Isnin, 14 April 2014

Kronologi Insiden Kehilangan MH370 #3

Entri ini sambungan dari entri sebelum ini Kronologi Insiden Kehilangan MH370 #2; happy reading.

  • 12 April 2014: Dua wakil Jabatan Penerbangan Awam (DCA) diserapkan ke dalam JACC di Perth, Australia untuk membantu usaha mencari dan menyelamat pesawat MH370. Dua wakil itu ialah Penolong Pengarah Principal DCA, Noor Izhar Baharin dan Penolong Pengarah Pusat Koordinasi Penyelamat Aeronautikal Kuala Lumpur, Muhammad Irfan Ahmad Baidove. Tiga jawatankuasa peringkat kementerian iaitu Jawatankuasa Waris, Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Aset akan ke Perth dalam masa terdekat ini untung berbincang dengan JACC berhubung dengan persiapan pada masa hadapan. Jawatankuasa tersebut masing-masing dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Luar, Timbalan Menteri Pengangkutan dan Timbalan Menteri Pertahanan akan membincangkan tiga aspek utama iaitu keluarga, penerbangan dan keperluan aset. Tony Abbott pula operasi mencari kotak hitam MH370 akan berterusan untuk tempoh masa yang lama. Kini Australia berusaha untuk mengesan seberapa banyak isyarat bagi menentukan kedudukan terakhir MH370 sebelum JACC menggunakan Kenderaan Dalam Air Automatik Blue Fin 21 milik Amerika Syarikat dalam usaha pencarian kotak hitam di dasar Lautan Hindi; keperluan untuk menggunakan Kenderaan Dalam Air Automatik Blue Fin 21 berikutan tidak ada isyarat yang dapat dikesan dalam tempoh 24 jam atas kemungkinan bateri kotak hitam semakin lemah. Zon carian melibatkan kawasan seluas kira-kira 41,393 kilometer persegi dan tertumpu di sekitar kira-kira 2,331 kilometer barat laut Perth malah JACC turut berusaha menjejaki sebarang benda pada 4.5 kilometer di bawah permukaan laut, kira-kira 1,000 kilometer jauh dari darat. Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan tidak ada laporan mengenai seorang anak kapal MH370 cuba membuat panggilan ketika pesawat itu terbang rendah di ruang udara Pulau Pinang, Malaysia. Hal ini berikutan terdapat media tempatan menyebarkan berita pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid cuba membuat panggilan ketika pesawat itu terbang pada aras 5,000 kaki di ruang udara Pulau Pinang, Malaysia pada 8 Mac tetapi terputus atas faktor kelajuan pesawat. Kerajaan Malaysia mewujudkan satu jawatankuasa bagi mengkaji implikasi ekonomi, perdagangan, dan pelancongan untuk memantau serta menangani kesan termasuk merangka strategi terbaru membabitkan hubungan perdagangan di antara Malaysia dengan China berikutan kehilangan MH370 dan kes penculikan warga China, Gao Hua Yun berusia 29 tahun di Resort Singgahmata, Semporna pada 2 April 2014.
  • 13 April 2014: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Pusat atas bantuan pelbagai negara yang terus gigih menggerakkan misi mencari dan menyelamat MH370. Dua wakil Jabatan Penerbangan Awam (DCA) diserapkan ke dalam JACC di Perth, Australia hanya sebagai pegawai perhubungan bagi Malaysia dan pemudah cara  untuk membantu operasi usaha mencari dan menyelamat pesawat MH370. Tidak ada isyarat akustik baharu dikesan di zon kawasan carian menunjukkan kemungkinan bateri kotak hitam telah habis. Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail berada di United Kingdom bagi membincangkan aspek perundangan berkaitan kotak hitam MH370. Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa dan para pakar perundangan Malaysia dan antarabangsa akan memutuskan negara yang berhak ke atas kotak hitam MH370 setelah ia ditemui. Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan mengumumkan penubuhan suruhanjaya siasatan diraja, panel pakar dan jawatankuasa berkaitan insiden kehilangan pesawat MH370. Kehilangan MH370 bukan hanya melibatkan siasatan Polis Diraja Malaysia malah turut melibatkan pelbagai pihak iaitu Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Perkhidmatan Risikan Britain (MI-6), Agensi Risikan China dan agensi-sgensi risikan antarabangsa yang lain. Selain itu, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatakan terdapat dua pengajaran berguna yang perlu dijadikan iktibar iaitu pertama, mesti bersiap sedia berdepan dengan segala bentuk ancaman selain kepimpinan dalam industri pertahanan dan kedua, memikirkan kejadian luar jangka. Kerajaan Malaysia berhasrat meningkatkan keupayaan ketenteraan walaupun Malaysia berada dalam keadaan aman dan stabil sebagai langkah untuk meyakinkan masyarakat terhadap keupayaan ketenteraan dalam memberi khidmat menjaga keselamatan negara.

Ahad, 13 April 2014

Kronologi Insiden Kehilangan MH370 #2

Entri ini kronolgi sambungan dari entri sebelum ini Kronologi Insiden Kehilangan MH370 #1; selamat membaca.   

  • 10 April 2014: Satu lagi isyarat akustik dari dasar laut dikesan oleh pesawat peninjau AP-3C Orion milik Australia. Isyarat 'ping' dipercayai dari perakam data kotak hitam dicerap setelah pesawat peninjau itu menurunkan berpuluh-puluh pengesan sonar di zon pencarian. Angus Houston Ketua Penyelaras JACC memberitahu isyarat itu merupakan penemuan kelima dan konsisten dengan isyarat yang dikeluarkan oleh kotak hitam seperti empat isyarat yang dikesan sebelum ini. Data isyarat baharu itu perlu dianalisis sekurang-kurangnya sehari namun kemungkinan besar datang dari peranti buatan manusia. Zon mengesan isyarat kotak hitam MH370 telah dikecilkan di Lautan Hindi kepada 57,923 kilometer persegi selepas dua isyarat baharu dikesan oleh kapal Ocean Shield. Lokasi tumpuan diberikan di kawasan Lautan Hindi kira-kira 2,280 kilometer dari barat daya Perth. Tiada penemuan serpihan yang boleh dikaitkan dengan pesawat MH370. Australia mengesahkan isyarat pertama yang dikesan adalah konsisten dengan isyarat yang dikeluarkan oleh perakam data sebuah kotak hitam; isyarat yang diterima sangat stabil, berbeza dan jelas dikesan pada frekuensi 33.31 kilohertz serta berdenyut secara konsisten pada selang 1.106 saat. Dato' Seri Hishammuddin Hussien pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia menyatakan isyarat yang dikesan di Lautan Hindi mengambil masa beberapa hari sebelum dapat disahkan ia merupakan isyarat dari kotak hitam MH370. Pengesahan tersebut penting untuk mengumumkan fasa baharu operasi mencari dan menyelamat. Selain itu, timbul 'teori' baru yang menyatakan ada kemungkinan MH370 mendarat sempurna di atas permukaan laut lalu tenggelam ke dasar Lautan Hindi. 
  • 11 April 2014: Pihak berkuasa Australia yakin mereka mengetahui lokasi kotak hitam pesawat MH370. Perdana Menteri Australia Tony Abbott amat yakin beberapa isyarat yang dikesan ketika operasi mencari di Lautan Hindi dalam kawasan seluas 100 kilometer persegi dihasilkan oleh kotak hitam pesawat itu. Isyarat terbaharu yang dikesan oleh sebuah boya pendengaran juga memberi petunjuk bahawa misi mencari pesawat MH370 tertumpu di kawasan yang betul. Namun begitu, Angus Houston berkata penelitian awal terhadap isyarat akustik yang dikesan oleh pesawat milik Tentera Diraja Australia AP-3C Orion menunjukkan ia tidak berkaitan dengan kotak hitam MH370; tidak ada penemuan besar dalam mencari pesawat MH370. Jepun dikatakan sedia membantu dan menawarkan kepakaran untuk meningkatkan tahap keselamatan ASEAN terutama di Malaysia berikutan insiden kehilangan MH370; negara-negara ASEAN perlu mengenal pasti punca dan langkah keselamatan yang perlu diambil pada masa hadapan. Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merekod 205 keterangan daripada pelbagai pihak berhubung siasatan insiden kehilangan MH370. PDRM akan memanggil lebih ramai individu tetapi tidak akan mendedahkan hasil keterangan untuk mengelakkan timbul sebarang gangguan terhadap siasatan yang sedang dijalankan. Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menafikan laporan agensi berita CNN bahawa pada 8 Mac TUDM dikerahkan menghantar pesawat mencari MH370 setelah dilaporkan hilang sebelum pihak berkuasa Malaysia mengumpulkan data yang menunjukkan pesawat MH370 berpatah balik ke arah barat daya. Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia mengesyorkan agar kerajaan membekalkan pesawat rondaan maritim bagi meningkatkan keupayaan TUDM dalam menjalankan rondaan dan menyelamat di lautan yang lebih luas pada masa depan. Kini, TUDM memiliki pesawat Maritim Domain Awareness seperti Beechcraff King Air 200 hanya sesuai digunakan untuk operasi di Selat Melaka dan Laut China Selatan memandangkan jarak capaian pesawat itu tidak sampai ke Lautan Hindi manakala pesawat C130 tidak dilengkapi dengan peralatan mencari di dasar laut. Namun begitu, sebanyak tiga pesawat C130 terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat MH370; perjalanan pergi dan balik pesawat C130 mengambil masa lapan jam dan masa dua jam untuk mencari. 
Nota: Akhbar Moskovsky Komsomolets milik Rusia mengetengahkan 'teori' bahawa pesawat MH370 telah dirampas oleh beberapa pengganas dan disembunyikan di wilayah Kandahar, Afganistan berhampiran sempadan Pakistan. Pengganas bernama 'Hitch' yang memberi arahan kepada juruterbang. Agensi perisakan Rusia menyatakan kedua-dua juruterbang MH370 tidak bersalah. Pesawat MH370 dikatakan berada di sebuah jalan raya berhampiran kawasan pergunungan dan sayap kapal terbang tersebut patah mungkin kesan pendaratan pesawat yang tidak lancar. Semua penumpang pesawat itu selamat dan hidup tanpa makanan. Seramai 20 orang pakar Asia (Freescale Semikonductor) yang ada dalam pesawat itu ditahan dan disembunyikan di Pakistan. Akhbar The Indipendent pada 16 Mac telah melaporkan pesawat tersebut terbang ke sebuah kawasan yang dikawal oleh Taliban. 

Jumaat, 11 April 2014

Kronologi Insiden Kehilangan MH370 #1

Di bawah ini adalah ringkasan kronologi kehilangan MH370 buat tatapan anda semua:
  • 8 Mac 2014: Pesawat MH370, jenis Boeing 777-200 membawa 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi dan dijadual mendarat di Beijing, China pada 6.30 pagi pada hari yang sama. Pesawat MH370 dilaporkan hilang dari radar awam Jabatan Penerbangan Awam Malaysia pada 1.30 pagi 120 batu nautika di timur perairan Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.
  • 10 Mac 2014: Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak berikrar bahawa Kerajaan Malaysia akan melakukan yang terbaik dalam operasi mencari dan menyelamat MH370. Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerima keputusan ujian sampel tompokan minyak yang ditemui di perairan Vietnam disahkan sebagai minyak bagi kapal kargo.
  • 11 Mac 2014: Misteri dua penumpang terjawab apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ibu pejabat Interpol mendedahkan identiti mereka iaitu warganegara Iran yang dikenali sebagai Pouria Nour Mohammad Mehrdad berusia 19 tahun dan Delavar Seyed Mohammad Erza berumur 29 tahun.
  • 13 Mac 2014: Dato' Seri Hishammuddin Hussien pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia menafikan dakwaan bahawa pesawat itu mungkin terbang kira-kira empat jam selepas ia hilang dari skrin radar. China menyatakan tidak ada bukti objek terapung yang dikesan oleh satelit di Laut China Selatan pada hari Ahad yang berkaitan dengan pesawat MH370. Pihak berkuasa China berkata berlaku kesilapan ketika mengeluarkan imej itu.
  • 15 Mac 2014: Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak tidak dapat mengesahkan laporan pesawat MH370 dirampas dan operasi mencari dan menyelamat di Laut China Selatan dihentikan.
  • 16 Mac 2014: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, insiden kehilangan MH370 disiasat mengikut Seksyen 130(C) Kanun Keseksaan bagi kesalahan merampas, keganasan dan sabotaj, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan Akta Kesalahan Penerbangan 2003. PDRM mengambil simulator penerbangan dari rumah juruterbang MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah.
  • 17 Mac 2014: Operasi pencarian multinasional membabitkan 26 negara di koridor utara dan koridor selatan.
  • 20 Mac 2014: Perdana Menteri Australia Tony Abbott menghubungi Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak pada pukul 10 pagi untuk memaklumkan bahawa objek yang dikesan satelit negara itu mungkin ada kaitan dengan kehilangan MH370. Satelit Australian Maritime Safety Authority (AMSA) mengesan imej dua objek di bahagian selatan Lautan Hindi terletak kira-kira 2,500 kilometer barat daya Perth. Operasi mencari dan menyelamat diteruskan dan objek yang dikesan oleh AMSA di Autralia akan ditentukan sama ada sebahagian daripada MH370.
  • 22 Mac 2014: Satelit China mencerap imej terapung berukuran 22.5 meter x 13 meter.
  • 24 Mac 2014: PDRM telah mengambil keterangan lebih 100 orang termasuk keluarga juruterbang MH370. Pada pukul 10 malam, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak mengumumkan kedudukan terakhir penerbangan MH370 dikesan di tengah Lautan Hindi, barat daya Perth. 
  • 25 Mac 2014: Pengerusi Malaysia Airline System (MAS) berkata, MAS mengisytiharkan pesawat MH370 bersama-sama 239 orang penumpang serta anak kapal sebagai 'hilang' berdasarkan bukti daripada Inmarsat dan Air Accidents Investigation Branch (AAIB) di United Kingdom. Perdana Menteri Australia Tony Abbott memberi jaminan Australia akan meneruskan usaha pencarian MH370. Semua muka depan akhbar arus perdana di Malaysia dicetak hitam putih sebagai tanda media berkabung dengan berita tragedi yang menimpa pesawat MH370. 
  • 26 Mac 2014: Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa bahawa penumpang dan anak kapal MH370 dikategorikan sebagai orang yang hilang (mahquq) maka solat jenazah ghaib bagi penumpang dan anak kapal pesawat MH370 yang beragama Islam tidak perlu dilakukan sekarang kerana Kerajaan Malaysia masih mencari kotak hitam, mencari mayat mangsa sekiranya ada dan pelbagai perkara yang berkaitan. Jawatankuasa fatwa juga memutuskan bahawa pengesahan kematian perlu dilakukan dan ditentukan di Mahkamah Syariah untuk membolehkan pembubaran perkahwinan, pembahagian harta pusaka dan lain-lain yang melibatkan waris si mati. Imej satelit mengesan 122 objek berpotensi yang mempunyai kaitan dengan pesawat MH370 kira-kira 2,557 kilometer dari Perth, Australia.
  • 29 Mac 2014: Dato' Seri Hishammuddin Hussien pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia menasihati media antarabangsa agar tidak menyebarkan spekulasi maklumat palsu atau membuat spekulasi berhubung kehilangan MH370.
  • 30 Mac 2014: Dato' Seri Hishammuddin Hussien pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia mengeluarkan transkrip perbualan terakhir di antara pegawai trafik udara dan kokpit pesawat MH370 pada 8 Mac jam 01.19 pagi (waktu Malaysia) iaitu "Selamat malam pesawat Malaysia tiga tujuh kosong".
  • 1 April 2014: Kementerian Pengangkutan Malaysia mengeluarkan transkrip penuh perbualan radiotelefon di antara juruterbang MH370 dan pegawai trafik udara tanpa petunjuk sebarang perkara yang tidak normal.
  • 2 April 2014: Sebuah kapal selam kelas Trafalgar, HMS Tireless tiba di Selantan Lautan Hindi. Polis Diraja Malaysia mendapati semua penumpang Malaysia yang hilang 'bersih' daripada elemen rampas, sabotaj dan masalah psikologi dan peribadi namun masih menjalankan siasatan terhadap anak kapal termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang.
  • 3 April 2014: Operasi mencari dan menyelamat MH370 meliputi kawasan kira-kira 223,000 kilometer persegi kira-kira 1,680 kilometer di barat laut Perth, Australia. Operasi pusat media mengenai kehilangan MH370 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dihentikan mulai 8 April 2014. Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak berkata teknologi dron bawah air diperlukan untuk fasa seterusnya dalam operasi mencari dan mengesan di Selatan Lautan Hindi memandangkan hayat pinger bateri kotak hitam akan tamat dalam tempoh empat hari. Malaysia dan Astralia berikrar akan meneruskan usaha mencari pesawat MH370 tanpa had garis masa. Pusat Koordinasi Agensi Bersama (JACC) menyatakan tiada sebarang objek dikesan di kawasan pencarian hari ini.
  • 4 April 2014: Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu Datuk Dr. Hasan Mad meminta media tempatan agar proaktif menangkis semua laporan negatif dan tidak tepat yang dikeluarkan oleh media antarabangsa. Australia berkata pihaknya sedang merangka satu perjanjian komprehensif untuk berkhidmat sebagai 'wakil bertauliah' dalam penyiasatan mengenai kehilangan MH370. Angus Houston Ketua Penyelaras JACC berkata perjanjian itu membolehkan Australia membantu Malaysia dalam menjalankan penyiasatan mengenai Penerbangan MH370 berlandaskan undang-undang antarabangsa. Usaha menjejaki pesawat MH370 kini diperluaskan kepada pencarian di dalam air bagi mengesan kotak hitam yang dipercayai hilang di selatan Lautan Hindi.
  • 5 April 2014: Dato' Seri Hishammuddin Hussien pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia mengumumkan bahawa Malaysia akan melantik seorang 'Penyiasat Bertanggungjawab' yang bebas bagi mengetuai pasukan penyiasatan merangkumi kumpulan layak terbang, kumpulan operasi serta kumpulan perubatan dan faktor manusia bagi menyiasat kehilangan MH370. Pasukan itu turut disertai oleh negara bertauliah seperti Australia, China, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis. Kerajaan Malaysia juga mewujudkan tiga jawatankuasa peringkat menteri iaitu Jawatankuasa Waris, Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Aset dalam usaha memperkemaskan serta memperkukuhkan usaha berterusan mencari MH370. Dato' Seri Hishammuddin Hussien pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia juga berkata penyiasatan ke atas anak kapal MH370 masih berjalan dan tiada siapa yang telah dibersihkan. Alat pengesan kotak hitam yang digunakan oleh kapal peronda China Haixun 01 telah mengesan isyarat detik di perairan selatan Lautan Hindi.
  • 6 April 2014: Pencarian MH370 dipertingkatkan di selatan Lautan Hindi membabitkan 112 pesawat dan 13 kapal meliputi kawasan seluas 134,000 batu persegi. Lagi satu isyarat akustik dikesan di selatan Lautan Hindi oleh Kapal Pertahanan Australia (ADV) Ocean Shield kira-kira 300 batu nautika dari isyarat akustik yang dikesan oleh Haixun 01. Kotak hitam MH370 akan mengeluarkan frekuensi getaran pada 37.5 kilohertz apabila pesawat terhempas. Haixun 01 mengesan frekuensi 37.5 kilohertz pada 4 April dan 5 April. JACC belum mengesahkan sama ada isyarat detik yang dikesan oleh Haixun 01 dan Ocean Shield adalah dari kotak hitam pesawat MH370.
  • 7 April 2014: Tiga isyarat akustik termasuk yang dikesan oleh Ocean Shield milik Tentera Laut Diraja Australia merupakan petunjuk terbaik yang dapat membantu memperkecilkan kawasan pencarian kotak hitam pesawat MH370. Kapal Ocean Shield mengesan isyarat aksutik yang pertama berlanjutan selama 2 jam 20 minit manakala isyarat kedua selama 13 minit. Operasi mencari dan menyelamat MH370 kini tertumpu di kawasan tiga isyarat getaran yang dikesan. PDRM telah merakam 180 percakapan bagi membantu siasatan berdasarkan empat elemen iaitu rampasan, sabotaj, masalah peribadi dan psikologi. Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airline System Ahmad Jauhari Yahya akan melepaskan jawatan selepas siasatan terhadap insiden kehilangan MH370 selesai. 
  • 8 April 2014: Operasi menjejaki isyarat getaran dari kotak hitam pesawat MH370 diperhebatkan bagi mengenal pasti lokasi tepat kehilangan pesawat MH370 bagi membolehkan dron penyelam dasar laut Bluefin-21 milik Amerika Syarikat digunakan. Peralatan itu digunakan sekiaranya terdapat lebih banyak isyarat dapat dikesan. Pencarian berdasarkan visual menyebabkan proses pencarian kotak hitam akan mengambil masa yang panjang. Ketua Penyelaras JACC Australia Angus Houston berkata tidak ada lagi isyarat getaran yang dikesan setelah Ocean Shield mencerap isyarat tersebut kali terakhir pada 7 April. Isyarat yang dapat dikesan itu adalah petunjuk terbaik tetapi frekuensi itu mungkin boleh berubah kerana tekanan dasar laut dan jangka hayat bateri yang semakin lemah.
  • 9 April 2014: Dua lagi isyarat akustik telah dikesan oleh kapal Ocean Shield pada frekuensi 33.31 kilohertz disahkan dari kotak hitam perakam data penerbangan; peranti buatan manusia. Isyarat pertama dicerap secara berterusan selama 5 minit 32 saat diikuti isyarat kedua berterusan selama 7 minit. Insiden kehilangan MH370 akan dijadikan contoh kajian kes yang akan dibincangkan dalam Persidangan Pertubuhan Akademi Kepolisan Antarabangsa yang bermula 21 April selama empat hari di Putrajaya, Malaysia. Kemasukan pelancong China ke Malaysia terjejas ekoran kehilangan pesawat MH370. Kebanyakan pelancong China telah membatalkan lawatan mereka ke Malaysia malah tidak ada 'tempahan penerbangan' direkodkan bagi penerbangan China ke Malaysia. Segala bentuk promosi dan kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 yang dijadualkan akan diadakan di China terpaksa ditangguhkan. Kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, "... selagi tidak berpenghujung (insiden) MH370 ini, saya tidak fikir kesesuaian untuk kita meneruskan kempen di negara China."

Nota: Jumlah keseluruhan kos operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370 sudah melebihi RM164 juta. Hal ini menjadikan operasi ini paling mahal dalam sejarah nahas penerbangan setakat ini. Kos mencari pesawat MH370 yang ditanggung oleh Kerajaan Malaysia telah mencecah RM97.7 juta. Kos yang ditanggung oleh Kerajaan Jepun berjumlah US$8.8 juta (RM28.7 juta) dari aspek penggunaan pelbagai aset milik negara Jepun untuk membantu Malaysia mencari pesawat MH370. Kos operasi kapal HMAS milik Australia yang digunakan dalam operasi ini untuk tempoh dua minggu berjumlah RM1.8 juta sehari. Kos kapal HMAS Toowoomba yang digunakan minggu lalu berjumlah RM1.25 juta sehari. Jumlah keseluruhan kos kedua-dua kapal itu setakat ini berjumlah RM32.8 juta. Selain itu, Tentera Laut Amerika Syarikat telah memperuntukan RM11.81 juta untuk kegunaan pengesan pinger ditunda dan dron dasar laut untuk mengesan kotak hitam milik MH370. 

Rabu, 9 April 2014

Misi Kerajaan Malaysia Mencari MH370 #5

Entri ini tersimpan lama dalam draf dan baru selesai diedit maka diterbitkan juga dalam blog ini khususnya buat sesiapa yang menggunakan enjin carian google untuk mencari perihal kehilangan MH370 dan terjumpa blog ini.  Di bawah ini adalah sambungan dari Misi Kerajaan Malaysia Mencari MH370 #3 rentetan misi Kerajaan Malaysia mencari MH370 pada hari kesebelas 18hb Mac 2014:
  • Operasi mencari dan menyelamat MH370 menumpukan empat tugas utama iaitu mengumpul maklumat dari radar dan satelit, analisis data radar, meningkatkan aset untuk mencari dan menyelamat serta penglibatan lebih ramai pakar teknikal. 
  • Tentera Thailand menyatakan bahawa radar tentera mengesan sebuah pesawat pada 8 Mac pukul 1.28 pagi yang dipercayai MH370 selepas beberapa minit sistem komunikasi pesawat tersebut dipadamkan. Thailand tidak berkongsi maklumat tersebut lebih awal dengan Malaysia kerana tidak diminta berbuat demikian lebih awal.
  • Indonesia pula memperhalusi radar di Aceh milik Angkatan Tentera Udara, Tentera Nasional Indonesia dan radar Pusat Kawalan Trafik Udara (ATC) Kuala Namu di Medan.
  • Duta Jepun ke Malaysia, Dr. Makio Miyagawa berkata, Jepun tidak akan menggantung operasi mencari dan menyelamat, sebaliknya kerajaan negara itu telah memberi lampu hijau agar misi ini diteruskan bersama Malaysia.
  • Biro Penyiasatan dan Analisis Keselamatan Penerbangan Awam (BEA), Perancis yang diketuai oleh Jean-Paul Troadec telah menghantar tiga wakil termasuk pakar yang mempunyai kemahiran tinggi dalam pencarian pesawat di dalam laut dari aspek telekomunikasi dan elektronik.
  • Tentera Laut Diraja Malaysia telah menghantar dua lagi kapal ke koridor selatan iaitu KD Pahang dan KD Terengganu.
  • MH370 sengaja dilencongkan dari laluan asal telah diprogramkan melalui sistem navigasi pesawat berkenaan di dalam kokpit. Pegawai pihak berkuasa Amerika Syarikat dalam akhbar New York Times berkata, sesiapa yang telah mengubah laluan penerbangan MH370 dipercayai telah menaip tujuh atau lapan kekunci pada komputer yang terletak di antara kapten dan pembantu juruterbang. Komputer tersebut dikenali sebagai Sistem Pengurusan Penerbangan (FMS) berfungsi membantu menerbangkan pesawat seperti yang dinyatakan dari satu titik laluan ke titik lain seperti yang tertera dalam pelan penerbangan yang dikemukakan sebelum berlepas tetapi tidak pasti adakah laluan MH370 diprogramkan sebelum atau selepas pesawat tersebut bertolak.
  • Kapten Zaharie Ahmad Shah dan pembantu juruterbang Fariq Abdul Hamid tidak mempunyai pengalaman membawa kapal terbang ke koridor utara dan koridor selatan. 
  • Sistem stimulasi penerbangan yang dimiliki oleh Kapten Zaharie Ahmad Shah dilengkapi dengan perisian yang mengandungi semua landasan kapal terbang di seluruh dunia. Zaharie boleh melakukan penerbangan secara stimulasi ke destinasi yang dikehendaki dalam keadaan cuaca yang diingini. Bukan sesuatu yang ganjil apabila Zaharie mempunyai sistem stimulasinya sendiri kerana selain bertugas sebagai juruterbang kanan beliau juga seorang jurulatih penerbangan dan penilai juruterbang baharu. Beliau menggunakan stimulasi tersebut untuk melatih dan menajamkan kemahirannya dalam penerbangan. Beliau menggunakan sistem perisian Microsoft X Stimulator, tiga skrin definisi tinggi, pedal dan panel kawalan yang menyerupai kokpit sebuah pesawat. Pembantu juruterbang MH370, Fariq Abdul Hamid merupakan pelatih Zaharie dan sedang melengkapkan latihan penerbangan sebelum menerbangkan pesawat besar seperti Boeing 777-200. 
  • Malaysia bergantung kepada negara-negara di koridor utara dan koridor selatan yang mungkin dilalui oleh MH370 dan sekiranya satelit di negara-negara tersebut menerima 'input' yang menyamai MH370.
  • Pihak berkuasa maritim Australia (AMSA) telah mengecilkan kawasan pencarian di Selatan Lautan Hindi. John Young yang merupakan Pengurus Besar Bahagian Kecemasan AMSA menyatakan operasi pencarian telah dikecilkan kepada 600,000 kilometer persegi (230,000 batu persegi) iaitu hanya 3% daripada anggaran 19 juta kilometer persegi kawasan di Lautan Hindi. 
  • Kementerian Kesihatan Malaysia merekodkan sebanyak 77 kes rawatan pesakit luar dan kaunseling kepada ahli keluarga penumpang pesawat MH370 sepanjang sepuluh hari mereka ditempatkan di Hotel Everly. Dari jumlah itu, empat kes dirujuk ke Jabatan Kecemasan, Hospital Putrajaya yang membabitkan dua kes biasa, satu asma dan satu masalah serangan panik. Sebanyak 17 kes diberi rawatan intervensi-psiko-sosial bagi menangani masalah emosi. Dari 17 kes, satu kes perlu memerlukan rawatan lanjut dari aspek psiko-sosial iaitu Stress Induced Hyperventilation yang menunjukkan tanda keresahan yang amat teruk.

Khamis, 3 April 2014

MH370: Ruang Analisis Daripada Sudut Pandangan Akademik

Isu kehilangan pesawat MH370 menggempar seluruh dunia malah Malaysia dikatakan berada dalam situasi krisis bermula dari misteri kini menjadi tragedi. Aku percaya dan yakin, misi Kerajaan Malaysia mencari pesawat MH370 ini akan mendapat tempat khususnya kepada para pengkaji akademik yang menganalisis misi ini dari sudut ilmiah. 

Pada masa akan datang, calon PhD juga boleh mengkaji misi Kerajaan Malaysia dalam mencari MH370 untuk dijadikan sebagai tesis PhD mengisi kelompangan kajian akademik yang belum dilakukan. Pengkhususan tujahan kajian dari aspek politik yang mencakupi bidang hubungan antarabangsa/diplomatik, keselamatan negara, analisis pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dan DUN Balingian untuk mengukur sejauhmanakah misi Kerajaan Malaysia ini berperanan sebagai independent variable mempengaruhi pengundi. Selain itu, tesis PhD juga mencakupi tujahan kajian dalam komunikasi yang mengkhusus analisis media Barat vs media tempatan manakala dari aspek teknikal meliputi aspek kejuruteraan pesawat termasuk kotak hitam (black box), radar dan satelit. Para pakar bidang oceanography di Malaysia juga kerap diminta pandangan oleh stesyen televisyen mengenai pencarian MH370 di Lautan Hindi. Sewajarnya ada calon doktor falsafah dalam bidang oceanography melakukan kajian dalam hal ini dengan cara memperdalamkan kajian dan memperkecilkan skop kajian.

Walau bagaimanapun, sesebuah kajian ilmiah pasti berbeza dengan kajian kewartawanan di mana kajian ilmiah perlu dipandu oleh kerangka teoritikal dan konseptual sebagai alat analisis. Kajian ilmiah mengenai misi Kerajaan Malaysia ini bermungkinan besar (bergantung kepada bidang tujahan kajian) dapat mengeluarkan hasil dapatan baru dari aspek teori khsusnya dalam bidang ilmu politik dan hubungan antarabangsa. Hasil dapatan baru dari aspek kejuruteraan boleh meliputi aspek penambaikan dan penghasilan teknologi kejuruteraan pesawat termasuk fungsi kotak hitam, radar serta satelit yang lebih canggih. Aspek teori dari sudut pandang akademik pasti berbeza dengan pelbagai teori yang dipaparkan oleh para wartawan dalam akhbar dan dibincangkan oleh masyarakat massa yang bersifat andaian dan speklulasi. 

Rabu, 2 April 2014

Aktiviti Bedah Buku Terbitan PTS

Sempena Karnival Eksplorasi Ilmu, pada 5hb April 2014 pada pukul 2.30 - 4.30 petang, insya-Allah akan berlangsung aktiviti Bicara Buku Bersama Dr. Danial Zainal Abidin. Semua penduduk negeri Kedah dan negeri yang sekitarnya khususnya sesiapa yang tinggal di Sungai Petani, marilah kita beramai-ramai menghadiri majlis ilmu yang berlangsung di Amanjaya Mall, Sungai Petani, Kedah.


Sebelum itu, pada hari yang sama pukul 11 pagi - 12 tengah hari, insya-Allah diadakan acara Kuali PTS Bersama Chef Hussin Khan yang banyak menghasilkan buku-buku masakan yang telah diterbitkan oleh PTS Millennia Sdn. Bhd. Untuk membedah buku resepi yang ditulis oleh Chef Hussin Khan, beliau akan melakukan demo memasak. Aku yang tidak pandai dan tidak berapa minat memasak menyebabkan aku jenis makan yang ala kadar (kecuali masakan itu terlalu sedap atau aku berasa terlalu lapar) turut berasa hendak hadir melihat demo masakan beliau dan membeli buku-buku masakan yang diltulis oleh Chef Hussin Khan yang mana berkenan di hatiku.