Jumaat, 27 Jun 2014

Adakah Habbatus Sauda' Penyembuhan Bagi Segala Penyakit?







Tajuk: Rahsia Perubatan Habbatus Sauda'
Pengarang: Doktor Hassan Syamsi Baasya
Tahun Terbit: 2012
Penerbit: Al-Hidayah Publications









Nama saintifik bagi habbatus sauda' ialah Nigella Sativa malah turut dikenali sebagai The Black Seed, Black Cumin, Jintan hitam dan Habbah Barakah. Buku ini mengetengahkan habbatus sauda' dari aspek perubatan memandangkan pengarang buku ini Hassan Syamsi Baasya merupakan doktor dalam bidang perubatan. 

Pengarang mengetengahkan khasiat perubatan yang terkandung dalam habbatus sauda' berdasarkan hadis yang bermaksud "Hendaklah kamu mengambil berat mengenai habbatus sauda' kerana sesungguhnya pada habbatus sauda' terdapat penyembuhan bagi setiap penyakit kecuali mati." Hadis ini bersifat umum tidak mengkhususkan kategori penyakit yang boleh dirawat menggunakan habbatus sauda'. Adakah habbatus sauda' penyembuhan bagi segala penyakit? Pengarang mengambil pelbagai pendapat para ulama iaitu:
Al-Khitabi berkata: "Sabda Rasulullah s.a.w. "... penyembuhan bagi segala penyakit ..." adalah lafaz yang bersifat am (umum) dan maksud yang dikehendakinya ialah berbentuk khusus justeru secara semulajadi sesuatu tumbuhan itu tidak mempunyai semua perkara yang sesuai dengan tabi'at semulajadi (manusia) dalam merawati penyakit." (halaman 114)
Abu Bakar bin Al-Arabi berkata: "Di kalangan para doktor, madu lebah lebih hampir untuk menjadi penyembuh bagi semua penyakit berbanding dengan habbatus sauda'. ... terdapat juga beberapa jenis penyakit sekiranya pesakit minum madu maka ia dimudharatkan oleh madu itu. Jika itulah yang dimaksudkan dengan madu sebagai penyembuh bagi segala penyakit, maka habbatus sauda' dalam kebanyakan hal untuk tidak menjadi penyembuh bagi segala penyakit." (halaman 114)
Doktor An-Nasimi memberi komentar terhadap hadis habbatus sauda' iaitu, "Sesungguhnya hadis mengenai habbatus sauda' tidak dilafazkan di dalam suatu khutbah umum dan tidak juga di dalam satu majlis ilmu di mana Rasulullah s.a.w. mengajar sahabat-sahabatnya, justeru ilmu perubatan bukanlah satu noktah penting dalam risalah wahyu yang diberikan kepada Rasulullah s.a.w. tetapi ucapan baginda itu dilakukan bersesuaian dengan keadaan seorang pesakit. Maka lafaz (yang bermakna) "Hendaklah kamu ..." menunjukkan hadis itu ditujukan kepada si pesakit dan jenis penyakitnya. Semua ubat yang diberi petunjuk mengenainya oleh Rasulullah s.a.w. untuk setiap penyakit adalah bersesuaian dengan penyakit dan keadaan si pesakit tersebut melainkan maut. ... apabila ajal itu datang maka ia tidak akan dapat dielakkan, dipercepatkan atau dilambatkan. Tiada satu ubat pun dapat menghalang maut tersebut". (halaman 116-117)
Al-Fadhilah As-Syeikh Muhammad Ali As-Sobuni berkata, "Sekiranya Rasulullah s.a.w. menyatakan makna disebalik sabda baginda mengenai habbatus sauda' sebagai satu bentuk umum (iaitu habbatus sauda' dapat merawat semua penyakit) maka baginda tidak akan menentukan jenis ubat-ubat yang tertentu bagi orang yang datang bertanya kepadanya. Contohnya, dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari bahawa Rasulullah s.a.w. telah berkata "berikanlah dia madu untuk diminum" kepada lelaki yang bertanya mengenai sahabatnya yang sedang sakit perut. Dalam kisah yang lain, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepada lelaki yang sedang mengalami demam panas yang bermaksud "Demam panas adalah bara api neraka, maka sejukkanlah ia dengan air" (hadis riwayat Al-Bukhari). Rasulullah s.a.w. juga ada bersabda yang bermaksud "Penyembuhan itu ada tiga perkara (iaitu) meminum madu, berbekam dan mencelur dengan api (hadis riwayat Al-Bukhari)." (halaman 117-118)
As-Syeikh Ali At-Thantawi dan Syeikh Ali As-Sabuni serta ulama-ulama selain daripada mereka berdua berkata, "Bahawasanya pengkhususan lafaz am (bermaksud khusus) terjadi dengan banyak dan ia adalah perkara biasa seperti firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Ahqaf ayat 25 mengenai kebinasaan kaum 'ad yang bermaksud "... yang menghancurkan segala sesuatu dengan perintah Tuhannya ... ." Ayat 25 dalam surah Al-Ahqaf menjelaskan angin memusnahkan manusia dan rumah-rumah kediaman tetapi tidak memusnahkan gunung-ganang, sungai-sungai, matahari dan bulan; ayat ini adalah lafaz am yang bermaksud khusus." (halaman 118)
Oleh itu, Al-Khitabi menyatakan habbatus sauda' sesuai digunakan untuk merawat penyakit yang mengandungi ciri-ciri kesejukan. Walau bagaimanapun, buku ini menyenaraikan hasil penyelidikan ilmiah mengenai potensi habbatus sauda' untuk menyembuh penyakit-penyakit berikut: 
  1. Ghout 
  2. Asthma (asma)
  3. Selsema
  4. Tekanan darah tinggi
  5. Alahan (allergic) 
  6. Hempedu
  7. Thrombosis (pembetukan darah beku di dalam salur darah)
  8. Imuniti badan yang rendah
  9. Barah (cancer)
  10. Ceret-beret berpunca daripada e-coli, strep fecalis, bacillus subtilis dan lain-lain
  11. Kencing manis (diabetic)
  12. Rheumatisme
  13. Ibu yang mengalami masalah susu badan yang kurang

Jumaat, 13 Jun 2014

Luahan Hati Yang Paling Dalam

Entri kali ini adalah "luahan hati yang paling dalam" mengenai kawan-kawan sejantina yang dikenali sejak sekian lama. Aku jarang membuat entri dalam blog ini berkaitan "luahan hati yang paling dalam" melainkan entri-entri tertentu yang dikategorikan sebagai lebel PhD.

Pertemuan kembali dengan kawan-kawan aku pada 7hb Jun 2014 yang dikenali sejak sekian lama sejak zaman ijazah sarjana muda di UKM sesi 1996/1997 adalah berikutan berita kematian salah seorang kawan kami yang telah meninggal dunia hampir dua bulan yang lalu. Berkenaan arwah, aku tidak mahu bercerita mengenai dirinya. Aku hanya menitipkan doa yang baik-baik untuk arwah, jika ada kebaikan daripadaku untuknya maka biarlah ia tersimpan dalam hatiku yang paling dalam.

Pertemuan aku dengan mereka, pemerhatian aku mengenai mereka, mengingatkan aku mengenai peribahasa Melayu, "Anak sungai lagi berubah, inikan pula hati orang". Semasa belajar dahulu situasinya tidaklah berduit sangat, hanya mengharapkan wang pinjaman daripada Jabatan Perkhidmatan Awam dan MARA; kadang kala aku belanja mereka makan. Pertemuan kali ini selepas enam tahun tidak bersua, pasti kini berbeza jika dibandingkan dengan zaman selepas pengajian di universiti. Kini, mereka sudah berjawatan tetap dan memiliki harta (kereta dan rumah masih berstatus sewa-beli) serta masih sedang berusaha untuk memiliki harta-harta yang lain (lot kedai dan rumah-rumah yang lain untuk disewakan kepada orang lain) sebagai aset. 

Dari sudut psikologi, aku melihat mereka yang dikategorikan sebagai "budak-budak kampung"  kini self-esteem mereka meningkat kerana mereka sudah berjawatan tetap dan memiliki harta. Self-esteem yang rendah jelas ada dalam jiwa mereka dalam hal ketiadaan pasangan hidup kerana mereka belum berkahwin. Saya juga belum berkahwin tetapi tidaklah mengalami self-esteem yang rendah dalam hal ini.

Self-esteem yang tinggi dalam diri mereka (dari sudut harta) menyebabkan apabila mereka berbual dengan aku situasinya tidak ubah seperti kata peribahasa Melayu "berkelahi di ekor alahan" maksudnya berbantah-bantah dalam hal yang tidak penting merasakan pandangan diri mereka sentiasa betul termasuklah dalam hal memandu kereta; Pada pandangan mata mereka, akulah yang tidak pandai memakir kereta walhal jika aku tidak parkir masuk jauh ke dalam maka pintu kereta aku sebagi pamandu dan pintu kereta penumpang di belakang aku (pemandu) tidak boleh dibuka kerana dihalang oleh tiang yang menyokong bumbung parkir kereta. Kami semua keluar pergi ke pasar malam di Kepala Batas menggunakan kereta aku maka akulah supir mereka. Pada diri mereka, hujah dan pendapat mereka tidak boleh diatasi oleh sikap, hujah dan pendapat yang lebih baik dan benar. 

Aku tidak tenang dengan pandangan mata (al-ain) salah seorang daripada mereka. Al-Ain ialah pandangan mata terhadap sesuatu yang diikuti oleh perasaan kagum tanpa beserta iri hati atau beserta iri hati yang tidak diucapkan kalimah "masya-Allah" boleh menyebabkan terjadi kemuradatan terhadap orang yang dilihat. Rasulullah s.a.w. bersabda, "Penyakit al-ain memang ada. Seandainya ada yang dapat mendahului takdir, tentulah ia didahului oleh penyakit al-ain. Dan apabila engkau diminta mandi, hendaklah kalian mandi (Sahih Muslim nombor 2188).

Pertemuan dengan mereka setelah sekian lama tidak bertemu menuntut agar aku bersabar diam tidak berbalah dengan mereka dalam perkara yang remeh-temeh walaupun ada dua situasi daripada banyak situasi cakap-cakap mulut yang memecahkan kesabaran aku sehingga aku terpaksa menjawab kata-kata yang diucapkan oleh salah seorang daripada mereka. Akhirnya pada hari pertemuan itu, aku mengambil keputusan untuk tidak tinggal lama dengan mereka.

P/S: Self-esteem penting dalam setiap diri individu tetapi berhati-hati jangan terjebak dalam sikap ego. Berhati-hati dengan pandangan mata (al-ain).  Hasbunallahu wa ni'mal wakil (cukuplah Allah bagiku).

Jumaat, 6 Jun 2014

Hadiah Pertandingan Beli & Selfie Daripada PTS Bookcafe Sdn. Bhd.

Aku telah menyertai pertandingan Beli & Selfie yang dianjurkan oleh PTS Bookcafe Sdn. Bhd. Pertandingan ini khusus kepada sesiapa yang membeli buku di Kedai Buku Online PTS selama tiga minggu bermula 14 April 2014 sehingga 5 Mei 2014. Setiap minggu diumumkan para pemenang yang layak memenangi hadiah-hadiah yang ditawarkan oleh PTS Bookcafe Sdn. Bhd. 

Aku membeli-belah di Kedai Buku Online PTS pada minggu ketiga (28hb April 2014 sehingga 5 Mei 2014). Setelah aku menerima buku-buku PTS melalui pos, aku telah mengambil gambar buku-buku tersebut dengan cara yang bagiku cukup kreatif. Aku pos gambar itu di dinding facebook aku yang mengandungi status, nombor pesanan, tag @ptsbookcafe dan pengalaman membeli buku-buku di Bookcafe.com.my. Hasilnya, aku memperolehi hadiah saguhati berupa buku terbitan PTS yang bertajuk Bahagianya Menjadi Gadis Pilihan: Pesan Allah dan Rasul Untuk Dirimu.






Tajuk: Bahagianya Menjadi Gadis Pilihan: Pesan Allah dan Rasul Untuk Dirimu.
Penulis: Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh & Mohd. Hariri Haji Mohamad Daud
Tahun Terbit: 2014
Penerbit: PTS Millennia Sdn. Bhd.








Aku bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana mendapat buku ini sebagai hadiah saguhati walaupun aku masih gadis tetapi aku tidak akan membeli buku ini kerana 98% ilmu yang terkandung dalam buku ini telah aku ketahui. Buku ini sesuai dibaca oleh para remaja sebagai persediaan sebelum berumah tangga. Terdapat pelbagai panduan dan nasihat kepada para gadis di samping mengandungi himpunan fatwa-fatwa sebagai rujukan mengenai sesuatu isu.

Namu begitu, aku ingin berkongsi ilmu mengenai sekufu dalam perkahwinan yang terkandung dalam buku ini. Kata dasar bagi perkataan sekufu ialah kufu yang bermaksud padan atau taraf. Sekufu bermaksud sepadan atau setaraf. Dalam hal pemlihan jodoh, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Pilihlah olehmu untuk keturunan kamu dan bernikahlah dengan orang yang sekufu" (Riwayat Al-Baihaqi). 
Para ulama membahagikan aspek sekufu kepada beberapa aspek iaitu:
  1. Sekufu dalam agama. Hal ini berdasarkan dalil yang terkandung dalam al-Quran surah An-Nur ayat 3 yang bermaksud, "Lelaki yang berzina tidak boleh berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik. Dan perempuan yang berzina itu pula tidak boleh berkahwin melainkan dengan lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perempuan yang demikian itu diharamkan kepada orang-orang beriman."
  2. Sekufu dalam ilmu. Allah s.w.t. menjelaskan dalam surah Al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud, "Allah meninggikan darjat orang-orang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama daripada kalangan kamu beberapa darjat. Dan ingatlah, Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan."
  3. Sekufu dalam pekerjaan. Allah berfirman dalam surah Al-Nahl ayat 71 yang bermaksud, "Dan Allah melebihkan sebahagian daripada kamu atas sebahagian yang lain pada rezeki yang dikurniakannya." Sehubungan itu, lelaki yang berpangkat dan bergaji tinggi tidak sekufu dengan perempuan yang berpangkat dan bergaji rendah begitu juga sebaliknya.
  4. Sekufu dalam pemilikan harta. Dalam mazhab Syafi'i dan mazhab Hanafi, pemilikan harta diletakkan sebagai salah satu aspek perkiraan sekufu di antara suami isteri. Walau bagaimanapun, Imam 'Alaudin Abi Bakr bin Mas'ud Al-Kasani menyebut pemilikan harta tidak dijadikan ukuran sekufu di antara suami isteri kerana harta boleh bertambah atau berkurang.

Ahad, 1 Jun 2014

Hidangan Lengkap Seminggu

Entri pada kali ini berkaitan resepi masakan tetapi ini tidak akan menjadi blog ini sebagai blog resepi masakan. Pertama kali sepanjang aku menulis dalam blog ini, aku memaparkan entri berkaitan dengan resepi.

Pada 5 April 2014, aku menghadiri Aktiviti Bedah Buku PTS di Amanjaya Mall, Sungai Petani, Kedah. Dalam entri Aktiviti Bedah Buku PTS, aku ada menyatakan hasrat untuk hadir acara Kuali PTS Bersama Chef Hussin Khan untuk melihat demo masakan beliau. Namun begitu, ekoran berlaku insiden yang tidak disengajakan , astaghfirullah; aku memilih untuk hadir dalam acara Bicara Buku Bersama Dr Danial Zainal Abidin dan tidak menghadiri acara Kuali PTS Bersama Chef Hussin Khan kerana aku lebih senang menyendiri untuk menenangkan diri sendiri.

Hakikat yang sebenarnya, aku tidak mengenali Chef Hussin Khan walaupun beliau dikategorikan sebagai chef selibritidi Malaysia. Beliau selalu ke udara dalam rancangan masakan di televisyen seperti Spice Road dan majalah contohnya, Saji dan Aroma. Aku tidak mengenali beliau kerana aku jarang menonton televisyen dan membaca pelbagai majalah yang berunsur kewanitaan. Sekarang ini barulah aku kerap menonton televisyen. Pertama kali aku melihat Chef Hussin Khan ialah pada poster acara Kuali PTS Bersama Chef Hussin Khan. Ketika aku melihat dia secara live di Amanjaya Mall, Sungai Petani, Kedah dalam hatiku terbetik, "macam orang dalam poster."

Beberapa hari selepas itu, aku telah menghubungi Chef Hussin Khan untuk membeli buku Hidangan Lengkap Seminggu berserta book signing (autograf) daripada beliau agar aku dapat meningkatkan kemahiran memasak. Insya-Allah, aku bakal menggunakan buku ini untuk projek memasak dalam bulan Ramadhan 1435H memandangkan ahli keluargaku yang lain akan pergi ke luar negara maka aku akan tinggal seorang diri di rumah. Ini bergantung kepada mood kerajinan aku, jika aku rasa malas maka aku akan keluar membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadhan. 





Tajuk: Hidangan Lengkap Seminggu
Penulis: Chef Hussin Khan
Tahun Terbit: 2013
Penerbit: PTS Millennia Sdn. Bhd.











Buku Hidangan Lengkap Seminggu mengandungi 161 resepi yang terdiri daripada pelbagai resepi timur dan barat untuk sarapan pagi, makan tengah hari, minum petang dan makan malam; terdapat juga resepi autentik masakan Melayu dari negeri Perak. Buku ini menyediakan gambar langkah demi langkah sebagai panduan cara untuk memasak sesuatu resepi. Selain itu, buku ini membantu anda merancang menu untuk seminggu di samping menekankan idea makan secara sihat menyebabkan buku ini tidak menyediakan resepi makan lewat malam (supper). Buku ini juga boleh dijadikan sebagai buku menu untuk para suami memilih menu yang perlu dimasak oleh isteri kesayangan anda. 

Nama sebenar Cik Misstree terpaksa ditutup.
Chef Hussin Khan telah memberi autograf kepadaku dengan kata-kata peransang "Selamat Mencuba". Walaupun aku tidak pandai dan tidak berapa minat memasak tetapi sebagai langkah pertama, aku telah mencuba resepi Sandwich Telur Mayones. Agak melucukan apabila aku terlupa membeli daun salad untuk diletakkan di atas roti sebelum ia dilapisi oleh telur rebus hancur bermayones. Hasil akhir yang aku perolehi seperti yang tertera gambar di bawah yang mungkin wajar ditukar nama resepi kepada Sandwich Telur Mayones Tidak Bersalad






Jika anda mahu memiliki buku ini, anda boleh walk in ke cawangan Hasani Bookstore yang berada di utara Semenanjung Tanah Melayu. Jika anda berminat membeli melalui online, anda boleh mendapatkan buku ini di Hasani Book Online