Tahun Terbit: 2019
Penerbit: RAM Typewriter Ventures
Muka Surat: 209
Harga: RM35.00 (Pre-Order termasuk bayaran pos)
Novel Mitos merupakan himpunan cerita bersiri yang pernah disiarkan dalam sisipan Inspirasi Novel akhbar Berita Harian bermula 7 September 2013 pada setiap hari Sabtu. Aku tidak tahu mengenai kewujudan novel bersiri Mitos ketika kisah ini disiarkan dalam akhbar. Novel ini diterbitkan oleh syarikat penerbitan Ramlee Awang Murshid iaitu RAM Typewriter Ventures. Buku ini hanya boleh dibeli dengan cara menghubungi Ramlee Awang Murshid Fan Club (RAMFC) Store dalam facebook. Aku beli buku ini ketika RAMFC Store menawarkan harga pre-order.
Sebelum ini, cerita bersiri ini telah dibukukan dan pernah diterbitkan oleh Ramlee Awang Murshid Fan Club (RAMFC) dalam tahun 2014. Aku tidak berkesempatan untuk membeli Mitos edisi lama keran aku tidak tahu mengenai kewujudan novel ini dalam pasaran - dijual dalam talian. Rupa bentuk kulit buku Mitos edisi lama boleh dilihat di sebelah kanan. Namun begitu, terdapat perbezaan di antara Mitos (2019) dengan Mitos (2014). Mitos (2019) diterbitkan menurut manuskrip asal penulis manakala Mitos (2014) diterbitkan berdasarkan himpunan cerita bersiri Mitos yang disiarkan dalam akhbar setelah manuskrip asal Mitos diedit bagi memenuhi standard ruangan dalam akhbar khasnya jumlah patah perkataan yang telah ditetapkan oleh editor. Oleh itu, terdapat bahagian tertentu dalam Mitos (2019) yang tidak didapati dalam Mitos (2014).
Mitos (2014) dicetak dalam jumlah yang terhad. Hal ini menyebabkan selepas beberapa tahun, terdapat pemilik Mitos (2014) yang menjual kembali sebagai buku terpakai dalam talian sehingga mencecah RM300.00 iaitu sepuluh kali ganda dari harga asal. Plot novel Mitos (2019) mudah, tidak berat dan ringan untuk dihadam. Mitos (2019) mempunyai 209 muka surat dan aku hanya mengambil masa beberapa jam sahaja untuk membaca novel ini.
Mitos mengungkap kisah permusuhan di antara dua kelompok iaitu pemburu dan pemangsa yang berasal dari Jambi dan dikatakan bermusuhan semenjak zaman dahulu lagi. Kelompok pertama merupakan manusia yang boleh bertukar kepada harimau atau dikenali sebagai manusia harimau diklasifikasikan sebagai pemangsa. Ramlee Awang Murshid tidak pernah menyatakan secara jelas, apakah rupa bentuk kelompok pemburu. Namun begitu, dalam halaman 140 Ramlee Awang Murshid menerusi watak Atan menyatakan rupa bentuk kelompok pemburu seperti manusia yang boleh bertukar kepada rupa bentuk seperti jin:
"Aku nampak... harimau dan jin... bergaduh! Dahsyat gila!" lanjut Atan.
Terdapat permusuhan di antara dua kelompok ini iaitu pemburu dan pemangsa yang berasal dari Jambi dan dikatakan bermusuhan semenjak zaman dahulu lagi. Dalam novel Mitos, wujud segolongan daripada kedua-dua puak ini yang telah berhijrah ke Tanah Melayu dan perperangan antara mereka masih berlarutan sehingga kini.
Ketegangan membaca permusuhan di antara kelompok pemburu dan pemangsa lebih dirasakan ketika kisah peperangan di antara mereka yang berlaku di hutan Temerloh pada 1966 berbanding dengan apa yang berlaku pada latar masa kini. Pada latar masa kini, konflik lebih banyak tertumpu kepada watak Haikal, Umairah, Haji Daud (datuk Haikal) dan ibu bapa Umairah (Asmiah dan Zamberi). Haikal pada awal novel ini digambarkan telah diculik dan dicampakkan ke Pulau Harimau berhampiran dengan Jambi. Walau bagaimanapun, akhirnya diketahui juga bahawa Haikal telah diculik oleh dua orang abang Umairah namun sebab yang membawa kepada penculikan itu atau kisah yang berlaku di sebaliknya tidak diketahui.
Konflik seterusnya berlaku apabila Haikal jatuh cinta dengan Umairah. Haikal daripada kelompok pemburu manakala Umairah daripada kelompok pemangsa. Haji Daud dan Dato' Adib (ayah Haikal) serta ibu bapa Umairah tidak bersetuju dengan hasrat Haikal untuk menikahi Umairah. Hal ini telah membawa pergaduhan di antara kelompok pemburu dan pemangsa yang berlangsung di hutan Temerloh pada tahun 2013.
Di samping itu juga, Ramlee Awang Murshid menyelitkan kisah dua anggota polis (ASP Kamarul dan Inspektor Zaheran) yang terlibat menyiasat satu kes pembunuhan empat orang perompak yang dibunuh oleh seekor harimau. Kisah ini pula tidak mempunyai perkaitan langsung dengan keluarga Haikal (pemburu) dan keluarga Umairah (pemangsa). Di akhir plot, ASP Kamarul membuat pengakuan di depan Zaheran bahawa dia telah membunuh semua perompak itu dan merupakan salah seorang daripada kelompok pemangsa. Namun begitu, tidak diketahui dari jurai keluarga mana ASP Kamarul datang kerana pertempuran di hutan Termerloh pada tahun 1966 hanya meninggalkan empat orang sahaja di Tanah Melayu iaitu Jingga/Daud, Cuandas, Kurnia/Adib dan Astirai/Asmiah. Dalam hal ini, Ramlee Awang Murshid mungkin hendak menyatakan terdapat ramai lagi ahli kelompok pemangsa dan pemburu yang berada di tengah masyarakat seperti watak (Zamberi dan bapanya - kelompok pemangsa) yang muncul secara tiba-tiba sewaktu (Cuandas membawa Astirai/Asmiah - kelompok pemangsa) lari meninggalkan Daud.
Ramlee Awang Murshid menamatkan novel Mitos dengan meninggalkan persoalan kepada pembaca; cara ini amat popular kepada penulis novel dari Jepun iaitu Haruki Murakami. Tidak tahu apa yang berlaku akhirnya kepada watak ASP Kamarul dan Inspektor Zaheran serta apa kesudahan pertempuran di hutan Temerloh pada tahun 2013 serta siapa pasangan Umairah. Di akhir plot novel ini, Umairah dikatakan mempunyai cahaya mata lelaki yang bernama Sufi Rifqi yang berusia dua tahun satu hari. Dalam halaman 209, Haikal pula mengorak lembaran baru dalam kehidupannya dengan cara membuat tanggapan sendiri mengenai guliran baka (pemburu) yang diwarisinya sebagai mitos manakala mitos dan Umairah pula hanyalah satu pembohongan/pendustaan:
"Semua ini... hanya pembohongan." Getus Haikal.
Mitos dan Umairah dianggap pendustaan paling licik dalam guliran kehidupannya."
P/S: Setelah aku membeli novel Mitos maka sehingga hari ini, aku memiliki semua novel-novel tulisan Ramlee Awang Murshid termasuk tulisan beliau dalam dua buah antologi cerpen iaitu Antologi Mistik Jembalang dan Antologi Jiwa Kacau Gaun Berdarah. Hurrah, hurray...