Khamis, 21 April 2011

Status

Tidak salah berfikir kritis tetapi berhati-hati dalam berfikir dan menutur kata kelak tergelincir iman. Syaitan amat committed dalam kerja menyesatkan manusia iaitu menurut tahap iman dan kedudukan seseorang manusia. Syaitan menipu orang akademik dengan cara akademik dan imam dengan cara imam.

Satu persoalan yang masih bermain di dalam fikiranku semenjak berjaya memperolehi SV2 sebagai penyelia 'baru' tesis PhD aku ialah kenyataan yang dilontarkan oleh SV2 iaitu:
Banyak sangat sembahyang juga boleh menyebabkan miskin, sebab kurang masa untuk bekerja.
Jawapanku (di dalam hati):  Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda yang bermaksud:

“Bukanlah dikatakan kaya itu sebagai banyak harta. Akan tetapi kekayaan sebenar itu adalah kekayaan jiwa” [Sahih Bukhari; nombor hadis 6446]

Sabtu, 16 April 2011

Hikayat Merong Mahawangsa

Sumber: Uncle Google



Aku sudah tengok filem Hikayat Merong Mahawangsa. Inilah filem pertama aku tengok di panggung wayang (Alamanda Putrajaya) setelah kali terakhir aku masuk panggung wayang semasa aku berusia lapan tahun bersama-sama mak abah dan adikku. Abah aku dapat tiket free cerita kartun Walt Disney. Sebenarnya ketika usiaku sekitar tiga hingga empat tahun, mak abah pernah membawa aku menonton wayang tetapi selepas beberapa minit berada di dalam panggung, aku menangis sebab aku takut gelap dan bunyi suara filem yang kuat.  Aku pasti mengajak mak abahku pulang ke rumah.

Semasa usia remaja, aku tidak pernah menonton filem di panggung wayang kerana Ustaz Mohd. Yatim yang mengajar aku mata pelajaran agama Islam Tingkatan 1A di SMKE telah berpesan kepada semua pelajarnya, "sesiapa yang membeli tiket masuk ke panggung wayang maka dia telah menempah tiket untuk ke neraka". Sebut fasal neraka siapa tidak takut; perasaan takut kepada neraka kerana ada iman di dalam hati. Pesanan itu melekat kuat di dalam hati dan fikiranku sehingga roommate aku Kak Niza (semasa aku menyewa rumah di Seksyen 16 Bangi selepas aku menamatkan pengajian peringkat sarjanamuda) pernah mengajak aku menemankannya menonton wayang dengan teman lelakinya tetapi aku tidak bersetuju lantas aku menyatakan pesanan Ustaz Mohd. Yatim kepadanya. Akhirnya, Kak Niza terpaksa mengajak seorang dari housemate kami untuk menemankannya.

Kali ini aku menonton filem Hikayat Merong Mahawangsa selepas kawanku Aca mengajak aku agar kami mengambil tahu sebahagian dari sejarah negeri Kedah yang telah difilemkan oleh KRU. Al-maklumlah kami sama-sama dari negeri Kedah. Pesanan Ustaz Mohd. Yatim masih kukuh dalam benak fikiranku, tapi dalam usiaku yang telah mencecah 36 tahun, aku lebih rasional dalam menilai pesanan itu. Bagi aku, filem ini sangat menarik walaupun banyak pengubahsuaian telah dilakukan jika dibandingkan dengan apa yang terkandung di dalam buku. Perkara biasa apabila sesebuah kisah di dalam buku hendak difilemkan pasti berlaku pengusuaian. Di dalam buku, garuda dinyatakan sebagai burung yang besar tetapi di dalam filem garuda dinyatakan sebagai sekumpulan lanun. Sifat kisah hikayat - menampilkan kisah hero yang luar biasa. Keluarbiasaan ini menyebabkan kisah hikayat dicampuradukkan dengan unsur-unsur perkara yang tidak dapat diterima akal (mitos). R. O. Winstedt menganggap Hikayat Merong Mahawangsa sebagai cerita khayal yang disadur daripada Hikayat Ramayana, Khatha Sarit Sagara dan Jataka. Hal ini juga dapat dilihat di dalam Hikayat Hang Tuah di mana penulis mengisahkan Hang Tuah boleh bertukar kepada harimau dan sebagainya. Bangsa Melayu mengaitkan susur-galur keturunan rajanya dengan Iskandar Zulkarnain kerana beliau merupakan seorang raja yang hebat. Hal ini turut dinyatakan di dalam karya agung Sejarah Melayu atau tajuk sebenarnya ialah Sulalatus Salatin* yang mengaitkan Parameswara (Sultan Melaka) berasal dari keturunan Iskandar Zulkarnain. 

Di dalam filem ini, ada sebuah pantun yang amat menarik yang diajar oleh Lang kepada anaknya Merong Mahawangsa yang mempunyai makna yang amat mendalam iaitu:
Sampai masa tibanya waktu,
Redup hati kamu berdua;
Bila dua jasad bersatu,
Hidup mati jadi bersama.
 Nota tapak kaki:
* Sulalatus Salatin bermakna peraturan segala raja-raja. Namun begitu, penjajah Inggeris (versi Shellabear) yang menjajah negeri-negeri Tanah Melayu telah bertindak menukar tajuk Sulalatus Salatin kepada Sejarah Melayu. Kini, cendiakawan Barat pula mempertikaikan Sejarah Melayu sebagai sebuah karya sastera sejarah kerana sifat Sulalatus Salatin yang mengandungi unsur mitos. Contohnya pandangan Prof. Hoesein Djajadiningrat, Branders Rasser dan Pigeaud umpamanya menganggap Sejarah Melayu sebagai buku dongeng kerana tidak mempunyai penanggalan. Oleh itu, wajar sekali tajuk Sejarah Melayu dikembalikan kepada yang asal iaitu Sulalatus Salatin.

Penanggalan merujuk kepada maksud yang dinyatakan di dalam Kamus Dewan Edisi Empat iaitu 1. daftar hari bulan, alma­nak, kalender, takwim; 2. perihal mem­bu­buh tang­gal; 3. tarikh.

Khamis, 14 April 2011

Solat: Tiang Seri Agama

Di antara soalan yang ditanyakan oleh Imam Al-Ghazali kepada para pelajarnya:
Pertanyaan yang kelima, "Apa yang paling RINGAN di dunia ini?"
Ada di antara para pelajarnya yang menjawab, "kapas, angin, debu dan daun".
Jawab Imam Al-Ghazali, "Semua jawapan tersebut benar, tapi yang paling ringan adalah 'MENINGGALKAN SOLAT', gara-gara urusan dunia kita meninggalkan solat. 


Tulisan di bawah dipetik dari tulisan Dr. Zaharuddin Abd Rahman

1.  Hadis:
الصلاة في أول الوقت : رضوان الله وفي آخره عفو الله (رواه الترمذي)
Ertinya: "Solat di awal waktu ; perolehi keredhaan Allah, dan di akhjrnya mendapat keampunan Allah" ( Riwayat At-Timidzi tetapi Albani mengatakan mawdu')

2.  Sabda Nabi SAW

سيل النبي صلى الله عليه وسلم أي الأعمال أفضل , قال الصلاة لأول وقتها (رواه الترمذي)
Ertinya: "Ditanya Nabi SAW , apakah amalan yang terbaik, maka jawab Nabi : Solat di awal waktu" ( Riwayat At-Tirmidzi dan Abu Daud, Albani : Sahih

3. Nabi SAW bersabda. ertinya: "Tangguhlah sehingga sejuk bagi solat zohor, kerana kekuatan panas (matahari) adalah dari bahang neraka jahannam." (Hadis Sahih riwayat Al-Bukhari)

4.  Nabi SAW bersabda: ertinya: "Kiranya tidak menjadi keberatan bagi umatku , nescaya akan kuarahkan mereka agar melewatkan solat isyak (jamaah) sehingga 1/3 atau ½ dari malam"

5.  Nabi SAW bersabda: ertinya: "Jangan kamu melewatkan solat kerana makanan dan juga lainnya" (Riwayat Abu Daud , 
Al-Albani menyatakan hadis tersebut adalah daif)

6.  Nabi SAW bersabda: ertinya: "Lewatkanlah solat fajar, kerana ia lebih agung ganjarannya" (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Nasaie, Abu Daud dan Ibn Majah. Tirmizi menyatakan hadis ini adalah hasan sahih  walau bagaimanapun Al-Haithami menyatakan dalam rawinya terdapat Abd Rahman Bin Zaid, hadis ini adalah daif)

Demikian, hadith umum tentang fadhilat solat di awal waktu, bagaimanapun terdapat beberapa hadith yang lain yang dianggap ditakhsiskan awal waktu tersebut yang mana ia memberi kesan terhadap pandangan para fuqaha mazhab. Terlebih dahulu, dikemukakan pandangan mazahab empat :

Mazhab Hanafi: Sebaik waktu adalah di awalnya, kecuali Subuh dan Asar, Hanafi berpandangan lebih afdhal ditunaikan subuh ketika hampir terang, bagi meramaikan jemaah di masjid. Merka berdalil dengan hadith yang keenam di atas. Bagaimanapun majoriti mazhab mengatakan Subuh ketika gelap (awal waktu) lebih afdhal. Adapun sebab afdhal melewatkan solat asar, kerana bagi membolehkan solat sunat sebanyak mungkin sebelumnya.

Mazhab Maliki: Sebaik-baik waktu adalah permulaannya samada jemaah atau bersendiri, zohor dan lainnya. Mrk berdalilkan kpd hadith yang pertama, kedua dan kelima tadi. Lalu semua jenis solat adalah afdhal diawalkan kecuali jika menunggu jamaah sampai.

Mazhab Syafie: Disunatkan menyegerakan semua solat wajib kecuali zohor, disunatkan menunggu sedikit redup dan kurang panasnya. Pandangan ini berdasarkan hadith ketiga di atas. 
 
Mazhab Hanbali:
 Afdhal waktu adalah di awalnya kecuali isyak dan zohor. Melewatkan isyak hingga ke 1/3 malam adalah afdhal kiranya tidak menyukarkan makmum. Ia berdasarkan hadith ke empat di atas. Adapun waktu zohor berdalilkan hadith ketiga. 


Kesimpulan menurut penulis: Umumnya, solat di awal waktu terlebih afdhal ketika tiada maslahat-maslahat lain yang ingin dicapai seperti meramaikan jamaah bagi waktu subuh, memperbanyakkan solat sunat sebelum asar, membolehkan qiamullail bagi isyak dan menyejukkan bahang bagi zohor. Tanpa sebarang alasan dan maslahat maka semua solat adalah afdhal dilakukan pada awal waktu.

Selasa, 12 April 2011

Status

Cik Misstree telah bertukar kepada Cik Bizzy untuk sementara waktu. Facebook Cik Misstree yang bernama ... telah ditutup untuk sementara waktu.