Memaparkan catatan dengan label Agama. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Agama. Papar semua catatan

Selasa, 9 Mac 2021

Kuliah Online Pengajian Fekah: Kitab Matan Abi Syuja'







Penulis: Imam Abu Syuja' Ahmad bin Al-Hussain bin Ahmad Al-Asfahani
Tajuk: 24 Jam Dipayungi Syariat
Tahun Terbit: 2014
Penerbit: PTS ISLAMIKA SDN.BHD.
Muka Surat: 260
Harga: RM30.00











Buku bertajuk 24 Jam Dipayungi Syariat merupakan terjemahan Kitab Matan Abi Syuja' (fekah Mazhab Syafie). Aku sudah lama beli buku ini dalam tahun 2014. Aku beli buku ini melalui laman web penerbit PTS dengan harga pre-order diskaun 20%. 

Setelah aku terima buku ini, aku terasa menyesal membeli buku ini sebab buku ini hanya ada butiran-butiran penting tanpa sebarang huraian. Aku terus simpan buku ini di dalam rak buku perpustakaan mini milik aku. Pada pandangan aku, buku tersebut perlu disyarahkan oleh seseorang yang berkelayakan; maksud perkataan matan dalam bahasa Arab jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu ialah ringkasan teks untuk disyarahkan.

Dalam hidup ini tidak ada yang berlaku secara kebetulan maka dalam bulan November 2020, aku masuk kumpulan whatsapp Soal Jawab Fiqh Ustaz Mohamad Abdul Kadir bin Sahak @ Ustaz Bin Sahak. Beliau merupakan pegawai di Jabatan Mufti Negeri Perlis. Ada ahli kumpulan whatsapp tersebut mencadangkan agar ustaz mengadakan kuliah online pengajian fekah. Ustaz Mohamad Abdul Kadir bin Sahak memilih Kitab Matan Abi Syuja'. Bagi sesiapa yang tidak menguasai bahasa Arab, disarankan menggunakan kitab yang sudah diterjemahkan bertajuk 24 Jam Dipayungi Syariat. 

Oleh itu, setelah tujuh tahun pada tahun 2021, aku mencari kembali buku tersebut. Aku terus terasa ada gunanya aku membeli buku ini. Sebagai manusia biasa, aku hanya dapat mengetahui hikmah sesuatu perkara setelah aku melalui perkara tersebut.

Matlamat aku mengikuti kuliah online ini adalah kerana aku masih mahu terus belajar menuntut ilmu sehingga ke liang lahad. Tambahan lagi pegangan aku dalam hal ini, tidak sepatutnya seseorang Muslim berhenti belajar ilmu agama apatah lagi jika seseorang Muslim itu tidak mempunyai latar belakang pengajian agama secara formal. Seperkara yang paling utama ialah selidiki terlebih dahulu latar belakang guru yang mengajar, jangan belajar daripada guru yang mengajar ajaran sesat.


Perjalanan Kuliah Online Pengajian Fekah Kitab Matan Abi Syuja'

Kuliah online ini diadakan pada hari Sabtu bermula pukul 9.30 malam menggunakan Google Meet sebagai medium pengajian; tanpa dikenakan sebarang yuran. Ustaz Mohamad Abdul Kadir akan mensyarahkan kitab ini ayat demi ayat dalam tempoh satu jam.

Sehingga entri ini ditulis, kuliah ini telah berjalan selama empat minggu dan masih mensyarahkan bab satu tajuk bersuci (Kitabun Taharah); kitabun merupakan perkataan bahasa Arab yang bermaksud himpun dan gabung manakala taharah bermaksud bersuci. Ada tambahan ilmu yang aku pelajari berkenaan perihal bersuci walaupun perkara berkaitan dengan bersuci ini sudah dipelajari semasa tingkatan satu sekolah menengah dalam subjek agama Islam. Namun, ilmu berkenaan perihal bersuci semasa sekolah menengah diajar menurut sukatan pelajaran yang telah ditetapkan sesuai dengan tahap pelajar tingkatan satu. Aku mula belajar sekolah menengah pada akhir 1980-an dan masih menggunakan Kurikulum Lama Sekolah Menengah (KLSM). 

Oleh itu, aku menghadiri kuliah online pengajian fekah ini sebagai pelajar dewasa di mana pengajian yang ada diadakan adalah lebih mendalam membincangkan pelbagai pendapat ulama yang turut meliputi pelbagai mazhab sesuai dengan tahap orang awam.


Alhamdulillah Aku Belajar Sesuatu Yang Baru

Aku hendak kongsikan satu perkara baru yang aku pelajari dari kuliah online ini ialah jenis-jenis air dan pembahagiannya. Dalam pengajian fekah, jenis-jenis air dibahagikan kepada tujuh kategori di mana pembahagian ini jika diterjemahkan merujuk kepada air hujan, air laut, air sungai, air telaga, air mata air, air salji dan air embun. Para ulama membahagikan air kepada tujuh jenis yang merangkumi air dari langit dan air dari bumi. Jenis-jenis air dan pembahagiannya jika merujuk kepada terjemahannya adalah sama seperti yang telah dipelajari semasa aku berada di sekolah menengah tingkatan satu. 

Namun begitu, ada satu kesilapan terjemahan sama ada di dalam buku 24 Jam Dipayungi Syariat atau dalam sukatan mata pelajaran agama Islam Kurikulum Lama Sekolah Menengah (KLSM); aku tidak pasti sukatan mata pelajaran agama Islam yang menggunakan kurikulum baru dan terkini.  


Kesilapan tersebut ialah pada terjemahan maa ul barad yang merujuk kepada air embun. Terjemahan yang tepat untuk maa ul barad ialah air ketul batu (ais) yang turun dari langit. Hal ini adalah kerana di negara-negara Arab memang berlaku hujan air ketul batu (ais). 
Oleh itu, adalah tidak tepat menterjemahkan 
maa ul barad kepada air embun. Jika difikirkan secara logik, persoalan yang timbul ialah bagaimana hendak menadah dan menghimpunkan air embun yang turun pada waktu malam sehingga boleh digunakan untuk bersuci?



P/S: Aku harap buku ini dapat disyarahkan sehingga habis. Aku simpati dengan beberapa orang ahli group whatsapp dan telegram yang membeli buku ini semata-mata untuk mengikuti kuliah ini secara online. Sekiranya buku ini tidak bersifat matan dan tidak disyarahkan sehingga habis, mereka masih boleh membaca dan menela'ah buku itu sendiri.

Jumaat, 9 Oktober 2020

Bersedekah

Ramai di antara kita pernah menerima sedekah termasuklah aku. Entri kali ini aku hendak cerita fasal sedekah makanan yang pernah aku terima. Sedekah makanan yang paling besar dan bemakna bagi diri aku ialah pada waktu aku susah dan tidak ada makanan yang hendak dimakan dalam erti kata lain duit ada tapi tidak seberapa. Di bawah ini aku senaraikan beberapa entiti yang aku pernah menerima sedekah makanan daripada mereka. Jangan salah faham, aku tidak minta sedekah tapi mereka yang memberi sedekah. 


Masjid UKM 

Dulu selepas aku tamat belajar di Masters di UKM, aku pernah bekerja sebagai pembantu penyelidik dengan gaji RM500.00 sebulan. Pendapatan sebanyak itu sebenarnya tidak cukup. Salah satu cara aku menjimatkan duit ialah ambil makanan yang disediakan oleh Masjid UKM pada setiap malam Jumaat. Pihak Masjid UKM ada menyediakan makanan yang sudah dibungkus dalam polisterin yang diletakkan di atas talam besar di luar ruang solat muslimah selepas selesai solat isyak. Setiap minggu, menu makanan yang disedekahkan sentiasa bertukar di antara nasi goreng, mee goreng dan meehoon goreng. 


Puan Saliha Hassan 

Semasa aku masih dalam pengajian Masters di UKM, aku ada mengambil kursus yang diajar oleh Puan Saliha Hassan. Beliau satu-satunya pensyarah aku yang selalu bersedekah makanan kepada para pelajar Masters yang diajarnya. Caranya, kuliah diadakan pada hari Sabtu. Sebelum kuliah bermula, beliau akan memesan pihak kafe di bangunan pentadbiran untuk menyediakan juadah makanan untuk semua pelajar-pelajar Masters. Pihak kafe menghantar makanan yang dipesan oleh beliau ke tempat kuliah yang diadakan. Kami para pelajar Masters menikmati makanan yang disediakan pada waktu rehat. Kadang-kadang, beliau pesan kepada kami agar pergi makan di kafe pentadbiran dan sebut nama beliau di kaunter pembayaran untuk memudahkan tujuan rekod harga makanan yang kami makan. Semoga Puan Saliha Hassan terus dikurniakan kesihatan yang baik. Aameen. 


Gerai Nasi Lemak Cik Maliah 



Aku selalu pergi ke gerai Cik Maliah yang menjual nasi lemak di Amanjaya Zon Anggerik Sungai Petani, Kedah dalam kawasan perumahan yang aku tinggal. Aku selalu beli nasi lemak berlauk rendang ayam. 

Dalam musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kena guna apps MySejahtera scan QR code hatta gerai di tepi jalan sekali pun. 

Setiap kali aku beli nasi lemak di Gerai Nasi Lemak Cik Maliah, aku bawa tupperware sendiri dari rumah. Tujuannya untuk memudahkan Cik Maliah mengisi nasi lemak yang aku beli ke dalam tupperware tanpa perlu menggunakan plastik dan surat khabar untuk membungkus nasi lemak maka secara tidak langsung dapat mengurangkan penghasilan sampah.



Gambar sebelah kanan ialah nasi lemak sukatan dua cawan yang aku beli di Gerai Nasi Lemak Cik Maliah manakala gambar sebelah kiri ialah ulam raja yang aku petik dari pokok yang ditanam di halaman rumah untuk dimakan bersama nasi lemak. Kadang-kadang aku makan nasi lemak dengan ulam pucuk daun kari. Ini saja yang aku mampu.

Cik Maliah selalu bagi diskaun kepada aku. Kalau hari Jumaat maka Cik Maliah menjadi terlebih pemurah. Lauk rendang ayam yang aku ambil selalu dia tidak kira harganya. Dia hanya minta aku bayar harga nasi lemak kosong tanpa lauk. Semoga Allah melimpahruahkan rezeki Cik Maliah. Aameen.


Dimensi Baharu Didikan Rasulullah s.a.w. Dalam Memahami Amalan Bersedekah

Rasulullah ﷺ mendidik umatnya agar tidak kedekut dengan harta dunia. Baginda menyatakan bahawa tidak akan berkurang harta orang yang bersedekah. Hal ini amat berbeza dengan doktrin ekonomi konvensional yang amat menekankan aspek simpanan agar harta/aset semakin meningkat; bersedekah bermakna pengeluaran yang akan menyebabkan harta seseorang semakin berkurang. Sabda Rasulullah ﷺ: 

مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ، وَمَا زَادَ اللَّهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا، وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ للَّهِ إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ 

“Tidak akan berkurang harta orang yang bersedekah dan Allah akan menambahkan kemuliaan bagi orang yang memberi kemaafan. Begitu juga Allah akan mengangkat kedudukan seorang yang bersifat tawaduk.” (Hadis Riwayat Muslim).
Malah Rasulullah ﷺ mengajar Aisyah bahawa harta yang disumbangkan akan kekal sebagai amalan dan diberi ganjaran pahala di sisi Allah. Perkara ini difahami melalui dialog Rasulullah ﷺ bersama Aisyah yang menceritakan mengenai para sahabat yang telah menyembelih kambing untuk sumbangan. Lalu Rasulullah ﷺ bertanya kepada Aisyah: 

مَا بَقِيَ مِنها؟ قالت: مَا بَقِيَ مِنها إِلَّا كَتِفُهَا، قَالَ: بَقِي كُلُّهَا غَيرَ كَتِفِهَا 

“Apakah masih berbaki kambing tadi wahai Aisyah? Aisyah menjawab: Tiada yang tinggal melainkan bahagian bahu sahaja. Lalu Rasulullah membetulkan kenyataan Aisyah: (bukan begitu Wahai Aisyah) kekal semuanya yang telah disumbangkan tadi (sebagai amalan) melainkan bahagian bahunya sahaja (yang tertinggal bukan sebagai amalan) (Hadis Riwayat At-Tirmizi).

Sabtu, 1 Ogos 2020

Andai Berharap Allah Pelihara Anak, Maka Jadilah Ibu Bapa Yang Soleh

Al-Quran menggambarkan kepada kita bagaimana Allah memelihara anak kepada pasangan ibu bapa yang soleh. Perkara ini direkodkan dalam Surah al-Kahf. Firman Allah:

وَكَانَ أَبُوْهُمُا صَالِحاً
“Dan kedua ibu bapa mereka adalah orang yang soleh.” (Surah al-Kahf ayat 82)

Perhatikan bagaimana disebabkan ibu bapa yang soleh, Allah memelihara harta dan anak tersebut dari dizalimi. Berdasarkan ayat ini, al-Imam Ibn Kathir menjelaskan:

فيه دليل على أن الرجل الصالح يُحفظ في ذريته
“Melalui ayat ini terdapat petunjuk yang menjelaskan bahawa lelaki yang soleh, Allah akan memelihara zuriatnya.”
Manakala al-Imam al-Qasimi pula memperincikan lagi penjelasan ini dengan menyebutkan:

وفي الآية إشارة إلى إرشاد الآباء ، الذي يخشون ترك ذرية ضعاف ، بالتقوى في سائر شؤونهم حتى تحفظ أبناؤهم وتغاث بالعناية منه تعالى
“Melalui ayat ini, terdapat pengajaran yang menunjukkan tentang keutamaan bimbingan seorang ayah yang bimbang untuk meninggalkan anak mereka dalam keadaan yang lemah, (lalu si ayah) menjaga ketaqwaannya dalam segenap aspek sehingga anaknya dipelihara oleh Allah dan dibantu oleh bantuan Ilahi.”
Berdasarkan kefahaman ini seorang Tabi'en bernama Said ibn Musayyib berkata kepada anaknya:

لأزيدنَّ في صلاتي مِنْ أجلِك ، رجاءَ أنْ أُحْفَظَ فيكَ
“Aku akan menambah (kualiti dan kuantiti) solatku supaya Allah memelihara engkau.”

Di sinilah titik muhasabah buat diri kita semua. Andai kita berharap agar Allah memelihara anak kita, maka kita hendaklah menjadi ibu ayah yang soleh. Benarlah sabda Rasulullah s.a.w., sekiranya kita jaga hak Allah, Allah jaga kita.


Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Universiti Sains Islam Malaysia




P/S: Kesimpulannya, dalam proses membesarkan anak-anak, tidak hanya cukup sekadar mendidik dan mengajar anak-anak tetapi ibu bapa juga perlu mendidik diri sendiri meningkatkan takwa dan amal soleh. 

Rabu, 24 Jun 2020

Hukum dan Penjelasan Ucapan R.I.P. Untuk Kematian Bukan Islam

R.I.P. adalah akronim kepada Rest In Peace dan merupakan kalimah yang biasa diucapkan oleh orang bukan Islam setiap kali menerima berita kematian.

Hukum seorang Muslim mengucapkannya kepada kematian orang bukan Islam adalah haram dan dilarang sama sekali. Ia bersandarkan kepada hadis riwayat Muslim dalam peristiwa yang berlaku saat kematian bapa saudara Rasulullah s.a.w. yang sangat dikasihinya iaitu Abu Thalib.

Apabila Abu Thalib hampir mati, maka Rasulullah s.a.w. pun pergi kepadanya. Didapati ada bersamanya Abu Jahal dan ‘Abdullah bin Abi Umayyah bin al-Mughirah lalu Rasulullah s.a.w. pun berkata: 
“Wahai pakcik! Katakan لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ satu ucapan yang aku akan menjadi saksi untuk engkau dengannya di sisi Allah.”
Abu Jahal dan  ‘Abdullah bin Abi Umayyah berkata:
“Wahai Abu Talib! Adakah engkau sudah benci kepada agama ‘Abd al-Muttolib?”
Namun Rasulullah s.a.w. tetap terus mengemukakan kalimah لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ kepada Abu Thalib. Namun Abu Thalib tetap mengulangi ucapan bahawa ia tetap berada berada di atas agama`Abd al-Muttolib sehingga akhir hayatnya. 

Rasulullah s.a.w. pun berkata: 
“Sesungguhnya demi Allah! Aku akan meminta ampun untuk engkau selagi aku tidak dilarang daripadanya.”
Selepas itu Allah s.w.t menurunkan ayat 113 dalam Surah At-Taubah:
مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَى مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ 

Maksudnya: Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.
Bersandarkan kepada dalil di atas, kita mengetahui bahawa Allah s.w.t. sendiri menegur Rasulullah s.a.w. supaya tidak mendoakan kepada orang musyrik (bukan Islam) yang telah meninggal dunia walaupun ahli keluarga sendiri. 

Maka kita juga tidak seharusnya mendoakan atas ucapan apa sekalipun kepada orang bukan Islam setelah kematiannya termasuklah dengan ucapan R.I.P. (Rest In Peace) atau maksudnya "Berehatlah Engkau Dengan Tenang" kerana perbuatan tersebut jelas bertentangan dengan hukum syarak.

Bagi kita orang Islam, ucapan yang disunnahkan kepada kita adalah kalimah istirja' iaitu "Innalillahi wainna ilaihi roojiiun" untuk setiap berita kematian. Ucapan istirja' juga diucapkan untuk setiap musibah yang berlaku. Hal ini disebutkan oleh Allah s.w.t. menerusi firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 156:
 وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِينَ  ٱلَّذِينَ إِذَآ أَصَـٰبَتۡهُم مُّصِيبَةٌ۬ قَالُوٓاْ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيۡهِ رَٲجِعُونَ
Maksudnya: Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun (bermaksud: Sesungguhnya kami milik Allah dan hanya kepada-Nyalah kami kembali)".
Ayat ini menerangkan tentang apa sahaja bentuk musibah yang berlaku sama ada pada diri kita ataupun orang lain, maka ucapan yang perlu kita sebutkan adalah "Innalillahi wainna ilaihi roojiiun". Ucapan ini juga terpakai bagi setiap kematian orang bukan Islam dan juga termasuk haiwan peliharaan kita.

Semoga dengan penjelasan ini dapatlah memberi kefahaman untuk memperbaiki kekhilafan yang telah dilakukan selama ini. Biasakan yang betul, betulkan yang biasa.

Wallahu'alam.

Rabu, 13 Mei 2020

Kesan Maksiat Pada Wajah

1. Rasulullah mendidik para pemuda agar membenci maksiat. Perkara ini benar-benar meresap ke dalam jiwa para sahabat sehingga mereka merasakan maksiat bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan. Kata Saidina Abdullah ibn Mas’ud: 


إن المؤمنَ يرى ذنوبه كأنه قاعد تحت جبلٍ يخاف أن يقع عليه، وإن الفاجرَ يرى ذنوبه كذُبابٍ مر على أنفه، فقال به هكذا 

“Orang mukmin akan melihat dosanya seumpama bukit yang akan menghempap diri mereka sedangkan orang yang fajir (pelaku maksiat) itu melihat dosa mereka seumpama lalat yang hinggap dihidup mereka sahaja, lalu ditepisnya.” 

2. Bahkan sebahagian sahabat merasakan bahawa perlakuan dosa mampu memberikan kesan kepada wajah seorang Muslim. Saidina Abu Darda pernah berpesan bahawa dosa yang dilakukan oleh manusia boleh dirasai oleh hati orang-orang yang beriman sehingga mereka tidak gemar melihat wajah pendosa. Kata Abu Darda’: 

ليتق أحدكم أن تلعنه قلوب المؤمنين وهو لا يشعر ، يخلو بمعاصي الله ، فيلقي الله له البغض في قلوب المؤمنين 

“Takutlah kamu dari dilaknat oleh jiwa-jiwa orang yang beriman dalam keadaan kamu tidak sedari. Mereka yang melakukan maksiat dalam keadaan bersembunyi ini, Allah akan mencampakkan rasa benci jiwa yang beriman terhadapnya.” 

3. Dalam kenyataan ini, Saidina Abu Darda seolah ingin menyedarkan kita bahawa dosa yang kita lakukan akan memberikan kesan kepada jiwa mukmin, sehingga mereka berasa tidak selesa, atau marah dengan kita. 

4. Dengan sebab itu Ibn Rajab menukilkan kata-kata salafusoleh yang menyatakan bahawa dosa dan maksiat yang kita lakukan boleh memberikan bekas kepada wajah kita. Ia direkodkan oleh Ibn Rajab yang menyebutkan: 

إن العبد ليذنب الذنب فيما بينه وبين الله ، ثم يجيء إلى إخوانه ، فيرون أثر ذلك عليه 

“Sesungguhnya seorang hamba itu, ketikamana dia melakukan maksiat seorang diri (yang hanya Allah mengetahuinya) lalu dia datang kepada sahabat-sahabatnya, maka mereka (sahabat tersebut) boleh melihat kesan maksiat tersebut pada dirinya. 

5. Atas sebab itu Rasulullah ada berpesan kepada Saidatina Aisyah bahawa ada manusia yang ditinggalkan kerana manusia takut dengan kejahatannya. Sabda Baginda: 

يَا عَائِشَةُ إِنَّ شَرَّ النَّاسِ مَنْزِلَةً عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَنْ وَدَعَهُ أَوْ تَرَكَهُ النَّاسُ اتِّقَاءَ فُحْشِهِ 

“Wahai Aisyah, sesungguhnya sejahat-jahat manusia di sisi Allah di hari akhirat nanti adalah mereka yang ditinggalkan oleh manusia kerana kejahatan yang mereka lakukan (samada kata-kata atau perbuatan mereka).” 

6. Ada dikalangan kita yang manusia merasa bahagia dengan kehadiran mereka. Ada dikalangan kita juga yang dibenci dengan kewujudan mereka yang kejahatan yang mereka lakukan. Tidak kira samada kejahatan terhadap manusia atau terhadap Islam itu sendiri. 

Semoga Allah memelihara dan menjauhkan kita dari dosa. Semoga Allah menjadikan kita hamba yang soleh disisiNya. 

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Universiti Sains Islam Malaysia 



P/S: Aku kongsi artikel ini sebab aku suka artikel ini dan sebagai peringatan kepada semua yang singgah menjenguk blog aku terutamanya diri aku sendiri.

Ahad, 28 Julai 2019

Hanya Allah Saja Yang Berhak Menghukum

Baru-baru ni, aku tengok satu video artis Malaysia sambil dia menyediakan masakannya, dia menegur sesetengah netizen yang meninggalkan komentar dalam ruang komen video-videonya di youtube. Kata artis tersebut, “Hanya Allah saja yang berhak menghukum. Jangan ambil kerja Allah.” 

Aku tidak mahu membincangkan berkenaan komentar netizen tersebut. Bersesuian dengan tajuk entri ini, aku hendak membincangkan kenyataan “Hanya Allah saja yang berhak menghukum.” 

Sebelum aku melanjutkan perbincangan ini, aku juga pernah menerima peringatan tersebut daripada seseorang berikutan tindakan aku menyampaikan tazkirah yang pernah aku dengar dalam siaran radio. Sehingga satu tahap, individu tersebut menyatakan bahawa dia tidak mahu berubah. 

Aku tidak menafikan pihak yang menyampaikan tazkirah hendaklah menyampaikan secara berhikmah dan tidak boleh menghukum perbuatan seseorang individu. Perkara yang disampaikan mengandungi nas bersumberkan al-Quran, hadis, fatwa ijma’ para ulama. Contohnya, seseorang menyampaikan peringatan bahawa perbuatan meninggalkan solat secara sengaja adalah haram dan berdosa besar. Adakah wajar seseorang individu itu menjawab, “Hanya Allah saja yang berhak menghukum”? Dalam al-Quran, Allah berfirman dalam surah al-Asr ayat 1-3 yang bermaksud:
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.
Pada pandangan aku, kenyataan “Hanya Allah saja yang berhak menghukum” kedengaran negatif. Individu yang menyatakan ungkapan tersebut bersifat defensif dan "apologetic" atas perbuatan seseorang yang tidak melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah. Aku pernah terbaca seorang muslimah menulis kenyataan berbentuk defensif dalam blog miliknya, “I’m not judging anyone. I’m sinner myself.” 

Pada masa yang sama, orang yang mengungkapkan kenyataan “Hanya Allah saja yang berhak menghukum” juga mengandungi nada sombong kerana menolak apa yang disampaikan kepadanya. Ungkapan sedemikian dinyatakan oleh umat akhir zaman ini dan aku tidak pernah membaca atau mendengar kenyataan sedemikian dalam tazkirah bahawa para sahabat Rasulullah s.a.w., tabi'in atau golongan tabi tabi’in pernah mengungkapkan kenyataan tersebut.

Hidayah itu sudah diperolehi oleh seseorang apabila dia beragama Islam, beriman serta mempunyai pengetahuan mengenal Allah yang Maha Esa, tidak ada Tuhan yang layak sembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad s.a.w. adalah pesuruh Allah. Namun begitu, taufik itu adalah pertolongan Allah untuk mendorong dan membolehkan seseorang mengerjakan amal soleh. Allah memberikan taufik kepada mereka yang bersungguh-sungguh hendak mengabdikan diri dengan penuh rasa kehambaan untuk mendekatkan diri kepada-Nya. 


P/S: Pengajaran yang aku perolehi dari kisah ini ialah mahalnya nilai taufik daripada Allah.

Khamis, 12 Julai 2018

Berkata Baik vs Diam


“Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir maka hendaklah ia berkata baik atau hendaklah ia diam.” (Muttafaq ‘alaih: Al-Bukhari nombor hadis 6018 & Muslim nombor hadis 47).

Ahad, 25 Mac 2018

Hukum Makan Semut

Semut adalah binatang yang tidak mengalir darah. Bangkai semut adalah najis yang dimaafkan. Namun masuk semut dalam minuman atau makanan hukumnya terdapat dua keadaan.

Pertama, semut masuk dalam keadaan sudah mati. Semut itu sudah tentu menjadi bangkai. Jika bangkai semut masuk dengan ikhtiar manusia seperti memasukkan gula yang ada bangkai semut ke dalam air minuman, maka air tersebut menjadi najis dan tidak boleh diminum.

Sebaliknya jika bangkai semut masuk di dalam air minuman bukan kerana ikhtiar manusia, seperti ditiup angin, selagi tidak mengubah sifat air maka ia boleh diminum dengan syarat membuang dahulu bangkai semut tersebut.

Kedua, jika semut yang masih hidup masuk ke dalam minuman, kemudian ia mati sendiri di dalam air dengan sebab ikhtiar manusia, maka air itu menjadi najis dan tidak boleh diminum. Ini mungkin boleh berlaku jika air itu ditapis atau memasukkan gula yang ada semut yang hidup. Atau mungkin kerana memasukkan air yang di dalam cawan mengandungi semut hidup.

Sebaliknya jika bukan dengan ikhtiar manusia seperti ia masuk dengan sendirinya atau ditiup angin, maka minuman itu tidak najis dan boleh diminum dengan syarat bangkai semua itu telah dibuang dahulu.


Sumber: Mohd. Azrin Wahid. 2018.  SHHHH... Dengarkan Bicara Si Semut!  Majalah Al-Islam, Februari Bilangan 528 Halaman 18-21.  Utusan Karya Sdn. Bhd.

Sabtu, 27 Januari 2018

Wahai Muslimah, Tutuplah Auratmu Dengan Sempurna Semasa Hayatmu Masih Ada

Sumber: Klik sini
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (An Nur:31)


Hikmah Menutup Aurat Khas Bagi Muslimah

Lebih-lebih lagi ayat di ayat, Allah menjelaskan hikmah agung dan kebaikan besar yang akan mereka dapatkan dengan melaksanakan perintah-Nya, iaitu penjagaan daripada Allah bagi kaum wanita sehingga mereka tidak diganggu dan disakiti ketika keluar rumah. 

Syaikh Abdurrahman as-Sa'di berkata, "Ini menunjukkan bahawa gangguan (bagi wanita daripada orang-orang yang berakhlak buruk) akan timbul jika wanita itu tidak mengenakan jilbab (yang sesuai dengan syariat). Kerana, jika wanita tidak memakai jilbab, boleh jadi ada orang menyangka bahawa dia bukan wanita yang 'afifah (terjaga kehormatannya), sehingga orang yang ada penyakit (syahwat) dalam hatinya akan menganggu dan menyakiti wanita tersebut, atau bahkan merendahkan atau melecehkannya... Maka dengan memakai jilbab (yang sesuai dengan syariat) akan mencegah (timbulnya) keinginan-keinginan (buruk) terhadap diri wanita daripada orang-orang yang mempunyai niat buruk". (halaman 46) 


Sumber: Zamri Hashim (Timbalan Mufti Negeri Perak). 2018. Syariat dan identiti Arab. Majalah Al-Islam, Januari Bilangan 527 Halaman 44-46. Utusan Karya Sdn. Bhd. 


Ironi Setelah Meninggal Dunia 

Ramai sahabat si mati menasihati waris agar memadam gambar-gambar si mati yang tidak menutup aurat dengan sempurna yang berada dalam laman sosial. Setelah meninggal dunia, waris pula dibebankan dengan tugasan menapis/memadam gambar-gambar si mati dek perbuatan si mati yang semasa hayatnya memuatnaikkan gambar-gambar sedemikian. 
Alangkah baiknya andai para sahabat si mati menasihatkan si mati agar menutup aurat dengan sempurna semasa hayatnya masih ada. 

Perintah menutup aurat dikenakan semasa seseorang muslimah masih hidup. Menjaga aurat termasuk tidak memuatnaikkan gambar-gambar yang mendedah aurat dalam facebook, instagram, blog dan lain-lain medium laman sosial dalam internet untuk tatapan para lelaki yang bukan mahram. 


P/S: Wahai Muslimah, istiqamahlah dalam menutup aurat. Istiqamah itu adalah pertolongan Allah khas buat mereka yang ikhlas hendak kembali kepada-Nya.

Sabtu, 9 Disember 2017

B+ = +ve dalam -ve

Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan negatif.

Baik dan buruk hanya pada pandangan kita yang terbatas, namun pada pandangan-Nya yang Maha Luas, semua yang ditakdirkan ke atas hamba-Nya pasti bermaksud baik.

Seorang ahli hikmah, Ibn Atoillah menjelaskan hakikat ini menerusi katanya: 
“Barangsiapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pendeknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.”
Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini:
“Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.”
Tadbirlah hidup kita sebaik-baiknya, namun ingatlah takdir Tuhan sentiasa mengatasi tadbir insan.

Malah dalam keadaan berdosa sekalipun, ujian didatangkan-Nya sebagai satu pengampunan.

Manakala dalam keadaan taat, ujian didatangkan-Nya untuk meningkatkan darjat.

Justeru, telah sering para muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah) berkata tentang hikmah ujian:
“Allah melapangkan bagi mu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagi mu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya (kelapangan dan kesempitan), supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah.”

Sumber: Ustaz Pahrol Juoi 

Selasa, 12 September 2017

Kalimah Suci Dalam Islam

Kalimah suci ialah apa-apa perkataan yang dikaitkan dengan nama yang dihormati dalam Islam sama ada berbentuk tulisan, lukisan simbol, gambar dan apa sahaja yang dimaksudkan dan difahami mewakili sesuatu kalimah. Di antara kalimah suci yang dihormati dalam Islam ialah:
  1. Mushaf Al-Quran
  2. Petikan ayat Al-Quran
  3. Kalimah Allah dan nama-nama Allah yang lain (Asma ul-Husna) serta apa sahaja kalimah yang menunjukkan sifat-sifat Allah.
  4. Nama Nabi Muhammad s.a.w.
  5. Nama Nabi-Nabi
  6. Nama malaikat
  7. Hadis Nabi Muhammad s.a.w.
  8. Doa-doa
  9. Gambar-gambar yang mengandungi kalimah suci. Contohnya, gambar masjid yang tertera ayat-ayat Al-Quran pada dinding masjid.
Kalimah suci termasuk apa sahaja yang ditulis dalam bentuk tulisan termasuk tulisan rumi. Sesuatu kalimah suci dibaca dalam bahasa Arab walaupun kalimah suci tersebut ditulis dalam tulisan rumi. Hal ini termasuklah singkatan s.a.w., s.w.t. dan r.a. tatkala kita melihat singkatan tersebut kita tidak membaca huruf singkatan sebaliknya kita berselawat, bertasbih dan sebagainya.

Contohnya, wujud sebahagian orang yang menulis No. 786 mewakili kalimah Bismillah maka apabila mereka melihat perkataan No. 786, mereka tidak membaca “nombor tujuh lapan enam” sebaliknya mereka menyebut lafaz Bismillah. Oleh itu, No. 786 diklasifikasikan sebagai kalimah suci yang perlu dihormati. 

Semua bahan yang mengandungi kalimah suci sama ada ditulis, dicetak, diukir, dilukis dan sebagainya mesti dihormati dan tidak boleh disimpan atau diletak di tempat yang tidak sewajarnya.

Pelupusan bahan-bahan yang mengandungi kalimah suci sama seperti kaedah pelupusan mushaf Al-Quran. Terdapat dua kaedah pelupusan:
  1. Menanam di dalam tanah di tempat yang tidak didiami dan tidak akan dimajukan. Kawasan tersebut menjadi seperti tanah kubur yang tidak boleh dibangunkan atau dimajukan.
  2. Menghilangkan tulisan dengan cara dibakar dan dihanyutkan ke laut. Bahan-bahan yang mengandungi kalimah suci hendaklah dibakar dalam bekas kedap haba sehingga abunya berwarna putih; abu berwarna hitam dikhuatiri masih terdapat huruf-huruf yang masih boleh dibaca. Setelah bahan-bahan tersebut dibakar, abunya bertukar menjadi warna putih tidak boleh dibuang ke dalam sungai kerana dibimbangi tersangkut di tebing sungai atau di tempat lain sebelum ia sampai ke laut.

Sumber: Diubah suai dari artikel bertajuk Haram Menulis, Mencetak Ayat Al-Al-Quran Dalam Huruf Selain Huruf Arab yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) untuk Takwim Dan Waktu Ibadah Bagi Seluruh Negeri Kedah Darul Aman (bulan Rabiul Awal 1437H). 

Jumaat, 26 Februari 2016

Taubat

Seseorang telah bertanya kepada Rabiatul Adawiyah: "Aku sering berbuat dosa dan aku menjadi semakin tidak taat. Tetapi, andai aku bertaubat, adakah Allah akan mengampuni aku?' Rabiatul Adawiyah menjawab: "Tidak! Tetapi apabila Allah ingin mengampunkan kau, maka, kau akan bertaubat."
(Adnin 2015: 104)


Sumber: Adnin Roslan. 2015. Tarbiah sentap.  Jil.1.  Shah Alam: Little Caliph Enterprise.



P/S: Subhanallah. Kebijaksanaan Rabiatul Adawiyah menjelaskan perihal taubat membuat aku Rabiatul Adawiyah (100H - 180H) adalah wali Allah dan tokoh sufi. 

Selasa, 7 April 2015

Croissant Lambang Anti-Islam






















Croissant sejenis pastri dicipta sebagai lambang anti-Islam. Sejarah pastri ini bermula di Vienna, Austria pada 11 September 1683. Dalam tahun 1683, tentera Kerajaan Turki Uthmaniah yang dipimpin oleh Kara Mustafa telah mengepung dan menyerang Kota Vienna sebagai langkah untuk menguasai negara-negara di Eropah Barat. 

Pembuat roti bekerja sehingga lewat malam di bahagian dapur bawah tanah telah mendengar bahasa Turki di sebalik dinding kota yang bergegar. Para pengawal Kerajaan Vienna mendapati tentera Turki Uthmaniah telah menggali terowong bawah tanah dan meletakkan bahan letupan untuk meruntuhkan Kota Vienna. Tentera salib pakatan Jerman dan Poland telah mara dari bukit Kahlenberg mengalahkan tentera Turki Uthmaniah. 

Croissant dicipta berbentuk bulan sabit mengambil simbol yang terdapat pada bendera Turki untuk merayakan kekalahan Turki Uthmaniah. Vienna adalah kota terakhir yang menjadi tempat perjuangan Islam terhenti. Makan croissant melambangkan "makan bendera Turki" dan secara tidak langsung bermakna "makan Islam". Hal ini menyebabkan wujud golongan Islam fundamentalis yang melarang umat Islam makan croissant.

Kini, croissant lebih dikenali sebagai makanan khas negara Perancis. Google translate menterjemahkan croissant sebagai "a French crescent-shaped roll made of sweet flaky pastry, often eaten for breakfast." Perkahwinan puteri Kerajaan Austria, Marie Antoinette (1755-1793) dengan Louis Auguste de France (1754-1793) telah menyebabkan dalam setiap pesta yang dianjurkan oleh Kerajaan Perancis, pastri dari Vienna ini dihidangkan kepada para tetamu. Pastri dari Vienna ini yang berbentuk bulan sabit menyebabkan ia popular dipanggil croissant dalam bahasa Perancis.

Rabu, 25 Mac 2015

Peringatan


Allah s.w.t. berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:
Dan Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada); kemudian Ia menyempurnakan tempoh umur kamu; (maka ada di antara kamu yang disegerakan matinya), dan ada pula di antara kamu yang dikembalikannya kepada peringkat umur yang lemah (peringkat tua kebudak-budakan), sehingga menjadilah ia tidak ingat akan sesuatu yang telah diketahuinya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa. (An-Nahl: 70)
Dialah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari (setitis) air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging; kemudian Ia mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian kamu (dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; kemudian kamu (dipanjangkan umur) hingga sampai menjadi tua. Dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan sebelum itu. (Allah melakukan kejadian yang demikian) supaya kamu sampai ke masa yang ditentukan (untuk menerima balasan); dan supaya kamu memahami (hikmat-hikmat kejadian itu dan kekuasaan Tuhan). Dan barangsiapa yang kami panjangkan umurnya nescaya kami kembalikan dia kepada kejadiannya (serba lemah). Maka apakah mereka tidak memikirkan? (Al-Ghaafir: 67) 
Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah; hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya? (Yaasiin: 68) 
Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Ia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya, dan Dialah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa. (Ar-Ruum: 54)

Khamis, 19 Mac 2015

Tingkat-Tingkat Jannah

جنّة (Jannah) adalah perkataan dalam Bahasa Arab dan jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu ia disebut sebagai syurga yang merupakan sebahagian daripada konsep hidup selepas mati. Perkataan syurga dalam bahasa Melayu berasal daripada bahasa Sanskrit iaitu swargam. Dalam al-Quran, Allah s.w.t. menyatakan terdapat lapan tingkat Jannah iaitu:
  • Jannatul Fidaus - Allah s.w.t. menyediakan jannah ini untuk orang yang benar-benar beriman dan beramal soleh. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. (1) Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. (2) Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. (3) Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu). (4) Dan mereka yang menjaga kehormatannya. (5) Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. (6) Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas. (7) Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya. (8) Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya. (9) Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. (10) Yang akan mewarisi Jannatul Firdaus; mereka kekal di dalamnya. (11)." [Al-Mukminun: 1-11]

  • Jannatul 'Adnin - Allah s.w.t. menyediakan jannah ini untuk orang yang bertakwa kepada Allah s.w.t., beriman, beramal soleh, sentiasa membuat kebajikan dan sabar dalam mencari keredhaan Allah s.w.t. . Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Dan ditanya pula kepada orang-orang yang bertaqwa: "Apakah yang telah diturunkan oleh tuhan yang telah diturunkan oleh Tuhan kamu?" Mereka menjawab: "Kebaikan" orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan yang baik, dan sesungguhnya balasan negeri akhirat itu lebih baik lagi; dan memanglah negeri akhirat ialah sebaik-baik negeri bagi orang-orang yang bertaqwa. (30) (Untuk mereka) Jannatul 'Adnin yang mereka akan memasukinya, yang mengalir padanya beberapa sungai; mereka beroleh di dalam Syurga itu apa yang mereka kehendaki; demikianlah Allah membalas orang-orang yang bertaqwa. (31)" [An-Nahl: 30-31]
"Dan sesiapa yang datang kepada-Nya sedang ia beriman, serta ia telah mengerjakan amal-amal yang soleh, maka mereka itu akan beroleh tempat-tempat tinggal yang tinggi darjatnya. (75) (Iaitu) Jannatul 'Adnin yang kekal, yang mengalir padanya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itu ialah balasan orang-orang yang membersihkan dirinya dari perbuatan kufur dan maksiat" (76) [Thoha: 75-76]
"Kemudian Kami jadikan Al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata). (32) (Balasan mereka ialah) Jannatul 'Adnin, yang mereka akan masukinya; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan dari emas dan mutiara; dan pakaian mereka di situ adalah dari sutera." (33) [Faatir: 32-33]
"Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat; (22) Iaitu Jannatul 'Adnin yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu" (23) [Ar-Ra'd: 22-23]

  • Jannatul Na'im -  Allah s.w.t. menyediakan jannah ini untuk orang yang sentiasa mengerjakan perintah Allah s.w.t., beriman dan  beramal soleh. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh Jannatul Na'im yang penuh dengan berbagai nikmat" [Luqman: 8]

  • Jannatul Ma'wa - Allah s.w.t. menyediakan jannah ini untuk orang yang bertakwa dan memiliki iman yang kuat serta sentiasa mengawal hawa nafsu. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Yang di sisinya terletak Jannatul Ma'wa" [An-Najm: 15]
"Adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka akan beroleh Jannatul Ma'wa tempat tinggal yang tetap sebagai balasan bagi apa yang mereka telah kerjakan" [As-Sajdah: 19]
"Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu. (40) Maka sesungguhnya Jannatul Ma'wa tempat kediamannya." (41) [An-Nazi'at: 40-41]

  • Jannatul Darus Salaam - Allah s.w.t. menyediakan jannah ini untuk orang yang memiliki iman yang kuat serta melakukan amal soleh kerana Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Bagi merekalah Darus Salaam (tempat tinggal yang aman sejahtera) di sisi Tuhan mereka, dan Dia lah Penolong mereka, disebabkan amal-amal (yang baik) yang mereka telah kerjakan" [Al-An'aam: 127]

  • Jannatul Darul Muqamah - Allah s.w.t. menyediakan jannah ini untuk orang yang mempunyai kebaikan yang sangat banyak dan jarang melakukan kesalahan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Dan (sebagai bersyukur) berkatalah mereka: "Segala puji tertentu bagi Allah, yang telah menghapuskan perasaan dukacita dari kami; Sesungguhnya Tuhan kami Maha Pengampun, lagi sentiasa memberi balasan yang sebaik-baiknya (kepada orang-orang yang taat) (34) Tuhan yang telah menempatkan kami dalam Darul Muqamah (tempat yang kekal), dengan limpah kurnia-Nya semata-mata. Kami tidak akan merasa penat lelah di situ, dan kami juga di situ tidak merasa letih dan lesu" (35) [Fathir: 34-35]

  • Jannatul Al-Maqamul Amin - Allah s.w.t. menyediakan jannah ini untuk orang yang bertakwa kepada-Nya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang yang bertaqwa (akan ditempatkan) di Maqamin Amin (tempat yang aman)." [Ad-Dukhaan:51]

  • Jannatul Khuldi - Allah s.w.t. menyediakan jannah ini untuk para muttaqin (mereka yang bertakwa). Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Bertanyalah (kepada mereka): "Adakah (azab seksa neraka) yang demikian itu lebih baik atau Jannatul Khuldi (yang kekal), yang dijanjikan kepada mereka yang bertaqwa?" Yang disediakan untuk mereka sebagai balasan dan tempat kembali" [Al-Furqan: 15]
P/S: Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "... Apabila kamu memohon kepada Allah, maka mohonlah kepada-Nya (untu mendapatkan) Jannatul Firdaus, kerana ia adalah syurga yang paling tengah dan paling tinggi.” (Perawi hadis: Abu Hurairah; dalam kitab: Sahih Al-Bukhari; nombor rujukan hadis: 2790)

Rabu, 25 Februari 2015

Selawat Nabi Muhammad ﷺ Dalam Microsoft Word

Semalam aku belajar sesuatu yang baru dan aku ingin berkongsi dengan anda semua. 

Selepas menaip perkataan Rasulullah dengan menggunakan Microsoft Word, kita tidak perlu lagi menaip "s.a.w." atau "pbuh" (pbuh adalah akronim kepada peace be upon him) [contoh: Rasulullah s.a.w. atau Prophet Muhammad pbuh].

Kini, kita hanya perlu menaip huruf "fdfa" (tanpa quotes) selepas perkataan Rasulullah/Prophet Muhammad [contoh: Rasulullah fdfa] dan diikuti tekan kunci Alt dan huruf x serentak, hasilnya ia menggantikan huruf "fdfa" dengan ﷺ [The Arabic salawat on Prophet Muhammad icon "Sallahu 'Alaihi Wa Sallam"].

Selain itu, anda semua boleh tonton video tutorial, sila klik https://youtube.com/shorts/o2EdV-53kTE?feature=share


P/S: Selamat Mencuba 

Jumaat, 24 Oktober 2014

Tahun Hijrah Qamariah

Penentuan ibadah dalam Islam berdasarkan takwim hijrah yang merujuk kepada bulan qamari. Tarikh dalam tahun hijrah qamariah berdasarkan kepada pergerakan bulan mengelilingi bumi yang mengambil tempoh masa lebih kurang 29.5 hari. Hari yang baru dalam bulan qamari bermula selepas terbenam matahari. Setiap bulan qamari mengandungi 29 atau 30 hari. Dalam tahun hijrah qamariah mengandungi 354 hari, 8 jam, 48 minit dan 36 saat.

Sebelum kedatangan Islam, takwim qamariah turut digunakan oleh orang Mesir, Arab, India, China dan lain-lain. Namun begitu, pelbagai riwayat mencatatkan terdapat perbezaan nama-nama bulan qamari sebelum kedatangan Islam dan selepas kedatangan Islam iaitu:

Qamariah Hijrah
Qamariah Sebelum Islam
Muharram
Baiik
Safar
Naqil
Rabiul Awal
Taliq
Rabiul Akhir
Tajir
Jamadil Awal
Aslah
Jamadil Akhir
Aftah
Rejab
Aslak
Sya’aban
Ramadhan
Syawal
Zulkaedah
Zulhijah
Kusa’a
Zahir
Bat
Haq
Nai’ish
___________________________________

Bulan qamari digunakan dalam Islam berdasarkan firman Allah yang terkandung dalam al-Quran yang bermaksud:
Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa. (At-Taubah 9: 36)
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi pertunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan pertunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadaan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat pertunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. (Al-Baqarah 2: 185)
Orang Arab sebelum zaman pemerintahan Sayidina Umar al-Khattab tidak mempunyai takwim yang mengandungi bilangan tahun. Mereka hanya memberikan nama khusus bagi tahun berdasarkan peristiwa besar yang berlaku dalam tahun tersebut. Contohnya, Tahun Banjir Makah, tahun Rasulullah s.a.w. dilahirkan disebut sebagai Tahun Gajah, Tahun al-Izn ialah tahun pertama izin hijrah dari Mekah ke Madinah, Tahun al-Amr iaitu tahun kedua di mana umat Islam diperintahkan memerangi golongan musyrikin manakala Tahun al-Wada' iaitu tahun kesepuluh yang mengandungi peristiwa haji wida' yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

Bilangan tahun bagi takwim qamariah mula disusun pada zaman pemerintahan Sayidina Umar al-Khattab r.a. berikutan peristiwa:
  1. Sayidina Umar al-Khattab r.a. telah menerima sepucuk surat daripada Abu Musa Al-Asy'ari yang tidak mengandungi tarikh.
  2. Sayidina Umar al-Khattab r.a. menerima sepucuk surat daripada Gabenor di Mesir yang hanya mencatatkan Sya'aban tanpa tahun.
Berdasarkan peristiwa di atas, Sayidina Umar al-Khattab r.a. telah bermesyuarat pada hari Rabu 20 Jamadil Akhir tahun 17 Hijrah. Hal ini kerana surat-surat penting yang tidak mengandungi tarikh boleh mengelirukan pelbagai pihak. Ahli jawatankuasa mesyuarat bersepakat menerima cadangan Sayidina Ali bin Abu Talib r.a. iaitu pengiraan takwim Islam bermula pada tahun berlaku hijrah Rasulullah s.a.w. dari Mekah ke Madinah. Mesyuarat tersebut juga menerima cadangan Sayidina Uthman bin Affan r.a. agar menjadikan awal Muharram sebagai bulan pertama takwim Hijrah. Awal Muharram dalam tahun berlaku hijrah Rasulullah s.a.w. diambil sebagai permulaan tarikh Islam walaupun peristiwa hijrah tidak bermula dan berakhir pada hari itu. Rasulullah s.a.w. memulakan hijrah pada akhir bulan Safar dan memasuki Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiul Awal. Dalam hal ini, Sayidina Umar al-Khattab mengungkapkan pandangan yang jelas menggambarkan kebijaksanaan beliau:
"Peristiwa hijrah menjadi pemisah di antara kebenaran dan kebatilan. Maka ambillah ia."
P/S: Kepada semua muslim di mana saja anda semua berada, selamat menyambut tahun 1436 Hijrah. 

Selasa, 16 September 2014

Hari-Hari Allah: Rabiul Awal, Rejab, Sya`ban & Syawal


 

Tajuk: Hari-Hari Allah: Rabiul Awal, Rejab, Sya`ban & Syawal

Penulis: Dr. Yusuf Al-Qaradhawiy

Penterjemah: Muhammad Dzulhilman Bin Roslan

Tahun Diterbitkan: 2013

Penerbit: Blue-T Publication






Soalan yang menerpa dalam kotak fikiran aku ialah apa yang menarik mengenai buku ini? Aku meneliti sepintas lalu kandungan buku Hari-Hari Allah: Rabiul Awal, Rejab, Sya`ban & Syawal. Justeru, aku ingin berkongsi ilmu yang aku perolehi dari buku ini:

1. Aku pernah membaca hadis riwayat Ibnu Umar r.a. sebelum ini yang menyatakan:

Bahwa Nabi s.a.w. melarang puasa sambung tanpa berbuka. Para sahabat bertanya: Bukankah baginda sendiri melakukan puasa wishal (terus-menerus tanpa berbuka)? Nabi s.a.w. menjawab: Sesungguhnya aku tidak seperti kalian. Aku diberi makan dan minum. (Shahih Muslim No.1844)

Apakah makna tersirat dari hadis di atas yang menyatakan "Sesungguhnya aku tidak seperti kalian. Aku diberi makan dan minum"? Al-Qaradhawy menjelaskan "Allah SWT bukan memberi baginda s.a.w. makan dan minum seperti buah-buahan dan sebagainya tetapi terminologi 'makan dan minum' merujuk kepada makanan hati dan roh. Baginda terlalu sibuk untuk mengenali dan mencintai Allah serta takut kepada-Nya" (halaman 28).

2. Mengenai amalan-amalan yang dilakukan khusus sempena Nisfu Sya'ban.

Memetik pandangan Syeikh Abdul Aziz Abdullah bin Baz:

Berdasarkan ayat-ayat , hadis-hadis dan pendapat para ahli ilmu di atas jelaslah bagi orang yang mencari kebenaran bahawa memperingati malam Nisfu Sya'ban dengan solat dan sebagainya serta mengkhususkan siangnya untuk berpuasa adalah bid'ah mungkar menurut kebanyakan ahli ilmu dan tidak ada dasarnya dalam syari'at yang murni, tetapi peringatan malam Nisfu Sya'ban ini terjadi dalam Islam setelah masa sahabat. Cukuplah bagi para pencari kebenaran mengenai masalah ini dan masalah lain (halaman 117).

Sabda Rasulullah s.a.w.:

Sesiapa yang melakukan satu amal (berkaitan agama) yang bukan dari suruhan kami , ia tertolak" (Hadis Riwayat Muslim) ~ Sahih Muslim hadis no. 1718. 

Buku ini mengandungi pelbagai ilmu-ilmu lain yang bermanfaat seperti peristiwa Isra' dan Mikraj, perbincangan pertukaran arah kiblat dari Masjidil Aqsa di Palestin ke Baitullah di Mekah, hukum berpuasa dalam bulan Sya'ban terutama selepas hari Nisfu Sya'aban (15 Sya'ban) dan pertempuran umat Islam menentang Yahudi pada akhir zaman.

Aku hanya dapat memberi nilai tiga bintang kerana pada penelitian aku penterjemah buku ini telah menokok tambah perbincangan yang diutarakan oleh Al-Qaradhawy. Allahu 'alam.