Ahad, 27 Oktober 2013

Kedudukan Barang Yang Disedekahkan

Nabi Muhammad s.a.w. memberitahu Ali r.a. mengenai kedudukan barang yang disedekahkan selepas ia berpindah daripada tangan tuannya. Ketika barang yang disedekahkan sampai kepada tangan penerima, barang tersebut menyebut lima perkara kepada pemberi sedekah iaitu:
  1. Aku adalah barang yang kecil dan sedikit nilainya. Namun, engkau membesarkan aku di hadapan Allah s.w.t. dengan bersedekah.
  2. Pada asasnya, aku hanya barang yang sedikit. Namun, engkau menjadikankan aku sesuatu yang banyak pada pandangan Allah s.w.t.
  3. Aku adalah musuhmu. Namun, kini engkau menjadikan aku sebagai teman rapat.
  4. Aku adalah barang yang mudah rosak. Namun, kini engkau menjadikan aku kekal abadi.
  5. Engkau menjaga aku daripada pencuri. Namun, kini aku menjaga engkau daripada api neraka.
Sumber:
Muhammad Hasan Al-Basri.  2013.  Nikmatnya Bersedekah: Zakat, Infak, Sedekah.  Batu Caves: PTS Millinnea Sdn. Bhd.

Ahad, 13 Oktober 2013

Bencinta: Enough Versi Timur




Apabila tengok iklan mengenai filem Bencinta di TV3, aku rasa teruja hendak menonton filem itu terutama bahagian Fathia (lakonan Nora Danish) berlatih tinju untuk berhadapan suaminya (lakonan Farid Kamil) yang membenci dirinya. Aku jadi tertanya-tanya “kenapa seorang suami boleh benci isterinya sendiri?”.

Hari minggu 6 Oktober 2013, aku menonton filem Bencinta di Golden Screen Cinemas, Amanjaya Mall, Bandar Amanjaya, Sungai Petani. Aku tengok filem itu pukul 2.30 petang. Walaupun hari Ahad bukan hari minggu bagi negeri Kedah tetapi harga tiket tetap RM10.00. Selepas menonton filem itu, aku sudah dapat jawapan kepada pertanyaan “kenapa suaminya benci dia?”. Jawapannya ialah sifat suami dia yang panas baran, pantang isteri marah dan meninggikan suara setelah isterinya tahu dia mempunyai hubungan kayu tiga dengan Rose.

Malam pada hari yang sama pukul 12.00 tengah malam TV2 menayangkan Enough yang difilemkan pada 2002 lakonan Jennifer Lopez dan Billy Campbell. Aku terkejut dengan jalan cerita yang hampir menyamai 90% dengan filem Bencinta. Perbezaan di antara kedua-dua filem ialah Bencinta memaparkan lokasi dan latar ceritanya telah diubah menurut versi Timur ala Malaysia di samping latar masa dan zaman yang telah ke hadapan menyebabkan alat telekomunikasi yang digunakan dalam filem Bencinta lebih canggih berbanding filem Enough. Pada aku, lakonan Farid Kamil memukul Nora Danish agak keterlaluan berbanding Billy Campbell memukul Jennifer Lopez dalam Enough. Aku rasa puas apabila Nora Danish berjaya mengalahkan Farid Kamil; "Ambik kau!".

Oleh yang demikian, pada hari yang sama aku dapat menonton kedua-dua filem di mana Bencinta merupakan hasil plagiat daripada Enough. Sungguh mengecewakan! Aku rasa kecewa dengan Bencinta!

Ahad, 6 Oktober 2013

Haji: Adab dan Akhlak


Pada 16 hingga 22 September 2013, aku berada di Kajang – Bandar Baru Bangi saja melawat ‘kampung-halaman’ yang hampir setahun aku tinggalkan. Aku menggelarkan kawasan pekan Kajang-Bandar Baru Bangi sebagai ‘kampung-halaman’ kerana aku telah mendiami daerah ini hampir 14 tahun sepanjang melanjutkan pelajaran di UKM, Bangi dari peringkat sarjana muda, sarjana (Masters) dan PhD. 

Dalam tempoh 16 hingga 22 September 2013, aku menginap di Hostel Anjung Rumbia.  Di sini, aku boleh menonton TV Al-Hijrah khususnya slot 30 Minit Bersama Ustaz Don. Di Sungai Petani, jika hendak menonton TV Al-Hijrah mesti ada ASTRO. Aku sempat menonton slot 30 Minit Bersama Ustaz Don yang membincangkan perkara-perkara yang berkaitan ibadah haji. Ada dua perkara yang dinyatakan oleh Ustaz Don yang memberikan kesan kepada aku iaitu:

  1. Kata Ustaz Don mengenai kewujudan sesetengah jemaah haji yang menggunakan pakej haji berharga RM135,000.00 membincangkan di antara sesama mereka soal “helikopter U parking di mana?” Hal ini sungguh berbeza dengan taraf kita (kelas pertengahan bawah) yang saling bertanya “kereta U parking di mana”. Dalam perkara ini, Ustaz Don mengingatkan walau bagaimana hebat hotel dan pakej haji yang kita ambil, tapi apabila keluar daripada hotel mewah tempat menginap, semua orang sama saja.
  2. Kata Ustaz Don, ketika buat haji kena bersabar (jaga akhlak) “walau macam mana orang buat, dok sengaaap ja” (sambil menunjukkan aksi mengepit badan sambil menundukkan kepala).
Apabila saya mendengar kedua-dua perkara di atas, saya tertanya-tanya pada diri sendiri “Allah, mampukah aku dok sengaaap ja” walau apa pun yang orang lain buat pada aku? Hal ini berkaitan rapat dengan ego yang ada dalam setiap individu. 

Walau bagaimanapun, dalam berhadapan situasi yang sesak, maka jemaah haji dituntut menjaga adab dan akhlaq dengan sebaik-baiknya. Nabi s.a.w. adalah contoh terbaik. Usamah bin Zaid r. a. berkata:

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يمشي عنقا فإذا وجد فجوة نص

"Rasulullah s.a.w. berjalan tidak terlampau laju atau terlampau perlahan, apabila ada tempat yang luas, maka baginda mempercepatkan perjalanannya" [Shahih Bukhari]. 

Baginda s.a.w. tidak menyakiti orang lain dengan bersesak-sesak dan tolak-menolak. Malah, baginda s.a.w. memerintahkan para sahabat r.a. berjalan dengan tenang apabila bertolak dari Arafah. Katanya:

عليكم بالسكينة

"Hendaklah kamu semua (bergerak) dalam keadaan tenang" [Muttafaqun Alih].


Jika semua manusia mengikut petunjuk, akhlak dan adab yang diajar oleh Nabi s.a.w. maka semua perjalanan akan teratur. Pepatah Arab ada menyatakan:

لعمرك ما ضاقت بلاد بأهلها
ولكن أخلاق الرجال تضيق

"Demi sesungguhnya, sebuah negeri tidak sempit kerana (bilangan) penghuninya; (tetapi kerana) sikap (akhlak) penghuni yang menyempitkannya."

Rabu, 2 Oktober 2013

Takwim Puasa Sunat Bermula 1 Syawal 1434H Sehingga 30 Sya'ban 1435H



Ibadah puasa mengandungi faedah dan manfaat yang besar, maka selain puasa yang wajib pada bulan Ramadhan elok juga melakukan puasa sunat yang terdapat dalam sepanjang tahun hijri.  Di bawah ini, aku sertakan Takwim Puasa Sunat (1 Syawal 1434H - 30 Sya'ban 1435H) sebagai panduan kita bersama:



Puasa Sunat
Tarikh
Puasa Enam
(Puasa enam hari dalam bulan Syawal kecuali pada 1 Syawal)


9 Ogos 2013 – 6 September 2013
Puasa 1-8 Zulhijah
6 – 13 Oktober 2013
Puasa Hari Wuquf (Bagi yang tidak menunaikan haji)
  
14 Oktober 2013
Puasa 1-9 Muharam
5 – 13 November 2013
Puasa Hari Asyura 
(Pada 10 Muharam berserta sehari sebelumnya) 
atau
(Pada 10 Muharam beserta sehari selepasnya)

13 – 14 November 2013
atau
14-– 15 November 2013
Puasa Hari Isnin dan Khamis
Kecuali:
·     Hari  Raya Aidilfitri 1 Syawal  (8 Ogos 2013 bersamaan hari Khamis)
·    Hari Tasyrik 12 Zulhijah (17 Oktober 2013 bersamaan hari Khamis)
Puasa Hari Putih 
(Pada 13, 14 dan 15 hari bulan setiap bulan dalam kalendar Hijrah)
·     Syawal (20 – 22 Ogos 2013)
·     Zulkaedah (19 – 21 Sept. 2013)
·     Zulhijah (19 – 20 Oktober 2013)***
·     Muharam (17 – 19 Nov.  2013)
·     Safar (16 – 18 Disember 2013)
·     Rabiulawal (15 – 17 Januari 2014)
·     Rabiulakhir (13 – 15 Februari 2014)
·     Jamadilawal (15 – 17 Mac 2014)
·     Jamadilakhir ( 13 – 15 April 2014)
·     Rejab (13 – 15 Mei 2014)
·     Sya’ban (11– 13 Jun 2014)
Puasa Sunat Sya’ban
30 Mei – 27 Jun 2014

*** Puasa Hari Putih pada 13 Zulhijjah 1434H jatuh pada Hari Tasyrik iaitu bersamaan 18 Oktober 2013.