|
Ya Seam@Seam (Mohd Hashim Ujang) adalah individu yang meninggalkan banyak komen tidak puas hati terhadap Kerajaan Persekutuan dalam entri Orang Malaya di Sabah #1 |
Aku tidak sangka entri
Orang Malaya Di Sabah #1 yang ditulis dan diterbitkan pada 9 November 2011 mendapat page view yang paling tinggi dalam blog ini sehingga dipos dalam forum dan facebook. Entri itu ditulis bukan bertujuan mempertikai peraturan imigresen di Sabah tetapi untuk menjelaskan kedudukan anak-anak orang Malaya yang lahir di Sabah.
Aku sendiri tidak menyimpan harapan walau sebesar zarah pun agar diterima sebagai orang Sabah dari aspek perundangan. Seandainya suatu hari nanti anak-anak orang Malaya yang lahir di Sabah diperakui sebagai orang Sabah dari aspek perundangan, aku tidak berkehendak untuk menurut sebarang prosedur perundangan agar aku menjadi orang Sabah.
Aku lebih suka menjadi anak orang Malaya yang lahir di Sabah. Aku lebih suka menjadi orang berketurunan Melayu dari Malaya.
Setelah tamat pengajian Masters di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pada tahun 2002, aku bekerja di sebuah cawangan badan berkanun di Wilayah Persekutuan Labuan. Induk badan berkanun itu berada di Kota Kinabalu, Sabah. Urusan berkaitan slip gaji aku diurusakan oleh induk badan berkanun tersebut. Walaupun aku sudah mempunyai nombor kad pengenalan baru (xxxxxx-12-xxxx) tetapi memandangkan aku adalah anak orang Malaya yang lahir di Sabah maka urusan gaji aku menggunakan nombor kad pengenalan lama Negeri-Negeri Tanah Melayu (A31xxxxx). Tujuannya agar badan berkanun tersebut dapat membezakan bahawa aku ini anak orang Malaya yang lahir di Sabah setaraf dengan anak orang Malaya yang lahir di Malaya.
Sepanjang 20 tahun aku tinggal di Sabah, bapa aku telah berurusan dengan Jabatan Imigresen Negeri Sabah maka kedua ibu bapa aku dan aku telah mendapat permit masuk tinggal tetap di Sabah pada tahun 1979. Situasinya sama seperti warganegara asing yang mendapat taraf penduduk tetap di Malaysia dengan menggunakan kad pengenalan berwarna merah. Bezanya kedua-dua ibu bapa aku dan aku tidak menggunakan sebarang kad pengenalan khas. Kedua-dua ibu bapa aku dan aku diberikan sepucuk surat yang menyatakan Jabatan Imigresen Negeri Sabah meluluskan pemberian permit masuk tinggal tetap di Sabah. Tujuan bapa aku mendapatkan permit masuk tinggal tetap di Sabah adalah untuk memudahkan kami agar tidak perlu lagi setiap tahun memperbaharui permit masuk tinggal di Sabah dari Jabatan Imigresen Negeri Sabah. Sehingga hari ini aku masih menyimpan surat itu seperti yang tertera dalam gambar di bawah.
|
Surat ini adalah surat lama pada tahun 1979 yang ditaip menggunakan mesin taip. Maklumat yang dihitamkan dalam surat ini melibatkan data peribadi, nombor rujukan surat dan cawangan pejabat imigresen yang terlibat. |
Selain itu, kedua-dua ibu bapa aku mesti hadir membawa passport Malaysia masing-masing di Jabatan Imigresen Negeri Sabah untuk catitan khas bahawa kedua ibu bapa aku dan aku telah mendapat permit masuk tinggal tetap di Sabah. Ketika itu, aku masih kanak-kanak maka aku tidak mempunyai passport Malaysia, rekod diri aku dimasukkan dalam passport ibu aku pada bahagian maklumat anak-anak. Selama 20 tahun aku tinggal di Sabah, urusan pengeluaran passport Malaysia bagi orang Malaya mesti dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen di Semenanjung Malaysia.
Aku tidak boleh melupakan pengalaman aku ketika hendak memperolehi passport Malaysia agar aku boleh keluar seorang diri dari negeri Sabah ke Semenanjung Malaysia untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana Muda (degree) di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Pegawai imigresen negeri Sabah (aku pasti pegawai itu adalah orang Sabah) memaklumkan kepada bapa aku berkenaan prosedur mengeluarkan passport Malaysia untuk aku:
Jika dia mahu buat passport antarabangsa, kami kena hantar ke sana (Semenanjung Malaysia). Apa yang diambil kira di sini ialah asal-usul keturunan. Kami tidak bertanggungjawab kalau passport dia belum siap sedangkan dia mahu jalan sudah. Kami hanya boleh keluarkan Dokumen Perjalan Terhad saja.
Sekarang sudah berbeza, urusan pengeluaran passport Malaysia bagi orang Malaya sudah boleh dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Negeri Sabah. Walaupun kedua-dua ibu bapa aku dan aku mempunyai permit masuk tinggal tetap di Sabah, tetapi kami kembali menetap ke Malaya di mana tempat kami berasal.
Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Walaupun negeri orang berhujankan emas tetapi lebih baiklah di negeri sendiri yang berhujankan batu.
P/S:
Jika anda hendak meninggalkan komen berkenaan entri ini, sila pastikan anda tidak melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan Akta Hasutan 1948.