Khamis, 19 Mei 2016

Orang Malaya Di Sabah #5: Surat Permit Masuk Tinggal Tetap Di Sabah

Entri ini sambungan dari entri Orang Malaya Di Sabah #3. Negeri Sabah termasuk Sarawak menyediakan peraturan khas buat para imigran dari Semenanjung Tanah Melayu untuk masuk dan tinggal tetap di Sabah/Sarawak. Seperti yang dinyatakan pada tajuk entri ini, aku mengkhususkan perbincangan imigran dari Semenanjung Tanah Melayu untuk masuk dan tinggal tetap di Sabah. Hakikatnya peraturan khas buat para imigran dari Semenanjung Tanah Melayu untuk masuk dan tinggal tetap di Sabah/Sarawak lebih kurang sama sahaja jika dilihat dari sudut teknikal.

Imigran dari Semenanjung Tanah Melayu yang berhasrat untuk masuk dan tinggal tetap di Sabah perlu memohon surat permit masuk tinggal tetap di Sabah. Surat ini bukan sahaja penting dari sudut legaliti tetapi turut mempunyai nilai dari aspek politik, ekonomi dan sosial.  

Bagi imigran dari Semenanjung Tanah Melayu yang berhasrat untuk tinggal tetap dan menjadi orang Sabah, surat permit masuk tinggal tetap di Sabah yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Negeri Sabah amat diperlukan sebagai bukti agar pihak Jabatan Pendaftaran Negara dapat menambah huruf ‘H’ pada penjuru bawah sebelah kanan kad pengenalan. Proses yang sama juga diperlukan oleh anak-anak orang Malaya yang lahir di Sabah jika mereka hendak diiktiraf sebagai orang Sabah. Keterangan lanjut sila klik entri Orang Malaya Di Sabah #1.

Dalam kes aku, walaupun bapa aku telah menguruskan dan memiliki sepucuk surat permit masuk tinggal tetap di Sabah yang mengandungi nama ibu bapa aku beserta nama aku namun surat tersebut tidak pernah digunakan semasa aku memohon kad pengenalan ketika berusia 12 tahun. Keterangan lanjut sila klik entri Orang Malaya Di Sabah #3. Bapa aku tidak pernah berhasrat menjadikan aku sebagai orang Sabah.  Aku tidak perlu surat permit masuk tinggal tetap di Sabah yang dimohon khas oleh diri aku ketika berusia 12 tahun untuk melayakkan Jabatan Pendaftaran Negara menambah huruf ‘H’ pada penjuru bawah sebelah kanan kad pengenalan aku.

Surat permit masuk tinggal tetap di Sabah hanya pernah digunakan sekali sahaja untuk mengukuhkan permohonan aku ketika memohon pekerjaan di sebuah badan berkanun cawangannya berada di Wilayah Persekutuan Labuan tetapi  induknya berada di Kota Kinabalu, Sabah. Surat permit masuk tinggal tetap di Sabah mengandungi nilai ekonomi kepada anak-anak orang Malaya yang lahir di Sabah.

Bagi orang Malaya atau anak-anak orang Malaya yang lahir di Sabah tetapi berhasrat masuk dan tinggal tetap malah sehingga membeli tanah di Sabah maka surat permit masuk tinggal tetap di Sabah mengandungi nilai sosial yang tersendiri. Anak jati Sabah tidak berhak mempertikaikan apabila orang Malaya membeli tanah di Sabah dengan syarat tanah tersebut tidak berstatus N.T. (Native Title). Orang Malaya yang memiliki surat permit masuk tinggal tetap di Sabah setaraf dengan anak jati Sabah dari sudut politik, ekonomi dan sosial.

Jika hendak dibandingkan di antara Sabah dan Sarawak, belum pernah orang Malaya di Sabah termasuk pelajar di institut pengajian tinggi awam (IPTA) mengalami atau terdengar cerita anggota keselamatan berunifom yang berasal dari Sabah menahan orang Malaya semata-mata bertanyakan adakah pasport antarabangsa/dokumen perjalanan terhad dibawa bersama ketika keluar dari kediaman untuk pergi ke bandar berdekatan. Berbeza di Sarawak, aku pernah terbaca dalam sebuah blog, komentar seorang pelajar UNIMAS (Universiti Malaysia Sarawak) yang pernah ditahan oleh anggota keselamatan berunifom yang berasal dari Sarawak bertanyakan adakah pasport antarabangsa/dokumen perjalanan terhad dibawa bersama ketika keluar dari kediaman untuk pergi ke bandar berdekatan Kota Samarahan. 

Aku tidak mahu komen yang berlebih-lebihan secara tersurat bagi kes imigran dari Malaya yang terjadi di Negeri Sarawak. Sebagai blogger, aku tahu batas diri aku dari melanggar Akta Hasutan 1948. Secara tersiratnya, adalah sukar UMNO melebarkan sayapnya masuk ke negeri Sarawak.


P/S: Kini ada orang Malaya yang berkhidmat, berkahwin dengan anak jati Sabah dan memilih untuk menetap di Sabah dengan cara menukar alamat tetap pada kad pengenalan ditukar di Jabatan Pendaftaran Negara dari alamat di Semenanjung Tanah Melayu kepada alamat di Sabah tanpa memohon dan memperolehi surat permit masuk tinggal tetap di Sabah. Walau bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian aku di lapangan terbang Negeri Sabah, golongan ini dikecualikan dari barisan kaunter imigresen khas untuk orang dari Malaya sebaliknya mereka hanya perlu berbaris di lorong khas untuk orang Sabah.