Rabu, 22 Jun 2011

Terima Kasih Ummuzulaikha

Aku buat blog ini suka-suka saja tetapi tidakku sangka dalam pada aku melawat blog followers, aku ditabalkan menjadi pemenang VVIP oleh Ummuzulaikha.

Petikan dari kotak sembang:
  Ummuzulaikha kepada Cik Misstree: assalam..jemput jemput tgk siapa yg bertuah kali ini =)
2011-06-20 3:36 PM #

**************************************************************************

Assalamu'alaikum & Salam Sejahtera =)

Kita bertemu kembali...

Mari-mari..kini tiba masa untuk umumkan siapa VVIP bertuah untuk mendapatkan HADIAH MISTERI dari Unggul-Resources !!!

Jeng Jeng Jeng...
  

Tahniah Tahniah kepada ... 

CIK MISSTREE

kerana dipilih sebagai VVIP bertuah kali ini =)

Terima kasih diucapkan kerana menjadi pengunjung Unggul-Resources yang setia (pengunjung paling tinggi)

Jadi..jangan lupa hubungi saya untuk dapatkan HADIAH MISTERI anda

Saya menanti khabar dari anda !!!

**************************************************************************
Cik Misstree: Saya rasa teruja dan sangat gembira :love:

Doa Mengelakkan Diri Dari Dirogol

http://tuantanah.files.wordpress.com/2011/03/doa.png 
Doa Siti Sarah ~ isteri Nabi Ibrahim a.s. (Hadis Riwayat Al-Bukhari, no 2104, 2/722 ; Sunan Al-Baihaqi, 5/97; Musnad ahmad, 2/403 ; Fath Al-Bari, 6/393; Umdat Al-Qari, 12/30 ; Sohih).

Selasa, 21 Jun 2011

Anak Dara Tak Laku

Entri kali ini aku nak bercerita atau membebel fasal orang Melayu yang kerap menyebut perempuan yang tidak berkahwin sebagai 'anak dara tak laku'. Konotasi 'tak laku' merujuk kepada barang atau komoditi yang diniagakan.  Adakah masyarakat menyatakan 'anak dara tak laku' merujuk ibu bapa (dalam bahasa perniagaan) tidak pandai mempromosikan anak dara atau  mengiklankan anak dara sehingga anak daranya tidak laku?  

Aku sebagai perempuan yang belum pernah berkahwin malah ramai perempuan di luar sana berumur dalam lingkungan 30 tahun yang belum pernah mendirikan rumah tangga tidak merasakan kedudukan kami semua adalah komoditi yang diniagakan sama ada laku atau tidak laku. Aku adalah wanita yang mempunyai harga diri (esteem) dan nilai harga diri tidak merujuk kepada kesempurnaan hidup yang hanya dipenuhi apabila mempunyai suami. Kini masyarakat yang hidup dalam sistem kapitalisme meletakkan harga diri dalam pelbagai aspek material seperti mempunyai harta yang banyak, pendidikan yang tinggi dan kereta yang mewah.  Amat menghairankan apabila masyarakat Melayu meletakkan kedudukan wanita seperti komoditi yang diniagakan.  

Jumaat, 17 Jun 2011

Nama manja

Bulan September 2010, aku beli TV untuk bilik sewa di Bangi agar sambil buat tesis aku boleh menonton TV.  Kalau mengadap tesis saja 24 jam, aku rasa boleh tepu otak aku. Macam-macam rancangan aku tengok tapi seperkara yang menghairankan aku ialah tatacara artis apabila mereka ditemu bual untuk rancangan seperti Melooodi dan Hiip Tivi serta entah segala macam nama rancangan yang menelanjangkan kehidupan mereka.  Jika hanya menyentuh mengenai perkembangan kerjaya mereka aku fikir tidak ada perkara yang hendak dimalukan tetapi jika hendak menceritakan hal-hal peribadi termasuk pergaduhan dan penceraian artis maka perkara itu amat mengaibkan. Hal ini menyebabkan Majlis Ulama Indonesia mengharamkan rancangan yang mendedahkan gosip artis-artis Indonesia.   
 
Kenyataan di atas hanya mukadimah kepada isu artis di Malaysia. Namun, seperkara yang menghairankan aku ialah kenapa artis-artis di Malaysia tidak tahu menggunakan kata nama ganti diri? Contohnya, Mia berkata, "Mia sekarang baru habis shooting untuk filem tuut".  Sewajarnya, para artis menggunakan kata nama ganti diri seperti 'saya' untuk rancangan TV.  Kritikan ini mengingatkan aku kepada seorang guru (dari sekolah lain) yang pernah menjadi penceramah (dan mantan pemeriksa kertas Pengajian AM 2 STPM di Malaysia) untuk memberi bimbingan pada saat akhir sebelum aku dan kawan-kawan hendak mengambil STPM di SMKS.  Beliau menyatakan perkara yang sama dengan memberi contoh tentang seorang ahli sukan yang terjun ke dalam dunia perfileman bernama Malik dan berkata "Malik sekarang dah terlibat dalam bidang lakonan".  Walaupun bukan semua artis sedemikian, tetapi agak aneh juga apabila artis berusia 20 hingga 40 tahun menggunakan nama manja untuk membahasakan dirinya seperti kanak-kanak kecil.  Nama manja hanya sesuai digunakan untuk khalayak yang lebih kecil dan peribadi seperti berbicara dengan ahli keluarga.  Dalam rancangan Mento 5, para protoge diajar agar menggunakan nama manja untuk membahasakan diri mereka. Adakah penggunaan nama manja hendak menonjolkan kemanjaan kepada para peminat? Hendak bermanja biarlah bertempat.

Isnin, 6 Jun 2011

Zakat

"Dan lakukanlah solat, dan berikanlah zakat, dan tunduklah bersama orang-orang yang tunduk" (Al-Baqarah 2:43).

Aku mula membayar zakat harta di Selangor pada tahun 2006 di PPZ Kajang. Bermula tahun 2007 sehingga 2011 genap lima tahun aku membayar zakat harta di PPZ Bangi. Insya-Allah, ini merupakan zakat hartaku yang terakhir di Selangor dalam tempoh pengajian PhDku di UKM.

PPZ ditubuhkan sebagai sebuah badan korporat maka pada peringkat awal untuk mengisi keperluan PPZ, pengambilan para pegawai eksekutif adalah terdiri dari golongan bukan dari pendidikan agama.  Setelah PPZ kukuh dan mantap dari segi pengurusan dan pentadbiran, jawatan pegawai eksekutif mula diisi oleh golongan yang berpendidikan agama. Mengapa hal ini terjadi? Menurut Prof. pelawat dari USM ke Institut Islam Hadhari, UKM pada 31 Januari-1 Februari 2011, golongan yang berpendidikan agama kekurangan ilmu profesional. Maksud profesional di sini tidak hanya merujuk kepada bidang ilmu pentadbiran dan pengurusan malah termasuk persoalan menepati masa ketika bekerja seperti hadir pada awal waktu sebelum mesyuarat bermula (sekitar 5 sehingga 10 minit). 

Sepanjang aku berurusan di kaunter pembayaran zakat di PPZ Bangi dan Kajang, pegawai yang bertugas terdiri dari golongan agamawan. Setiap kali aku berusan di PPZ, para pelanggan sama ada pembayar atau golongan asnaf yang layak menerima zakat tidak ramai berurusan di PPZ.  Partikel -wan dalam agamawan sudah tertentu merujuk kepada lelaki. Golongan agamawan yang kurang profesioanalisme. Aku pergi ke kaunter, lantas disapa oleh pegawai petugas "Ya, ada apa?" sambil menunjukkan air muka yang tidak mesra seolah-olah aku hendak meminta bantuan.  Dalam konteks ini, mesra di sini merujuk kepada mesra yang profesional. Apabila pelanggan tiba di kaunter, sewajarnya disapa dengan mesra diiringi dengan senyuman. Para petugas kaunter sewajarnya menyedari bahawa pelanggan PPZ terdiri dari pelbagai golongan.

Sabda Rasulullah s.a.w., "Layanilah seseorang itu sesuai dengan darjat mereka".

Berdasarkan pengalaman aku ketika berurusan dengan golongan agamawan, mereka amat bagus dalam menjaga batas pergaulan tetapi kerana menjaga batas pergaulan juga mereka kurang arif dalam mengimbangi dan menunjukkan sikap mesra + profesional ketika bekerja. Hal ini menyebabkan golongan wanita dilayan seperti kelas kedua dalam urusan yang menuntut profesionalisme.

Setelah aku menyerahkan wang zakat, hendak menunjukkan urusan tersebut telah selesai, petugas kaunter menyatakan 'terima kasih' dalam keadaan aku belum selesai memasukkan wang baki dan dokumen penting ke dalam beg. Secara tersiratnya, petugas kaunter menyatakan "puan, sudah boleh beredar" walhal aku masih ada perkara hendak ditanyakan kepada pegawai bertugas berkenaan emas yang dibeli dan disimpan melalui buku akaun. Perkataan terima kasih itu hanya diucapkan oleh setelah semua urusan benar-benar selesai. Sikap sedemikian petugas kaunter PPZ telah menghakiskan imej korporat PPZ. Dalam hal ini, profesionalisme itu sewajarnya menggambarkan ketinggian adab.

Jumaat, 3 Jun 2011

Doaku

"Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya'aban serta sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan."

Rabu, 1 Jun 2011

Perkahwinan #4

Kali ini aku hendak menulis mengenai entri perkahwinan jarak jauh dan hubungannya dengan golongan yang single khususnya wanita. Aku mendapat idea ini selepas mendengar kawanku Aca yang sedang memandu ke Batu Pahat sambil bercerita perihal entriku kali ini dan teman lamaku Kak Mi merupakan pensyarah di UTHM yang bercerita pengalaman seorang pensyarah lelaki yang berjauhan dari isteri dan anak-anak. Dalam tempoh pemanduan temanku Aca, aku cuma berfungsi sebagai teman dan merangkap penumpang. Kami ke Batu Pahat untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang teman lama yang lain tetapi turut bertugas sebagai pensyarah di UTHM.

Kini, ramai pasangan yang berkahwin terpaksa tinggal berasingan kerana tuntutan jarak tempat bekerja yang jauh dari pasangan.  Suami kebiasaannya tidak menghadapi masalah yang berat hasil dari perkahwinan jarak jauh kecuali bebanan emosi rindu kepada isteri dan anak-anak. Bebanan emosi ini menyebabkan pencapaian kerjaya seorang suami tidak berkualiti dan tidak produktif.

Hal ini berlainan pula kepada wanita. Suami yang datang melawat pada setiap hujung minggu adakalanya tiba di destinasi pada pukul tiga atau empat pagi sebelum masuk waktu subuh.  Suasana yang sunyi menakutkan isteri untuk keluar memandu untuk menjemput suami mereka di stesyen bas. Wanita single memainkan peranan sebagai teman sepanjang perjalanan untuk menjemput suami mereka.

Perkahwinan jarak jauh ini menjadi masalah yang besar apabila isteri mula mengandung. Dalam tempoh ini, ada wanita yang berada pada tahap awal kehamilan tidak boleh memandu untuk mengelakkan keguguran (selepas dua atau tiga kali keguguran) dan menanggung bebanan emosi kerana berjauhan dari suami - kurang mendapat sokongan emosi dari suami. Oleh itu, teman-teman terutama wanita yang single inilah yang memainkan peranan mengganti peranan suami. Pada hari bekerja wanita yang single menjemput isteri yang mengandung dan berjauhan dari suami untuk bersama-sama ke tempat kerja, selesai waktu pejabat maka wanita single menghantar kembali meraka ke rumah. Apabila mereka perlu kepada pemeriksaan perubatan berkala maka wanita single juga yang membawa dan menemankan mereka ke hospital.

Moral of the story, jangan memandang rendah kepada golongan wanita single kerana status mereka yang dikatakan tidak 'semulia' golongan wanita yang bergelar isteri. Golongan wanita single tanpa commitment terhadap keluarga (suami dan anak-anak) mempunyai masa lapang yang lebih dan tidak mempunyai alasan untuk menolak apabila teman mereka yang terdiri dari isteri yang berjauhan dari suami meminta pertolongan.