Sabtu, 26 Julai 2014

Aidilfitri 1435H

Kepada semua followers, pelawat dan silent readers yang beragama Islam di mana sahaja anda semua berada, aku mengucapkan:
Taqqaballahu minna wa minkum  
(Moga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu semua)
Taqqaballahu siyamana wa siyamakum 
(Moga Allah menerima puasa kami dan puasa kamu semua)
Selamat Menjamu Mata

Kuih tat gulung nenas adalah kuih yang wajib aku beli atau aku tempah setiap kali menyambut hari raya aidilfitri. Kuih ini bukan untuk dihidangkan kepada tetamu yang datang ke rumah aku, tetapi untuk diri aku sendiri yang berhari raya menyambut 1 Syawal. Untuk para tetamu yang berkunjung ke rumah aku, ada kuih-muih khas yang dihidangkan untuk mereka. Seperti tahun-tahun sebelum ini bermula 2002, aku berhari raya di Sungai Petani, Kedah. Akhir kalam, aku mengucapkan:
Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf Zahir & Batin 

Rabu, 23 Julai 2014

Tahniah Kepada Perdana Menteri Malaysia

Sebagai rakyat Malaysia, aku mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak atas kejayaan beliau mengadakan rundingan melalui telefon dengan Ketua Pemberontak pro-Rusia, Alexander Borodai yang berkuasa di lokasi nahas pesawat MH17 terhempas. Hasil rundingan tersebut telah mencapai tiga persetujuan iaitu:
  1. 282 mayat mangsa yang berada di Torez dibawa ke Kharkiv, Ukraine menggunakan gerabak keretapi sejuk beku yang diiringi oleh enam anggota pasukan penyelamat Malaysia yang terlibat dalam misi menyelamat di Ukraine sebelum mayat-mayat tersebut diserahkan kepada wakil Kerajaan Belanda; mayat berkenaan akan diterbangkan ke Amsterdam menggunakan C130 Hercules milik Belanda bersama-sama dengan pasukan penyelamat Malaysia. Selepas operasi forensik, mayat rakyat Malaysia yang terlibat dalam nahas MH17 dibawa pulang dan dikebumikan di Malaysia.
  2. Dua kotak hitam diserahkan kepada wakil Malaysia di Donetsk pada 21 Julai 2014 pukul 9 malam (pukul 2 pagi waktu Malaysia).
  3. Semua anggota penyiasat antabangsa diberi akses masuk dan jaminan keselamatan ke lokasi nahas pesawat MH17 ditembak jatuh bagi memulakan siasatan penuh terhadap kejadian itu.

Jumaat, 18 Julai 2014

HARI UNTUK TAHUN YANG TRAGIK BUAT MALAYSIA: Pesawat MAS MH17 Terhempas Di Ukraine

Dalam tempoh 132 hari selepas insiden kehilangan MH370 dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014, hari ini Malaysia dikejutkan oleh berita pesawat MAS Boeing 777-200 MH17 yang terhempas di ladang gandum di perkampungan Grabovo, Donetsk, Ukraine. Rakyat Malaysia masih terasa dengan kehilangan MH370 yang sehingga kini Kerajaan Malaysia masih tidak putus asa untuk berusaha mencari MH370. 

Pesawat MH17 membawa 298 orang penumpang termasuk 15 orang anak kapal berlepas dari Amsterdam pada pukul 12.15 tengah hari waktu tempatan dan dijangka tiba di Kuala Lumpur pada 18 Julai 2014 pukul 6.10 pagi. Pesawat MH17 telah ditembak oleh pro-Russia menggunakan pelancar peluru berpandu anti-pesawat SA-11 (dikenali sebagai peluru berpandu Buk di Russia) dari darat ke udara di pekan Shakhtarsk bahagian timur negara Ukraine. Malaysia Airlines System (MAS) telah menerima makluman daripada Pusat Kawalan Trafik Udara (ATC) Ukraine yang menjelaskan ATC telah terputus hubungan dengan pesawat MH17 pada pukul 14.15 waktu tempatan pada kedudukan 30 kilometer dari Tamak dan kira-kira 50 kilometer sempadan Rusia-Ukraine. Kotak Hitam MH17 telah ditemui dan dihantar ke Moscow untuk siasatan. 

Sehingga insiden MH17, Malaysia masih mengekalkan laluan perjalanan dari Eropah ke Kuala Lumpur melalui ruang udara Ukraine ekoran pengesahan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang menyatakan ia adalah laluan yang selamat dan tidak tertakluk kepada sekatan walaupun Ukraine sedang mengalami pergolakan politik ekoran tindakan Rusia melakukan campur tangan politik ke atas Ukraine. Pihak berkuasa Ukraine memberi jaminan keselamatan bahawa ruang udara Ukraine berada dalam keadaan selamat pada aras ketinggian 30,000 meter namun ketika MH17 ditembak, pesawat itu terbang pada aras ketinggian 10,000 meter. Walau bagaimanapun, Presiden Ukraine, Petro Poroshenko percaya pesawat Malaysia terhempas bukan disebabkan oleh kemalangan atau bencana sebaliknya disebabkan oleh tindakan pengganas yang menembak jatuh pesawat MH17.

Dalam pentadbiran Vladimir Putin, beliau cuba membawa Rusia kembali aktif berhadapan dengan Amerika. Konflik di Ukraine telah meletakkan Amerika dan Rusia berhadapan di antara satu sama lain apabila Amerika mengambil tindakan menyokong penentang-penentang kerajaan di Kiev. Kerajaan Kiev yang dipimpin oleh pro-Kremlin dan mendapat sokongan Rusia telah tumbang. Kerajaan baru Ukraine sebaliknya memberi sokongan kepada Amerika. Hal ini menyebabkan Moscow bertindak menyokong Crimea yang mempunyai majoriti penduduk Rusia untuk berpisah daripada Ukraine. Crimea adalah republik autonomi Ukraine yang berkedudukan mengadap Laut Hitam. Sehingga 1954, Crimea merupakan sebahagian daripada Rusia namun Crimea telah diberikan kepada Ukraine.


Konflik di Ukraine yang mencetuskan ketegangan di Semenanjung Crimea telah menimbulkan bantahan oleh negara-negara Eropah. Ketegangan itu berlaku kerana tindakan Kremlin yang semakin rancak membawa masuk tentera ke wilayah Ukraine. Dalam hal ini, Rusia memberi sokongan kepada Viktor Yanukovych. Parti politik pro-Kremlin yang telah terlucut dari kerusi presiden pada 23 Februari 2014 telah kembali mengumumkan bahawa Viktor Yanukovych adalah Presiden Ukraine yang sah. Dmitry Medvedev, Perdana Menteri Ukraine turut mengeluarkan kenyataan yang sama dan menjelaskan bahawa Kremlin tidak mengakui pemerintahan baru Ukraine yang kini dipimpin oleh Perdana Menteri Arseniy Yatsenyuk. Presiden Rusia, Vladimir Putin mempertahankan Ukraine untuk masuk dalam lingkaran Rusia walaupun fakta sejarah menunjukkan Ukraine telah merdeka dari Soviet Union pada 1 Disember 1991. Kini, Rusia dan Ukraine saling menyalahkan di antara satu sama lain atas kejadian yang menimpa MH17. 

P/S: Aku mengutuk sekeras-kerasnya tindakan menembak jatuh pesawat awam komersial. Takziah kepada semua ahli keluarga penumpang dan anak-anak kapal MH17.

Khamis, 17 Julai 2014

Pahala Dilipatgandakan Ketika Berpuasa Di Tanah Haram Mekah

Ganjaran setiap satu kebaikan dalam bulan Ramadhan diberikan sepuluh hingga 700 kali ganda berbanding dalam bulan-bulan yang lain. Namun begitu, ganjaran ibadah puasa dalam bulan Ramadhan dijanjikan sendiri oleh Allah s.w.t. yang nilainya tidak terbatas. Sabda Rasulullah s.a.w. (yang bermaksud),
Semua amal (yang dikerjakan) manusia dilipatgandakan pahalanya, satu kebaikan diberi ganjaran sepuluh sehingga 700 kali ganda. Allah berfirman, "Kecuali puasa (ganjarannya tidak terbatas), kerana sesungguhnya puasa itu (khusus) untuk-Ku dan Aku-lah yang akan memberikan ganjaran baginya. [Riwayat Bukhari dan Muslim]
Bagi sesiapa yang berpuasa dan berkemampuan mengerjakan umrah dalam bulan Ramadhan diberikan ganjaran pahala yang dilipatgandakan oleh Allah s.w.t. Hadis yang diriwayatkan daripada Said b. Jubairin daripada Ibnu Abbas r.a. berkata,
Sabda Rasulullah s.a.w. (yang bermaksud), "Barang siapa menjumpai Ramadhan di Mekah maka berpuasa ia dan berdiri (melaksanakan solat wajib dan solat terawih serta lain-lain), apa-apa yang memudahkan baginya, (pertama) ditulis oleh Allah baginya 100,000 pahala berpuasa di Ramadhan di dalam apa-apa selainnya, dan ditulis oleh Allah s.w.t. baginya dengan setiap siangnya memerdekakan seorang hamba dan setiap malamnya memerdekakan seorang hamba, dan setiap siangnya menyerahkan (memberi) seekor kuda untuk fisabilillah (membela agama Allah dan pada setiap malamnya kebaikan (beribadah di Masjidil Haram dengan gandaan 100,000 pahala). [Hadis Ibnu Majah dalam Kitab Manasik]
Dalam sebuah hadis yang lain pula menyebut, daripada Ibnu Abbas r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda kepada seorang wanita daripada kalangan Ansar (yang bermaksud), "Kalau bulan Ramadhan telah tiba, maka tunaikanlah umrah, sebab umrah dalam bulan Ramadhan menyamai ibadah haji." [Hadis riwayat Bukhari nombor hadis 1782 dan Muslim nombor hadis 1258]

Jika beribadah dalam bulan Ramadhan di luar Tanah Haram, Allah s.w.t. memberikan ganjaran bagi satu kebaikan sebanyak sepuluh sehingga 700 kali ganda, apatah lagi jika menunaikan ibadah solat, puasa, umrah dan sebagainya di Mekah sebanyak 100,000 kali ganda.

P/S: Simpan cita-cita dalam hati untuk beribadah dalam bulan Ramadhan di Tanah Haram Mekah. Saya mendoakan setiap muslimin dan muslimat pembaca blog ini termasuk diri saya diberi nikmat beribadah, berpuasa dan menunaikan umrah dalam bulan Ramadhan di Tanah Haram Mekah untuk meraih ganjaran pahala yang berlipat ganda. Ya Allah, Engkau perkenankanlah doaku agar diriku dan setiap muslimin dan muslimat pembaca blog ini diberi nikmat beribadah, berpuasa dan menunaikan umrah dalam bulan Ramadhan di Tanah Haram Mekah. Amin.

Rabu, 9 Julai 2014

Puasa Meningkatkan Sistem Imuniti Tubuh Manusia

Dalam akhbar Daily Mail bertarikh 9 Jun 2014, satu kajian terkini yang dilakukan oleh Prof. Valter Longo merupakan pakar jangka hayat dari University of California Southern mendapati amalan berpuasa selama dua hari dapat meningkatkan sistem imuniti tubuh manusia. Pesakit kanser yang menerima rawatan kemoterapi merupakan individu yang paling banyak mendapat manfaat daripada amalan berpuasa. Kaedah berpuasa secara perlahan-lahan dapat menjana sistem imunisasi yang baru untuk memulihkan tubuh badan pesakit kesan rawatan kemoterapi dan juga proses penuaan. Sistem tubuh badan manusia mengalami kerosakan akibat penuaan. Kajian makmal ini juga menggunakan mencit (dari sudut biologi mencit diklasifikasi sebagai genus bagi rodensia/rodentia yang lebih kecil daripada tikus dan tergolong dalam spesies mamalia kecil) dalam ujikaji mendapati puasa dapat mengurangkan kesan-kesan kurang sihat dan kematian mencit yang terdedah kepada rawatan kemoterapi dan meningkatkan imunisasi bagi mencit yang telah tua.

Amalan berpuasa menyebabkan manusia berada dalam keadaan lapar menyebabkan sistem tubuh badan manusia berusaha menjimatkan tenaga dan sistem imunisasi berperanan mengitar semula sebanyak mungkin sel-sel tubuh yang rosak dan sudah tidak diperlukan. Selain itu, amalan berpuasa selama dua hari hingga empat hari setiap enam bulan membolehkan badan menggunakan simpanan lemak dan gula. Sistem tubuh badan manusia bertindak balas dengan menghantar isyarat memberitahu sel-sel stem untuk menjana dan membina semula keseluruhan sistem tubuh badan manusia.  

P/S: Hasil penemuan kajian ini di antaranya mewajarkan firman Allah s.w.t. yang terkandung dalam surah Al-Baqarah ayat 184 menyatakan "Dan berpuasa lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui." Wallahu'alam.