Ramai di antara kita pernah menerima sedekah termasuklah aku. Entri kali ini aku hendak cerita fasal sedekah makanan yang pernah aku terima. Sedekah makanan yang paling besar dan bemakna bagi diri aku ialah pada waktu aku susah dan tidak ada makanan yang hendak dimakan dalam erti kata lain duit ada tapi tidak seberapa. Di bawah ini aku senaraikan beberapa entiti yang aku pernah menerima sedekah makanan daripada mereka. Jangan salah faham, aku tidak minta sedekah tapi mereka yang memberi sedekah.
Masjid UKM
Dulu selepas aku tamat belajar di Masters di UKM, aku pernah bekerja sebagai pembantu penyelidik dengan gaji RM500.00 sebulan. Pendapatan sebanyak itu sebenarnya tidak cukup. Salah satu cara aku menjimatkan duit ialah ambil makanan yang disediakan oleh Masjid UKM pada setiap malam Jumaat. Pihak Masjid UKM ada menyediakan makanan yang sudah dibungkus dalam polisterin yang diletakkan di atas talam besar di luar ruang solat muslimah selepas selesai solat isyak. Setiap minggu, menu makanan yang disedekahkan sentiasa bertukar di antara nasi goreng, mee goreng dan meehoon goreng.
Puan Saliha Hassan
Semasa aku masih dalam pengajian Masters di UKM, aku ada mengambil kursus yang diajar oleh Puan Saliha Hassan. Beliau satu-satunya pensyarah aku yang selalu bersedekah makanan kepada para pelajar Masters yang diajarnya. Caranya, kuliah diadakan pada hari Sabtu. Sebelum kuliah bermula, beliau akan memesan pihak kafe di bangunan pentadbiran untuk menyediakan juadah makanan untuk semua pelajar-pelajar Masters. Pihak kafe menghantar makanan yang dipesan oleh beliau ke tempat kuliah yang diadakan. Kami para pelajar Masters menikmati makanan yang disediakan pada waktu rehat. Kadang-kadang, beliau pesan kepada kami agar pergi makan di kafe pentadbiran dan sebut nama beliau di kaunter pembayaran untuk memudahkan tujuan rekod harga makanan yang kami makan. Semoga Puan Saliha Hassan terus dikurniakan kesihatan yang baik. Aameen.
Gerai Nasi Lemak Cik Maliah
Aku selalu pergi ke gerai Cik Maliah yang menjual nasi lemak di Amanjaya Zon Anggerik Sungai Petani, Kedah dalam kawasan perumahan yang aku tinggal. Aku selalu beli nasi lemak berlauk rendang ayam.
Dalam musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kena guna apps MySejahtera scan QR code hatta gerai di tepi jalan sekali pun.
Setiap kali aku beli nasi lemak di Gerai Nasi Lemak Cik Maliah, aku bawa tupperware sendiri dari rumah. Tujuannya untuk memudahkan Cik Maliah mengisi nasi lemak yang aku beli ke dalam tupperware tanpa perlu menggunakan plastik dan surat khabar untuk membungkus nasi lemak maka secara tidak langsung dapat mengurangkan penghasilan sampah.
Gambar sebelah kanan ialah nasi lemak sukatan dua cawan yang aku beli di Gerai Nasi Lemak Cik Maliah manakala gambar sebelah kiri ialah ulam raja yang aku petik dari pokok yang ditanam di halaman rumah untuk dimakan bersama nasi lemak. Kadang-kadang aku makan nasi lemak dengan ulam pucuk daun kari. Ini saja yang aku mampu.
Cik Maliah selalu bagi diskaun kepada aku. Kalau hari Jumaat maka Cik Maliah menjadi terlebih pemurah. Lauk rendang ayam yang aku ambil selalu dia tidak kira harganya. Dia hanya minta aku bayar harga nasi lemak kosong tanpa lauk. Semoga Allah melimpahruahkan rezeki Cik Maliah. Aameen.
Dimensi Baharu Didikan Rasulullah s.a.w. Dalam Memahami Amalan Bersedekah
Rasulullah ﷺ mendidik umatnya agar tidak kedekut dengan harta dunia. Baginda menyatakan bahawa tidak akan berkurang harta orang yang bersedekah. Hal ini amat berbeza dengan doktrin ekonomi konvensional yang amat menekankan aspek simpanan agar harta/aset semakin meningkat; bersedekah bermakna pengeluaran yang akan menyebabkan harta seseorang semakin berkurang. Sabda Rasulullah ﷺ:
مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ، وَمَا زَادَ اللَّهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا، وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ للَّهِ إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ“Tidak akan berkurang harta orang yang bersedekah dan Allah akan menambahkan kemuliaan bagi orang yang memberi kemaafan. Begitu juga Allah akan mengangkat kedudukan seorang yang bersifat tawaduk.” (Hadis Riwayat Muslim).
Malah Rasulullah ﷺ mengajar Aisyah bahawa harta yang disumbangkan akan kekal sebagai amalan dan diberi ganjaran pahala di sisi Allah. Perkara ini difahami melalui dialog Rasulullah ﷺ bersama Aisyah yang menceritakan mengenai para sahabat yang telah menyembelih kambing untuk sumbangan. Lalu Rasulullah ﷺ bertanya kepada Aisyah:
مَا بَقِيَ مِنها؟ قالت: مَا بَقِيَ مِنها إِلَّا كَتِفُهَا، قَالَ: بَقِي كُلُّهَا غَيرَ كَتِفِهَا“Apakah masih berbaki kambing tadi wahai Aisyah? Aisyah menjawab: Tiada yang tinggal melainkan bahagian bahu sahaja. Lalu Rasulullah membetulkan kenyataan Aisyah: (bukan begitu Wahai Aisyah) kekal semuanya yang telah disumbangkan tadi (sebagai amalan) melainkan bahagian bahunya sahaja (yang tertinggal bukan sebagai amalan) (Hadis Riwayat At-Tirmizi).