Ahad, 31 Disember 2017

Doa: Hadiah Daripada Yang Hidup Kepada Yang Mati

Orang mati dalam kuburnya adalah seperti orang yang sedang tenggelam yang meminta pertolongan. Ia menunggu sampai kepadanya (rahmat) sesuatu doa dari anaknya, atau saudaranya, atau sahabat handainya. Apabila (rahmat) doa itu sampai kepadanya maka tidak terkira sukacitanya dan dirasainya (rahmat doa itu) lebih berharga daripada dunia dan segala isinya. Sebenarnya hadiah orang-orang yang hidup kepada orang mati ialah: ”Doa dan Istighfar”. (Riwayat oleh Ad-Dailami rahimahullah)



Rayuan rohnya dengan suara yang hiba dan menyayukan hati

Di dalam hadith juga diterangkan, maksudnya:

” Bahawa roh orang-orang mati datang beramai-ramai ke langit dunia pada tiap-tiap malam dan berhenti bertentangan dengan rumah masing-masing. Tiap-tiap satu roh di antaranya menyeru berkali-kali dengan suara yang hiba dan sayu, katanya:

” Wahai ahli rumahku! Wahai kaum kerabat dan anak-anakku! Wahai orang-orang yang telah mendiami rumah kami, dan yang telah membahagi-bahagi dan menerima harta pusaka peninggalan kami, adakah sesiapa di antara kamu yang masih ingat kepada kami atau yang pernah memikirkan keadaan kami yang sedang berada di alam Barzakh?...kenanglah kami dan bantulah kami dengan doa dan amal-amal yang salih, semoga Allah memberi rahmat kepada kamu...”

” Setelah puas menyeru dan merayu, kembalilah kumpulan roh itu ke tempat masing-masing untuk datang lagi pada malam berikutnya.

” Jika ada yang mendoakannya, kembalilah ia dengan gembira. Jika tidak, kembalilah ia dengan hiba dan hampa.” [Hadith yang menyayukan hati ini disebutkan dalam I’anah at-Talibin (2:144)] 

Kedua dua hadith ini menerangkan setakat mana berhajatnya orang yang mati kepada doa orang-orang yang hidup.




P/S: Aku rasa sebak apabila membaca petikan terjemahan hadis di atas. Sebelum ini, kadang-kadang sahaja aku membaca doa terjemahan Surah al-Hasyr ayat 10 apabila aku teringat. Kini, aku usahakan membacanya setiap hari. Aku yang masih hidup ini faham bagaimana rasanya hampa. Aku tidak mahu setiap malam kau merayu dan akhirnya kau kembali dalam keadaan hiba dan hampa.


"Wahai Tuhan Kami! ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan Kami! Sesungguhnya Engkau amat melimpah belas kasihan dan rahmat-Mu." (Surah Al-Hasyr 59 :10)

Ahad, 24 Disember 2017

Sombong: Kunci Segala Kejatuhan

Sewaktu berada di puncak, mereka tidak menjaga ketinggian ego yang bersarang dalam diri. Apabila diberi kekayaan sedikit, mereka mula berubah baik dari segi tutur kata mahupun tingkah laku. Tanpa sedar mereka sudah mula berubah sedikit demi sedikit menjadi sombong. Mereka mula melupakan orang yang membantu ketika naik. Bahkan mula sombong dengan tangan-tangan yang menghulurkan bantuan ketika susah.

Kita perlu menilai kesombongan diri yang wujud dalam diri. Manusia tidak pernah lari dari kesombongan. Tetapi kita punya kemampuan untuk mengekang kesombongan dari terus menjadi pakaian kehidupan. Permulaan sombong itu ada dalam hati dan kemudian diterjemahkan melalui kata-kata kita.

Orang yang sombong tidak pernah mengaku mereka sombong. Pada mereka, apa sahaja yang keluar dari mulut adalah satu kebenaran tanpa menyedari pedihnya kata-kata hinggakan melukakan hati orang yang mendengar. 

Tidak semua orang mampu menahan diri dari menjadi sombong ketika berada dalam fasa kekayaan. Kesombongan ini sangat halus lagi nipis hingga wujudnya tidak kita rasai. Kita perlu sentiasa menjaga hati dan lidah kerana di situlah bermulanya segala kesombongan. Apabila hati mula berasa besar diri maka lidah akan mula menuturkan kesombongan dan akhirnya kesombongan jelas terlihat pada perbuatan.

Kedudukan orang yang sombong tidak akan kekal lama. Ia mungkin boleh berada di atas untuk berpuluh tahun tetapi sampai masanya jatuh, mereka akan jatuh tanpa sempat berpaut. 

Berhentilah daripada menyombong diri biarpun sedikit kerana yang sedikit itu akan menjadi nyalaan api yang besar hingga membuat kepanasan diri hingga akhirnya diri dijauhi dan dibenci. Sombong adalah kunci segala kejatuhan.


Diolah semula dari sumber: Dr. Azhar Sarip. 2017. Sombong Kunci Segala Kejatuhan. Majalah Al-Islam, Disember Bilangan 526 Halaman 40-42. Utusan Karya Sdn. Bhd.


كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۖ فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ
Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. ('Ali Imran 3: 185)

Seseorang yang mempunyai sikap yang sombong itu boleh saja dijatuhkan melalui jalan kematian.


P/S: Pedih hatiku mendengar kata-katamu dan melihat perlakuanmu yang sombong. Aku berharap aku mampu melepaskan semuanya dan memaafkan perlakuaanmu dengan sepenuh hati aku. Selebihnya ia adalah urusanmu dengan Allah s.w.t.

Sabtu, 9 Disember 2017

B+ = +ve dalam -ve

Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan negatif.

Baik dan buruk hanya pada pandangan kita yang terbatas, namun pada pandangan-Nya yang Maha Luas, semua yang ditakdirkan ke atas hamba-Nya pasti bermaksud baik.

Seorang ahli hikmah, Ibn Atoillah menjelaskan hakikat ini menerusi katanya: 
“Barangsiapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pendeknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.”
Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini:
“Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.”
Tadbirlah hidup kita sebaik-baiknya, namun ingatlah takdir Tuhan sentiasa mengatasi tadbir insan.

Malah dalam keadaan berdosa sekalipun, ujian didatangkan-Nya sebagai satu pengampunan.

Manakala dalam keadaan taat, ujian didatangkan-Nya untuk meningkatkan darjat.

Justeru, telah sering para muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah) berkata tentang hikmah ujian:
“Allah melapangkan bagi mu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagi mu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya (kelapangan dan kesempitan), supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah.”

Sumber: Ustaz Pahrol Juoi 

Jumaat, 22 September 2017

Takwim Puasa Sunat Bermula 1 Muharam 1439H Sehingga 29 Zulhijjah 1439H

Puasa Sunat
Tarikh
Puasa 1 – 9 Muharam
·                           22 – 30 September 2017
Puasa Hari Asyura

(Pada 10 Muharam berserta sehari sebelumnya)

atau



(Pada 10 Muharam berserta sehari selepasnya)


·                         30 September – 1 Oktober 2017

                                atau


·                         – 2 Oktober 2017
Puasa Sunat Sya'ban
·                     1April – 16 Mei 2018
Puasa Enam (Puasa enam hari dalam bulan Syawal kecuali pada 1 Syawal)
·                     1Jun – 13 Julai 2018
Puasa 1 – 8 Zulhijah
·                            1– 20 Ogos 2018
Puasa Hari Wuquf (Bagi sesiapa yang tidak menunaikan haji)
·                     21 Ogos 2018
Puasa Hari Isnin dan Khamis
Kecuali:
·                      Hari Tasyrik 11 Zulhijah (Hari Khamis       23 Ogos 2018)
Puasa Hari Putih

(Pada 13, 14 dan 15 hari bulan setiap bulan dalam kalendar Hijrah)
·                     Muharam (4 – 6 Oktober 2017)
·                     Safar (2 – 4 November 2017)
·                     Rabiulawal (2 – 4 Disember 2017)
·                     Rabiulakhir (1 – 3 Januari 2018)
·                     Jamadilawal (30 Januari – 1 
                   Februari 2018)
·                     Jamadilakhir (1 – 3 Mac 2018)
·                     Rejab (31 Mac – 2 April 2018)
·                     Sya’ban (29 April – 1 Mei 2018)
·                     Syawal (27 –  29 Jun 2018)
·                     Zulkaedah (26 – 28 Julai 2018)
·                     Zulhijah (26 – 27 Ogos 2018)**
Puasa Hari Gelap***

(Pada 27, 28 dan 29 hari bulan setiap bulan dalam kalendar Hijrah)
·                     Muharam (18 – 20 Oktober 2017)
·                     Safar (16 – 18 November 2017)
·                     Rabiulawal (16 – 18 Disember 2017)
·                     Rabiulakhir (15 –  17 Januari 2018)
·                     Jamadilawal (13 – 15 Februari 2018)
·                     Jamadilakhir (15 – 17 Mac 2017)
·                     Rejab (14 – 16 April 2018)
·                     Sya’ban (12 – 14 Mei 2018)
·                     Syawal (11 – 13 Julai 2018)
·                     Zulkaedah (9 – 11 Ogos 2018)
·                              Zulhijjah (8 – 10 September 2018)

** Puasa Hari Putih pada 13 Zulhijjah 1439H jatuh pada Hari Tasyrik iaitu bersamaan 25 Ogos 2018. 

*** Puasa Hari Gelap juga boleh dilakukan pada 28, 29 dan 30 hari bulan bagi bulan dalam kalendar Hijrah yang mengandungi 30 hari). Pada masa ini, matahari dan bulan berada pada kedudukan sebaris. Ketika ini, daya tarikan matahari telah bergabung dengan daya tarikan bulan. Kesan tarikan ini amat kuat di mana kebiasaannya air laut pasang akan lebih tinggi pada waktu tengahari dan air laut surut lebih rendah pada waktu malam. Manusia dan segala yang ada di bumi menjadi lebih ringan pada waktu siang dan lebih berat pada waktu malam. Fenomena ini memberikan kesan seperti berada dalam keadaan tekanan (stress). Berpuasa pada hari gelap dapat mengurangkan kesan tersebut. Wallahu'alam.

P/S: Selamat Berpuasa 

Selasa, 12 September 2017

Kalimah Suci Dalam Islam

Kalimah suci ialah apa-apa perkataan yang dikaitkan dengan nama yang dihormati dalam Islam sama ada berbentuk tulisan, lukisan simbol, gambar dan apa sahaja yang dimaksudkan dan difahami mewakili sesuatu kalimah. Di antara kalimah suci yang dihormati dalam Islam ialah:
  1. Mushaf Al-Quran
  2. Petikan ayat Al-Quran
  3. Kalimah Allah dan nama-nama Allah yang lain (Asma ul-Husna) serta apa sahaja kalimah yang menunjukkan sifat-sifat Allah.
  4. Nama Nabi Muhammad s.a.w.
  5. Nama Nabi-Nabi
  6. Nama malaikat
  7. Hadis Nabi Muhammad s.a.w.
  8. Doa-doa
  9. Gambar-gambar yang mengandungi kalimah suci. Contohnya, gambar masjid yang tertera ayat-ayat Al-Quran pada dinding masjid.
Kalimah suci termasuk apa sahaja yang ditulis dalam bentuk tulisan termasuk tulisan rumi. Sesuatu kalimah suci dibaca dalam bahasa Arab walaupun kalimah suci tersebut ditulis dalam tulisan rumi. Hal ini termasuklah singkatan s.a.w., s.w.t. dan r.a. tatkala kita melihat singkatan tersebut kita tidak membaca huruf singkatan sebaliknya kita berselawat, bertasbih dan sebagainya.

Contohnya, wujud sebahagian orang yang menulis No. 786 mewakili kalimah Bismillah maka apabila mereka melihat perkataan No. 786, mereka tidak membaca “nombor tujuh lapan enam” sebaliknya mereka menyebut lafaz Bismillah. Oleh itu, No. 786 diklasifikasikan sebagai kalimah suci yang perlu dihormati. 

Semua bahan yang mengandungi kalimah suci sama ada ditulis, dicetak, diukir, dilukis dan sebagainya mesti dihormati dan tidak boleh disimpan atau diletak di tempat yang tidak sewajarnya.

Pelupusan bahan-bahan yang mengandungi kalimah suci sama seperti kaedah pelupusan mushaf Al-Quran. Terdapat dua kaedah pelupusan:
  1. Menanam di dalam tanah di tempat yang tidak didiami dan tidak akan dimajukan. Kawasan tersebut menjadi seperti tanah kubur yang tidak boleh dibangunkan atau dimajukan.
  2. Menghilangkan tulisan dengan cara dibakar dan dihanyutkan ke laut. Bahan-bahan yang mengandungi kalimah suci hendaklah dibakar dalam bekas kedap haba sehingga abunya berwarna putih; abu berwarna hitam dikhuatiri masih terdapat huruf-huruf yang masih boleh dibaca. Setelah bahan-bahan tersebut dibakar, abunya bertukar menjadi warna putih tidak boleh dibuang ke dalam sungai kerana dibimbangi tersangkut di tebing sungai atau di tempat lain sebelum ia sampai ke laut.

Sumber: Diubah suai dari artikel bertajuk Haram Menulis, Mencetak Ayat Al-Al-Quran Dalam Huruf Selain Huruf Arab yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) untuk Takwim Dan Waktu Ibadah Bagi Seluruh Negeri Kedah Darul Aman (bulan Rabiul Awal 1437H). 

Khamis, 13 Julai 2017

Iznik

Iznik dari Turki - pemberian individu yang suatu masa dulu kehidupannya belum senang dan masih memerlukan orang lain.















Dahulu iznik dikenali sebagai nicaea telah menjadi pusat seramik yang terkenal era Empayar Uthmaniyah. Di bawah naungan diraja Empayar Uthmaniah, pelbagai jenis barangan seramik iznik telah dihasilkan sebagai peralatan domestik dan untuk menghiasi bangunan-bangunan utama di Turki seperti istana dan masjid. Pada mulanya, corak iznik mempunyai komposisi beralun yang diadun dengan motif tradisional Turki serta interpretasi dari era Yuan dan Ming serta pengaruh dari Parsi dan Eropah. Iznik menggunakan kobalt biru di atas latar berwarna putih, kemudian tukang seramik Iznik telah menghasilkan palet yang lebih pelbagai dan berwarna-warni yang menakjubkan pada pertengahan abad ke-16. Motif-motif bungaan seperti tulip, teluki dan teratai merupakan di antara corak hiasan yang utama. Selain itu, daun saz, buah delima, corak arabes, awan larat, sisik ikan dan chintamani turut mewarnai corak hiasan iznik.

Sabtu, 27 Mei 2017

Selamat Datang Ramadhan Kareem 1438H

Seperti tahun sebelum ini, rekod tempoh paling lama umat Islam berpuasa bagi tahun ini ialah di Reykjavik, Iceland iaitu selama 21 jam. Pada tahun 1437H, rekod tempoh paling singkat umat Islam berpuasa jatuh kepada bandar Aucland, New Zealand iaitu selama 11 jam 6 minit. Berbeza dengan tahun ini, rekod tempoh paling singkat umat Islam berpuasa jatuh kepada bandar Punta Arenas, Chile iaitu selama 10 jam 9 minit. Tempoh berpuasa bagi umat Islam di bandar-bandar utama seluruh dunia: 


 
P/S: Happy fasting to all Muslims wherever you are 😀

Sabtu, 13 Mei 2017

Bagaimana Aku Memotivasikan Diri Sendiri?

Buat PhD kena ada semangat yang kental dan jiwa yang kuat. Setiap orang ada ujian dan cabaran yang tersendiri. Setiap orang ada cara yang tersendiri untuk memotivasikan diri sendiri agar kekal berada pada trek pengajian PhD. Entri ini pula adalah kisah aku bagaimana aku memotivasikan diri aku sendiri sehingga aku berjaya menamatkan pengajian PhD.

Semasa aku buat PhD di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), aku mendapat rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan  aku telah didiagnosis mengidap penyakit psoriatic arthropathy. Situasi aku tidak mudah. Aku kena menjalani phisioteraphy dan terapi cara kerja di HUKM. Setelah didiagnosis, akiviti yang mudah sebelum ini seperti berjalan, naik-turun tangga menjadi sukar bagi aku. Tujuan aku menjalani terapi cara kerja agar aku mampu meneruskan pengajian PhD sehingga tamat. Pengajian PhD perlu disesuaikan berpandukan terapi cara kerja yang aku lalui. 

Masalah utama, penyelia aku tidak boleh menerima situasi aku. Selepas empat tahun setengah pengajian PhD, aku mohon melalui fakulti untuk tukar penyelia. Aku berjaya tukar penyelia pada tahun ke-5 pengajian PhD. Al-hamdulillah penyelia baru sangat baik dan aku mampu bekerjasama dengan beliau.

Sepanjang aku berada dalam pengajian PhD di UKM, aku membaca buku-buku motivasi yang ditulis oleh Dr. H. M. Tuah Iskandar Al-Haj untuk menguatkan semangat agar aku tidak menyerah kalah dan mampu berjaya menamatkan pengajian PhD. 

























Buku-buku motivasi di atas aku hadam sebuah demi sebuah dari kulit hadapan sehingga kulit belakang. Aku jadikan tajuk buku-buku di atas sebagai kata-kata positif yang dikaitkan dengan PhD:
  1. 'Fikir-Fikirlah', maka aku fikir 'PhD mesti disudahi dengan kejayaan'. 
  2. Jangan Tidak-Tidak', maka aku fikir 'jangan tidak-tidak pula PhD tu'.
  3. 'Sendiri Mau Ingat', maka aku set dalam fikiran 'aku sendiri mau ingat PhD tu'.
  4. 'Nak Ke Tak Nak', maka aku kena mengingatkan diri sendiri, 'nak ke tak nak PhD tu'.
  5. 'Bukan Main Lagi' - 'apa lagi? Buat PhD tu'.
  6. 'Tau Tak Apa'. Aku set dalam fikiran 'tau tak apa, buat PhD tu'.
  7. 'Buat Sampai Jadi' - 'buatlah PhD tu sampai jadi'.
  8. 'Biar Betul-Betul' - 'buat PhD tu biar betul-betul'.   
  9. 'Nak Jadi Jadi - 'kalau nak PhD tu, mesti jadi.'
  10. 'Jom Ngetop' - 'jom ngetop buat PhD'.
  11. 'Jom Jaguh' - 'jadi jaguh PhD'.
  12. 'Ada Bagus Bagusss' - 'Ada PhD, mesti bagus'.
  13. 'Kalau Ya, Katakan Ya' - 'YA untuk PhD'.
  14. 'Membina Jati Diri Gemilang' - 'jati diri mesti gemilang, agar PhD berjaya diraih'.
Akhir kalam, walau apa jua cabaran yang dilalui 'Jangan Mengalah, Fikirkan boleh!' 😀

Ahad, 30 April 2017

Orang Malaya Di Sabah #9: Syiar Islam Di Sabah

Entri ini aku fokuskan daerah Sandakan. Selama 20 tahun (sebelum 1997) aku tinggal di Sabah, Sandakan lebih dekat di hatiku. Di Sandakan, ada beberapa buah masjid utama. Jarak di antara setiap masjid di Sandakan tidaklah dibina seperti pembinaan sebuah gereja bagi kiraan satu batu sepanjang Jalan Labuk. Bermula dari pusat bandar sehingga setiap jarak sepanjang Jalan Labuk (dalam kiraan batu) pasti ada sebuah gereja. Contohnya di pusat bandar ada sebuah gereja, di batu satu ada sebuah gereja, kemudian di batu dua ada sebuah gereja lagi dan begitulah seterusnya walaupun majoriti penduduk di sekitar kawasan tersebut tidak ramai beragama Kristian. Pada ketika itu, majoriti Muslim di Sandakan mendiami di kampung dan kawasan pinggir bandar; sangat sedikit Muslim di Sandakan yang mendiami taman-taman perumahan di bandar.
Sumber: Masjid Jamek Bandaran Sandakan

Di antara masjid utama di Sandakan ialah pertama, masjid di pusat bandar. Terdapat sebuah masjid tertua di negeri Sabah telah dibina sejak tahun 1890 yang kini dikenali sebagai Masjid Jamik As-Syeikh Hasabollah At-Tohiri atau sebelumnya dikenali dengan nama Masjid Jamek Bandaran Sandakan bersebelahan bangunan Wisma Sandakan. 

 


 
Sumber: Labuk Road Bus Co. Sdn. Bhd.
Kisah yang aku tidak boleh lupa berkaitan masjid ini ialah seorang sahabat baik aku di sekolah menengah (tingkatan 1 sehingga tingkatan 5) pernah bercerita berkenaan seorang pemandu bas Labuk Road Bus Co. Sdn. Bhd. berbangsa Cina telah memeluk agama Islam selalu kelihatan berjalan kaki dari stesyen bas pusat bandar Sandakan ke Masjid Jamek Bandaran Sandakan untuk menunaikan solat. Pada ketika itu, seorang berbangsa Cina memeluk agama Islam adalah suatu peristiwa yang amat mengagumkan bagi penduduk yang beragama Islam di Sandakan.

Kedua, masjid yang terkenal di Sandakan ialah sebuah masjid milik persendirian iaitu Masjid Datuk Pengiran Galpam terletak di Jalan Datuk Hj PDM Galpam. Masjid ini terletak di tepi jalan utama (Jalan Labuk) lebih kurang 7 batu dari pusat bandar. 

Sumber: Masjid Datuk Pengiran Galpam


Solat Jumaat termasuklah solat fardu di masjid ini diimamkan oleh ustaz-ustaz yang berasal dari Malaya yang mengajar di sekolah-sekolah rendah/menengah kebangsaan yang tinggal berhampiran dengan Masjid Datuk Pengiran Galpam. Solat Jumaat tetap diadakan di masjid ini walaupun bilangan jama’ahnya tidak mencukupi 40 orang lelaki Islam yang memenuhi syarat-syarat diwajibkan menunaikan solat Jumaat. Pada hari Jumaat, aku pernah melihat Muslimah (orang Sabah) yang memakai telekung putih berjalan kaki menuju ke masjid ini untuk turut serta menunaikan solat Jumaat - senario yang sukar dilihat di Semenanjung Malaysia.
Sumber: Masjid Daerah Sandakan

Ketiga, Masjid Daerah Sandakan yang dirasmikan oleh Yang Di-Pertuan Agong Malaysia Yang Ke-9 Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah pada tahun 1990. Masjid ini terletak di Sim-Sim lebih kurang 1KM dari pusat bandar Sandakan. 

Sempena majlis perasmian masjid ini, para pelajar beberapa buah sekolah rendah/menengah di Sandakan turut terlibat di mana para pelajar sekolah terbabit dikehendaki berdiri sambil memegang dan mengibarkan bendera kecil Malaysia di sepanjang kiri dan kanan jalan utama yang dilalui oleh kereta rasmi yang dinaiki Yang Di-Pertuan Agong Malaysia Yang Ke-9 bersama Tuanku Permaisuri dari Lapangan Terbang Sandakan sehingga ke Masjid Daerah Sandakan. Sekolah aku turut terlibat namun aku tidak hadir ke sekolah pada hari berkenaan. Aku tidak menjadi sebahagian pelajar sekolah yang berdiri sambil memegang dan mengibarkan bendera kecil Malaysia di sepanjang kiri dan kanan jalan utama menunggu kereta rasmi yang dinaiki Yang Di-Pertuan Agong Malaysia Yang Ke-9 bersama Tuanku Permaisuri meluncur laju di depan para pelajar berkenaan.

Di Sandakan tidak ada sekolah agama pada sebelah pagi atau petang yang khusus buat para pelajar Muslim yang bersekolah rendah/menengah kebangsaan seperti negeri-negeri di Semenanjung Malaysia. Namun, kini aku mendapati sekolah agama sedemikian sudah ada di Kota Kinabalu. Para pelajar sekolah di Sandakan memperolehi pendidikan asas agama Islam dari sekolah rendah/menengah kebangsaan yang dihadiri oleh mereka di samping ajaran Islam yang diperolehi dari ibu bapa/penjaga. Hanya terdapat dua buah sekolah agama di Sandakan iaitu Sekolah Agama Negeri Tanjung Papat dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sandakan kini dikenali Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Juhar Sandakan.

Ustaz-ustaz dari Malaya yang tinggal di Sandakan kebanyakan membuka kelas mengaji al-Quran di rumah masing-masing khususnya untuk kanak-kanak dan remaja yang tinggal berhampiran. Aku juga belajar mengaji al-Quran dari ustaz-ustaz tersebut. Matlamat kelas mengaji al-Quran adalah sekadar boleh membaca al-Quran tanpa menekankan aspek tajwid apatah lagi tafsir dan tarannum.

Ketika aku tinggal di Sandakan suatu masa dahulu, bukan sesuatu yang mengejutkan dalam kalangan orang Sabah yang beragama Islam terdapatnya amalan bida’ah berpuasa fardu bulan Ramadan bermula sehari lebih awal iaitu hari syak yang jatuh pada 30 Sya’ban. Alasan mereka memulakan puasa fardu Ramadan pada 30 Sya’ban adalah dikhuatiri bulan Ramadan pada tahun berkenaan hanya 29 hari (tidak mencukupi 30 hari).

Selain itu, amalan bida’ah lain dilakukan oleh orang Sabah yang beragama Islam ialah Muslimah yang tidak ke masjid menunaikan solat Jumaat dilarang menunaikan solat zohor sehingga jama’ah di masjid selesai menunaikan solat Jumaat.

Pengaruh agama Kristian amat kuat di Sabah. Kebanyakan penganut agama Kristian di Sabah terdiri dari golongan bumiputera dan bangsa Cina. Negeri Sabah dikatakan sebagai pusat penyebaran agama Kristian di Malaysia manakala negara Filipina merupakan pusat penyebaran agama Kristian bagi rantau Asia Tenggara.

Dalam tempoh (1999-2002) ketika aku sedang berada dalam pengajian Master di Universiti Kebangsaan Malaysia, aku pernah mengikuti seminar yang dianjurkan oleh Fakulti Pengajian Islam. Apa yang hendak aku ceritakan di sini ialah dalam seminar berkenaan ada seorang peserta lelaki (aku menjangkakan dia Orang Sabah) menyatakan pandangannya kepada khalayak yang hadir sesuai dengan lagak orang muda (dalam lingkungan usia 20-an) yang bersemangat tinggi agar Universiti Malaysia Sabah yang baru beberapa tahun ditubuhkan mewujudkan sebuah Sekolah/Fakulti Pengajian Islam untuk menampung keperluan menegakkan syiar Islam di Sabah.

P/S: Apabila aku melihat gambar-gambar dalam entri ini, aku terkenang akan zaman kanak-kanak dan remaja aku di Sandakan. Aku rindu Sandakan. 😢 Ketika aku bekerja di Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun 2004, ada seorang pelajar perempuan dari Sandakan menceritakan kepada aku, "sekarang Sandakan dah lain."


Rabu, 8 Mac 2017

Orang Malaya Di Sabah #8: Bangsa Cina Dalam Amanah Saham Bumiputera

Di Sabah wujud golongan peranakan yang diklasifikasikan sebagai Sino-Kadazan iaitu hasil dari perkahwinan campur di antara bangsa Cina dan Kadazan. Golongan peranakan ini dikategorikan sebagai bumiputera di Sabah tanpa mengira sama ada bapa atau ibu berbangsa Cina.

Hal ini menimbulkan isu apabila golongan peranakan yang diklasifikasikan sebagai Sino-Kadazan adalah hasil dari perkahwinan campur di antara bapa berbangsa Cina manakala ibu pula berketurunan Kadazan. Kebiasaan golongan peranakan Sino-Kadazan hasil dari perkahwinan campur di antara bapa berbangsa Cina dan ibu berketurunan Kadazan mempunyai nama Cina (contoh: Tan Ting Tong) atau bagi yang beragama Kristian menggunakan nama Kristian namun masih mengekalkan nama keluarga (contoh: David Tan).

Memandangkan Orang Sabah mengkategorikan golongan peranakan Sino-Kadazan sebagai bumiputera walaupun bapa berbangsa Cina manakala ibu berketurunan Kadazan, hal ini menyebabkan mereka layak membuka akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) dengan menggunakan nama (contoh: Tan Ting Tong atau David Tan). Jika merujuk kepada Perkara 161 A (6) (b) Perlembagaan Persekutuan khas bagi Negeri Sabah, seseorang diklasifikasikan sebagai bumiputera apabila ia mempunyai bapa yang dikategorikan dalam rumpun Melayu/Peribumi Sabah. Oleh itu,
golongan peranakan Sino-Kadazan yang mempunyai bapa berbangsa Cina manakala ibu berketurunan Kadazan sewajarnya mereka dikategorikan sebagai bangsa Cina.
 
Dalam hal ini, pihak Permodalan Nasional Berhad (PNB) perlu menggunakan pakai Perkara 161 A (6) (b) Perlembagaan Persekutuan di mana seseorang dikategorikan sebagai bumiputera Sabah apabila bapanya dikategorikan dalam rumpun Melayu/Peribumi Sabah. Surat lahir (birth certificate) perlu disertakan bersama-sama dengan borang permohonan untuk membuka akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebagai bukti status bumiputera.

Kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam khususnya Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang hanya diisi oleh golongan Melayu/bumiputera juga menggunakan takrifan Melayu/bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 160 (2), Perkara 161 A (6) (b) dan Perkara 161 A (6) (a) agar hak-hak Melayu/Bumiputera terpelihara.


Bersambung: Orang Malaya Di Sabah #9: Syiar Islam Di Sabah

Isnin, 13 Februari 2017

Orang Malaya Di Sabah #7: Perlembagaan Persekutuan

Entri ini menjelaskan kedudukan anak yang dilahirkan khusus yang mempunyai ibu bapa yang berasal dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Seseorang yang dilahirkan di Sabah untuk mendapat pengiktirafan sebagai Orang Sabah perlu memenuhi apa yang ditakrifkan dan Perkara 161 A (6) (b) Perlembagaan Persekutuan iaitu mempunyai bapa yang dikategorikan dalam rumpun Melayu/Peribumi Sabah. Sila rujuk jadual di bawah:












P/S: Aku dilahirkan di Sabah tetapi kedua-dua ibu bapa Orang Malaya maka dari sudut Perlembagaan Persekutuan, aku tidak diiktiraf sebagai Melayu/Bumiputera Sabah. Orang Sabah yang dikategorikan di bawah rumpun Melayu (contoh: Bugis, Jawa, Suluk dan lain-lain) tidak mengklasifikasikan diri mereka sebagai Melayu sebaliknya mereka dikenali atas suku kaum.
 
Bersambung... sila klik Orang Malaya Di Sabah #8: Orang Cina Dalam Amanah Saham Bumiputera