Rabu, 19 Mac 2014

Misi Kerajaan Malaysia Mencari MH370 #3

MH370 bukan sahaja dinantikan kepulangannya oleh ahli keluarga yang terlibat malah rakyat Malaysia dan seluruh dunia menantikan kepulangan MH370. Sehingga kini tidak ada maklumat yang sahih menunjukkan pesawat MH370 terhempas. Entri kali ini adalah sambungan dari entri sebelum ini iaitu Misi Kerajaan Malaysia Mencari MH370 #2. Berikut aadalah misi Kerajaan Malaysia mencari MH370 dalam tempoh empat hari dari 16hb Mac sehingga 17hb Mac:
  • Hari kesembilan: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengklasifikasikan kes MH370 ke arah rampasan dan tindakan pengganas. Siasatan polis diperluaskan kepada semua anak kapal, jurutera, kakitangan lapangan terbang yang terlibat dengan pesawat itu termasuk para penumpang. Kapten Zaharie Ahmad Shah dan Fariq Abdul Hamid tidak meminta untuk bertugas bersama pada hari kejadian. Akhbar Daily Mail mengeluarkan spekulasi bahawa Kapten Zaharie Ahmad Shah merampas pesawat MH370 kerana kecewa dan obsesif dengan keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim namun kenyataan tersebut disangkal oleh mantan Ketua Juruterbang MAS, Datuk Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain dan Peter Chong yang merupakan pembantu Ahli Parlimen Subang R. Sivarasa. Kuantiti bahan api pesawat adalah mencukupi untuk sampai ke Beijing termasuk bahan api tambahan kira-kira untuk satu jam penerbangan. Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menafikan pesawat MH370 telah mendarat di pangkalan tentera Amerika Syarikat di Diego Garsia. Usaha mencari dan menyelamat pesawat MH370 telah menjadi usaha multinasional melibatkan 25 buah negara yang dipimpin oleh Malaysia. Fasa baru ini adalah lebih rumit dan susah kerana bukan sahaja melibatkan kawasan terpencil dan lautan dalam yang mencecah 7,000 meter di beberapa tempat tetapi turut melibatkan kawasan tanah luas menjangkau sebelas buah negara. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah menghubungi pepimpin tertinggi Bangladesh, Turkmenistan, Kazaskhtan dan India untuk membantu mengesan pesawat MH370. Kementerian Luar Negeri turut memberi taklimat kepada 22 wakil negara dan meminta bantuan termasuk pembekalan data radar tentera, data satelit dan bantuan lain yang difikirkan sesuai. Pegawai pemerintah Andaman dan Nicobar mengesahkan pencarian pesawat itu oleh dua kapal tentera laut India dan negara-negara lain di sekitar Pulau Andaman dan Nicobar tidak membuahkan hasil. Selain itu, MH370 boleh 'dihilangkan' daripada radar secara sengaja dengan menggunakan teknologi ketenteraan sekiranya tiga pesawat Stealth (antiradar) terbang berhampiran atau di bawah pesawat tersebut. Individu yang menerbangkan pesawat Stealth juga boleh melakukan pintasan terhadap frekuensi radio pesawat komersil berhampiran menyebabkan isyarat kecemasan yang dihantar oleh juruterbang tidak sampai ke menara kawalan. Pesawat Stealth mempunyai keupayaan untuk memesongkan pancaran radar selain menyerap transmisi radio daripada pesawat yang terbang berhampiran. Pihak keselamatan Britain memberi petunjuk bahawa kemungkinan pesawat MH370 dirampas oleh pelampau Islam yang mahu meniru serangan kumpulan militan al-Qaeda ke atas World Trade Centre pada 11 September 2011 dengan cara menggunakan sebutir bom yang disembunyikan di dalam kasut bagi meletupkan pintu kokpit pesawat berkenaan. Seorang pengganas Britain, Saajid Badat mendakwa pernah bertemu dengan beberapa orang anggota kumpulan pelampau dari Malaysia termasuk seorang juruterbang Malaysia di Afganistan. Selain itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antabangsa dan Industri, Datuk Ir Hamim Samuri berkata insiden kehilangan MH370 tidak menjejas keyakinan pelabur asing. 
  • Hari kesepuluh: Kehilangan MH370 terus diselubungi misteri yang tidak terjawab. Tidak ada panggilan kecemasan, tiada pihak menuntut wang tebusan dan tidak ada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab terhadap kehilangan pesawat MH370. Pakar mencari dan menyelamat mencadangkan agar misi pencarian pesawat MH370 dikecilkan dengan bergantung kepada  data satelit. Komunikasi terakhir dengan satelit berlaku di satu daripada dua koridor iaitu koridor utara yang menjangkau lebih kurang dari sempadan Kazakhstan dan Turkimenistan hingga ke utara Thailand atau di koridor selatan dari Indonesia hingga ke selatan Lautan Hindi. Namun begitu, pergerakan MH370 tidak dikesan oleh radar negara-negara yang dilaluinya. Kazakhstan mengesahkan tidak mengesan sebarang 'penggunaan' ruang udara tanpa pengetahuan mereka. Operasi ini melibatkan 26 buah negara iaitu Malaysia, Australia, Bangladesh, Brunei, China, Perancis, India, Indonesia, Jepun, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Laos, Myanmar, New Zealand, Pakistan, Filipina, Rusia, Singapura, Korea Selatan, Thailand, Turkmenistan, Emeriah Arab Bersatu (UAE), United Kingdom, Amerika Syarikat, Uzbekistan dan Vietnam. Malaysia telah menghantar nota diplomatik kepada semua negara yang terletak dalam koridor utara dan selatan serta negara yang terlibat bagi membantu dari aspek kepakaran dan aset khusus serta menyalurkan maklumat mengenai sistem radar dan satelit dalam operasi mencari di darat, laut dan udara. Malaysia juga meminta kebenaran meneruskan operasi tersebut di kawasan perairan dan daratan negara terbabit serta pelan tindakan menyelamat diselaraskan oleh Pusat Koordinasi Menyelamat di Malaysia termasuk kemas kini maklumat berhubung operasi mencari dan menyelamat serta maklumat terperinci yang diperlukan oleh Malaysia. Dalam hal ini, Australia bersetuju melakukan pencarian pesawat itu di koridor selatan. Sebahagian daripada 14 buah negara yang menerima nota diplomatik daripada Malaysia telah menyatakan persetujuan untuk membantu pencarian pesawat MH370 di koridor utara dan koridor selatan; setiap negara menjadi ketua mencari pesawat MH370 dalam lingkungan sempadan negara itu sendiri. Usaha pencarian di dua koridor berdasarkan pengiraan kelajuan minimum dan maksimum pesawat itu dan kedudukan terakhir di Selat Melaka. Perkiraan tersebut dilakukan kerana Satelit Inmarsat hanya mengesan data 'handshake' tetapi tidak memberi kedudukan tepat atau koordinat pesawat MH370 ketika ia menghantar isyarat kepada satelit tersebut. Di koridor utara,  pesawat ini boleh berada di Loas dengan kelajuan minimum tetapi boleh sampai di Laut Kaspia dengan kelajuan maksimum. Di koridor selatan pula, pesawat ini boleh sampai di timur Sumatera dengan kelajuan minimum tetapi di Lautan Hindi dengan kelajuan maksimum.  India menolak dakwaan kononnya pesawat itu digunakan dalam serangan keganasan seperti yang berlaku di New York pada 11 September 2001. Operasi ini disifatkan oleh Pemangku Menteri Pengangkuatan, Datuk Seri Datuk Hishammuddin Tun Hussein sebagai sangat mencabar dari aspek hubungan diplomasi, teknikal dan logistik. Pada awal pagi 8hb Mac, radar primer milik Tentera Udara Diraja Malaysia berjaya mengesan pergerakan 'plot' misteri yang memasuki ruang udara Malaysia namun pihak keselamatan negara tidak memintas atau bertindak kerana disifatkan ia bukan ancaman musuh. Siasatan turut mengambil kira kemungkinan juruterbang dan pembantu juruterbang menghadapi masalah peribadi ketika mengendalikan pesawat itu. Agensi media antabangsa melaporkan sebelum ini terdapat lebih 600 lapangan terbang di kedua-dua buah koridor. Kewujudan lapangan terbang rahsia di koridor utara dan selatan termasuk milik persendirian atau lapangan terbang lama menjadi fokus pasukan penyiasat khas Polis Diraja Malaysia (PDRM). Pasukan polis jejak kemungkinan pesawat itu mendarat di lokasi rahsia. PDRM mengambil masa seminggu hingga sebulan bagi menyelesaikan siasatan terhadap simulasi penerbangan yang diambil dari rumah Kapten Zaharie Ahmad Shah. Selain itu, faktor ugutan terhadap kedua-dua juruterbang turut menjadi skop siasatan terbaru berdasarkan maklumat yang dikumpulkan setakat ini.

Ahad, 16 Mac 2014

Misi Kerajaan Malaysia Mencari MH370 #2

Isu misi Kerajaan Malaysia mencari pesawat MH370 mendapat perhatian masyarakat dan media antarabangsa. Sebanyak 14 buah negara terlibat dalam misi ini melangkaui pertubuhan kerjasama negara-negara serantau. Aku rasa hairan juga bagaimana Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai menganggap misi ini sebagai isu nasional walhal di dalam pesawat MH370 melibatkan penumpang dari 14 buah negara. Pasti misi ini melibatkan isu hubungan antarabangsa Malaysia dengan negara-negara lain kerana pencarian MH370 melangkaui sempadan negara-bangsa yang ditandai di darat, laut dan udara. 

Entri kali ini adalah sambungan entri sebelum ini Misi Kerajaan Malaysia Mencari MH370 #1. Aku hanya menyatakan secara ringkas misi Kerjaan Malaysia tanpa menambah sebarang pendapat peribadi kecuali perenggan di atas dalam entri ini. Berikut adalah misi Kerajaan Malaysia mencari MH370 dalam tempoh empat hari dari 12hb Mac sehingga 15hb Mac:
  • Hari Kelima: Kerajaan Malaysia melakukan operasi ini secara besar-besaran dan telah menambah pesawat dan kapal dengan peralatan canggih. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menyeru agar rakyat Malaysia bertenang, bersabar dan berdoa. Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) meletakkan 15 orang pegawai di Anjung Tinjau, Kuala Lumpur International Airport (KLIA) bagi memantau kehadiran bomoh, Ibrahim Mat Zin yang dikatakan mampu mengesan pesawat MH370 dengan cara melakukan upacara simbolik ala "tikar terbang". Pemantauan ini memandangkan amalan ritual bomoh tersebut bertentangan dengan akidah Islam. Operasi ini menggunakan kepakaran 13 buah negara. India melalui tentera lautnya turut menyertai kerja mencari pesawat MH370 dengan menggerakkan satelit Rukmini (GSAT-7) manakala Jepun menghantar empat pesawat serta agensi pegawai pantai dan Brunei pula turut menawarkan bantuan aset. Selain itu, teori Lubang Hitam (Black Hole) turut dikaitkan dengan kehilangan MH370.  Operasi ini diperluaskan ke kawasan Laut Andaman sempadan Thailand-Myanmar. Pihak berkuasa Vietnam menghadkan operasi di perairan Vietnam berikutan penumpuan operasi mencari dan menyelamat di Selat Melaka dan Laut Andaman.
  • Hari Keenam: Kerajaan Malaysia tidak akan menghentikan operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370. Dalam hal ini, Malaysia tidak menyembunyikan sebarang maklumat berkaitan operasi ini. Mustahil faktor elektrik dan mekanikal menjadi punca kerosakan komunikasi kerana pesawat MH370 dilengkapi lima unit radio dan dua transponder. Malaysia Airlines System Berhad (MAS) mengesahkan data enjin terakhir yang diterima dari pesawat MH370 ialah pada 8hb Mac 2014 pukul 1.07 pagi. Lokasi pencarian ditumpukan di Laut China Selatan (isyarat terakhir yang diterima dari MH370) dan Selat Melaka berikutan petunjuk yang diterima dari radar primer (milik tentera Malaysia) dan radar sekunder (Jabatan Penerbangan Awam, Malasyia di Subang). Usaha pencarian ini diperluaskan ke Timur Laut China Selatan. Seorang pegawai kanan Pentagon dipetik oleh ABC News mendakwa MH370 mungkin terhempas di Lautan Hindi. Penyiasat Amerika Syarikat mendedahkan satu andaian baru kemungkinan pesawat MH370 dirampas untuk tujuan sabotaj (digunakan bagi tujuan lain pada masa hadapan). Wall Street Journal memetik dua sumber keselamatan dan penerbangan Amerika Syarikat, pesawat MH370 masih berada di udara selama empat jam dari lokasi terakhir ia dilaporkan hilang. Seseorang dikatakan telah bertindak mematikan sistem transponder MH370 dan mengarahkan pesawat tersebut ke tempat lain. Pendedahan ini menimbulkan kebarangkalian pesawat itu terbang selama lima jam (termasuk kira-kira sejam bermula ia berlepas dari Kuala Lumpur International Airport) ke kawasan lain pada jarak tambahan 3,500 kilometer hingga ke sempadan Pakistan atau destinasi Lautan Hindi atau Laut Arab. Mengenai teori Lubang Hitam (Black Hole), pakar pertahanan dan fizik Malaysia menolak dakwaan tidak berasas yang mengatakan kehilangan MH370 adalah disebabkan oleh ujian alat perang eloktronik sebaliknya menyatakan penggunaan alat perang eloktronik tidak mustahil diuji terhadap pesawat-pesawat komersial tetapi bukan melibatkan pesawat negara lain.
  • Hari Ketujuh: Malaysia kekal mengetuai misi pencarian MH370 kerana di bawah Protokol Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa, pihak berkuasa negara di mana sesuatu pesawat didaftarkan akan mengetuai siasatan sekiranya berlaku insiden. Malaysia minta kerjasama Vietnam memperluaskan pencarian ke Lautan Hindi. Amerika Syarikat turut mengerah pencarian di Lautan Hindi. Operasi antarabangsa ini melibatkan 48 buah pesawat dan 57 buah kapal dari 13 buah negara. Satelit Inmarsat milik United Kingdom menerima beberapa isyarat 'ping' atau nadi elektronik telah menguatkan dakwaan penyiasat Amerika Syarikat sebelum ini bahawa pesawat MH370 terbang empat jam tanpa dikesan oleh radar selepas terputus hubungan. MH370 dikatakan gagal menghantar mesej kerana tidak melanggan sistem Boeing Airplane Health Management untuk penggunaan data satelit. Syarikat pembuatan pesawat, Boeing Co. menawarkan perhidmatan satelit untuk mengumpulkan maklumat operasi penerbangan pesawat dan menghantar data tersebut ke pengkalan utama. Perhidmatan ini diwujudkan bagi menyediakan maklumat untuk proses pembaikan atau kerja penyelenggaran sebelum pesawat Boeing mendarat. Namun begitu, Malaysia Airlines System Berhad (MAS) tidak melanggan perkhidmatan ini tetapi pesawat masih mempunyai keupayaan satelit dan mengeluarkan isyarat secara automatik. Selain itu, pakar seismologi China mengesan gegaran kecil di dasar laut di antara Malaysia dan Vietnam pada pukul 2.55 pagi pada hari MH370 dilaporkan hilang mungkin disebabkan oleh MH370 terhempas ke laut. Walau bagaimanapun, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn menjelaskan Malaysia belum menerima laporan rasmi berhubung dengan maklumat itu daripada Pentagon, Amerika Syarikat dan China. Kapal Perang Amerika Syarikat, Kidd menuju ke Lautan Hindi dari Laut China Selatan meneruskan usaha mencari pesawat MH370. Kerajaan Malaysia tetap meneruskan usaha menyelamat 239 orang penumpang dan anak-anak kapal MH370 walaupun peluang semakin tipis. Pembuat enjin Boeing, Rolls-Royce dan Cabang Siasatan Kemalangan Udara dari United Kingdom tiba di Malaysia untuk membantu merungkai kehilangan MH370. Vietnam juga telah menurunkan status operasi mencari pesawat MH370 dari status kecemasan kepada normal tetapi operasi ini tidak dihentikan. Tentera negara India menggunakan pesawat yang dilengkapi peralatan pengesan haba bagi membuat tinjauan di sekitar 572 buah pulau di Laut Andaman bagi mencari MH370. Malaysia Airlines System Berhad (MAS) telah menukar kod laluan penerbangan Kuala Lumpur-Beijing dan Beijing-Kuala Lumpur masing-masing dari MH370 kepada MH318 dan MH371 kepada MH319 bagi menghormati penumpang dan anak-anak kapal yang masih belum ditemui.
  • Hari Kelapan: Kerajaan Malaysia dan pihak terbabit kini menilai semula penghantaran aset ke kawasan itu dan ditumpukan di kawasan baru di sebelah Barat Semenanjung Malaysia. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengumumkan MH370 sah berpatah balik di mana Sistem Laporan dan Komunikasi Pesawat (ACARS) dimatikan secara sengaja sebelum menghampiri Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Transponder dimatikan ketika MH370 menghampiri sempadan Vietnam. Komunikasi terakhir di antara MH370 dengan satelit pada 8hb Mac 2014 pukul 8.11 pagi. Seorang pegawai Kerajaan Malaysia berkata penyiasat menyimpulkan salah seorang juruterbang atau seseorang yang berpengalaman telah mensabotajkan pesawat MH370. Kediaman Kapten Zaharie Ahmad Shah di Laman Seri, Seksyen 13, Shah Alam dan kediaman pembantu juruterbang, Fariq Ab. Hamid di Seksyen 7, Shah Alam turut dikunjungi oleh polis dari Bukit Aman tidak lama selepas Perdana Menteri Malaysia mengumumkan siasatan kehilangan pesawat menjurus ke arah anak-anak kapal dan para penumpang memandangkan pergerakan pesawat itu selepas ia hilang daripada radar utama tentera (Malaysia) menunjukkan ia telah dilakukan secara sengaja oleh seseorang di dalam pesawat itu. Kunjungan pihak polis tersebut adalah untuk tujuan siasatan dan temubual ahli keluarga terbabit. Walau bagaimanapun, pihak polis telah mengambil simulator Boeing 777 di kediaman Kapten Zaharie Ahmad Shah untuk dianalisa. Sistem simulator penerbangan tersebut dipasang sendiri pada November 2012 menggunakan perkakasan FSX dan FS9 pada enam skrin monitor. Sistem itu juga dilengkapi dengan dua kad grafik terbaru jenama Asus 7970 serta beberapa peralatan canggih yang lain. Misi mencari dan menyelamat MH370 di Laut China Selatan dihentikan. Kini, tumpuan pencarian MH370 di dua koridor iaitu Koridor Utara (dari utara Thailand sehingga sempadan Kazakhstan) dan Koridor Selatan tertumpu dari utara Indonesia sehingga ke selatan Lautan Hindi kerana MH370 disahkan telah melencong dari laluan asal dan dipercayai berpatah balik ke arah barat sebelum membelok menghala ke barat laut sehingga keluar dari liputan radar tentera. Radar tentera menunjukkan pesawat itu terbang sehingga ketinggian 45,000 kaki dan munukar arah secara mendadak ke barat sebelum turun ke paras 23,000 kaki ketika menghampiri Pulau Pinang. MH370 kemudian terbang pada ketinggian 35,000 kaki. Perubahan mendadak altitud pada ketinggian 45,000 kaki adalah konsisten dengan pergelutan dalam kokpit. Kejadian ini telah menimbulkan teori bahawa juruterbang sengaja melakukannya agar para penumpang dan anak-anak kapal pengsan. Pesawat yang terbang melebihi had pesawat 43,100 kaki dengan kabin yang dinyahtekanankan boleh memberi kesan tersebut. Pesawat MH370 dikhuatiri terhempas di dua lokasi iaitu Teluk Bengal dan lokasi lain di Lautan Hindi. Beberapa isyarat 'ping' sebelum ini menunjukkan pesawat tersebut menempuh sejauh beribu-ribu kilometer sebelum terhempas di Lautan Hindi kerana kehabisan minyak. Walau bagaimanapun, penglibatan pemisah atau pengganas atau lanun udara mungkin terbabit dalam insiden ini tidak ditolak. Kumpulan pemisah China disyaki kerana wujud penindasan terhadap etnik tersebut manakala perbuatan lanun udara pula disyaki kerana maklumat sebelum ini menunjukkan MH370 turut dinaiki oleh beberapa bilionaire China.  

Jumaat, 14 Mac 2014

Kegilaan Di Dalam Pesawat!






Tajuk buku: Kegilaan Di Dalam Pesawat!
Penulis: Yvonne Lee
Paperback, Edisi Bahasa Melayu, 243 halaman
Diterbitkan: 2012 
Penerbit: Marshall Cavendish Editions
Tajuk asal: Madness Aboard!








Bagi sesiapa yang tidak pernah atau jarang menaiki penerbangan antarabangsa, pasti kisah dalam buku ini mengejutkan para pembaca kerana tidak dijangka oleh penumpang yang biasa berlegar di ruang udara domestik. Justeru, buku ini memaparkan pelbagai kisah di dalam pesawat penerbangan antarabangsa beradasarkan pengalaman Yvonne Lee semasa bertugas sebagai pramugari. Di antara kisah para penumpang di dalam pesawat yang dipaparkan oleh pengarang ialah terdapat penumpang yang melakukan hubungan seks di dalam pesawat Boeing 747-200, pengurus makanan terpaksa mengurus ego (membalas dendam) seorang penumpang dengan cara menghidangkan makanan menggunakan stoking busuk sebagai alat untuk menghancurkan telur yang dimakan bersama roti bakar, pelbagai cerita mengenai kerenah penumpang kanak-kanak seperti kisah Hammie - haiwan comel hamster peliharaan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun berjaya diseludup dalam penerbangan ke Hong Kong, pramugari yang terpaksa melakukan tugas sebagai pengasuh kanak-kanak semasa penerbangan, kisah anak kapal (pramugari) yang mengalami gangguan seksual, pergaduahan di antara penumpang disebabkan oleh bau badan atau bau stoking yang busuk atau rasa tidak puas hati dengan attitude penumpang lain yang duduk di sebelah. Selain itu, Yvonne Lee turut memaparkan kisah pesawat antarabangsa yang berhantu. Namun begitu, pada pandangan aku sebagai pembaca, pengarang memaparkan keluarbiasaan attitude para penumpang ketika menaiki pesawat secara exaggerate untuk memberi kesan humor dalam setiap kisah. Buku ini juga memaparkan betapa pentingnya kehadiran anak-anak kapal semasa penerbangan bagi membantu para penumpang.

Walau bagaimanapun, satu perkara yang menjadi pengajaran kepada semua pihak khususnya para penumpang ketika berada dalam penerbangan ialah kepentingan mengurus dan menurunkan ego dengan baik kerana anda tidak berseorangan menaiki pesawat.  Walaupun Yvonne Lee tidak menyatakan secara jelas nama syarikat penerbangan semasa beliau bertugas sebagai pramugari namun sebagai pembaca, aku menjangkakan kisah-kisah yang terdapat dalam buku ini adalah pengalaman beliau semasa bertugas di Malaysia Airline System Berhad (MAS). 

Selasa, 11 Mac 2014

Misi Kerajaan Malaysia Mencari MH370 #1

Kerajaan Malaysia bersungguh-sungguh menjalankan misi mencari MH370. Misi MH370 ini hampir menenggelamkan isu panas lain di Malaysia seperti musim panas yang melanda Semenanjung Malaysia sejak Januari 2014 yang dijangka tamat pertengahan Mac 2014.  

Isu catuan air berikutan musim kemarau sehingga Kerajaan Malaysia melakukan misi pembenihan awan terutama kawasan empangan di Selangor. Terkini beberapa hari sebelum kehilangan MH370, masalah jerebu telah melanda Semenanjung Malaysia berikutan musim kemarau tanpa hujan sejak Januari 2014. Pada 11 Mac 2014, penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang yang bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara calon Barisan Nasional, Datin Paduka Chew Mei Fun dengan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dari Parti Keadilan Rakyat. Kehilangan MH370 telah menjadi isu paling panas di Malaysia berbanding musim panas yang dilalui oleh rakyat Malaysia dalam tempoh ini.

Entri pada kali ini berkenaan mengenai misi Kerajaan Malaysia mencari MH370 selama empat hari (8hb Mac sehingga 11hb Mac) sehingga entri ini ditulis:
  • Hari Pertama: Pesawat MH370 berlepas dari Kuala Lumpur International Airport pada 8hb Mac pukul 12.41 pagi. Juruterbang MH370 tidak buat sebarang panggilan kecemasan. Pada pukul 1.30 pagi merupakan kali terakhir isyarat radar dieterima pada ketinggian 10,668 meter dan 120 batu nautika di timur Kota Bharu, Kelantan, Malaysia. Pada pukul 2.40 pagi pesawat MH370 disahkan hilang oleh Jabatan Penerbangan Awam, Malaysia. Terdapat dua penumpang masing-masing warga Itali dan Austria dipercayai tidak berada di dalam pesawat. Kedutaan Austria mengeluarkan kenyataan bahawa pasport warga Austria tersebut dicuri. Selain di Subang, Pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak, Kelantan turut beroperasi sebagai markas untuk semua jenis penerbangan yang terbabit dalam operasi pencarian MH370. Misi mencari dan menyelamat pesawat MH370 menumpukan di kawasan laluan Kuala Lumpur ke Beijing menurut prosedur operasi standard (SOP). Timbul spekulasi yang mengatakan pesawat itu melakukan pendaratan cemas di Nanning, China manakala spekulasi lain pula menyatakan pesawat itu terhempas di sebuah pulau selatan Veitnam. Spekulasi tersebut disahkan oleh Jabatan Penerbangan Awam Malaysia sebagai tidak benar.
  • Hari Kedua: Kerajaan Malaysia menjangkakan pesawat MH370 melakukan air turn back (patah balik) ke Kuala Lumpur International Airport setelah dua jam penerbangan. Radar Tentera Udara Diraja Malaysia menunjukkan MH370 menghala ke Kota Bharu, Kelantan pada pukul 2.40 pagi. Misi pencarian MH370 diteruskan di kawasan darat menggunakan helikopter dan kawasan operasi diperluaskan dari 20 batu nautika persegi ditingkatkan kepada 50 batu nautika persegi di perairan lokasi terakhir MH370 dilaporkan terputus iaitu di Laut China Selatan berhampiran dengan perairan selatan Vietnam. Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah menghantar empat kapal laut ke Pulau Perak kira-kira 60 batu nautika dari Langkawi, Kedah yang dikatakan telah berpatah balik ke arah Selat Melaka. Operasi mencari dan menyelamat pesawat itu turut melibatkan 24 pesawat dan 40 buah kapal termasuk dari Amerika Syarikat, Australia, China, Vietnam, Singapura, Thailand, Filipina dan Indonesia. Juruterbang pesawat tentera Vietnam yang menyertai misi pencarian telah mengesan tompokan minyak sepanjang 20 kilometer pada jarak 500 meter di antara satu sama lain di 140 kilometer ke selatan Pulau Tho Chu di pesisir selatan Vietnam. APMM mengemukakan minyak yang ditemui kira-kira 20 batu nautika dari pesawat MH370 dilaporkan terputus hubungan. Sampel minyak tersebut untuk ujian makmal.  Tidak ada petunjuk berkaitan MH370 di kawasan 70 hingga 100 batu nautika persegi dari pantai di perairan Kelantan, Terengganu dan sempadan Thailand dan Vietnam setelah tinjauan dari udara dilakukan. Walaupun pihak berkuasa Vietnam menemui 'objek' yang mungkin sebahagian daripada pesawat yang hilang namun penemuan itu belum disahkan. Pihak Polis Diraja Malaysia tidak meletakkan ancaman pengganas sebagai faktor utama kehilangan pesawat MH370 tetapi tidak menolak kemungkinan tersebut. Data pemantauan awal yang diperiksa oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat, Pentagon mendapati tidak ada sebarang letupan di Laut China Selatan apabila MH370 terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara di Subang.
  • Hari Ketiga: Pelbagai 'objek' yang ditemui sebelum ini yang dikatakan pintu pesawat sebenarnya ialah kayu terikat seperti pontun manakala jaket keselamatan hanyut sebenarnya ialah kanvas lusuh berwarna oren. APMM juga mengesahkan beberapa tompokan minyak yang ditemui di Laut China Selatan bukan minyak yang digunakan oleh pesawat MH370 sebaliknya minyak itu digunakan oleh tongkang. Perluasan kawasan pencarian pesawat MH370 sehingga ke perairan pantai barat Semenanjung Malaysia adalah berdasarkan laluan pesawat yang mungkin berpatah balik. Operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370 diperluaskan sehingga 100 batu nautika dari Igari. Operasi mencari dan menyelamat membabitkan kerjasama sembilan buah negara iaitu Amerika Syarikat, Singapura, Filipina, Vietnam, China, Thailand, Indonesia, Australia dan New Zealand. Secara keseluruhannya, sebanyak 41 buah kapal dan 24 buah pesawat digunakan dalam operasi ini. Operasi ini dipecahkan kepada beberapa blok iaitu blok A dan B adalah untuk pemantauan pesawat manakala blok C dan D adalah untuk pemantauan kapal laut. Blok E pula adalah kawasan yang diperluaskan lagi seluas 100 batu nautika persegi membabitkan operasi pesawat dan kala laut sekiranya tiada sebarang penemuan di blok A, B, C dan D. 


  • Hari Keempat: Pencarian diluaskan kepada lebih 500,000 batu nautika persegi dari pantai Sumatera ke Hong Kong. Ketua Polis Negara Malaysia, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata tumpuan diberikan kepada empat faktor kemungkinan utama dalam penyiasatan kes kehilangan pesawat MH370 iaitu rampasan pesawat, sabotaj, masalah psikologi penumpang dan anak-anak kapal serta masalah peribadi mereka. Satu pasukan khas telah ditubuhkan dan diketuai oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah. Siasatan dari pelbagai sudut dijalankan dengan kerjasama agensi risikan dari 14 buah negara termasuk Jerman dan Iran. Polis dan Interpol turut mendedahkan identiti dua orang penumpang warganegara Iran yang menggunakan pasport curi untuk menaiki pesawat MH370; Pouria Nour Mohammad Mehrdad berusia 19 tahun telah menggunakan pasport curi warga Austria milik Christian Kozel manakala Delavar Syed Mohamad Reza berusia 30 tahun menggunakan pasport curi warga Itali milik Luigi Maraldi. Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Aloyah Mamat berkata,  kedua-dua penumpang yang menggunakan pasport curi itu mempunyai tempoh visa sosial masih sah ketika diperiksa. Pegawai Imigresen yang bertugas pada waktu itu telah mematuhi semua proses Operasi Prosedur Standard (SOP) ketika pemeriksaan dibuat dan didapati wajah mereka sama dengan gambar dalam pasport.

Ahad, 9 Mac 2014

I Love MAS: Pray For MH370

Sejak usia aku belum mencecah dua tahun, aku mula menaiki pesawat Malaysia Airline System Berhad (MAS). Aku mula menaiki pesawat Air Asia pada tahun 2005 yang menawarkan penerbangan tambang murah pertama di Malaysia. Bermula 2007, MAS juga turut menawarkan penerbangan tambang murah tanpa perlu menurunkan status MAS yang telah memenangi Best Airline to Asia bagi kategori Travel Weekly Globe Awards 2006.

Banyak perbezaan jika dibandingkan di antara Air Asia dengan MAS. Air Asia dan MAS menawarkan penerbangan tambang murah berteraskan penawaran-permintaan seat dan jarak penerbangan. Ketika pertama kali aku menaiki pesawat Air Asia, tambang murah Air Asia turut melibatkan pengecualian sesetengah perkhidmatan seperti penetapan seat kepada penumpang, penyediaan makanan (sebaliknya Air Asia menjual makanan di dalam pesawat), Air Asia tidak menyewa aerobridge [kecuali di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) semua penerbangan domestik dan antarabangsa mesti menyewa aerobridge] serta kapten, pramugari, pramugara Air Asia yang kurang berbudi bahasa. Mungkin harga tiket kapal terbang yang mahal termasuk bayaran budi bahasa kapten dan anak kapal.

Pada tahun 2006, aku mengalami pengalaman ngeri menaiki pesawat Air Asia dari Wilayah Persekutuan Labuan ke KLIA [sebelum Low Cost Carrier Terminal (LCCT), KLIA dibuka]. Setelah selamat mendarat, di depan pintu pesawat hadapan, ketika aku sedang berada dalam perut pesawat, aku terdengar seorang penumpang lelaki bercakap dengan suara yang amat perlahan (tanpa aku ketahui buah butir percakapannya) di luar pintu pesawat hadapan. Seorang pramugari dengan suara yang lantang berkata, "Ooo, nak komplenlah ni." Dalam penerbangan Air Asia yang lain dari KLIA ke Alor Setar, sebelum berlepas aku telah meminta pertolongan seorang pramugara untuk meletakkan beg berisi laptop dalam ruang penyimpanan barang di atas memandangkan aku bersaiz kecil molek ketinggian 157cm. Setelah tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Alor Setar pramugara yang telah menolong aku turun dari pesawat setelah melihat aku tercari-cari anak kapal yang dapat membantu aku mengambil beg berisi laptop yang telah diletakkan dalam ruang penyimpanan di atas. Setelah aku melihat tiada seorang pun anak kapal di dalam pesawat, maka aku terpaksa berdiri di atas kerusi penumpang untuk mengambil beg berisi laptop tersebut.

Sehingga kini, aku tidak mengalami pengalaman ngeri sepanjang aku menaiki pesawat MAS berbanding ketika aku menaiki pesawat Air Asia walaupun terdapat rungutan penumpang berkenaan makanan yang disediakan untuk para penumpang seperti "nasi lemak telanjang" dan "asam pedas tidak ada ikan". Aku generasi yang lahir dan membesar dengan menaiki pesawat  MAS, pesawat Air Asia wujud ketika aku telah dewasa. Aku lebih suka menaiki pesawat MAS berbanding Air Asia. Aku bangga melihat MAS menggunakan logo wau bulan (sesetengah pihak mengatakan wau kucing) itu terbang ke serata dunia. Wau adalah lambang jati diri kehebatan bangsa Melayu. Apabila MAS berjaya mendarat di sesebuah negara, maka secara tersiratnya negara tersebut telah berjaya "ditawan" oleh Malaysia.  
... tujuan wau bulan itu sendiri yang dicipta dan dijadikan sebagai lambang penaklukan oleh seorang anak Raja Melayu bernama Sanjaya yang terkenal sebagai pakar pelayaran, pakar perang di lautan dan di daratan, seorang yang berani dan merupakan penakluk yang nekad serta menyimpan impian untuk menakluki dunia. ... Sanjaya akan menaikkan wau bulan pada setiap negeri atau kawasan yang berjaya ditawannya, ... . Sumber: sila klik di sini [...].
Pada 8hb Mac 2014 pukul 2.40 pagi waktu tempatan, Malaysia dan seluruh dunia dikejutkan oleh berita kehilangan perhubungan dengan MH370 pesawat Boeing 777-200 dalam penerbangan dari KLIA ke Beijing yang membawa 227 orang penumpang (dari 14 buah negara) dan 12 orang anak kapal. Pesawat tersebut dipandu oleh Kapten Zaharie Ahmad Shah dan dibantu oleh pembantu juruterbang Fariq Ab. Hamid. Kedudukan terakhir MH370 sebelum pesawat itu hilang dari radar adalah 065.515 Utara (longitud) dan 1033443 Timur (latitud). Aku sangat terkejut dan rasa sungguh sedihSad Smileywalaupun tidak ada seorang pun yang berada di dalam pesawat MH370 aku kenali. Sehingga entri ini ditulis, MH370 belum lagi ditemui. I am humbly asks all people around the world to pray for Malaysia flight MH370 will find 

Ahad, 2 Mac 2014

My Special Birthday Wish

Setiap tahun MPH Bookstores Sdn. Bhd. memberi diskaun 15% pembelian buku-buku kepada ahli MPH Reader's Circle sempena tarikh hari lahir (birthday). Pemberian diskaun tersebut (hanya sekali) bermula seminggu sebelum tarikh hari lahir sehingga seminggu selepas tarikh hari lahir. Bermula 22hb Februari, aku layak menikmati diskaun 15% tersebut bagi tahun 2014. Pada mulanya, aku tidak tahu bahawa pemberian diskaun tersebut hanya sekali dalam tempoh 15 hari. 

Aku rasa rugi kerana menggunakan pemberian 15% diskaun semasa membeli buku-buku di MPH Bookstores di Tesco Sungai Petani. Saiz MPH Bookstores di Tesco Sungai Petani kecil dan buku-buku yang dijual juga sedikit jika dibandingkan dengan MPH Bookstores di Amanjaya Mall, Sungai Petani. Nasihat aku kepada semua ahli MPH Reader's Circle, sebelum menggunakan pemberian 15% diskaun, terlebih dahulu survey MPH Bookstores dan buku-buku yang dijual. MPH Bookstores yang besar menawarkan buku-buku yang lebih banyak, pasti memberikan pelbagai pilihan jika hendak membeli kuantiti buku yang banyak. 

My birthday special wish agar pihak MPH Bookstores Sdn. Bhd. boleh mempertimbangkan cadangan untuk meningkatkan pemberian diskaun 15% sebanyak dua kali (seminggu sebelum tarikh hari lahir dan seminggu selepas tarikh lahir) kepada ahli-ahli MPH Reader's Circle. Hal ini untuk memberi peluang kepada ahli-ahli MPH Reader's Circle meningkatkan pembelian buku-buku sebagai hadiah lahir buat diri mereka sendiri di samping menambah koleksi buku-buku peribadi milik mereka.