD

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sama-sama. Ya, saya setuju fasal pengeluaran mykad perlu lebih telus :)

      Padam
  6. Kalau orang sabah boleh tak beli tanah rizab melayu...

    BalasPadam
  7. so orang sabah keturunan bugis yang lahir disabah di anggap rakyat sabah atau tidak? sbb ada seorang pekerja kerajaan keturunan bugis sabah boleh bekerja kerajaan? saya kurang faham

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kalau lahir di Sabah ada IC biru taraf warganegara Malaysia dan alamat tetap di Sabah, kedua-dua ibu bapa atau salah seorang ibu bapa taraf warganegara Malaysia atau penduduk tetap dikira sebagai orang Sabahlah tu cuma tidak diiktiraf sebagai bumiputera Sabah.

      Padam
    2. Kalau ada tanda H dalam mykad tu kira bumiputera sabah kah?

      Padam