Masyarakat Melayu di Malaysia menggunakan perkataan "kenduri" bagi merujuk majlis jamuan makan yang diadakan sempena perkara yang perlu diraikan seperti kenduri kahwin, kenduri selamat, kenduri arwah, kenduri kesyukuran dan kenduri apam (menyambut mikraj dalam bulan Rejab). Namun begitu, istilah "kenduri" itu sendiri dihubungkan dengan elemen ibadah keagamaan di mana sebelum sesuatu majlis jamuan makan berlangsung pelbagai acara keagamaan diadakan terlebih dahulu seperti bacaan tahlil, zikir, bacaan surah Al-Fatihah, bacaan Surah Yaasin, membaca surah tiga Qul (Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas), marhaban, bacaan selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. dan doa.
Semenjak peningkatan kesedaran Islam dalam kalangan masyarakat Melayu di Malaysia bermula awal 1980-an, kini ramai keluarga dalam masyarakat Melayu mula menitikberatkan aspek syariat Islam dalam mengadakan kenduri kahwin atau walimatul urus iaitu:
Semenjak peningkatan kesedaran Islam dalam kalangan masyarakat Melayu di Malaysia bermula awal 1980-an, kini ramai keluarga dalam masyarakat Melayu mula menitikberatkan aspek syariat Islam dalam mengadakan kenduri kahwin atau walimatul urus iaitu:
- Majlis kenduri kahwin yang diadakan bersifat sederhana walaupun tafsiran sederhana bersifat subjektif.
- Tidak mengadakan majlis persandingan. Jika diadakan majlis persandingan, kebiasaannya pengantin perempuan memakai baju pengantin (ketat dan tudung yang dipakai tidak dilabuhkan menutup dada) yang disifatkan menutup aurat dari sudut pandangan adat masyarakat Melayu tetapi tidak memenuhi tuntutan menutup aurat seperti yang digariskan dalam syariat Islam.
- Tempat duduk para tetamu diasingkan di antara lelaki dan perempuan.
- Tidak mengklasifikasikan tetamu yang diundang dari aspek kedudukan harta dan pangkat.
- Lagu-lagu yang dikumandangkan semasa majlis kenduri kahwin sedang berlangsung ialah lagu yang berunsurkan islamik.
- Setiap kali masuk waktu solat, lagu-lagu yang dikumandangkan diberhentikan untuk menghormati azan, para jiran dan tuan rumah yang hendak mendirikan solat pada awal waktu.
Walau bagaimanapun, salah satu aspek ciri islamik yang kurang dititikberatkan dalam mengadakan kenduri kahwin ialah aspek makanan. Kebiasaannya makanan yang dihidangkan dalam majlis kenduri kahwin ialah makanan yang berat (nasi dan lauk-pauk seperti ayam/daging/acar) dan makanan ringan (bubur, buah-buahan dan kuih-muih) serta minuman. Penyediaan makanan berat (lauk-pauk) seperti masak merah, gulai, masak kicap, rendang dan sebagainya lazimnya berkuahkan minyak yang banyak manakala makanan ringan serta minuman pula amat manis kerana penyediaannya menggunakan gula yang banyak.
Islam amat menitikberatkan aspek penjagaan kesihatan. Dalam hal ini, kesihatan yang sempurna turut bergantung kepada pemakanan yang baik, halal, seimbang dan tidak berlebih-lebihan.
Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik (Al Maidah 5: 5).
Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kepada-Nya sahaja kamu beriman (Al-Maidah 5: 88).
Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan (Al-A'raf 7: 31).
Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu (Al-Baqarah 2: 168).
Sewajarnya kenduri kahwin bagi masyarakat Melayu yang menganuti agama Islam menghidangkan makanan yang lazat, baik dan seimbang kerana Allah telah menetapkan tatacara pemakanan umat Islam. Agama Islam meletakkan kesihatan dan kesejahteraan di tempat yang pertama selepas keyakinan (keimanan). Kenyataan tersebut berdasarkan sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:
Mintalah kepada Allah kesihatan dan kesejahteraan kerana sesungguhnya tidak ada perkara yang lebih baik dari kesihatan selepas keyakinan (iman) (Hadis Riwayat Ibnu Majah).


