Jika ditelaah kitab-kitab ulama sama ada yang dikategorikan sebagai kitab kuning atau kitab putih, apabila membicarakan adab menuntut ilmu, kebanyakan ulama menjelaskan adab-adab pelajar terhadap guru. Amat jarang sekali ulama yang membicarakan adab guru terhadap pelajar kerana perkembangan ilmu pada ketika itu, masyarakat Islam mempelajari ilmu menurut perspektif Islam. Islam tidak memisahkan ilmu dari nilai spiritual; semua bidang ilmu mesti dikaitkan dengan kebesaran dan keagungan Allah s.w.t. Contohnya, disiplin ekonomi menurut perspektif Islam turut disertai dengan ilmu akhlak dan adab. Oleh itu, seseorang guru atau pensyarah Muslim secara automatik menguasai ilmu akhlak dan adab tanpa mengira bidang yang dikuasainya.
Namun, kini kebanyakan masyarakat Islam mempelajari ilmu yang terpisah dari nilai spiritual sesuai dengan perkembangan ilmu yang dipelopori oleh Barat. Jika seseorang pelajar mempelajari ilmu sains sosial, ilmu yang dipelajari adalah kosong tanpa nilai spiritual, akhlak dan adab. Ainon Mohd (2006) menyatakan:
... perlu diingat di sini, pakar-pakar ... Barat yang teori-teorinya dimasukkan ke dalam buku-buku teks universiti, membuang Tuhan dalam teori-teori mereka. Memang, dalam falsafah sains Barat, kepercayaan dalam mana-mana agama tidak dianggap termasuk bidang sains. Sebarang bidang ilmu yang menyentuh agama dan Tuhan dimasukkan ke dalam bidang teologi, falsafah ataupun moral.
Senario ini menyebabkan wujud para guru atau pensyarah Muslim di universiti dan kolej dari bidang sains sosial Barat meletakkan agama di luar bidang pengajian mereka. Implikasinya ramai guru atau pensyarah Muslim memiliki ilmu sains sosial Barat yang tinggi namun 'miskin' adab dan akhlak. Dalam isu ini, golongan guru di sekolah kurang mengalami kemiskinan adab dan akhlak jika dibandingkan dengan para pensyarah kerana guru-guru pada peringkat sekolah diberi kursus terlebih dahulu dari aspek pedagogi yang turut menekankan kepentingan sikap dan sahsiah diri. Hal ini berbeza dengan para pensyarah universiti dan kolej yang tidak berlatarbelakangkan keperibadian seorang guru. Kisah benar yang pernah berlaku apabila seorang pensyarah yang menjawat pengerusi di sebuah pusat pengajian menyatakan kepada seorang pelajar PhD "Kenapa? Pelajar perlu dilayan dengan baik?” apabila pelajar tersebut membuat aduan mengenai penyarah@penyelia tesis PhD yang bertindak memalukan/mengaibkan dirinya di khalayak ramai.
Aku teringat di antara kenyataan Prof. HAMKA dalam Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor iaitu:
Aku teringat di antara kenyataan Prof. HAMKA dalam Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor iaitu:
Kedudukan guru sama dengan kedudukan ibu bapa wajib dihormati dan dimuliakan. Tetapi kalau guru itu silap jalannya, maka sebagai tanda kami hormat ialah kami tegur, dan jika dibawanya dengan sengaja atau tidak dengan sengaja kepada yang salah, kami tidak akan menurut.
Senario yang sungguh berbeza dengan Imam Bukhari yang sangat memelihara adab dan akhlak. Walaupun beliau seorang guru dan imam yang hebat namun beliau tidak sanggup menegur atau memarahi pelajar (mengasah pensel dan membiarkan habuk pensel di atas lantai ketika di dalam kelas pengajaran hadis) di depan khalayak ramai untuk mengelakkan perbuatan mengaibkan saudara Muslimnya sendiri. Sabda Rasulullah s.a.w.:
Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan Dia akan mendedahkannya, meskipun ia berada dalam rumahnya sendiri” (Hadis Riwayat Abu Daud).Oleh itu, adab guru atau pensyarah Muslim terhadap pelajar adalah seperti adab seorang Muslim dengan seorang individu yang lain. Jika pelajar tersebut merupakan seorang Muslim maka kedudukannya adalah adab guru atau pensyarah Muslim terhadap pelajar tersebut adalah seperti adab seorang Muslim dengan seorang individu Muslim yang lain.
Secara peribadi, aku telah belajar di universiti tempatan selama 12 tahun dari peringkat sarjana muda, sarjana sehingga PhD lebih mengenang dan mengingati guru-guru yang pernah mengajarku di sekolah berbanding para pensyarah yang pernah mengajarku di universiti. Aku tidak mahu bersikap seperti para pensyarahku di universiti. Aku berazam untuk memiliki akhlak yang mulia dan adab yang baik agar aku melayan dan mengajar para pelajarku di universiti dengan cara baik. Sesungguhnya setiap amalan itu akan dihitung. Firman Allah swt:
Barangsiapa mengerjakan kebaikan sebesar dzarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar dzarrah pun nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula (Surah Az-Zalzalah: 7-8).
Bersambung dalam entri Adab Guru Terhadap Pelajar #2.