Khamis, 22 Mei 2014

Jom Wakaf Al-Quran & Terjemahan!

Sumber: Facebook

Semua muslimin dan muslimat dijemput menyertai Projek Wakaf Al-Quran & Terjemahan yang dianjurkan oleh Popular Book (M) Sdn. Bhd. sempena promosi Ramadhan@Popular 1435H/2014M bermula 1 Mei - 6 Julai 2014. Kepada sesiapa yang berminat boleh membuat pembelian Al-Quran & Terjemahan dan menyerahkannya kepada kaunter pembayaran di mana-mana cawangan kedai Popular Book (M) Sdn. Bhd. untuk diwakafkan kepada badan kebajikan yang terpilih.

Selain itu, para pelanggan boleh menikmati rebat 10% buku yang diiklankan dan 10% daripada hasil jualan tersebut akan didermakan kepada badan kebajikan yang terpilih. Setiap pembelian yang bernilai RM30 ke atas, para pelanggan akan menerima satu naskah percuma Surah Yaasin dan Tahlil sementara stok masih ada.

Isnin, 19 Mei 2014

Segmen Geng Blogwalkers

Ini kali ketiga aku masuk segmen yang dianjurkan oleh blogger. Aku terbaca segmen ini dalam blog Pha Is. Segmen ini dianjurkan oleh blogger Nurfaezah Abdullah. Kepada sesiapa yang hendak menyertai segmen ini, sila klik di sini

Sebelum itu, aku hendak menjelaskan bahawa aku pernah bekerja di Wilayah Persekutuan Labuan, Malaysia. Oleh itu, aku faham sedikit bahasa Melayu Brunei memandangkan ramai orang Melayu Brunei menetap di Wilayah Persekutuan Labuan. Dari Wilayah Persekutuan Labuan hendak pergi ke negara Brunei Darusslam, anda boleh menaiki feri, speed boat atau kapal terbang. Hanya mengambil masa 30 minit perjalanan menaiki feri dari Wilayah Persekutuan Labuan ke negara Brunei Darusslam malah menaiki feri dari Wilayah Persekutuan Labuan ke Kota Kinabalu, Sabah mengambil masa selama 2 jam. Hal ini menunjukkan kedudukan Wilayah Persekutuan Labuan lebih hampir dengan negara Brunei Darussalam berbanding dengan ibu negeri Sabah, Malaysia. Selain itu, anda boleh juga memandu kereta ke negara Brunei Darussalam melalui Miri, Sarawak. 


Semasa aku tinggal di Wilayah Persekutuan Labuan, aku tidak melanggan siaran televisyen swasta berbayar. Aku hanya menonton siaran televisyen tidak berbayar yang boleh diperolehi di Wilayah Persekutuan Labuan iaitu siaran TV2 RTM (Radio Televisyen Malaysia) dan NTV7 (Natseven TV Sdn. Bhd.); selain dari TV2 dan NTV7, Wilayah Persekutuan Labuan tidak menerima siaran-siaran televisyen lain yang ada di Malaysia. Kedudukan Wilayah Persekutuan Labuan yang hampir dengan negara Brunei Darussalam membolehkan aku menerima siaran televisyen tidak berbayar dari negara Brunei Darussalam. Selain itu, penduduk di Wilayah Persekutuan Labuan juga boleh menerima siaran radio yang ke udara di negara Brunei Darussalam. Ini merupakan salah satu cara aku belajar memahami bahasa Melayu Brunei.

Berbalik kepada Segmen Geng Blogwalkers, blogger Nurfaezah Abdullah mensyaratkan agar para peserta segmen ini menterjemahkan ayat dalam bahasa Melayu Brunei iatu "inda ku merati kurapak Brunei" kepada bahasa Melayu standard. Tanpa aku perlu merujuk kepada kamus, ayat "inda ku merati kurapak Brunei" bermaksud "Aku tidak mengerti cakap Brunei".

Selasa, 13 Mei 2014

Abu Hurairah r.a.: Peranti Penyimpanan Hadis

Abu Hurairah r.a. telah memeluk agama Islam pada tahun 7H dan beliau sempat bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w. selama empat tahun kerana baginda wafat pada 11H. Beliau merupakan di antara sahabat Rasulullah s.a.w. yang banyak menghafaz hadis. Keupayaan beliau pada era kini diibaratkan sebagai peranti penyimpanan data yang dapat merakam banyak hadis.

Para sahabat amat kagum dengan kemampuannya menghafaz banyak hadis dalam masa yang singkat. Abu Hurairah r.a. berkata:
Sebenarnya para sahabatku daripada golongan Muhajirin sibuk dengan perniagaan manakala sahabatku daripada golongan Ansar pula sibuk bertani, tetapi aku sering bersama Rasulullah s.a.w. sehingga tidak kisah untuk mencari nafkah hidupku. Aku redha dengan sedikit makanan yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. Aku bersama dengan baginda s.a.w. ketika tiada sesiapa yang bersama dengan Rasulullah s.a.w. Aku pernah mengadu kepada Rasulullah s.a.w. mengenai daya ingatanku yang lemah. Baginda s.a.w. bersabda, "Bentangkanlah selepangmu." Baginda s.a.w. pun melukiskan sesuatu di atas kain tersebut lalu bersabda, "Selimutkanlah selepang ini di badanmu." Aku pun menyelimutkannya. Sejak itu, aku tidak pernah lagi lupa terhadap apa yang aku hafal. 
Pernah suatu ketika, Abu Hurairah r.a. meriwayatkan hadis yang bermaksud, "Seorang yang menyertai jenazah akan mendapat satu ganjaran tetapi jika terus tinggal di situ sehingga pengkebumiannya, dia akan memperoleh dua ganjaran. Satu ganjaran terlebih besar dari Bukit Uhud."

Abdullah b. Umar r.a. meragui kesahihannya lalu menegur, "Wahai Abu Hurairah! Berfikirlah dahulu sebelum bercakap." Apabila mendengar teguran itu, Abu Hurairah r.a. tersinggung lalu membawa Abdullah b. Umar menemui Aisyah r.a. Abu Hurairah r.a. bertanya kepada Aisyah r.a., "Wahai Ummul Mukminin! Aku memintamu berkata dengan nama Allah sama ada kamu telah mendengar daripada Rasulullah s.a.w. hadis mengenai ganjaran?" Aisyah menjawab, "Ya, aku ada mendengar hadis ini."

Abdullah b. Umar berkata, "Tidak diragui lagi, antara kami semua, kamulah yang sering bersama-sama baginda dan paling tahu mengenai Rasulullah s.a.w."

Jawab Abu Hurairah r.a., "Segala kejayaan ini adalah kerana aku beristighfar sebanyak 12,000 kali setiap hari dan aku mempunyai seutas tali yang ada 1000 simpulan. Aku tidak masuk tidur sehingga dibacakan 'Subhanallah' pada setiap simpulan tersebut." 

Wallahu'alam.

Ahad, 11 Mei 2014

Mangsa Tag Abe Akie Dalam Segmen The Liebster Award

Hari ini aku melawat blog aku, tiba-tiba aku dapat komen/pesanan daripada Abe Kie bahawa aku telah menjadi mangsa tag dalam segmen The Liebster Award. 

Terima kasih kepada Abe Kie kerana menjemput saya menyertai segmen ini. Tidak ada apa yang perlu dimaafkan, saya menerimanya dengan senang hati. Di bawah ini, jawapan saya untuk soalan-soalan maut Abe Kie:

1. Siapakah date pertama anda dan di manakah anda berdating dengannya?
  • Kekasih saya yang tercinta Allah s.w.t. dan saya berdating rapat dengan-Nya semasa solat. Setakat ini, saya belum ada atau tidak pernah ada kekasih kategori manusia (lelaki) dan tidak pernah berdating dengan sesiapa.

2. Nyatakan tiga saat terindah di dalam hidup anda.

Tiga saat terindah dalam hidup saya ialah:
  • Allah s.w.t. menyelamatkan saya dari perbuatan aniaya mantan penyelia PhD saya yang mahu saya gagal dalam peperiksaan viva PhD. Allah s.w.t. Maha Mendengar doa saya sebagai orang yang dianiaya. Saya orang pertama (lulus) viva PhD dalam tempoh lima minit tanpa pembentangan hasil kajian PhD saya.
  • Hari konvokesyen PhD saya di Universiti Kebangsaan Malaysia.
  • Saya orang pertama yang berjaya memperolehi gred 'A' bagi tesis Master semenjak JSP, Fakulti Sains Kemanusiaan dan Kemasyarakatan, Universiti Kebangsaan Malaysia  menawarkan pengajian pada peringkat Master. 

3. Apakah kereta/motosikal pertama yang anda miliki?
  • Kereta pertama saya ialah Kancil 850EX.

4. Apakah menu masakan yang pertama sekali anda belajar daripada ibu tersayang?
  • Menu masakan yang pertama sekali saya belajar daripada ibu saya dan saya yakin saya boleh memasaknya sendiri ialah 'masak air'. 

5. Sekiranya anda mengalami tekanan, apakah yang anda lakukan?
  • Saya pergi ke masjid.

6. Di manakah anda mendapat pendidikan tinggi?
  • Alma Mater yang dikasihi iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia.

7. Destinasi pelancongan yang paling jauh pernah anda pergi?
  • Jarak destinasi pelancongan yang paling jauh diukur dari alamat tetap saya sekarang (Sungai Petani, Kedah) iaitu di Ranau, Sabah.

8. Apakah tujuan anda menulis blog?
  • Blog Saya, Ladang Pahala Saya. Saya menulis blog ini kerana Allah s.w.t. Harapan saya agar blog ini memberikan manfaat kepada sesiapa yang berkunjung di sini. Moga Allah s.w.t. mengambil kira apa yang saya tulis di blog ini sebagai pahala (saham akhirat) yang tidak putus buat diri saya.
  • Facebook bukanlah medium terbaik untuk meluahkan rasa hati.

9. Sekiranya kawan baik anda sendiri menikam anda dari belakang, apakah tindakan anda?
  • Jika kawan baik saya menikam saya dari belakang, saya rasa sedih, marah, kecil hati dan diam senyap. Moga Allah s.w.t. memberi taufik dan hidayah kepadanya.

10. Siapakah individu yang telah mengubah hidup anda?
  • Saya yakin setiap perkara yang berlaku atas kehendak Allah s.w.t. Pergantungan yang hakiki hanya kepada Allah s.w.t. Dalam al-Quran, surah at-Taubah ayat 29 yang bermaksud, "Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakal".

11. Sekiaranya anda tidak melakukan pekerjaan yang anda buat sekarang, apakah pekerjaan yang bakal anda ceburi?
  • Kontraktor syarikat pembinaan. Setelah saya tamat pengajian pada peringkat sarjana muda, kawan bapa saya mahu memberikan lesen kontraktor kelas 'A' kepada bapa saya. Pada ketika itu, bapa saya mahu saya bekerja sebagai kontraktor yang mempunyai syarikat pembinaan sendiri.

Selasa, 6 Mei 2014

Adab Guru Terhadap Pelajar #2

Entri ini sambungan dari entri Adab Guru Terhadap Pelajar #1. Kiyai Haji Muhammad Hasyim Asy'ari (1871-1947) merupakan pengasas Nahdlatul Ulama Indonesia dalam bukunya yang bertajuk Faktor Adab Dalam Meraih Berkat Ilmu telah menggariskan panduan adab guru terhadap pelajar. Aku fikir garis panduan adab ini boleh dituruti oleh para pensyarah yang mengajar di universiti termasuk hal penyeliaan tesis para pelajar sarjana muda, Master dan PhD. Garis panduan adab guru terhadap pelajar adalah seperti berikut:
  1. Membangunkan niat dan tujuan yang luhur iaitu mencari redha Allah, mengamalkan ilmu pengetahuan, menghidupkan syariat Islam, menjelaskan yang hak dan batil, menumbuhkan kesejahteraan kehidupan (sumber daya) dan demi meraih pahala dan berkat ilmu pengetahuan.
  2. Guru hendaklah bersabar dan terus bersemangat memberi pendidikan apabila berhadapan dengan para pelajar yang tidak serius serta memiliki niat yang kurang tulus dalam pengajian.
  3. Mencintai dan mengasihi para pelajar sebagaimana guru itu mencintai dirinya sendiri, berusaha melayan keperluan mereka, serta melayan mereka dengan baik seperti ia melayan anak-anaknya sendiri.
  4. Mendidik dan memberi pelajaran kepada mereka dengan pelajaran yang mudah difahami sesuai dengan kemampuan mereka.
  5. Bersungguh-sungguh dalam memberi pelajaran dan kefahaman kepada para pelajar.
  6. Memastikan pelajar menggunakan sebahagian masa mereka untuk mengulangkaji pelajaran yang telah disampaikan. Seorang guru itu hendaklah menyediakan latihan dan ujian untuk para pelajarnya demi mengetahui tingkat kefahaman mereka.
  7. Sekiranya ada di antara para pelajar yang tinggal di tempat yang jauh dari sekolah/madrasah memerlukan tempoh yang lama dan stamina yang tinggi maka seorang guru hendaklah maklum situasi pelajar itu mungkin berasa letih atau sering lambat menghadiri sesuatu pengajian.
  8. Tidak memberikan perhatian khusus kepada seseorang pelajar di hadapan para pelajar yang lain.
  9. Meratakan perasaan kasih sayang dan perhatian kepada para pelajar iaitu berusaha sebaik mungkin mengenal keperibadian dan latar belakang hidup para pelajar serta berdoa untuk kebaikan mereka.
  10. Memberikan contoh tauladan kepada para pelajar mengenai cara bergaul yang baik seperti mengucap salam, berbicara dengan baik dan sopan, saling berkasih sayang, tolong menolong dalam kebaikan dan ketakwaan kepada Allah agar para pelajar memahami kepentingan menjaga hubungan sesama manusia dan hubungan dengan Allah.
  11. Sekiranya guru yang berkemampuan hendaklah membantu meringankan masalah pelajar dalam hal kebendaan, pekerjaan dan sebagainya.
  12. Apabila ada di antara pelajar yang tidak hadir dan hal itu merupakan di luar kebiasaannya maka seorang guru hendaklah bertanya hal pelajar itu dengan pelajar-pelajar yang lain.
  13. Meskipun sebagai guru, ia berhak dihormati oleh para pelajarnya namun ia hendaklah tetap tawaduk terhadap mereka. 
  14. Melayan para pelajar dengan baik, memanggil mereka dengan nama dan sebutan yang baik, menjawab salam mereka dengan ramah, menyambut kedatangan mereka, bertanya khabar keadaan mereka dan sebagainya.

Isnin, 5 Mei 2014

Masa Depan Masa Kita!

Entri ini turut diberi label 'politik' walaupun ia adalah sinopsis buku yang merupakan himpunan tulisan Yang Berhormat Nurul Izzah Anwar merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai yang diterbitkan dalam akhbar Sinar Harian. Aku menulis entri ini dari sudut pandangan academician.





Tajuk: Masa Depan Masa Kita!
Penulis: Nurul Izzah Anwar
Tahun Terbit: 2014
Penerbit: Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd.









Aku masih ingat isu pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1998 rentetan dari krisis kewangan yang melanda negara-negara di Asia Tenggara. UMNO lebih selesa mengaitkan pemecatannya dengan jenayah liwat seks di luar tabi'i berbanding kesalahan jenayah "liwat politik". Krisis Kewangan 1998 merupakan tajuk tesis aku yang dikemukakan untuk memenuhi sebahagian daripada syarat memperolehi ijazah sarjana muda di Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1999. Aku tidak lupa selepas pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim, peristiwa Nurul Izzah anak perempuan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu berusia 18 tahun berusaha menemui pemimpin utama negara-negara jiran Malaysia seperti Presiden Filipina, Joseph Ejercito Estrada untuk membantu ayahnya. Krisis kewangan yang akhirnya mencetuskan krisis politik. 

Buku ini suara anak muda yang membangkang Kerajaan Malaysia pimpinan Barisan Nasional yang mengandungi fakta tetapi bernada sinis, berusaha mereformasikan politik dan ekonomi Malaysia. Namun, seperkara yang tidak wajar dinafikan ialah transformasi yang dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia adalah idea-idea yang diutarakan oleh pembangkang:
Transformasi yang dijanjikan Perdana Menteri malangnya bukan inisiatif yang baru, tetapi meniru daripada Buku Jingga seperti Dasar Gaji Minimum dan BR1M (muka surat 104).
Aku suka artikel dalam buku ini yang bertajuk "Pesanan Doktor: Mestikah Dipatuhi" yang diakhiri dengan pertanyaan 'Sekarang apa pula kata doktor yang ada di dalam rumah kaca?'; sindiran sinis buat Doctor in The House

Pelbagai kritikan terhadap ekonomi dan politik Malaysia yang berupaya membuka mata rakyat bahawa apa sebenarnya yang dilakukan oleh pemimpin yang telah diberikan mandat mewakili rakyat untuk memerintah Malaysia. Contohnya penjualan stesyen minyak Esso kepada syarikat arak San Miguel dari Filipina yang kini diberi nama Petron. Selain itu, isu jutawan ciptaan kerajaan melalui dasar-dasar kerajaan iaitu:
Dalam diam, berapa jumlah jutawan dicatat di Malaysia, yang kini mencecah 39,000 - antara yang tertinggi di Asia Tenggara sedangkan negara berhadapan dengan hutang beratus billion, bagaimana negara mencipta jutawan sedangkan berjuta-juta rakyat sengsara memikirkan setiap hari mencari sesuap nasi (muka surat 150).
Siapa menjangkakan rakyat Malaysia menangung kenaikan harga barang berpunca tindakan kerajaan? Hal ini dinyatakan dalam muka surat 76 iaitu:
..., bagaimana harga barang naik disebabkan keputusan parti pemerintah menarik balik subsidi minyak kepada industri pengangkutan yang merupakan penyebab utama kenaikan harga barang.
Politik Malaysia dalam rangka demokrasi memerlukan pembangkang yang berkualiti dan berperanan sebagai pemerhati serta pengimbang (check and balance) dalam setiap tindakan kerajaan; pembangkang yang mencetuskan pembaharuan dalam konteks protes itu patriotik.

Khamis, 1 Mei 2014

Bukti Sains & Sejarah Kerasulan Muhammad s.a.w. dan Fatwa Untuk Wanita

Terlebih dahulu, aku mengucapkan selamat menyambut bulan Rejab 1435H kepada semua muslim di mana sahaja anda semua berada dan selamat Hari Pekerja khususnya kepada semua rakyat Malaysia yang bekerja.

Entri kali ini aku hendak membincangkan mengenai buku Bukti-Bukti Sains & Sejarah Kerasulan Muhammad s.a.w.






Tajuk: Bukti-Bukti Sains & Sejarah Kerasulan Muhammad
Penulis: Dr. Danial Zainal Abidin
Tahun Terbit: 2011
Penerbit: PTS Millennia Sdn. Bhd.








Seperkara yang menarik mengenai buku ini ialah Dr. Danial mengetengahkan bukti-bukti kerasulan Muhammad s.a.w. yang terkandung dalam kitab utama yang terdapat dalam agama Kristian, Hindu dan Budha. Dalam hal ini, aku memberi tumpuan kepada perbincangan Dr. Danial terhadap Bible yang merupakan kitab bagi agama Kristian. Dalam hal ini, Dr. Danial membincangan bukti-bukti kerasulan Muhammad s.a.w. yang terkandung dalam Bible dengan merujuk pelbagai sumber iaitu The English Version of The Authorised Version of The Bible, The Revised Version of The Bible, King James Bible Version dan Gospel St. John. Pada pandangan aku sebagai pembaca, untuk memahami isi kandungan Bible yang membicakan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. perlu mendalami Bahasa Ibrani (Hebrew) dan akar Bahasa Inggeris khususnya Bahasa Latin dan Bahasa Greek. Bahasa Inggeris kuno dipengaruhi oleh bahasa Western-Germanic berasal dari Anglo-Frisian merupakan dialek yang dibawa ke Britain oleh penceroboh dari Jerman di samping Bahasa Inggeris turut menerima pengaruh daripada penceroboh dari Norman yang bertutur dialek bahasa Perancis. Bahasa Inggeris adalah sebahagian daripada gugusan bahasa-bahasa Indo-Eropah yang turut meliputi Bahasa Latin dan Bahasa Greek (Yunani kuno). Tanpa kefahaman yang mendalam terhadap Bahasa Ibrani (Hebrew) dan akar Bahasa Inggeris (Bahasa Latin dan Bahasa Greek, pasti situasinya hanya sekadar membaca Bible tanpa upaya mengeluarkan sebarang bukti kerasulan Muhammad s.a.w.

Namun begitu, terdapat fakta yang menyatakan status Ummu Haram sebagai emak saudara Nabi Muhammad s.a.w. yang terdapat dalam buku ini pada muka surat 115 iaitu:
Imam Muslim merekodkan daripada Anas bin Malik, pada suatu hari, Nabi Muhammad menziarahi rumah emak saudara beliau yang bernama Ummu Haram dan tidur di situ.
Dalam hal ini, Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dalam bukunya yang bertajuk Fatwa Untuk Wanita bab Hukum Berjabat Tangan antara Lelaki dan Wanita ada menjelaskan kedudukan Ummu Haram di sisi Rasulullah s.a.w.






Tajuk: Fatwa Untuk Wanita
Penulis: Dr. Yusuf Al-Qaradhawi
Penterjemah: Rasanah binti Misnan & Nurul Hatim binti Abdul Wahid
Tahun Terbit: 2014
Penerbit: PTS Islamika Sdn. Bhd.








Dr. Yusuf Al-Qaradhawi membincangkan kedudukan Ummu Haram di sisi Rasulullah s.a.w. dalam peristiwa Rasulullah s.a.w. qailulah  pada muka surat 94 iaitu:
... seperti yang dilaporkan dalam kitab As-Shahihaini dan kitab-kitab sunan yang lain, daripada Anas, "Nabi qailulah (tidur sekejap sebelum zohor) di rumah ibu saudara Anas yang bernama Ummu Haram binti Milhan dan isteri kepada Ubadah bin Samit.
Dalam hal ini, Dr. Yusuf Al-Qaradhawi mengemukakan pandangan Al-Hafiz Ad-Dimyati yang membantah dengan tegas pendapat Ibnu Abdil Barr yang menyangka Nabi Muhammad s.a.w. dan Ummu Haram mempunyai hubungan mahram iaitu:
Siapa yang menganggap Ummu Haram sebagai salah saorang daripada ibu saudara Nabi daripada ibu saudara susuan ataupun ibu saudara secara nasab (hubungan saudara dekat), dia adalah orang yang lalai dan lupa. Ini kerana, sudah diketahui bahawa, individu-individu yang menyusukan Rasulullah s.a.w. tidak ada seorang pun antara mereka yang berasal daripada wanita Ansar selain daripada Ummu Abdul Mutalib, iaitu Salma binti Amru bin Zaid bin Lubaid bin Khirasy bin Amir bin Ghanam bin Adi bin An-Najjar. Ummu Haram adalah binti Milhan bin Khalid bin Zaid bin Haram bin Jundub bin Amir. (muka surat 96).
Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menjelaskan pada muka surat 96 bahawa "Nasab Ummu Haram tidak bertemu dengan nasab Salma kecuali pada Amir bin Ghanam, datuk mereka daripada nasab sebelah atas." Hal ini menunjukkan status Ummu Haram ialah ibu saudara jauh kepada Rasulullah s.a.w. yang tidak disifatkan sebagai hubungan mahram.

Buku Fatwa Untuk Wanita bukan hanya sesuai dibaca oleh muslimat malah golongan lelaki wajar mendalami ilmu fiqh agar hubungan sosial di antara lelaki dan wanita terpelihara menurut syariat yang ditetapkan dalam Islam. Buku ini himpunan fatwa yang dikeluarkan oleh Dr. Yusuf Al-Qardhawi yang meliputi isu fitnah wanita dan hukum suara wanita, hukum lelaki melihat wanita dan wanita melihat lelaki, hukum memberi salam kepada wanita, pergaulan antara lelaki dan wanita, hukum wanita melawat pesakit lelaki dan lelaki melawat pesakit wanita, hukum berjabat tangan antara lelaki dan wanita serta hukum wanita bekerja. Allahu'alam.