Ahad, 28 Julai 2019

Hanya Allah Saja Yang Berhak Menghukum

Baru-baru ni, aku tengok satu video artis Malaysia sambil dia menyediakan masakannya, dia menegur sesetengah netizen yang meninggalkan komentar dalam ruang komen video-videonya di youtube. Kata artis tersebut, “Hanya Allah saja yang berhak menghukum. Jangan ambil kerja Allah.” 

Aku tidak mahu membincangkan berkenaan komentar netizen tersebut. Bersesuian dengan tajuk entri ini, aku hendak membincangkan kenyataan “Hanya Allah saja yang berhak menghukum.” 

Sebelum aku melanjutkan perbincangan ini, aku juga pernah menerima peringatan tersebut daripada seseorang berikutan tindakan aku menyampaikan tazkirah yang pernah aku dengar dalam siaran radio. Sehingga satu tahap, individu tersebut menyatakan bahawa dia tidak mahu berubah. 

Aku tidak menafikan pihak yang menyampaikan tazkirah hendaklah menyampaikan secara berhikmah dan tidak boleh menghukum perbuatan seseorang individu. Perkara yang disampaikan mengandungi nas bersumberkan al-Quran, hadis, fatwa ijma’ para ulama. Contohnya, seseorang menyampaikan peringatan bahawa perbuatan meninggalkan solat secara sengaja adalah haram dan berdosa besar. Adakah wajar seseorang individu itu menjawab, “Hanya Allah saja yang berhak menghukum”? Dalam al-Quran, Allah berfirman dalam surah al-Asr ayat 1-3 yang bermaksud:
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.
Pada pandangan aku, kenyataan “Hanya Allah saja yang berhak menghukum” kedengaran negatif. Individu yang menyatakan ungkapan tersebut bersifat defensif dan "apologetic" atas perbuatan seseorang yang tidak melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah. Aku pernah terbaca seorang muslimah menulis kenyataan berbentuk defensif dalam blog miliknya, “I’m not judging anyone. I’m sinner myself.” 

Pada masa yang sama, orang yang mengungkapkan kenyataan “Hanya Allah saja yang berhak menghukum” juga mengandungi nada sombong kerana menolak apa yang disampaikan kepadanya. Ungkapan sedemikian dinyatakan oleh umat akhir zaman ini dan aku tidak pernah membaca atau mendengar kenyataan sedemikian dalam tazkirah bahawa para sahabat Rasulullah s.a.w., tabi'in atau golongan tabi tabi’in pernah mengungkapkan kenyataan tersebut.

Hidayah itu sudah diperolehi oleh seseorang apabila dia beragama Islam, beriman serta mempunyai pengetahuan mengenal Allah yang Maha Esa, tidak ada Tuhan yang layak sembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad s.a.w. adalah pesuruh Allah. Namun begitu, taufik itu adalah pertolongan Allah untuk mendorong dan membolehkan seseorang mengerjakan amal soleh. Allah memberikan taufik kepada mereka yang bersungguh-sungguh hendak mengabdikan diri dengan penuh rasa kehambaan untuk mendekatkan diri kepada-Nya. 


P/S: Pengajaran yang aku perolehi dari kisah ini ialah mahalnya nilai taufik daripada Allah.

Khamis, 11 Julai 2019

Billion Dollar Whale: Kisah Sebenar Jho Low dan Skandal 1MDB








Penulis: Tom Wright & Bradley Hope
Tajuk: Billion Dollar Whale: Kisah Sebenar Jho Low dan Skandal 1MDB (Edisi Bahasa Melayu)
Tahun Terbit: 2018
Penerbit: ZI Publications Sdn. Bhd.
Muka Surat: 428
Harga: RM70.00










Aku terasa berat hati hendak menulis ulasan buku ini. Skandal 1MDB agak rumit untuk dijelaskan dan sukar difahami oleh rakyat biasa yang tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai pasaran global. Skandal ini melibatkan jaringan sistem kapitalis antarabangsa bukan sahaja dengan dana pelaburan kerajaan asing iaitu Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu tetapi juga bank-bank perdagangan di pelbagai negara. Dengan kata lain, wang 1MDB bergerak ke seluruh dunia yang didukung oleh tonggak kapitalisme - peguam, banker pelaburan, juruaudit dan pakar penilai. Aku telah selesai membaca buku ini dalam bulan Ramadan 1440H. Aku kuatkan juga hati untuk menulis ulasan buku ini dan hubung kaitnya dengan politik Malaysia setakat entri ini ditulis.

Buku ini adalah edisi Bahasa Melayu yang diterjemahkan dari buku yang bertajuk Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World (2018). Ketika sedang membaca buku ini, ayat pertama yang menerpa dalam hati dan fikiran aku berkenaan skandal 1MDB ialah “sungguh memalukan”. Kisah skandal 1MDB dimulakan dengan latar belakang Jho Low dan usaha dia membina networking dengan rakan-rakan persekolahannya di Harrow, United Kingdom yang merupakan golongan elit dari pelbagai negara. Hal ini termasuklah Riza Aziz iaitu anak tiri kepada Mohd. Najib Tun Abdul Razak yang merupakan Perdana Menteri Malaysia yang ke-6. Riza Aziz adalah orang tengah yang telah merapatkan hubungan Jho Low dengan Mohd. Najib Tun Abdul Razak dan Rosmah Mansor.
Beberapa tahun sebelum itu, di Abu Dhabi, dia mendapat tahu bahawa dana kekayaan kerajaan seperti Mubadala mempunyai banyak wang, dan dia [Jho Low] bercita-cita untuk menguasai dana seperti itu. Dengan menggunakan dana di Abu Dhabi sebagai contoh, Low meyakinkan Najib bahawa Malaysia memerlukan dananya sendiri yang teguh untuk merebut peluang daripada pasaran global, dan bahawa dia, pemuda yang baru berusia dua puluh lapan tahun, orang yang layak menangani hal ini. (Halaman 100).
1MDB ditubuhkan berperanan sebagai sebuah syarikat dana pelaburan di Malaysia. Najib menjadi pengerusi lembaga penasihat 1MDB, mempunyai kuasa veto untuk membuat keputusan dan melantik ahli lembaga. Jho Low pula tidak mempunyai jawatan rasmi dalam 1MDB namun dia turut terlibat dalam mesyuarat dan setiap keputusan yang dibuat bagi pihak 1MDB. Jho Low tidak mahu timbul isu pematuhan dengan bank atau peguam sebaliknya mengawal dana 1MDB melalui proksi-proksinya. Kedudukan Jho Low dalam 1MDB:
… Najib memberi Low terlalu banyak kebebasan untuk bertindak sehingga lelaki itu mula merancang yang bukan-bukan. Konco-konconya yang menguruskan 1MDB dan mereka mendapat restu Perdana Menteri. (Halaman 100-101). 
 Semua orang tahu bahawa Jho Low yang membuat keputusan di dana itu, tetapi dia jarang ada di situ, … . (Halaman 133). 
Low bernasib baik kerana Najib bukan jenis orang yang banyak bertanya. Kerana sudah terbiasa dengan kemewahan sebagai ahli politik yang penting di Malaysia – yang sudah lali dengan limosin VIP, bilik hotel mewah, dan kapal pesiar, maka dia tidak banyak bertanya. (Halaman 87).
Rompakan pertama dana 1MDB yang disifatkan sebagai “urusniaga” melibatkan PetroSaudi International (Arab Saudi). Rompakan kedua pula melibatkan pihak International Petroleum Investment Company (Emiriah Arab Bersatu) manakala rompakan ketiga pula melibatkan pihak Aabar Investments Ltd (Emiriah Arab Bersatu). Dalam setiap “urusniaga” tersebut, Jho Low memperolehi “komisyen” yang turut disalurkan kepada ramai pihak. Jho Low memanfaatkan wang “komisyen” itu menggunakan kaedah money laundering (penyucian wang) dengan cara menyalurkan dana tersebut sebagai modal dalam sesebuah syarikat, pembelian saham syarikat, pelaburan dalam sektor hartanah, pembikinan filem, pembelian jet peribadi, barang kemas dan kapal pesiaran Equanimity serta karya seni (lukisan) yang mempunyai nilai yang tinggi. 
Apa yang dilakukan olehnya (Jho Low) ialah rancangan jahat abad ke-21, suatu usaha global yang sebenar yang tidak menghasilkan apa-apa – sekadar memindahkan wang daripada sebuah dana yang tidak diurus dengan baik di sebuah negara yang sedang membangun, dan menghantarkannya ke penjuru dunia yang kelam melalui sistem kewangan yang kurang kawalan dan boleh dikatakan haru-biru. (Halaman 109).

Perubahan Hala Tuju Matlamat Penubuhan 1MDB: Program Kebajikan Najib/UMNO dan Tangggungjawab Sosial Korporat 1MDB 

Matlamat penubuhan 1MDB sangat murni iaitu untuk membuat pelaburan dalam bidang pelancongan dan tenaga hijau serta memberikan peluang pekerjaan yang berkualiti kepada rakyat Malaysia. Namun begitu, salah seorang kakitangan 1MDB menyatakan:
Kami sangka kami dapat berbakti kepada negara dengan membantu dana kekayaan kerajaan pada peringkat awal penubuhannya. (Halaman 133).
Bekerja dengan sebuah dana kekayaan kerajaan yang besar adalah suatu penghormatan. Tetapi tidak lama selepas itu, ramai kakitangan yang baru bekerja ini mula berasa hampa. Rancangan perniagaan tenaga hijau tidak menjadi, dan jelaslah bahawa tidak seorang pun pengurusan kanan ada pengalaman untuk menguruskan dana pelaburan. (Halaman 133).
Hal ini telah menyebabkan berlaku perubahan hala tuju matlamat penubuhan 1MDB di mana dana 1MDB telah digunakan sebagai alat melaksanakan program kebajikan Najib/UMNO atas nama tanggungjawab sosial korporat 1MDB. Jelas Najib dalam akhbar Utusan Online apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan tuntutan sivil terhadap 41 individu/entiti termasuk syarikat peruncit tekstil, Jakel Trading Sdn. Bhd. yang dikatakan telah menerima bayaran dari sumber dana 1MDB untuk bekal peralatan kepada masjid:
“Saya memilih untuk menggunakannya bagi projek kebajikan rakyat secara terus, melalui NGO dan melalui parti politik yang menganjurkan program-program kebajikan mereka,” jelasnya. (http://www.utusan.com.my/berita/politik/1mdb-jakel-dibayar-untuk-bekal-peralatan-kepada-masjid-1.921859)
… Yang membimbangkan ramai orang, jelaslah bawah (bahawa?) tujuan utama dana ini ditubuhkan adalah untuk dijadikan lubuk emas untuk meningkatkan populariti Najib. Walaupun tidak ada aliran tunai yang tetap daripada operasi, 1MDB terus menyalurkan wang sebagai ‘tanggungjawab korporat’ untuk membantu pengundi menyokong UMNO. (Halaman 135).
Kami buat jenaka bahawa kebanyakan projek yang dinilai oleh kami ialah projek halimunan agar syarikat ini nampak mantap,” kata seorang kakitangan 1MDB. (Halaman 135).
Dari awal lagi, Najib beria-ia mahu disukai oleh rakyat. Seperti yang ahli-ahli politik Malaysia yang dulu-dulu, dia anggap wang, dan bukan gagasan, yang boleh meraih pengundi, lalu dia pun memerah 1MDB untuk mendapatkan dana. (Halaman 135-136).
“Jika tuan-tuan tolong saya, saya akan tolong tuan-tuan,” janji Najib dalam suatu ceramah sebelum penduduk tempatan turun mengundi. Beginilah gambaran politik di Malaysia. (Halaman 136).

Adakah Najib Bersalah?

Dalam buku ini, rompakan pertama dan kedua, tidak dinyatakan dengan jelas hubungan kes kleptokrasi (Najib) dengan dana 1MDB. Wright & Hope mendedahkan kaitan Najib dengan kes kleptorkrasi dalam rompakan ketiga wang 1MDB. 
… Najib membangkitkan peranan Goldman yang telah menjual bon untuk 1MDB pada tahun 2012 dan bertanya sama ada bank itu sanggup berbuat begitu sekali lagi menyalurkan wang ke dana itu secepat mungkin dan dalam diam-diam (rahsia) seperti yang pernah dilakukan sebelum ini. (Halaman 252).
Perdana Menteri itu berkata 1MDB mahu mendapatkan wang sebanyak $3 billion. Jumlah yang sebesar itu akan memberikan keuntungan yang lumayan kepada Goldman. (Halaman 252).
Untuk menjelaskan mengapa wang itu perlu disegerakan, Najib berkata dia mendapat tawaran untuk berkongsi niaga dengan Aabar, dana Abu Dhabi, untuk membina sebuah pusat kewangan di Kuala Lumpur, yang akan diberi nama Tun Razak Exchange sempena nama bapanya. Tujuannnya adalah untuk menjadikan Kuala Lumpur salah satu pusat perbankan utama di rantau Asia. Dana Abu Dhabi sanggup menyalurkan $3 billion, tambah Perdana Menteri itu lagi. (Halaman 252).
Goldman sudah biasa melakukan transaksi seperti ini, dan pada 19 Mac, meja PFI di Hong Kong seperti mana dengan kedua-dua penerbitan sebelum ini, membeli kesemua bon berjumlah $3 billion itu. Kali ini, Najib yang juga merangkap Menteri Kewangan, mendatangani sepucuk surat bagi menyokong bon tersebut, yang bermakna Kerajaan Malaysia berjanji akan membayar hutang sekiranya berlaku mungkir. (Halaman 353).
Dalam hal ini, Jho Low memainkan peranan di belakang tabir. Jho Low telah membuka akaun AmBank untuk Najib pada tahun 2011 dengan bantuan Cheah Tek Kuang, Ketua Eksekutif bank itu. Dalam bulan Mac 2013, Jho Low telah menghantar mesej menerusi telefon bimbit blackberry miliknya kepada Joanna Yu, pekerja AmBank di Kuala Lumpur bahawa ‘681 American pies’ akan tiba dari seberang laut ke dalam akaun yang dikenali sebegai ‘AMPRIVATE BANGKING – MR’. Akaun bank tersebut dimiliki atas nama Najib yang merupakan akaun rahsia yang hanya diketahui oleh Jho Low dan beberapa eksekutif kanan AmBank. Jho Low mengarahkan Joanna Yu memberitahu rakan sekerjanya bahawa Perdana Menteri tidak mahu nama, alamat, atau nombor kad pengenalannya muncul dalam semua transaksi.
“Akses kepada akaun hendaklah terhad dan (sukar?) dikesan supaya jika seseorang ambil gambar dan akses akaun, kita boleh tahu,” tulis Low. (Halaman 254).
Pada tahun berikutnya, Low menghantar $170 juta daripada bon loji tenaga yang diuruskan oleh Goldman ke dalam akaun Najib. Untuk mengelakkan sebarang pertanyaan, Cheah dan Low memastikan akaun tersebut ditandai sebagai yang diguna untuk pemindahan dalaman bank, yang bererti ia tidak boleh dilihat oleh kakitangan pematuhan. … Joanna Yu, eksekutif peringkat pertengahan di AmBank, dipertanggungjawab menerima arahan daripada Low tentang kemasukan dan pengeluaran cek. Najib menggunakan kebanyakan wang yang dimasukkan itu untuk membayar kroni politik, serta membayar barang kemas dan membelanjakan sebanyak $56,000 di Signature Exotic Cars, penjual kereta mewah di Kuala Lumpur. (Halaman 255).
Berbekalkan wang yang dicuri daripada 1MDB, perdana menteri mempunyai senjata yang kuat untuk pilihan raya tahun 2013. Apabila hari pengundian semakin dekat, Low menguruskan akaun, menyalurkan beratus-ratus juta dolar kepada sekutu perdana menteri di seluruh negara. Dia menghantar berpuluh-puluh e-mel daripada Blakberrynya kepada Joanna Yu, mengarahkan perempuan itu mengeluarkan berkepuk-kepuk wang daripada akaun Najib kepada ahli-ahli parti politik yang memerintah. Berasa geram kerana terpaksa menyediakan beratus-ratus keping cek, Joanna menggelar Low ‘Fats’ tanpa diketahui oleh lelaki itu. Sesetengah wang itu disalurkan kepada ahli politik menerusi akaun peribadi Nazir Razak, adik Najib dan ketua eksekutif bank CIMB. Wang yang banyak itu memberikan kelebihan kepada Najib menentang parti pembangkang yang tidak ada kemudahan kewangan seperti itu. (Halaman 258).
Berdasarkan petikan di atas, tidak mengejutkan apabila Najib menyatakan dia tidak tahu mengenai kewujudan akaun bank tersebut malah tidak pernah menerima penyata akaun sebab yang membuka dan menguruskan akaun tersebut ialah Jho Low. Pengeluaran cek dari akaun tersebut pula dilakukan oleh kakitangan AmBank sendiri. Pengurus AmBank cawangan Raja Chulan, R Uma Devi pula mengakui terdapat perbezaan pada saiz dan tempat tanda tangan (Najib) diturunkan. Jika dibandingkan tanda tangan Najib dengan beberapa dokumen lain, jelas ia menunjukkan wujud perbezaan. (http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kes-src-pemegang-akaun-bertanggungjawab-terhadap-sebarang-transaksi-205960)

Adakah Najib bersalah? Kes Najib salah guna kuasa bergantung kepada bukti dengan syarat pihak pendakwa raya berjaya membuktikan wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun Najib atas arahan Najib sendiri. Dalam hal ini, jika pihak peguam bela pula tidak dapat mengemukakan bukti untuk mempertikaikan bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaraya, maka tamatlah kerjaya politik Najib. Kini, walaupun Najib telah meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional pada 12 Mei 2018 ekoran kekalahan Barisan Nasional dalam pilihanraya umum ke-14 namun bermula 9 Julai 2019, Najib telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional.


Mengapa Najib Perlu Diturunkan Dari Jawatan Perdana Menteri Malaysia?

Tun Dr. Mahathir pernah berbincang dan menasihati Najib agar meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia dan menyerahkan kepada timbalannya pada ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Namun, Najib menolak saranan Tun Dr. Mahathir. Dia menunggu sehingga berakhir setengah penggal pertama kerajaan yang diperintah oleh Barisan Nasional, dia menggantikan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Dato' Seri (Diraja) Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Najib juga menggantikan Menteri Besar Kedah pada ketika itu Dato' Seri Haji Mukhriz bin Tun Dr. Mahathir dengan Dato' Seri Ahmad Bashah bin Md Hanipah.

Rejim kleptokratik Najib telah mencetuskan rusuhan dalam kalangan rakyat Malaysia. Kumpulan yang dikenali sebagai Bersih telah melancarkan demontrasi besar-besaran pada tahun 2015 dan 2016. Pelbagai pihak meminta agar Najib meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia berikutan skandal 1MDB. Najib juga telah ditolak dari dalam UMNO.

Pada 29 Februari 2016, Tun Dr. Mahathir mengumumkan beliau dan isteri keluar dari UMNO. Hal ini diikuti oleh anaknya, Dato' Seri Haji Mukhriz. Tun Dr. Mahathir dan Dato' Seri Haji Mukhriz berserta beberapa orang rakannya bertindak menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan bekerjasama dengan Pakatan Rakyat yang kini dikenali sebagai Pakatan Harapan untuk menjatuhkan rejim kleptokratik Najib dalam pilihanraya umum ke-14. 

Kini, timbul desas-desus tindakan Tun Dr. Mahathir menubuhkan PPBM menjadi punca kepada perpecahan orang Melayu. Demi solidariti politik Melayu, UMNO telah bekerjasama dengan PAS atas nama Kesatuan Ummah atau kini dikenali sebagai Muafakat Nasional. Sebagai langkah persediaan menghadapi pilihanraya umum ke-15, Kesatuan Ummah/Muafakat Nasional telah mewujudkan pelbagai kumpulan dalam aplikasi whatsapp/telegram, menggunakan media sosial untuk membina persepsi politik mengenai kepentingan penyatuan dalam kalangan orang Melayu.

Adakah benar Tun Dr. Mahathir menjadi punca kepada perpecahan orang Melayu? Dalam hal ini, pada awalnya Tun Dr. Mahathir tidak berhasrat untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-7. Penubuhan PPBM hanya sebagai alat untuk Tun Dr. Mahathir kembali aktif berpolitik memainkan peranan untuk menjatuhkan rejim kleptokratik Najib. Andai kata sebelum pilihanraya umum ke-14, Najib bersedia meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia, pasti keadaan tidak akan jadi seperti ini.

Pandakwa raya AS, Jeneral Loretta Lynch telah mengumumkan rampasan aset berkaitan dengan skandal 1MDB di bawah Inisiatif Kleptokrasi. Dalam tuntutan sivil, Najib telah disebut sebagai ‘Penjawat 1 Malaysia’ memegang kedudukan berkuasa dalam 1MDB. Kenapa Najib perlu diturunkan? Kerajaan Malaysia dapat membuka semula siasatan kes 1MDB setelah Najib tidak lagi memegang jawatan sebagai Perdana Menteri; segala aset berkaitan dengan 1MDB yang telah dirampas dapat dikembalikan kepada Kerajaan Malaysia.

Usaha menjatuhkan rejim kleptokratik Najib menuntut penyediaan manifesto oleh pihak Pakatan Harapan yang dapat memenuhi kehendak semua rakyat Malaysia. Jika majoriti rakyat Malaysia memahami keperluan mendesak untuk menjatuh rejim kleptokratik Najib, pasti pihak Pakatan Harapan tidak perlu menyediakan manifesto yang hakikatnya banyak janji yang terkandung dalam manifesto tersebut sukar/tidak dapat dilaksanakan. Rakyat Malaysia juga tidaklah berada dalam keadaan “dikencing” oleh Pakatan Harapan. 

Kini Kerajaan Malaysia di bawah Pakatan Harapan terlalu memberi tumpuan kepada kes 1MDB sehingga mengabaikan banyak aspek ekonomi rakyat. Semua rakyat Malaysia menanti sinar agar ekonomi Malaysia dapat dipulihkan kembali.


P/S: Paling mengejutkan aku ialah kes pembunuhan Anthony Kevin Morais dikaitkan dengan skandal 1MDB.