Jumaat, 25 Mac 2011

Facebook

Sekarang ini setiap orang mesti ada facebook untuk memudahkan perhubungan dan mengetahui perkembangan semasa kawan-kawan. Kawan-kawan yang sedia lama kenal di dunia realiti turut menjadi kawan di dalam facebook sebagai tanda sayang dan ingatan  yang mendalam sama ada kawan-kawan yang sukar atau mudah untuk dihubungi sama ada dari segi masa atau tempat (jarak). Atas faktor sayang dan ingatan yang mendalam juga aku rasa terlalu sedih apabila kawan-kawan facebook yang telah lama aku kenali di dunia realiti memutuskan persahabatan dengan aku di dalam  facebook. Selain itu, facebook menjadi medium untuk menjejak kasih kawan-kawan lama di samping menambah kenalan dan kawan-kawan baru. Walau bagaimanapun, facebook juga memiliki pelbagai fungsi seperti mencari pelanggan, kempen pilihan raya, menyebarkan info yang berguna dan lain-lain. 

Dalam laman sosial ini juga, pelbagai perkara boleh berlaku tambahan lagi komunikasi hanya melalui aksara, perkataan dan ayat yang kadang-kala boleh menimbulkan salah faham apatah lagi komunikasi tanpa paparan emosi. Komunikasi dua hala secara bersemuka jelas tertera emosi penutur pada wajah, bahasa badan, nada suara dan pemilihan perkataan yang digunakan oleh seseorang penutur. Bahasa yang kasar, ayat yang tidak sesuai, penggunaan tanda baca yang tidak tepat seperti tanda seruan yang digunakan untuk ayat yang jelas hanya menyatakan sesuatu perkara tanpa perlu menjerit boleh menimbulkan ketegangan emosi di antara pengguna facebook. Oleh itu, facebook juga boleh menimbulkan pergaduhan sehingga memutuskan persahabatan di dalam facebook malah boleh menjejaskan persahabatan di dunia realiti.

Selain itu, facebook juga berfungsi sebagai medium untuk memberitakan hal-hal yang terkini sama ada diri sendiri, anak, suami, ibu bapa atau apa-apa saja. Namun begitu, status terkini yang dinyatakan kepada kawan-kawan facebook bergantung kepada Jendela Diri Yang Tersembunyi yang terkandung di dalam Jendela Johari*  iaitu tahap keterbukaan diri sendiri untuk berkongsi sebahagian dari perkembangan terkini diri sendiri dan keluarga - sesuatu yang bersifat peribadi. Berkenaan diri aku sendiri, di dalam facebook aku tidak suka berkongsi sesuatu yang bersifat peribadi kecuali perkara yang tidak menimbulkan kontroversi - sesuatu yang terlalu biasa-biasa. Aku mempunyai ramai kawan-kawan facebook dari pelbagai latar belakang, mantan pengetua kolej, mantan guru aku, penyelia tesis PhD, rakan-rakan sejawat, kawan-kawan semasa belajar di sekolah dan universiti serta kenalan baru. Oleh itu, aku perlu menjaga hati semua kawan-kawan facebook aku. Hal ini menyebabkan status aku cuma biasa-biasa atau gitu-gitu saja sehingga kadang-kala aku tidak tahu hendak tulis apa. Aku tulis info tertentu sahaja apabila aku rasa sudah lama tidak kemas kini status aku. Secara tidak langsung, aku juga menuntut perkara yang sama daripada kawan-kawan facebook aku agar tidak komen perkara yang tidak sepatutnya di dinding facebook aku.

*Nota tapak kaki:
Jendela Johari ialah sebuah teori. Nama Johari ialah gabungan di antara dua orang pakar yang mencipta teori ini iaitu Joseph Luft dan Harry Ingham. Jendela melambangkan semua maklumat, sikap, perasaan, keinginan, dorongan dan idea-idea. Jendela ini terbahagi kepada empat kategori iaitu Jendela Diri Yang Terbuka, Jendela Diri Yang Buta, Jendela Diri Yang Tersembunyi dan Jendela Diri Yang Tak DiketahuiApabila teori ini diaplikasi di dalam penggunaan face book, jendela yang  sesuai digunakan ialah Jendela Diri Yang Tersembunyi iaitu maklumat mengenai diri sendiri yang diketahui oleh tuan punya diri tetapi tidak mahu dikongsi dengan orang lain. Namun begitu, di dalam face book Jendela Diri Yang Terbuka yang melibatkan maklumat diri yang diketahui oleh semua orang seperti bangsa, wajah, agama, hobi, pendidikan dan pandangan politik boleh juga diaplikasikan di dalam penggunaan facebook namun ia bergantung kepada individu. Contohnya, seperti wajah tidak semua orang sedia berkongsi sehingga meletakkan gambar sebenar sebagai sebahagian dari profil peribadi.            

Sabtu, 12 Mac 2011

Hub-Halal: Perusahaan Kecil dan Sederhana

"Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya" (Al-Baqarah:172).
"Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah, maka sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani" (Al-Baqarah:173).
"Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian. Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu. (Halalnya binatang-binatang ternak dan sebagainya itu) tidak pula bererti kamu boleh menghalalkan perburuan ketika kamu dalam keadaan berihram. Sesungguhnya Allah menetapkan hukum apa yang Dia kehendaki" (Al-Maidah:1).
"Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih) dan darah (yang keluar mengalir) dan daging babi (termasuk semuanya) dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi dan yang mati ditanduk dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya) dan yang disembelih atas nama berhala dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik."

"Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepada-Ku. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang dia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah dia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani" (Al-Maidah:3).
"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka? Bagi menjawabnya katakanlah: Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu) dan bertakwalah kepada Allah (dengan memelihara diri dari memakan yang diharamkan Allah); Sesungguhnya Allah Maha Cepat hitungan hisabNya" (Al-Maidah:4).
"Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka)" (Al-Maidah:5).
"Dan janganlah kamu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya, kerana sesungguhnya yang sedemikian itu adalah perbuatan fasik (berdosa) dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya, supaya mereka membantah (menghasut) kamu dan jika kamu menurut hasutan mereka (untuk menghalalkan yang haram itu), sesungguhnya kamu tetap menjadi orang-orang musyrik" (Al-An'am:121).
Ayat-ayat al-Quran di atas menjelaskan persoalan penentuan hukum dan tatacara dalam persoalan memilih makanan khusus bagi golongan yang beragama Islam. Pemilihan makanan tidak hanya merujuk kepada status halal tetapi juga dari aspek keselamatan; pengambilan makanan yang selamat dan halal berupaya menjamin kesihatan pengguna. Keselamatan makanan turut meliputi aspek kesucian (taharah) yang digariskan oleh syariat Islam. Persoalan makanan halal ini merupakan isu yang bersifat sejagat yang dihadapi oleh seluruh umat Islam. Kerajaan berusaha menjadikan Malaysia sebagai hub pengeluaran makanan halal antarabangsa untuk memenuhi keperluan umat Islam di seluruh dunia. Sehubungan itu, kerajaan menjadikan pengeluaran makanan halal sebagai sumber pertumbuhan baru untuk memajukan sektor pertanian dengan cara memajukan industri hiliran. Perusahaan kecil dan sederhana merupakan di antara pemangkin yang berperanan untuk membangunkan industri hiliran. Kini, ramai dalam kalangan umat Islam di Malaysia menceburi perusahaan kecil dan sederhana untuk memajukan industri makanan halal. Perkembangan ini merupakan sesuatu yang positif  kerana secara tidak langsung ia berupaya mengatasi isu syubhah dalam 'makanan halal' yang dihasilkan oleh pengeluar bukan Islam walaupun mereka memiliki sjiil halal yang dikeluarkan oleh JAKIM. Isu syubhah ini turut melibatkan penggunaan bahan kimia yang berfungsi sebagai penstabil dan perisa di dalam pembuatan makanan yang berupaya menjejaskan kesihatan pengguna.

Walau bagaimanapun, isu utama yang hendak aku kemukakan di sini ialah harga barang makanan halal yang dikeluarkan oleh pengeluar perusahaan kecil dan sederhana amat mahal. Contohnya, berdasarkan tinjauan aku di gerai makanan sempena MAFEK di mana harga satu paket maruku seberat 90 gram ialah RM4. Tawaran yang diberikan kepada pelanggan ialah 'beli tiga bungkus harga RM10'. Produk maruku tersebut dikeluarkan oleh syarikat Melayu-Islam bumiputera yang berpangkalan di Pulau Pinang. Namun begitu, seperkara yang menarik ialah produk maruku dikeluarkan dalam pelbagai perisa iaitu ikan, sotong dan udang walaupun aku hampir tidak dapat membezakan rasa di antara ketiga-tiga maruku tersebut kerana sumber perisa yang dimasukkan (ikan, sotong atau udang) amat sedikit.

Harga produk makanan halal yang dikeluarkan oleh perusahaan kecil dan sederhana amat mahal  kerana skala ekonomi bidangan yang kecil malah terdapat sesetengah produk yang dikeluarkan secara home made seperti coklat. Hal ini adalah kerana skala pengurusan yang kecil menyebabkan kos pengeluaran yang ditanggung oleh pengusaha adalah tinggi. Jika dibandingkan harga maruku tersebut dengan produk-produk makanan ringan yang lain seperti sebungkus keropok Mister Potato (75 gram) hanya berharga RM1.70 (harga semasa). Syarikat yang bertanggungjawab mengeluarkan keropok Mister Potato menggunakan skala ekonomi bidangan yang besar. Dalam menganalisis kos sesuatu produk, kos yang ditanggung oleh pengeluar terbahagi kepada dua iaitu kos tetap dan kos semasa. Pengusaha yang menjalankan operasi berskala besar, kos tetap dibahagikan kepada produk yang dihasilkan dalam kuantiti yang besar menyebabkan kos per unit adalah lebih rendah. Penurunan kos membawa kepada peningkatan keuntungan.

Produk makanan halal yang dikeluarkan oleh pengeluar Islam melalui perusahaan kecil sederhana lebih baik berbanding perusahaan berskala besar. Hal ini adalah kerana nilai tambah perusahaan kecil dan sederhana  yang diusahakan oleh pengusaha Islam kurang menggunakan penstabil dan perisa tambahan yang boleh menjejaskan kesihatan jika dibandingkan dengan perusahaan berskala besar yang dimiliki oleh pengusaha bukan Islam walaupun mereka memiliki sijil halal; pengusaha Islam yang menjalankan perusahaan kecil dan sederhana di dalam pengeluaran makanan sedaya-upaya memenuhi standard makanana halal yang ditetapkan di dalam Islam.

Walau bagaimanapun, dalam usaha untuk memajukan industri makanan halal oleh pengeluar Islam, isu harga produk memainkan peranan yang penting. Dalam hal ini, perusahaan kecil dan sederhana perlu meluaskan pasaran agar perusahaan tersebut dapat ditingkatkan kepada perusahaan berskala besar. Dalam hal ini, kerajaan juga memainkan peranan penting melalui badan tertentu untuk menyediakan kursus dan latihan kepada para pengusaha perusahaan kecil dan sederhana. Di samping itu juga, pihak bank turut memainkan peranan menyediakan pinjaman modal kepada para pengusaha yang berminat mengembangkan perniagaan mereka ke arah perusahaan berskala besar.    

Ahad, 6 Mac 2011

Tulisan Jawi

Pada bulan Jun sehingga Julai 2010, aku pergi ke Kelantan untuk melakukan kerja lapangan untuk memenuhi keperluan kajian PhDku. Apabila penambahan 'sasi'  berada di penghujung perkataan Islam maka secara automatik Islamisasi merujuk kepada satu proses. Pembangunan negeri Kelantan sedang diIslamkan oleh PAS semenjak berjaya memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan negeri pada tahun 1990. Di antara usaha penerapan elemen pembangunan Islam yang dilakukan oleh kerajaan negeri Kelantan ialah memartabatkan kembali tulisan jawi melalui iklan billboard dan papan tanda perniagaan. Hal ini amat menarik perhatianku ketika berada di Kelantan. Pada pandanganku tulisan jawi amat indah dan mengandungi nilai estetika yang tinggi. 

Sumber: Cik Misstree

Sumber: Cik Misstree

Penggunaan tulisan jawi memperlihatkan pengaruh Islam yang amat kuat di Nusantara; bermula dengan penemuan Batu Bersurat Terengganu pada 1887M bertarikh 702H. Namun begitu, kedatangan kuasa penjajah ke Nusantara telah memaksa penduduk peribumi menukar tulisan jawi kepada tulisan rumi. Malaysia (pada ketika itu dikenali sebagai Negeri-negeri Tanah Melayu) turut menerima nasib yang sama; penjajah Inggeris menyusun dan memperkenalkan huruf-huruf rumi untuk mengurangkan pengaruh Islam (al-Quran) dalam kalangan rakyat Negeri-negeri Tanah Melayu khususnya bangsa Melayu. Kini, generasi muda Malaysia ramai tidak berupaya membaca di dalam tulisan jawi. Namun begitu, ada sesetengah  golongan yang berupaya membaca dan menulis tulisan jawi dalam kadar kelajuan yang merangkak; hanya mereka yang menerima pendidikan beraliran agama berupaya membaca dan menulis dengan lancar.

Penjajahan tidak hanya menghapuskan peranan tulisan jawi sebagai wadah penyampaian ilmu di Nusantara malah tulisan Swahili di Afrika Utara dan Afrika Timur yang turut berasaskan abjad Arab mengalami nasib yang serupa. Pada awal abad ke-20, seorang paderi bernama L. Krapf telah menyebarkan dakwah Kristian  turut memainkan peranan menghapuskan bahasa dan tulisan Swahili yang telah bertapak bersama kedatangan agama Islam sejak abad ke-11. Walau bagaimanapun, terdapat negara tertentu yang masih berupaya melestarikan bahasa dan tulisan yang berasaskan abjad Arab. Contohnya, Pakistan telah menjadikan tulisan Urdu sebagai tulisan dan bahasa rasmi negara; tulisan Urdu ditulis dalam bentuk tulisan Nasta'lik iaitu gabungan di antara tulisan khat Nasakh dan Ta'lik. Selain itu, negara Brunei Darussalam juga merupakan negara yang berjaya melestarikan tulisan jawi di dalam urusan rasmi.

Pelbagai usaha dilakukan oleh pihak tertentu untuk memelihara tulisan jawi di Malaysia. Di antaranya, pada tahun 1973 telah diadakan Konvensyen Pendidikan yang dianggotai oleh para tokoh pendidik lepasan Sultan Indris Training College, Tanjung Malim yang diketuai oleh Prof. Dr. Awang Had Salleh. Hasil konvensyen tersebut sebuah memorandum kepada Menteri Pelajaran untuk mempertimbangkan kembali kedudukan tulisan jawi di dalam kurikulum sekolah. Selain itu, keputusan Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa Kebangsaan pada tahun 1981 telah memutuskan agar sebuah buku Daftar Ejaan Jawi-Rumi diusahakan dan diterbitkan dengan segera (buku tersebut berjaya diterbitkan pada tahun 1988). Pada tahun 1983, Dewan Bahasa dan Pustaka telah membentuk sebuah Jawatankuasa Kertas Projek Penyemakan Tulisan Ejaan Jawi. 

Pada tahun 1984 telah diadakan sebuah Konvensyen Tulisan Jawi Antarabangsa di Terengganu. Konvensyen ini telah berjaya membentuk huruf baru  iaitu "V" di dalam tulisan jawi yang menjadi padanan di dalam tulisan rumi. Perihal padanan huruf "V" ini telah  difikirkan oleh Tokoh Bahasa Melayu seperti Raja Haji Mohd Tahir bin Mursyid dari Riau di dalam bukunya yang bertajuk "Rencana Melayu" (bertarikh 1915) dan Ibrahim bin Haji Abdul Salam dari Johor di dalam bukunya yang bertajuk "Permulaan Mengarang" (bertarikh 1936). Pada tahun 1986, buku Pedoman Daftar Ejaan Jawi Yang Disempurnakan telah diterbitkan yang menjadi rujukan utama di sekolah-sekolah dan pengamal tulisan jawi. Pada tahun 1996, dua buah buku iaitu pertama, Pedoman Ejaan Jawi Bahasa Melayu dan kedua, Pedoman Ejaan dan Sebutan Bahasa Melayu telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Buku Daftar Kata Bahasa Melayu yang mengandungi ejaan rumi sebutan dan ejaan jawi telah diterbit oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2001 manakala edisi kedua buku tersebut telah diterbitkan pada tahun 2008.

Aku yang merupakan sebahagian dari generasi X sempat mempelajari subjek tulisan jawi secara formal di sekolah rendah (hanya diajar ketika Darjah Enam) walaupun aku tidak bersekolah di dalam aliran agama. Aku boleh membaca dan menulis tulisan jawi dengan kadar kelajuan 'berlari anak' (lebih baik dari merangkak) walaupun aku merasakan kadar kelajuan itu masih lambat dibandingkan golongan yang bersekolah di dalam aliran agama. Kini, walaupun terdapat pihak yang cuba memperkasakan kembali tulisan jawi namun usaha tersebut ibarat memelihara 'Quran Buruk' kerana realiti kehidupan yang berasaskan material, keupayaan politik untuk memartabatkan tulisan jawi melalui pendidikan turut dinilai berdasarkan kepentingan ekonomi yang berteraskan pertimbangan nilai komersial. Sama-samalah kita menyahut slogan:
ماري بلاجر توليسن جاوي