Isnin, 25 Jun 2012

Air Mata Raja


Buku Air Mata Raja setebal 963 halaman ditulis oleh Shaharuddin Ali & Norzailina Nordin (2011) dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Buku ini berkisar mengenai jurai keturunan Sultan Mahmud Syah (Sultan Melaka yang terakhir) yang menjadi pewaris Istana Melaka.  Penulis mengolah bab-bab  di dalam buku ini secara berselang-seli di antara kisah yang diadaptasi daripada buku Sejarah Melayu yang diterjemahkan ke dalam bentuk novel dan perjalanan liku hidup pewaris Sultan Mahmud Syah selepas kejatuhan Melaka pada tahun 1511.

Walau bagaimanapun, aku lebih suka menyorot daripada novel ini mengenai faktor dalaman yang membawa kepada kejatuhan Melaka kepada Portugis. Di dalam buku ini, perkara asas yang turut diketengahkan oleh penulis dalam membincangkan persoalan raja, kerajaan dan rakyat menurut perspektif Sejarah Melayu ialah waadat di antara Demang Lebar Daun dan Seri Teri Buana iaitu:
 ..., Demang Lebar Daun ada seorang anak perempuan yang cantik bernama Tuan Puteri Uwan Sundari. Apabila Seri Teri Buana menyuarakan hasratnya untuk menyunting puteri itu, Demang Lebar Daun memintanya berjanji terlebih dahulu. Ketika inilah Demang Lebar Daun mewujudkan istilah "Yang Dipertuan" apabila membahasakan diri sultan. Sementara "patik" apabila berbicara tentang yang empunya diri di hadapan sultan.
Sebelum mengizinkan Seri Teri Buana mengahwini anaknya, Demang Lebar Daun meminta baginda berjanji. Iaitu segala anak cucunya sedia menjadi hamba kepada Duli Yang Dipertuan. Anak cucu Seri Teri Buana pula hendaklah memperbaiki mana-mana yang tidak kena. Jikalau anak cucu Demang Lebar Daun berdosa besar sekalipun, jangan dicela dan dinista dengan kata yang tidak elok. Jikalau besar dosanya dan berpatutan menurut hukum syariah, wajar pula dibunuh.
Seri Teri Buana bersetuju namun baginda juga meminta suatu janji. Iaitu, hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu Demang Lebar Daun jangan derhaka, walaupun anak cucu Seri Teri Buana zalim dan jahat pekertinya sekalipun. Demang Lebar Daun pun bersetuju dengan syarat jika anak cucu Seri Teri Buana mengubah perjanjian itu, anak cucunya juga akan mengubahnya. Kedua-duanya pun bersetuju dan bersumpah (Halaman 90-91).
Di antara titah Sultan Alauddin kepada Bendahara Melaka, Penghulu Bendahari, Temenggung, Kadi Munawar Syah dan Laksamana ialah:
Walaupun bagaimana besar sekalipun dosa anak Melayu, jangan dibunuh kecuali yang wajar pada hukum Ilahi. Andai kata dibunuh yang tidak berdosa, kerajaan akan binasa (Halaman 607).
Semasa pemerintahan Sultan Mahmud Syah (Sultan Melaka yang terakhir), baginda telah melaksanakan hukuman bunuh terhadap rakyat Melaka yang tidak berdosa. Dalam hal ini, baginda telah melanggar waadat di antara Demang Lebar Daun dan Seri Teri Buana. Pelanggaran waadat ini merupakan di antara faktor dalaman yang telah membawa kepada kejatuhan Melaka kepada Portugis. Terdapat empat peristiwa yang membawa kepada hukuman bunuh iaitu:
  1. Kelewatan sehari Seri Bija al-Diraja menghadap baginda sempena hari raya yang disifatkan sebagai perbuatan tidak tahu adat. Selain itu, baginda membuat telahan bahawa Seri Bija al-Diraja tidak sukakan baginda (halaman 608).
  2. Baginda memberi arahan membunuh  secara tersirat kepada Tun Biajit (melalui tindakan baginda mengambil sirih di dalam puan dan diberikan  kepada Tun Biajit) untuk membunuh Tun Ali Sandang yang sedang berada di rumah Tun Dewi. Baginda pergi ke rumah Tun Dewi pada waktu malam (untuk melakukan perkara yang tidak baik) namun Tun Ali Sandang berada di dalam rumah tersebut.  Hal ini menyebabkan baginda berpatah balik dan ternampak Tun Biajit baru tiba di halaman rumah Tun Dewi  (halaman 609). Tun Dewi merupakan isteri Tun Biajit.
  3. Baginda mencari individu yang sanggup membunuh Raja Zainal Abidin (saudara Sultan Mahmud) kerana ketampanan Raja Zainal Abidin menyebabkan negeri berada dalam situasi tidak aman. Ketampanan Raja Zainal Abidin telah menarik perhatian ramai wanita Melaka. Hang Berkat menyatakan kesanggupan membunuh Raja Zainal Abidin (halaman 626-627).
  4. Baginda menjatuhkan hukuman bunuh kepada Bendahara Seri Maharaja (Tun Mutahir) sekeluarga kerana fitnah yang menyatakan bendahara hendak merampas takhta kerajaan Melaka dan ingin menjadi raja. Selain itu, baginda turut menyimpan dendam kepada bendahara kerana tidak menunjukkan Tun Fatimah (anak perempuan bendahara) kepada baginda terlebih dahulu sebaliknya terus menikahkan Tun Fatimah dengan Tun Ali (halaman 54-55, 847-850).
Selain itu, buku ini turut mengetengahkan kelemahan raja-raja Melayu menurut perspektif penjajah British. Walaupun kelemahan ini bersifat subjektif (tidak merangkumi keseluruhan raja-raja Melayu) namun dalam hal ini, pandangan British terhadap kelemahan raja-raja Melayu tidak boleh disangkal kerana kelemahan tersebut terbukti benar berdasarkan fakta-fakta sejarah. Kelemahan raja-raja Melayu ini turut menyumbang kepada pertapakan penjajah British di Negeri-negeri Tanah Melayu iaitu:
  1. "Gabenor Willem tersenyum sinis. Benarlah antara orang-orang Melayu atau yang sama serumpun, tiadalah mampu menghindari sifat dengki-mendengki dan iri hati" (halaman 410).
  2. "Crawfurd tersengih. "Amherst tidak tahu apa yang dicakapkan itu. Dia di India, mana tahu apa yang sedang kita buat di sini? Dia mana tahu apa yang difikir oleh sultan-sultan di sini? Mereka itu semua senang dibeli dengan duit. Mereka tidak sanggup susah" (halaman 553).
  3. "Inilah pertama kali dalam sejarah," kata Swettenham kepada Raja Wan Jamil, "raja-raja pemerintah keempat-empat buah negeri datang berkumpul di satu tempat, berjumpa sesama mereka dengan membawa tujuan damai." - Persidangan (Durbar) Raja-raja Negeri-Negeri Bersekutu yang pertama di Istana Perak, Kuala Kangsar pada Julai 1987 (halaman 664-665). 
Persoalan yang bermain di dalam fikiranku ialah adakah buku ini yang mengetengahkan jurai keturunan Sultan Mahmud yang berusaha menuntut takhta kerajaan negeri Melaka selepas Melaka jatuh kepada Portugis pada tahun 1511 (kemudiaan diikuti kejatuhan Melaka kepada Belanda dan British) secara tersiratnya membenarkan usaha perjuangan Raja Noor Jan Raja Tuah untuk menuntut takhta kerajaan negeri Melaka yang telah menggemparkan Malaysia pada tahun 2006 dan 2008?

Rabu, 6 Jun 2012

Keyakinan

Entry kali ini aku hendak berkongsi kisah mengenai keyakinan yang tidak wajar dipegang oleh seorang Muslim. Kisah ini bermula ketika aku sedang makan tengah hari bersama seorang pensyarah. Dia menyatakan kepadaku, 
"Saya yakin di hari akhirat, saya tidak akan ditanya berkenaan perkara yang berkaitan kerja (jawatan yang menjadi mata pencariannya). Saya jenis tidak berkira ketika bekerja".
Aku hanya memandang wajahnya dengan hati yang terkejut.  Mengapa aku menyatakan pada awal entry ini bahawa kisah ini adalah mengenai keyakinan yang tidak wajar? Di mana asas kewajaran seorang Muslim bahawa ia berhak untuk yakin sesungguhnya ia tidak akan ditanya oleh Allah berkenaan kerja yang dipikulnya sebagai amanah? Firman Allah:
 (Luqman menasihati anaknya dengan berkata): "Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat biji sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuan-Nya; lagi amat meliputi akan segala yang tersembunyi. (Surah Luqman: 16).
Ayat di atas jelas menunjukkan amalan baik dan buruk seberat biji sawi akan dihitung oleh Allah. Persoalan pekerjaan tidak hanya semata-mata dianalogikan sebagai kita memiliki sepuluh pekerjaan maka kita berjaya menyelesaikan sepuluh pekerjaan maka urusan perkerjaan tersebut selesai. Perkara berkaitan pekerjaan turut diambil kira termasuk proses dan urusan sesama manusia (termasuk pekerja bawahan). Persoalan yang boleh difikirkan sejauhmanakah maruah perkerja bawahan terpelihara ketika sedang menegur kesalahan mereka? Adakah sudah cukup berhikmah ketika menegur kesalahan pekerja bawahan? Islam menggariskan adab yang cukup indah dalam memelihara hak-hak manusia.  Adakah kita mempunyai hak untuk menjatuhkan maruah pekerja bawahan waima melibatkan wang gaji yang dibayar oleh kerajaan kepada mereka namun mereka culas dalam perkerjaan? Nasihat oleh Imam Syafie wajar menjadi renungan bersama: 
Jika kamu menegur saudaramu dalam sembunyi, maka kamu telah menjalankan tanggungjawabmu, sebaliknya jika kamu menegurnya di khalayak umum, maka kamu telah membogelkannya di depan orang ramai.
Al-Habib Sayyid Muhammad bin Abdullah Alaydrus dari kitab Fahimu Nafsi menyatakannya:
Wahai saudaraku, beradablah ketika mendengarkan pembicaraan. Janganlah sekali-kali kamu hentikan atau dan sangkal ucapan seseorang di hadapan khalayak ramai. Perbuatan itu sangat buruk. Jika temanmu salah, dan kesalahannya tidak membahayakan, maka maafkanlah. Jangan kamu tunjukkan kesalahannya di hadapan orang banyak. Jika ingin menegur kesalahannya, tunggulah hingga tinggal kalian berdua. Jika kesalahannya adalah kesalahan yang wajib dikoreksi di hadapan orang banyak agar tidak mempengaruhi pikiran mereka, maka lakukanlah dengan lemah lembut dan penuh kasih sayang, jangan dengan kasar. Jika teguran itu membuatnya malu, maka itu adalah salahnya sendiri. Dia yang berbuat, (dia harus berani menanggung akibatnya).  Sumber: sila klik di sini.
Keyakinan bahawa tidak akan disoal di hari akhirat berbunyi sungguh angkuh bahawa diri tidak memiliki kesalahan walaupun seberat biji sawi dalam perkara melibatkan perkerjaan. Rasulullah s.a.w. beristighfar memohon ampun kepada Allah 70 kali sehari (ada pendapat mengatakan 100 kali sehari) walhal baginda s.a.w. merupakan seorang yang maksum. Siapa kita hendak menyatakan bahawa diri kita tidak mempunyai khilaf walaupun seberat biji sawi?