Khamis, 27 Februari 2014

Soalan-soalan Potensi Untuk Viva PhD

  1. Kenapakah anda memilih tajuk kajian ini?
  2. Ringkaskan tesis anda.
  3. Ringkaskan tesis anda dalam satu ayat.
  4. Apakah pandangan anda mengenai perubahan tajuk penyelidikan ini?
  5. Apakah benang idea yang berperanan mengikat keseluruhan bab dalam tesis anda?
  6. Apakah motivasi dan inspirasi anda untuk menjalankan penyelidikan ini?
  7. Apakah isu utama yang menjadi perbahasan dalam kajian ini?
  8. Mengapa penyataan masalah (problem statement) kajian ini sesuatu yang penting untuk ditangani?
  9. Apakah objektif penyelidikan anda?
  10. Mengapakah anda menentukan objektif ini dalam kajian anda? 
  11. Apakah pengaruh kuat yang menyumbangkan pembangunan subjek kajian anda dalam konteks kerangka teoritikal, konseptual dan praktikal?
  12. Kenapakah teori ini dipilih dalam kajian anda?
  13. Adakah teori ini sesuai digunakan dalam kajian ini?
  14. Kemukakan tiga kertas kerja/jurnal yang paling penting dan berkaitan dengan tesis anda.
  15. Yang mana penerbitan oleh para pengkaji sedia ada boleh dikatakan hampir dengan kajian anda? 
  16. Bagaimana kajian (kertas kerja/jurnal) anda berbeza dengan kajian (kertas kerja/jurnal) pengkaji-pengkaji lain yang telah diterbitkan?
  17. Apakah sejarah yang menjadi latar belakang subjek atau kawasan lapangan kajian anda?
  18. Bagaimana kajian anda mempunyai kaitan dengan sejarah yang menjadi latar belakang kajian anda?
  19. Apakah perkembangan terkini subjek atau kawasan lapangan kajian anda?
  20. Bagaimana persoalan kajian anda boleh muncul?
  21. Apakah keputusan penting anda dalam melakukan penyelidikan ini?
  22. Mengapakah anda menggunakan kaedah penyelidikan ini?
  23. Apakah yang anda perolehi daripada kaedah penyelidikan ini?
  24. Apakah ada kaedah lain yang turut boleh digunakan dalam kajian ini?
  25. Jika ada kaedah lain, kenapa? atau Jika tidak ada kaedah lain, kenapa? 
  26. Bagaimanakah anda menangani implikasi terhadap etika penyelidikan anda?
  27. Bagaimanakah anda menilai penyelidikan anda?
  28. Bagaimana anda tahu bahawa penemuan kajian anda adalah betul?
  29. Apakah aspek yang paling kuat dan/atau bahagian paling lemah dalam penyelidikan anda?
  30. Apakah kemahiran penyelidikan anda bertambah baik?
  31. Sejauh manakah sumbangan penyelidikan anda kepada masyarakat?
  32. Siapakah yang akan berminat dengan penyelidikan anda?
  33. Apakah hubungan penyelidikan anda dengan para penyelidik yang lain?
  34. Apakah perkaitan penyelidikan anda dengan para pengamal profesional?
  35. Aspek penyelidikan yang mana anda bercadang untuk menerbitkan? 
  36. Di mana anda bercadang untuk menerbitkannya?
  37. Ringkaskan hasil penemuan utama anda.
  38. Antara hasil penemuan kajian ini, yang manakah paling menarik bagi anda? 
  39. Mengapakah hasil penemuan kajian tersebut menarik bagi anda?
  40. Apakah implikasi penemuan kajian terhadap subjek atau kawasan lapangan kajian anda?
  41. Bagaimanakah hasil penemuan kajian anda turut berkait rapat dengan sorotan karya (kajian lepas) dalam bidang anda?
  42. Bagaimanakah hasil penemuan kajian anda memberi kesan kepada teori sebagai alat analisis kajian?
  43. Apakah sumbangan tesis anda kepada perkembangan sesuatu bidang ilmu pengetahuan?
  44. Berapa lamakah jangkaan sumbangan tesis ini?
  45. Apakah pencapaian utama kajian anda?
  46. Apakah jangkaan anda (pada masa akan datang) terhadap subjek atau kawasan lapangan kajian anda?
  47. Apakah yang telah anda pelajari dari proses penyelidikan dan penyediaan tesis PhD anda?
  48. Apakah nasihat yang akan anda berikan kepada pelajar penyelidikan yang memasuki alam PhD?
  49. Anda mencadangkan kajian akan datang dalam tesis anda. Bagaimana anda akan memulakan kajian pada masa akan datang?
  50. Apakah perkara yang akan menjadi kesukaran kepada perkembangan penyelidikan pada masa akan datang?
  51. Akhirnya, apakah yang telah anda lakukan yang mewajarkan anda layak memperolehi PhD?

Jumaat, 21 Februari 2014

Penggunaan Sutrah Ketika Sedang Solat

Sutrah bermaksud sesuatu objek yang dijadikan sebagai sempadan kawasan solat atau penghalang. Boleh menggunakan pelbagai objek untuk dijadikan sutrah seperti batu, tongkat, tiang atau membuat garisan. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
Apabila seseorang di antara kamu ingin bersolat, hendaklah ia meletakkan di hadapannya sesuatu. Sekiranya tiada, letaklah tongkat. Sekiranya tiada, buatlah satu garisan kemudian tiada lagi mudarat sesiapa yang lalu di hadapannya. (Riwayat Tirmizi, Abu Daud, Ahmad dan Ibn Hibban). 
Hikmah penggunaan sutrah adalah untuk memusatkan pemikiran individu yang sedang bersolat tanpa diganggu oleh individu-individu yang lalu-lalang di hadapannya. Penggunaan sutrah juga bertujuan memberi tanda bahawa orang itu sedang solat. Jarak di antara kaki dan sutrah adalah kira-kira tiga hasta (siku sehingga hujung jari tengah) termasuk ruang untuk sujud. 

Penggunaan sutrah disyariatkan bagi solat berjamaah dan juga solat bersendirian sama ada di masjid, surau, rumah atau di ruang yang lapang. Sutrah digunakan semasa melaksanakan solat fardhu dan solat sunat. Ketika solat berjamaah, sutrah berada di hadapan imam. Dalam hal ini, sutrah bagi makmum mengikuti sutrah bagi imam, maka dibolehkan melintasi di hadapan makmum apabila ada keperluan seperti batal wuduk. Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:
"Sekiranya seseorang yang lalu di hadapan orang yang sedang bersolat itu mengetahui apa jenis dosanya (lalu di hadapan orang yang sedang solat), nescaya untuk berhenti selama 40 tahun adalah lebih baik baginya daripada meneruskan lalu-lalang di hadapan orang yang sedang solat itu". Berkata perawi hadis, "Aku tidak pasti sama ada Nabi menyebut 40 hari atau bulan atau tahun". (Riwayat Bukhari).
Secara keseluruhannya, para ulama bersepakat bahawa meletakkan sutrah di hadapan ketika sedang solat hukumnya adalah sunat tidak sampai ke tahap wajib. Walau bagaimanapun, jika dilihat kepada tujuan dan hikmah penggunaan sutrah, ternyata meletakkan sutrah ketika sedang solat merupakan perkara sunat yang dituntut. Wallahu'alam.

Sabtu, 15 Februari 2014

Kajian Gelagat Pengguna Tesco Stores (Malaysia) Sdn. Bhd.

Pada 16hb Januari 2014, aku di antara sepuluh ahli Clubcard Tesco Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. yang terpilih mewakili keseluruhan penduduk Sungai Petani, Kedah untuk menghadiri kajian mengenai gelagat pengguna di Tesco Sungai Petani Utara, 300, Jalan Heights, Lagenda Heights. Terlebih dahulu, petugas Clubcard Tesco Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. menghubungi aku melalui telefon kira-kira seminggu sebelum tarikh event untuk mendapat persetujuan aku sama ada aku berminat menghadiri event tersebut atau tidak. 

Sebagai academician yang berkhidmat universiti, sudah tentulah aku berminat untuk menghadiri event tersebut. Event ini menambah pengalaman aku untuk memahami realiti bagaimana hypermarket khususnya Tesco Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. meneliti aspek gelagat pengguna dalam usaha memperbaiki aspek perkhidmatan dan penawaran barang-barang yang dijual di Tesco untuk memberi kepuasan para pelanggan. Sebelum ini pada peringkat ijazah sarjana muda, aku hanya mempelajari aspek teori gelagat pengguna dalam ekonomi. Di samping itu juga, setiap ahli Clubcard Tesco Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. yang terpilih dan hadir ke event tersebut diberikan hadiah baucer Tesco bernilai RM70.00. Sungguh lumayan (◕ ◡ ◕).

Kajian tersebut hanya terhad kepada golongan wanita yang datang dari pelbagai latar belakang [usia, kerjaya, taraf pendidikan, taraf perkahwinan dan bilangan anak]. Kajian ini juga dibahagikan kepada tiga sesi berdasarkan kepada tiga kaum utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India. Justeru, sebagai wanita berbangsa Melayu, aku menghadiri event yang berlangsung pada 16hb Januari yang diadakan selama 1½ jam bermula pukul 6.00 petang dan berakhir pada pukul 7.30 malam. Mr. Sam merupakan pihak ketiga (wakil Tesco) melaksanakan event ini secara santai ala sembang petang di bilik mesyuarat tanpa disertai oleh suami (bagi yang berkahwin) dan anak-anak. Kajian ini meneliti dua aspek barang-barangan yang ditawarkan di Tesco iaitu barang basah dan juga barang kering. Kami semua difahamkan oleh Mr. Sam bahawa berdasarkan pendapat dan kritikan kami mengenai Tesco Sungai Petani beliau menyediakan laporan yang dikemukakan kepada ibu pejabat Tesco Stores (Malaysia) Sdn. Bhd.

Aspek harga dan kualiti barang yang dijual di Tesco Sungai Petani Utara merupakan isu utama yang dikemukakan oleh kami di samping isu perkhidmatan seperti cashier, kebersihan troli/bakul dan medan selera. Isu harga yang ketara ialah tindakan pihak Tesco yang menjual barang tidak menurut harga kilang yang telah dicatatkan pada barang. Contohnya, Tesco Sungai Petani Selatan menjual Gel Sugi keluaran Al-Meswak Mukmin Sdn. Bhd. pada harga RM3.20 walhal pengilang telah mencatatkan harga pengenalan RM2.29 pada hadapan tiub Gel Sugi. Selain itu, pihak Tesco juga tidak menjual sesetengah barangan berdasarkan promosi yang dilakukan oleh pihak pengilang.

Aspek paling penting yang perlu diberi perhatian ialah penjualan minuman keras di Tesco. Berdasarkan pemerhatian aku di Tesco Sungai Petani Utara dan Tesco Sungai Petani Selatan, kedua-dua cawangan Tesco di Sungai Petani ini menjual minuman keras. Walau bagaimanapun, Tesco Sungai Petani Utara di Lagenda Heights menjual minuman keras di dalam pasaraya dan di kedai Wain [kedudukan kedai Wain berhadapan dengan kaunter pembayaran]. Kedai Wain menjual minuman keras kategori wain namun minuman keras yang lain seperti Carlsberg, Heineken, Tiger Beer, Anchor dan lain-lain dijual di dalam pasaraya dan ditanda TIDAK HALAL diletak di rak bersebelahan dengan rak minuman dalam tin yang lain termasuk yang dikategorikan sebagai halal. 



Pada pandangan aku, pihak Tesco Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. tidak menjaga sensitiviti umat Islam apabila menjual minuman keras di dalam pasaraya bersama-sama dengan barangan halal yang lain. Hal ini menyebabkan non-Muslim yang membeli minuman keras tanpa mengetahui hukum jual-beli minuman keras dari aspek Islam telah membawa minuman keras tersebut ke kaunter yang dijaga oleh cashier Muslim. Aku pernah melihat riaksi muka yang kurang senang seorang cashier wanita Muslim (tidak ditunjukkan secara jelas di hadapan pelanggan) apabila terpaksa mengurus jual-beli minuman keras jenama Carlsberg seorang pelanggan berbangsa Cina yang datang di kaunternya. Oleh itu, cashier wanita Muslim tersebut telah menjadi wakil Tesco Sungai Petani menjual minuman keras Calsberg kepada pelanggan terbabit. Hal ini berbeza di kedai Wain kerana kedai ini dijaga oleh cashier Tesco non-Muslim

Dalam hal ini, Tesco Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. perlu peka, menjaga dan menghormati sensitiviti masyarakat Muslim termasuk para pekerja Tesco yang beragama Islam. Jalan penyelesaian yang terbaik ialah minuman keras tanpa mengira jenama sewajarnya dijual di dalam kedai Wain dan kedai tersebut diberi nama baru seperti Beer & Wine dan diuruskan serta dijaga oleh para pekerja Tesco non-Muslim. Harapan aku moga entri ini turut memberi kesedaran kepada semua hypermarket lain yang beroperasi di Malaysia. Di bawah ini aku sertakan di antara ayat al-Quran dan hadis mengenai pengharaman arak (minuman keras) dalam Islam:
  1. "Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar (arak), berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu)." (Surah al-Maidah 5: 90-91). 
  2. Hadis Jabir bin Abdullah r.a: Ketika pembukaan Kota Mekah, beliau mendengar Rasulullah s.a.w. yang ketika itu berada di Mekah bersabda: Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah mengharamkan penjualan arak, bangkai, babi dan berhala. Kemudian baginda ditanya: Wahai Rasulullah! Bagaimana dengan lemak bangkai yang digunakan untuk mengecat perahu, untuk dilumurkan di kulit supaya berminyak dan untuk menyalakan lampu? Baginda menjawab: Tidak boleh. Ianya tetap haram. Lalu baginda meneruskan kata-kata: Semoga Allah membinasakan orang-orang Yahudi. Sesungguhnya Allah s.w.t ketika mengharamkan lemak bangkai kepada mereka, mereka beralasan lalu menjualnya dan memakan hasil penjualan tersebut. (Sahih Muslim; hadis nombor 2960). 
  3. "Rasulullah s.a.w. melaknat sepuluh golongan yang terlibat dengan arak iaitu: (1) yang memerahnya, (2) yang minta diperahkan untuknya, (3) yang meminumnya, (4) yang membawanya, (5) yang minta dihantar, (6) yang menuangkannya, (7) yang menjualnya, (8) yang makan harganya, (9) yang membelinya, (10) yang minta dibelikannya." (Riwayat Tarmizi dan Ibnu Majah).

Rabu, 12 Februari 2014

Ahli Tafsir Al-Quran Yang Agung

Ibnu Abbas telah diiktiraf sebagai ahli tafsir yang agung. Tidak ada seorang pun dalam kalangan para sahabat Rasulullah s.a.w. dapat meriwayatkan begitu banyak hadis yang menjelaskan maksud al-Quran seperti Ibnu Abbas. Abdullah b. Mas'ud berkata, "Abdullah b. Abbas adalah ahli tafsir yang terbaik sekali." Diriwayatkan Ibnu Abbas pernah berkata, "Datanglah kepadaku apabila kamu menghadapi masalah untuk memahami al-Quran, kerana aku telah menghafalnya ketika usia aku masih kecil lagi." Dalam riwayat yang lain beliau berkata, "Aku telah menghafal al-Quran semasa umurku sepuluh tahun."

Ketika Rasullullah s.a.w. wafat, Abdullah b. Abbas berumur 13 tahun. Amat mengagumkan ketika umurnya semuda itu, beliau telah mahir mengenai al-Quran dan hadis. Ramai para sahabat yang ternama telah datang berjumpa dengannya untuk menyelesaikan masalah mengenai tafsiran ayat-ayat al-Quran.

Hal ini merupakan keberkatan Rasulullah s.a.w. ekoran doa baginda s.a.w. terhadap Abdullah b. Abbas. Suatu ketika baginda s.a.w. telah dari tandas dan mendapati air sudah tersedia untuknya, lalu baginda pun bertanya, "Siapakah yang meletakkan air di sini?" Seorang sabahabat menjawab, "Ibnu Abbas." Rasulullah s.a.w. memuji akhlak Ibnu Abbas dan berdoa, "Ya Allah! Kurniakanlah kepadanya ilmu pengetahuan dan pemahaman yang mendalam mengenai al-Quran serta amalan-amalan dalam agama." 

Pada waktu yang lain, sedang baginda s.a.w. menunaikan solat, Ibnu Abbas mengikuti baginda s.a.w. dengan berdiri di belakang. Rasulullah s.a.w. menarik tangannya ke arah sisinya (sekiranya ada seorang makmum, hendaklah ia berdiri di samping imam pada sebelah kanan, bukan di belakangnya). Ketika baginda s.a.w. khusyuk dengan solatnya, Ibnu Abbas mundur agak jauh dari Rasulullah s.a.w. Setelah selesai solat, baginda s.a.w. bertanya, "Mengapa engkau ke belakang?" Ibnu Abbas menjawab, "Tuan adalah Rasulullah dan Kekasih-Nya! Bagaimana aku boleh berdiri bersama-samamu." Ada riwayat yang mengatakan, peristiwa ini juga menjadi sebab Ibnu Abbas memperolehi doa daripada Rasulullah s.a.w. 

Wallahu'alam

Rabu, 5 Februari 2014

Tips Peperiksaan Viva PhD

Peperiksaan viva [sebut: vaiva] atau di sesetengah universiti disebut juga sebagai final defense adalah untuk menguji kajian/tesis yang dikemukakan oleh calon untuk memperolehi ijazah doktor falsafah (PhD).  Dalam hal ini, semasa peperiksaan viva para calon PhD diminta untuk mempertahankan tesis mereka. Walau bagaimanapun, bukan semua universiti mengadakan peperiksaan viva contohnya, universiti-universiti di Australia. Calon PhD hanya perlu melakukan annual presentation di dalam fakulti untuk melaporkan progress dan juga mendapatkan maklum balas daripada audience yang hadir semasa pembentangan.
 
Tips pertama kepada calon PhD, semasa menulis tesis, sila sediakan senarai ahli-ahli akademik (masih hidup) dari pelbagai universiti yang berkaitan dengan bidang kajian yang dilakukan. Hal ini adalah kerana besar kemungkinan salah seorang dari senarai ahli-ahli akademik pelbagai universiti tersebut merupakan pemeriksa luar yang turut menganggotai mesyuarat komiti peperiksaan viva anda. Sila cari, baca dan kuasai artikel-artikel dalam jurnal, buku-buku, (tesis PhD – jika mudah diperolehi dan berkaitan dengan kajian anda) yang ditulis oleh ahli-ahli akademik tersebut dan masukkan bahan-bahan tersebut sebagai sumber rujukan tesis anda. Tips ini amat berkesan, ‘menyentuh hati’ pemeriksa luar dan membantu anda untuk lulus peperiksaan viva.

Tips kedua, selepas penyerahan tesis untuk pihak fakulti mengadakan peperiksaan viva, kepada calon PhD sila baca kembali tesis tersebut. Hal ini adalah untuk mengenal pasti kesilapan tesis yang masih ada walaupun calon PhD telah membaca dan membaiki tesis tersebut berkali-kali sebelum menyerah tesis untuk peperiksaan viva diadakan. Selepas mengenal pasti kesilapan yang masih ada, sila sediakan lampiran kesilapan (nombor halaman) dan diikuti dengan pembetulan/pembaikian yang telah dilakukan. Buat beberapa salinan lampiran tersebut dan bawa bersama semasa peperiksaan viva dijalankan untuk diserahkan kepada setiap ahli jawatankuasa peperiksaan viva anda. Tindakan ini mengurangkan serangan daripada pihak ahli jawatankuasa peperiksaan viva terhadap kesilapan yang ada di dalam tesis dan anda masih dapat mempertahankan tesis. Hal ini amat membantu jika kesilapan yang ada dalam tesis anda melibatkan data. Kesilapan data melayakkan anda mendapat major correction dan melalui cara ini dengan harapan ahli jawatankuasa mesyuarat peperiksaan viva anda boleh mengubah keputusan dari major correction kepada minor correction.

Semasa peperiksaan viva dijalankan, terlebih dahulu calon PhD diminta membentangkan kajian mereka sekitar 15 hingga 20 minit yang pertama kemudian diikuti dengan sesi soal jawab. Tips ketiga kepada para calon PhD: bentang kajian anda dan  jawab soalan ahli komiti dengan meyakinkan. Maksud meyakinkan di sini ialah calon PhD boleh menjawab soalan tanpa merujuk dan menyelak halaman-halaman tesis mereka.  Jangan buat lawak jenaka masa viva kerana tidak sesuai, gunakan intonasi suara dan beri penekanan pada butiran yang wajar diberi perhatian. Hal ini untuk mengelakkan “the research is interesting but the presentation is boring, it killed the research and the audience too".  

Tidak ada tempoh masa yang ditetapkan untuk mengadakan peperiksaan viva. Terdapat universiti yang mengadakan viva bagi calon PhD selama setengah jam atau satu jam atau tiga jam. Namun begitu, terdapat sesetengah kes, viva PhD diadakan sebanyak dua sesi. Selepas peperiksaan viva sesi pertama, peperiksaan viva ditangguhkan ke suatu masa yang dipersetujui bersama di antara ahli komiti.  Kepada calon Phd, nauzubillah (kami memohon perlindungan Allah) daripada perkara itu. Semakin lama tempoh peperiksaan viva bagi seseorang calon PhD dijalankan, ia menunjukkan tesis calon tersebut banyak masalah. Walau bagaimanapun, hal  ini bergantung juga dengan rezeki (luck) masing-masing kerana walaupun ada kesilapan dalam tesis tetapi pihak ahli jawatankuasa mesyuarat peperiksaan viva anda tidak mahu memperbesarkan kesilapan-kesilapan tersebut dalam peperiksaan viva. Sebaliknya memadailah calon PhD diberikan laporan pemeriksaan tesis oleh pemeriksa luar dan pemeriksa dalam agar calon dapat membuat pembaikian sebagaimana dicadangkan oleh kedua-dua pemeriksa tesis.

Pembentukan jawatankuasa peperiksaan viva bagi seseorang calon Phd ada politiknya walaupun bukan semua pembentukan jawatankuasa peperiksaan viva itu berkait rapat dengan politik di antara para pensyarah-pentadbir universiti. Jika betul susunan ahli-ahli jawatankuasa peperiksaan viva tersebut, maka ia turut membantu dan memudahkan calon PhD tersebut untuk lulus begitu juga sebaliknya. Aku mengatakan perkara ini dalam konteks PhD di Malaysia. 

Bersambung Penyediaan Slaid Untuk Peperiksaan Viva

Selasa, 4 Februari 2014

Adab Guru

Sudah lama aku hendak menulis mengenai garis panduan adab guru menurut perspektif ulama Islam. Aku perolehi garis panduan ini setelah membaca kitab bertajuk Adabul 'Alim Wa Al-Muta'alim karya Kiyai Haji Muhammad Hasyim Asy'ari (1871-1947), pengasas Nahdlatul Ulama Indonesia. Beliau menggariskan 20 adab yang harus dimiliki oleh setiap ahli ilmu iaitu:
  1. Sentiasa mendekatkan diri (muqarabah) kepada Allah s.w.t. dalam segala situasi dan keadaan.
  2. Takut (khauf) kepada murka Allah dalam setiap gerak, diam, perkataan dan perbuatan. Seorang alim (berilmu) itu pada hakikatnya adalah orang yang dipercayai dan diberi amanah oleh Allah s.w.t. melalui ilmu dan hikmah. Perbuatan meninggalkannya bererti pengkhianatan terhadap amanah yang telah dipikulkan ke atasnya. 
  3. Sakinah (bersikap tenang). Imam Malik pernah menulis surat kepada Khalifah Harun ar-Rasyid yang bermaksud "Jika engkau memiliki ilmu pengetahuan, maka tunjukkanlah sikap tenang, sopan dan wibawa sebagai manifestasi di atas ilmu pengetahuan yang engkau miliki itu. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda, "Ulama adalah pewaris nabi".
  4. Warak (berhati-hati dalam setiap perkataan dan perbuatan).
  5. Tawaduk (rendah hati/tidak menyombongkan diri). Umar al-Khattab berkata yang bermaksud: "Pelajarilah kalian akan ilmu pengetahuan dan pelajarilah juga sikap tenang dan ketundukan".
  6. Khusyuk kepada Allah s.w.t.
  7. Sentiasa berpegang kepada hukum Allah s.w.t. dalam setiap keadaan.
  8. Tidak menjadikan ilmu pengetahuan yang dimiliki sebagai jalan mencari keuntungan duniawi.
  9. Tidak merasa rendah diri di hadapan orang yang mempunyai kedudukan dan harta benda. Tidak terlalu mengagungkan mereka dengan sering berkunjung dan berdiri menyambut kedatangan mereka. Imam Malik menceritakan bahawa beliau pernah mengunjungi kediaman Khalifah Harun ar-Rasyid dan khalifah itu berkata kepadanya: "Wahai Abu Abdillah, alangkah baiknya jika engkau sering berkunjung ke sini sehingga putera-putera kami dapat belajar kitab 'al-Muwattha darimu". Imam Malik berkata kepada putera-putera Harun ar-Rasyid: "Semoga Allah memuliakan baginda (Harun ar-Rasyid), sesungguhnya ilmu pengetahuan ini berpunca daripada diri kalian sendiri. Jika kalian memuliakannya nescaya ia akan menjadi mulia. Sebaliknya, jika kalian merendahkannya maka ia akan menjadi rendah (hina). Maka ketahuilah, ilmu pengetahuan itu tidak mendatangi, tetapi didatangi (dipelajari). Harun ar-Rasyid berkata, "Engkau benar" dan menasihati putera-puteranya, "Wahai putera-puteraku, pergilah kalian ke masjid dan belajarlah bersama yang lain".
  10. Zuhud (tidak mencintai kesenangan duniawi) dan rela hidup sederhana (tidak dilimpahi dengan harta kekayaan) sekadar mencukupi keperluan diri dan keluarganya. Sabda Rasulullah s.a.w.: "Amat mulia orang yang bersikap qana'ah (redha menerima ketentuan Allah s.w.t.), dan amatlah hina orang yang bersikap tamak (serakah)."
  11. Menjauhi pekerjaan yang dianggap hina menurut pandangan adat dan syariat.
  12. Menghindari tempat yang dapat menimbulkan fitnah serta meninggalkan perkara-perkara yang tidak patut dilakukan menurut pandangan umum walaupun tidak ada larangan menurut syariat Islam demi menjaga martabat dan harga diri.
  13. Menghidupkan syiar Islam seperti mendirikan solat berjemaah di masjid, menyebarkan salam kepada orang lain, menganjurkan kebaikan dan mencegah kemungkaran dengan penuh kesabaran.
  14. Menegakkan sunnah Rasulullah s.aw. dan memerangi bida'ah serta memperjuangkan kepentingan umat Islam menggunakan kaedah yang menarik dan mesra masyarakat.
  15. Menjaga hal-hal yang sangat dianjurkan dalam syariat Islam seperti memperbanyakkan membaca al-Quran, solat dan berpuasa, berzikir, berdoa, menyegerakan menunaikan ibadah haji sekiranya mampu, melazimkan berselawat kepada Rasulullah s.a.w. sebagai ungkapan rasa cinta dan penghormatan kepada Baginda.
  16. Bergaul dengan masyarakat dengan akhlak yang terpuji.
  17. Menyucikan jiwa dan raga daripada akhlak yang tercela dan menghiasi jiwa dan raga dengan akhlak yang mulia.
  18. Berusaha mempertajamkan ilmu dan amal melalui ijtihad, menelaah, muzakarah, membuat catatan, menghafal dan melakukan perbahasan. Dalam kitab Sahih Muslim, dari Yahya bin Kathir, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Ilmu pengetahuan tidak akan diperolehi (dipertahankan) oleh tubuh yang selalu santai (berehat)."
  19. Tidak segan mengambil faedah (ilmu) yang belum diketahui dan difahami daripada orang lain tanpa memandang perbezaan kedudukan, keturunan dan usia.
  20. Meluangkan sebahagian masa untuk kegiatan menulis (mengarang atau menyusun kitab) untuk mengasah ketajaman dan kematangan intelektual.
Wallahu'alam.