Rabu, 25 Julai 2012

Renungan Kepada Diriku Sendiri

Dua ayat di bawah ini menjadi renungan kepadaku agar aku menjadi seorang yang ikhlas kerana-Mu Ya Allah [hati tidak merasa sakit kerana tidak menerima ucapan terima kasih daripada orang lain yang telah menerima pemberian dan kebaikanku]:
Sesungguhnya kami memberi makanan kepada kamu hanyalah untuk mengharapkan keredhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan daripada kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih. (Surah Al-Insaan: 9).
Tetapi (dia memberikan itu semata-mata) kerana mencari keredhaan Tuhannya Yang Maha Tinggi. (Surah Al- Lail: 20).
Benar kata pujangga, ikhlas itu bukanlah mudah:
Ikhlas itu ibarat semut hitam yang berjalan di atas batu hitam dalam keadaan malam yang gelap.
Ayat di bawah menjadi renungan kepadaku agar redha atas rezeki yang telah ditetapkan oleh Allah kepadaku:
Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan (siapa yang dikehendaki-Nya)”. Dan apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dia lah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya. (Surah Saba' :39).
Semoga Allah memasukkan aku ke dalam golongan yang redha dan ikhlas.

Amin.

Ahad, 22 Julai 2012

Dwilogi Padang Bulan


Dwilogi Padang Bulan (2011) karya Andrea Hirata diterbitkan oleh PTS Litera Utama Sdn. Bhd. merupakan kesinambungan dari siri terakhir Maryamah Karpov dalam himpunan tetralogi Laskar Pelangi. Dwilogi ini mengandungi dua novel iaitu Padang Bulan dan Cinta Di Dalam Gelas. Kedua-dua novel ini menghimpunkan pemerhatian langsung Andrea terhadap aspek sosiologi budaya masyarakat Melayu di Pulau Belitong. Walau bagaimanapun, novel ini mengangkat Enong atau Maryamah sebagai subjek utama yang menjadi perhatian Ikal (a.k.a Andrea) di dalam kedua-dua novel ini. Andrea mengangkat persoalan gender yang meletakkan wanita dalam kelas yang lebih rendah berbanding lelaki dalam hirarki masyarakat Melayu.

Setelah kematian bapanya Zamzami, Enong bertanggungjawab bekerja untuk menafkahi ibu dan adik-adiknya. Bermula dari saat ini, Enong telah memecahkan tradisi budaya Melayu Belitong yang berteraskan sistem patriarki - pekerjaan mendulang timah dan bermain catur didominasi oleh kaum lelaki, dalam kedua-dua hal ini, tidak ada tempat untuk wanita. Hukum syariat dalam agama turut menjadi alat untuk mengukuhkan tradisi dan budaya masyarakat yang berteraskan sistem patriarki. Pertandingan catur di pulau itu diadakan setiap tahun pada 17 Ogos untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan Indonesia. Bagi Enong pula memasuki pertandingan catur adalah bertujuan untuk menegakkan kembali harga dirinya dengan cara mengalahkan lawannya yang telah menyebabkan berlaku pelbagai musibah dalam kehidupannya. Oleh itu, Enong berhasrat mengalahkan bekas suaminya (Matarom) yang handal bermain catur sebagai cara untuk membalas kelakuan buruk Matarom terhadap dirinya. Lelaki yang berada dalam lingkungan masyarakat yang berteraskan sistem patriarki merasa malu apabila mereka dikalahkan oleh wanita. 

Watak Enong telah memberi aku inspirasi di mana Andrea mengetengahkan Enong sebagai wanita yang istimewa dan memiliki jiwa yang kuat berdasarkan kata-kata yang diucapkan oleh Enong iaitu:
"Kalau aku susah...," katanya dengan sorot mata yang lucu, "cukuplah kutangisi semalam. Semalam suntuk. Esoknya, aku tidak mahu lagi menangis. Aku bangun dan tegak kembali!" (halaman 41).
"Beri aku pelajaran yang paling sulit sekalipun, boi. Aku akan belajar." (halaman 101).
Andrea menggelarkan Enong sebagai guru kesedihan. Falsafah yang diketengahkan oleh Andrea mengenai kesedihan dan kekuatan semangat untuk belajar masing-masing berpandukan dua petikan di atas iaitu:
Maryamah adalah peribadi istimewa yang tidak punya tabiat mengasihani diri. Dia tidak pernah berhiba-hiba. Kupandang guru kesedihan itu. Hari ini aku belajar satu hal penting daripadanya bahawa jika tidak bersedih atas sebuah kehilangan menimbulkan perasaan bersalah, hal itulah adalah kesalahan baru, sebab kesedihan sepatutnya menjadi  sebahagian daripada kebenaran.
 Pertemuan dengan Maryamah hari ini meletupkan semangatku. Aku telah melihatnya belajar Bahasa Inggeris dengan susah payah, tanpa berasa ragu akan usia dan segala keterbatasan, dan dia berhasil. Sekarang, dia nekad menguasai catur, dengan tekad mengalahkan seorang juara seperti Matarom. Dia tidak dapat disurutkan oleh bimbang, tidak dapat dihalang oleh ketakutan. Daripadanya, aku mengambil falsafah bahawa belajar adalah sikap berani menentang semua ketidakmungkinan; bahawa ilmu yang tidak dikuasai akan menjelma dalam diri manusia menjadi sebuah ketakutan. Belajar dengan keras hanya dapat dilakukan oleh seseorang yang bukan penakut. (halaman 101).

Jumaat, 13 Julai 2012

Madu Lebah


Dalam entry pada kali ini aku ingin mengetengahkan perbincangan mengenai madu lebah yang merupakan sejenis manisan yang berkhasiat dan menjadi penawar kepada manusia. Firman Allah di dalam al-Quran 
Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah: Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat yang dibuat oleh manusia. Kemudian makanlah daripada setiap macam buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan. Daripada perut lebah itu keluar minuman madu yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda kebesaran Tuhan bagi orang yang memikirkan. (Surah An-Nahl: 68-69)
 Rasulullah SAW, bersabda :
Ambillah / pergunakanlah olehmu sekalian akan dua ubat penyembuh iaitu madu dan al-Qur’an. (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Ibnu Sina menyatakan bahawa khasiat madu boleh memanjangkan umur dan memelihara kemampuan bekerja ketika seseorang telah menjangkau usia tua.  Menurut Ibnu Sina, seseorang yang telah berusia 45 tahun mesti mengamalkan minum madu secara teratur disertai dengan minyak zaitun. Ibnu Sina juga menjelaskan madu lebah dapat menguatkan semangat, menambah kerajinan, menjaga awet muda dan melancarkan percakapan.
Justeru, aku mengetengahkan buku Khasiat & Manfaat Madu Herba (tanpa tahun penerbitan) ditulis oleh Dr. Adji Suranto terbitan Synergy Media sebagai asas perbicangan di dalam entry ini. Buku ini juga boleh didapati dalam edisi bahasa Melayu yang telah diterjemahkan dari bahasa Indonesia.

Sumber: http://www.sambooks.com.my/CATEGORY/Kesihatan/SIRI-HERBA-UBATAN-%2811-Buku%29/Khasiat-Manfaat-Madu-Herba.aspx

Jenis madu yang dihasilkan oleh lebah adalah menurut sumber utama makanan lebah. Contohnya, lebah yang dibiakkan di ladang epal menghasilkan madu epal manakala lebah yang dibiakkan di ladang kopi menghasilkan madu kopi. Negara Rusia mengeluarkan madu epal, Canada mengeluarkan madu maple, madu mata kucing dan madu laici dikeluarkan oleh negara Thailand dan China manakala negara Perancis mengeluarkan madu lavender.  

Rasa dan khasiat yang terkandung di dalam madu juga bergantung kepada sumber nektar daripada bunga tanam-tanaman yang menjadi makanan lebah. Rasa madu yang pahit dihasilkan dari bunga mahoni dan bunga pahitan (sejenis bunga matahari). Rasa madu yang masin pula dihasilkan dari bunga pokok jamblang (Eugenia Cumini) manakala madu yang beracun berasal dari bunga rhododendron yang mengandungi racun. Di Jepun, madu beracun berasal dari tanaman heather. Khasiat madu juga berbeza di antara satu dengan yang lain. Contohnya, pengambilan madu kopi menimbulkan kesan yang berbeza dengan sifat kopi yang membuatkan peminumnya bersemangat. Madu kopi menimbulkan rasa mengantuk dan sesuai bagi orang yang sukar tidur. 

Sumber: http://pedagangherba.wordpress.com/category/madu/

Selain itu, penulis buku ini Dr. Adji Suranto menyatakan di antara manfaat yang terkandung di dalam madu iaitu:
Walaupun memiliki pH yang rendah, ternyata madu boleh meningkatkan pH perut. Hal ini disebabkan madu mengandungi mineral yang bersifat alkali dan berfungsi sebagai buffer. Semakin gelap warna madu, kandungan mineralnya semakin tinggi sehingga semakin tinggi pula alkalinya. Kandungan mineral magnesium dalam madu ternyata sama dengan kandungan magnesium yang ada dalam serum darah manusia. Selain itu, kandungan ferum (fe) dalam madu boleh meningkatkan jumlah eritrosit dalam darah manusia dan dapat meningkatkan kadar hemoglobin. Madu juga sering digunakan sebagai ubat ulser. (Halaman 26-27).

Madu juga boleh dicampurkan dengan beberapa herba untuk dijadikan ubat. Hasil pencampuran madu dan herba dinamakan madu herba. Buku ini memberikan informasi berupa resepi bagaimana menghasilkan madu herba. Di dalam buku ini dipaparkan aneka cara membuat madu herba, mengenal pelbagai jenis herba yang sesuai digunakan untuk menghasilkan madu herba dan pelbagai jenis madu herba untuk merawat penyakit.

P/S: Beli madu asli yang dijual di kedai atau stokis yang dipercayai. Jangan beli madu yang terjual di pasaraya-pasaraya yang turut menjual barang-barang keperluan dapur. Madu yang dijual di pasaraya-pasaraya lazimnya menjual madu tiruan yang dihasilkan dari sirap jagung. 

Khamis, 5 Julai 2012

Sangeetha

 
Novel Sangeetha karya Azizi Abdullah (2006) setebal 561 halaman diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Aku telah membeli novel ini di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.  Aku telah membaca novel ini pada tahun 2006 tetapi aku ingin menyorot  intipati yang terkandung di dalam novel ini yang turut dihubungkan dengan isu semasa yang berlaku sekitar tahun novel ini diterbitkan. 

Novel ini mengisahkan kisah hubungan cinta (cinta? kalau boleh dikatakan sebagai cinta) yang diterjemahkan dari rasa kasih dan kasihan di antara dua orang warga emas berlainan bangsa dan agama yang dipendam di dalam hati. Novel ini diangkat melalui kisah sepi warga emas yang menjadi watak utama di dalam novel ini ialah Sanggetha (berusia 85 tahun) dan Darus (berusia 75 tahun) di samping watak sampingan yang turut menggerak perjalanan novel ini iaitu seekor burung murai dan seekor kucing bernama Meo. Rasa kasih di antara Sanggetha dan Darus diikat melalui peralatan muzik tradisional tabla dan gambus yang masing-masing mewakili bangsa India dan Melayu.  Apabila aku membaca novel ini dek kerana kajian yang mendalam yang dilakukan oleh Azizi maka aku merasakan Azizi bukan sahaja sangat pakar di dalam bidang pembuatan rumah limas Perak malah sangat arif dengan peralatan muzik (termasuk penghasilan bunyi) tabla dan gambus.

Dalam usaha Azizi mengangkat tema agama, Sangeetha telah mengakui di dalam hatinya dua kalimah syahadah ketika saat akhir hayatnya tanpa disaksikan oleh sesiapa. Hal ini menimbulkan persoalan adakah individu yang menyatakan pengakuan syahadah di dalam hati pada saat sebelum menghembuskan nafas yang terakhir tanpa disaksikan oleh sesiapa adakah menjadi keperluan yang wajib agar jenazahnya dikebumikan menurut tatacara agama Islam? 

Hal ini mengingatkan aku mengenai isu perebutan jenazah Koperal M. Moorthy (pendaki yang mewakili Malaysia dalam misi mendaki Gunung Everest) di antara Jabatan Agama Islalam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan keluarga Moorthy yang beragama Hindu. Beberapa orang rakan Moorthy dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mahu menuntut jenazah Moorthy untuk disemadikan mengikut syariat Islam. Seorang kakitangan JAWI memberitahu anggota keluarga bahawa Moorthy memeluk Islam pada 2004 ketika berkhidmat bersama ATM dan mendaftar namanya di JAWI Mac tahun ini sebagai Mohammad Abdullah. Isteri Moorthy, S Kaliamal berkata suaminya tidak pernah memaklumkan kepadanya bahawa dia sudah memeluk agama Islam. Hal ini menyebabkan kakitangan Jawi, wakil ATM dan Hospital Kuala Lumpur (HKL), peguam keluarga Moorthy dan ahli keluarganya berbincang selama empat jam di sebuah bilik bagi mendapat kata putus cara untuk mengebumikan mayat itu. Peguam keluarga Moorthy mengatakan pihaknya akan memfailkan kes berkenaan di mahkamah dalam tempoh 48 jam disebabkan tiada jalan penyelesaian. Pihak HKL telah menahan mayat Moorthy daripada dituntut oleh mana-mana pihak sehingga mahkamah membuat keputusan. 

Walaupun kes perebutan jenazah Moorthy memihak kepada JAWI kerana terdapatnya dokumen dan saksi pengIslaman Moorthy namun di mana letaknya asas perebutan jenazah ini dari sudut Islam jika kes ini dipertimbangkan menurut fiqh al-alawiyyat iaitu mempertimbangkan pertembungan di antara maslahah (kebaikan) dan kemudaratan? Mengebumikan jenazah Moorthy menurut tatacara agama Islam merupakan maslahah namun jika dibandingkan di antara kapasiti maslahah dan mudarat maka tindakan perebutan jenazah ini telah mengundang mudarat yang lebih besar kerana menyempitkan peluang dakwah kepada golongan non-Muslim (hati mereka amat terguris dengan perbuatan JAWI merebut jenazah agar Moorthy dikebumikan menurut tatacara Islam). Bacaan lanjut sila rujuk fatwa al-Azhar tentang isu berebut mayat.