Jumaat, 5 April 2019

Mitos









Penulis: Ramlee Awang Murshid
Tajuk: Mitos
Tahun Terbit: 2019
Penerbit: RAM Typewriter Ventures
Muka Surat: 209
Harga: RM35.00 (Pre-Order termasuk bayaran pos)








Novel Mitos merupakan himpunan cerita bersiri yang pernah disiarkan dalam sisipan Inspirasi Novel akhbar Berita Harian bermula 7 September 2013 pada setiap hari Sabtu. Aku tidak tahu mengenai kewujudan novel bersiri Mitos ketika kisah ini disiarkan dalam akhbar. Novel ini diterbitkan oleh syarikat penerbitan Ramlee Awang Murshid iaitu RAM Typewriter Ventures. Buku ini hanya boleh dibeli dengan cara menghubungi Ramlee Awang Murshid Fan Club (RAMFC) Store dalam facebook. Aku beli buku ini ketika RAMFC Store menawarkan harga pre-order.

Sebelum ini, cerita bersiri ini telah dibukukan dan pernah diterbitkan oleh Ramlee Awang Murshid Fan Club (RAMFC) dalam tahun 2014. Aku tidak berkesempatan untuk membeli Mitos edisi lama keran aku tidak tahu mengenai kewujudan novel ini dalam pasaran - dijual dalam talian. Rupa bentuk kulit buku Mitos edisi lama boleh dilihat di sebelah kanan. Namun begitu, terdapat perbezaan di antara Mitos (2019) dengan Mitos (2014). Mitos (2019) diterbitkan menurut manuskrip asal penulis manakala Mitos (2014) diterbitkan berdasarkan himpunan cerita bersiri Mitos yang disiarkan dalam akhbar setelah manuskrip asal Mitos diedit bagi memenuhi standard ruangan dalam akhbar khasnya jumlah patah perkataan yang telah ditetapkan oleh editor. Oleh itu, terdapat bahagian tertentu dalam Mitos (2019) yang tidak didapati dalam Mitos (2014).

Mitos (2014) dicetak dalam jumlah yang terhad. Hal ini menyebabkan selepas beberapa tahun, terdapat pemilik Mitos (2014) yang menjual kembali sebagai buku terpakai dalam talian sehingga mencecah RM300.00 iaitu sepuluh kali ganda dari harga asal. Plot novel Mitos (2019) mudah, tidak berat dan ringan untuk dihadam. Mitos (2019) mempunyai 209 muka surat dan aku hanya mengambil masa beberapa jam sahaja untuk membaca novel ini. 

Mitos mengungkap kisah permusuhan di antara dua kelompok iaitu pemburu dan pemangsa yang berasal dari Jambi dan dikatakan bermusuhan semenjak zaman dahulu lagi. Kelompok pertama merupakan manusia yang boleh bertukar kepada harimau atau dikenali sebagai manusia harimau diklasifikasikan sebagai pemangsa. Ramlee Awang Murshid tidak pernah menyatakan secara jelas, apakah rupa bentuk kelompok pemburu.  Namun begitu, dalam halaman 140 Ramlee Awang Murshid menerusi watak Atan menyatakan rupa bentuk kelompok pemburu seperti manusia yang boleh bertukar kepada rupa bentuk seperti jin:
"Aku nampak... harimau dan jin... bergaduh! Dahsyat gila!" lanjut Atan.
Terdapat permusuhan di antara dua kelompok ini iaitu pemburu dan pemangsa yang berasal dari Jambi dan dikatakan bermusuhan semenjak zaman dahulu lagi. Dalam novel Mitos, wujud segolongan daripada kedua-dua puak ini yang telah berhijrah ke Tanah Melayu dan perperangan antara mereka masih berlarutan sehingga kini

Ketegangan membaca permusuhan di antara kelompok pemburu dan pemangsa  lebih dirasakan ketika kisah peperangan di antara mereka yang berlaku di hutan Temerloh pada 1966 berbanding dengan apa yang berlaku pada latar masa kini. Pada latar masa kini, konflik lebih banyak tertumpu kepada watak Haikal, Umairah, Haji Daud (datuk Haikal) dan ibu bapa Umairah (Asmiah dan Zamberi). Haikal pada awal novel ini digambarkan telah diculik dan dicampakkan ke Pulau Harimau berhampiran dengan Jambi. Walau bagaimanapun, akhirnya diketahui juga bahawa Haikal telah diculik oleh dua orang abang Umairah namun sebab yang membawa kepada penculikan itu atau kisah yang berlaku di sebaliknya tidak diketahui. 

Konflik seterusnya berlaku apabila Haikal jatuh cinta dengan Umairah. Haikal daripada kelompok pemburu manakala Umairah daripada kelompok pemangsa. Haji Daud dan Dato' Adib (ayah Haikal) serta ibu bapa Umairah tidak bersetuju dengan hasrat Haikal untuk menikahi Umairah. Hal ini telah membawa pergaduhan di antara kelompok pemburu dan pemangsa yang berlangsung di hutan Temerloh pada tahun 2013.

Di samping itu juga, Ramlee Awang Murshid menyelitkan kisah dua anggota polis (ASP Kamarul dan Inspektor Zaheran) yang terlibat menyiasat satu kes pembunuhan empat orang perompak yang dibunuh oleh seekor harimau. Kisah ini pula tidak mempunyai perkaitan langsung dengan keluarga Haikal (pemburu) dan keluarga Umairah (pemangsa). Di akhir plot, ASP Kamarul membuat pengakuan di depan Zaheran bahawa dia telah membunuh semua perompak itu dan merupakan salah seorang daripada kelompok pemangsa. Namun begitu, tidak diketahui dari jurai keluarga mana ASP Kamarul datang kerana pertempuran di hutan Termerloh pada tahun 1966 hanya meninggalkan empat orang sahaja di Tanah Melayu iaitu Jingga/Daud, Cuandas, Kurnia/Adib dan Astirai/Asmiah. Dalam hal ini, Ramlee Awang Murshid mungkin hendak menyatakan terdapat ramai lagi ahli kelompok pemangsa dan pemburu yang berada di tengah masyarakat seperti watak (Zamberi dan bapanya - kelompok pemangsa) yang muncul secara tiba-tiba sewaktu (Cuandas membawa Astirai/Asmiah - kelompok pemangsa) lari meninggalkan Daud.

Ramlee Awang Murshid menamatkan novel Mitos dengan meninggalkan persoalan kepada pembaca; cara ini amat popular kepada penulis novel dari Jepun iaitu Haruki Murakami. Tidak tahu apa yang berlaku akhirnya kepada watak ASP Kamarul dan Inspektor Zaheran serta apa kesudahan pertempuran di hutan Temerloh pada tahun 2013 serta siapa pasangan Umairah. Di akhir plot novel ini, Umairah dikatakan mempunyai cahaya mata lelaki yang bernama Sufi Rifqi yang berusia dua tahun satu hari. Dalam halaman 209, Haikal pula mengorak lembaran baru dalam kehidupannya dengan cara membuat tanggapan sendiri mengenai guliran baka (pemburu) yang diwarisinya sebagai mitos manakala mitos dan Umairah pula hanyalah satu pembohongan/pendustaan:
"Semua ini... hanya pembohongan." Getus Haikal.
Mitos dan Umairah dianggap pendustaan paling licik dalam guliran kehidupannya." 

P/S: Setelah aku membeli novel Mitos maka sehingga hari ini, aku memiliki semua novel-novel tulisan Ramlee Awang Murshid termasuk tulisan beliau dalam dua buah antologi cerpen iaitu Antologi Mistik Jembalang dan Antologi Jiwa Kacau Gaun Berdarah. Hurrah, hurray...

Khamis, 28 Februari 2019

Anding Ayangan








Penulis: Ramlee Awang Murshid
Tajuk: Anding Ayangan
Tahun Terbit: 2017
Penerbit: Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd.
Halaman: 528
Harga: RM34.00


















Penulis: Ramlee Awang Murshid
Tajuk: Anding Ayangan II
Tahun Terbit: 2019
Penerbit: Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd.
Halaman: 508
Harga: RM30.00









Anding Ayangan merupakan novel bersiri thriller terbaharu karya Ramlee Awang Murshid yang menyelitkan penggunaan bahasa Brunei; Anding Ayangan II (2019) merupakan sambungan Anding Ayangan (2017). Sebelum ini, beliau telah menampilkan dua novel bersiri thriller iaitu Tomburio dan Laksamana Sunan. Anding Ayangan mengisahkan kewujudan dua dunia iaitu dunia fana dan dunia dongengan yang saling terbalik dan ditembusi menerusi seruan berupa bait pujangga yang diseru dari dunia fana seperti terkandung dalam Kitab Aing:
Dua dunia telah terbalik kebalikan. Masing-masing merentas hijab dengan tega... ja'nya sengaja... ja'nya tidak disengajakan... umpama bertukar nyawa beralih jasad... yang di sana ke sini... yang di sini ke sana... bukan usulnya jelama sikana... weiii... mulih... lusir... bahana!
Watak Nyian di dunia fana mengalami amnesia telah masuk ke dunia dogengan bersama Damit manakala Furqan Ayyubi dari dunia dogengan telah masuk ke dunia fana; Damit dan Furqan Ayyubi mempunyai iras wajah yang sama. Pak Hashim di dunia fana pula 'berpeluang' menemui Chahaya - perempuan Anding yang cantik dari dunia dogengan setiap kali membaca seruan bait pujangga tersebut. Nyian dan Pak Hashim mempunyai kemahiran bercerita sebagai penglipur lara.

Seperkara yang menarik, usaha Ramlee Awang Murshid mengadun di antara fakta saintifik dan alam ghaib menerusi watak Pak Hashim di dunia fana yang menerima rawatan psikiatri di Hosptal Padang, Kota Kinabalu. Pak Hashim mengalami bebanan jiwa yang berat kerana menyimpan rahsia 'membunuh' Latif selama sepuluh tahun yang merupakan pekerjanya dan pemilik sebenar Kitab Aing ekoran hasratnya untuk memiliki Kitab Aing. Latif ditemui hanyut di Sungai Papar telah mengalami amnesia dan diberi identiti oleh penduduk kampung sebagai Nyian. 

Bebanan jiwa yang berat yang ditanggung oleh Pak Hashim menyebabkan dia didiagnos berhalusinasi. Pada masa yang sama pakar psikiatri Dr. Irfan yang merawat Pak Hashim dapat menyaksikan imej seorang wanita dan mendengar gemerincing bunyi loceng gelang tangan ketika Pak Hashim sedang berhalusinasi menari bersama seorang wanita yang bernama Chahaya. Hal ini menunjukkan dalam usaha mendiagnosis seorang pesakit psikiatri menerusi kaedah saintifik, wujud sisi lain dari alam ghaib yang tidak boleh dinafikan peranan jin dan syaitan yang boleh menyebabkan seorang anak Adam sakit.

Keseluruhannya, Anding Ayangan menampilkan dunia fana yang mengandungi kisah perebutan kuasa politik menerusi cara moden pilihanraya dan taktik kotor manipulasi isu politik dan skandal manakala dunia dogengan pula mengandungi kisah perebutan kuasa politik melalui penaklukan wilayah/kerajaan menerusi kaedah peperangan.


P/S: Dari lima bintang, aku beri lima bintang untuk kedua-dua novel bersiri Anding Ayangan. Aku rasa tidak sabar menunggu siri novel Anding Ayangan yang selanjutnya :) 

Ahad, 3 Februari 2019

Novel/Filem One Two Jaga








Penulis: Sahidzan Salleh
Tajuk: One Two Jaga: Movie Tie-In
Tahun Terbit: Julai 2018
Penerbit: Buku Fixi Sdn Bhd
Halaman: 283
Harga: RM19.90










Sudah lama aku selesai membaca novel One Two Jaga: Movie Tie-In sekitar dalam bulan Oktober 2018. Bukan semua buku yang aku baca, aku buat ulasan dalam blog ini tetapi novel ini ada daya tarikannya yang sendiri. Novel ini ditulis oleh Sahidzan Salleh berasal dari Sandakan, Sabah; olahan skrip filem One Two Jaga arahan Nam Ron.

Novel ini mengisahkan tentang pergelutan hidup beberapa watak buruh asing dari Indonesia yang hidup di pinggir kota dan lorong gelap Kuala Lumpur. Kedatangan buruh asing tanpa izin mengundang masalah rasuah dalam kalangan kakitangan jabatan kerajaan dalam ruang lingkup bahagian hal-ehwal keselamatan dalam negeri - polis-imigresen-jabatan pendaftaran negara. Isu rasuah yang ditimbulkan dalam novel ini adalah berskala kecil tidak seperti dalam buku ditulis oleh Tom Wright & Bradley Hope yang bertajuk Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and The World yang merupakan cacatan peristiwa rasuah berskala besar di Malaysia. 

Rasuah wujud kerana ada permintaan dan penawaran. Penawaran rasuah oleh para peniaga yang kaya-raya dan wujud permintaan rasuah oleh segolongan kakitangan jabatan kerajaan bahagian keselamatan dalam negeri; kehendak peribadi yang ingin hidup senang/mewah melebihi dari pendapatan gaji bulanan yang diterjemahkan menerusi watak anggota polis bernama Hassan. Lompang yang mengisi di antara permintaan dan penawaran rasuah dalam novel ini diterjemahkan dalam sektor ekonomi khususnya industri pembinaan. Buruh asing pendatang tanpa izin diambil bekerja dalam industri pembinaan kerana ia murah dan mudah. Jika berlaku kemalangan maut di tempat kerja seperti insiden terjatuh dari bangunan tinggi yang sedang dalam pembinaan maka tindakan melupuskan mayat adalah mudah berbanding pihak syarikat kontraktor pembinaan mengambil warganegara Malaysia atau buruh asing yang mempunyai dokumen yang sah bekerja dalam industri. Hal ini dinyatakan dalam halaman 51-52:
"Kalau macam tu, kau uruskan macam yang sudah-sudahlah," ujar Pak Sarip. Dia berasa sedikit lega kerana jika pekerja itu ada dokumen yang sah, terpaksalah dia membuat laporan lagi pada pihak berwajib. Leceh dan boleh mendatangkan lebih banyak masalah bukan saja kepadanya, tapi juga pada pihak pemaju dan kontraktor. Kemalangan jiwa di tapak bina bukan isu kecil jika sampai ke pengetahuan pihak berwajib. Ramai yang akan turun padang. JKR. CIDB. NIOSH. Polis. Kompeni TV. Menteri. Eh, semualah. Kerja-kerja pembinaan akan dihentikan untuk siasatan. Berapa banyak kos dan masa yang akan terbuang? Jadi, selagi boleh tutup kes sebegitu, Pak Sarip akan tutup. Kalau dah tak boleh sangat, terutama sekali jika melibatkan pekerja-pekerja tempatan, Pak Sarip akan bincang dengan pihak pemaju terlebih dahulu dan selalunya dia akan menjadi orang tengah antara pemaju dan waris si mati. Wang pampasan akan cuba disogok pada waris si mati untuk menutup mulut mereka. Kalau tak boleh selesai juga, pihak pemaju dan Pak Sarip akan buat wayang memburuk-burukkan si mati, misalnya mangsa itu bukan mati di tapak bina mereka, tapi dibunuh oleh Ah Long. Bila sampai tahap begitu, Pak Sarip akan minta bantuan dari polis-polis yang dibayar mereka. Dengan duit, semua benda boleh jadi.  
Baru-baru ini tular dalam media sosial video pendek Tun Dr. Mahathir Mohamad yang bertajuk "Bila kata orang Melayu malas, orang marah saya tapi ini kebenaran." Tun Dr. Mahathir menyatakan orang Melayu malas tidak mahu bekerja sebagai buruh kasar dalam industri pembinaan menyebabkan kelompangan tersebut diisi oleh buruh asing di mana Malaysia kini mempunyai buruh asing seramai 7,000 orang. Adakah benar kenyataan Tun Dr. Mahathir tersebut? Kewujudan buruh asing di Malaysia berfungsi menampung kelompangan keperluan tenaga kerja yang tidak diisi oleh warganegara Malaysia terutama yang melibatkan isu keselamatan (termasuk isu kesihatan) di tempat kerja.

Seperkara yang menarik dalam novel ini di sebalik memaparkan isu rasuah ialah sindiran sinis berkenaan perkara halal dan toyyiba. Pertama, isu makanan yang toyyiba menerusi perbualan Hassan (mengambil wang rasuah) dan isterinya Rozita (berzina dengan Kadeer warganegara Bangladesh kerana Hassan mengalami masalah mati pucuk) dalam halaman 164-163:
Hassan mengeluh memandang kari ayam di depannya itu. Tak jumpa apa yang dicari. "Mana hatinya?" tanyanya pada Rozita.
Dah buang," jawab Rozita selamba. "Ika, Afiq, meh sini makan."
"Lah! Apasal tak masak sekali?" Hassan bernada kecewa. "Ayam dah lah mahal sekarang ni."
"Tak eloklah makan hati ayam," jawab Rozita. "Banyak toksik. Takkan abang tak tahu ayam yang kita makan ni ayam ternak? Dah cucuk macam-macam ubat gemuk. Kita makan hati dia, nanti hati kita pula yang sakit." ***
"Merepeklah awak ni." Hassan mengaut potongan-potongan ayam ke pinggannya. "Habis yang kita makan daging dia ni tak bahaya?"
 "Dah tu, apasal abang tak beli je ayam organik?"
"Ayam ni pun dah berbelas ringgit sekilo, awak nak saya beli ayam organik pula?" 

*** Dari perspektif ilmu tasawuf, hati yang sakit (qalbun maridh), merujuk kepada hati yang masih mempunyai kehidupan tetapi dalam hatinya ada benih-benih penyakit. Golongan manusia yang mempunyai hati ini hidup berpandukan nafsu ammarah melakukan kejahatan dan maksiat. Dalam Al-Quran, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: 
“Sesungguhnya nafsu (ammarah) itu sangat menyuruh berbuat jahat.“ (Surah Yusuf: 53).
Ada juga golongan manusia yang hidup berlandaskan nafsu lawwamah tetapi ia mengkritik dan menyesali diri sendiri setelah melakukan kejahatan dan memohon keampunan. Dalam Al-Quran, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: 
“Aku bersumpah dengan nafsu lawwamah.” (Surah Al-Qiamah: 2).
Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati." (Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Nu'man bin Basyir).

Kedua, berkenaan berus cat halal yang tertera dalam halaman 197-198:
Di hujung meja kaunter itu, ada seorang pelanggan Melayu yang sedang komplen pada pekerja kedai, berus cat yang dijual mereka tiada cop halal. Dia berasa was-was menggunakan berus cat mereka sewaktu mengecat rumahnya, dan akibat perasaan was-was itu, kerja mengecat rumahnya tertangguh selama dua hari.
"Waduh, berus cat pun maunya dicop halal? Pak Sarip bingung.
"Apa yang tak halal berus ni, Encik?" tanya pekerja sambil memegang berus cat yang digunakan oleh pelanggan itu. Dia mengetuk-ngetuk berus itu di bucu meja. Sudah mengeras macam batu.
"Bulu berus ni dari bulu babilah, sebab tu tak halal!" kata lelaki Melayu itu.
 Pekerja kedai menggaru-garu kepalanya. "Macam mana encik tahu?"
"Aku tahulah. Lagi pun sekarang ni kan, tiap berus cat yang dijual kena ada tanda halal? Ni takde."
"Hari tu aku belum tahu lagi. Dah baca facebook, baru tahu."
Seorang supervisor kedai datang mendekati mereka. Dia ambil berus cat itu dan membeleknya seketika. "Resit ada?" tanyanya pada pelanggan itu.
Pelanggan geleng. Supervisor itu capai pen marker di meja lalu menulis di batang berus itu perkataan 'HALAL'. "Nah! Dah halal," kata Supervisor menghulurkan semula berus cat pada pelanggan itu.
"Kau cina jangan nak bergurau dengan aku," kata pelanggan itu yang mula naik angin.
"No receipt, no talk. Dah jual maa. Macam mana kami nak tahu you beli berus ni kat sini? Entah-entah kedai lain.
"Okey, baik!!" Pelanggan itu keluarkan telefon bimbitnya dan mula menangkap gambar Supervisor. Kemudian dia mula membuat rakaman video untuk live FB. "Ini cina semua boleh balik tongsan! Kedai barua ni jual dekat aku berus babi! Aku ni Melayu!!"
Aku tidak berkesempatan menonton filem One Two Jaga semasa ditayangkan di pawagam. Aku terbetik dalam hati mahu menonton filem ini selepas membaca fatwa filem "One Two Jaga" yang ditulis oleh Dr. Mohd Faizal Musa@Faisal Tehrani:
“One Two Jaga” menurut saya, adalah menghampiri kesempurnaan sebagai sebuah filem. “One Two Jaga” menurut saya adalah satu tiket untuk Malaysia memenangi Oscar.
Filem ini mengetengahkan realiti yang terjadi dalam masyarakat Malaysia. Aku kena tunggu filem ini ditayangkan di TV sempena hari raya Aidilfitri dalam tiga hingga empat tahun lagi. 


P/S: Dari lima bintang, aku beri lima bintang kepada novel ini.

Jumaat, 21 Disember 2018

Kasyaf Ain






Penulis: Ramlee Awang Murshid
Tajuk: Kasyaf Ain
Tahun Terbit: 2018
Penerbit: RAM Typewriter Ventures
Muka Surat: 393
Harga: RM40.00 (Pre-Order termasuk bayaran pos)








Buku Kasyaf Ain (2018) merupakan novel terbaharu Ramlee Awang Murshid yang diterbitkan oleh syarikat penerbitan beliau sendiri iaitu RAM Typewriter Ventures. Buku ini hanya boleh dibeli dengan cara menghubungi Ramlee Awang Murshid Fan Club (RAMFC) Store dalam facebook. Aku beli buku ini ketika RAMFC Store menawarkan harga pre-order.  

Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan kasyaf sebagai penyingkapan rahsia alam ghaib melalui kalbu (pandangan mata hati secara batin). Kasyaf merupakan perkataan Arab dan melibatkan ahli sufi manakala ain juga merupakan perkataan Arab yang bermaksud mata. Setelah aku membaca novel ini, aku memahami Kasyaf Ain sebagai penyingkapan rahsia alam ghaib melalui pandangan mata hati secara batin dan pandangan mata secara zahir.

Kisah Kasyaf Ain bermula dari Kampung Lembah Beringin pada tahun 1830 apabila Mansur (imam Kampung Lembah Beringin) dan keluarganya diusir dari kampung tersebut setelah Liau Guantua yang merupakan seorang dukun telah menggunakan ilmu hitam bersubahat dengan Suaka (jembalang) untuk berkuasa dan menjadikan penghulu kampung tersebut sebagai boneka; Suaka telah membunuh penduduk kampung dengan cara merobek dada dan mengeluarkan jantung mereka. Mengapa jantung? Pada pendapat aku, organ jantung secara zahir diperlukan untuk menyingkapi kasyaf.  

Pada tahun 1848, Kampung Buana Senandung yang diketuai oleh Jais telah dilanda musibah apabila para marganya telah dibunuh dengan cara yang sama seperti penduduk Kampung Lembah Beringin kira-kira 18 tahun yang lalu.  Dalam bahagian ini, aku tertipu kerana aku menyangka Kampung Buana Senandung merupakan perkampungan yang didiami oleh manusia. Aku menyedari Kampung Buana Senandung didiami oleh golongan jembalang setelah aku mula membaca bab 28. Pembunuhan marga Kampung Buana Senandung telah dilakukan oleh Adi anak lelaki Mansur. Kesilapan Adi membiarkan Cindai anak Jais hidup telah mengundang malapetaka sehingga ke zaman ini dek kerana dendam Cindai kepada keturunan Adi. 

Sebelum meninggal dunia, Adi telah menulis buku bertajuk Cindai dan melakarkan wajah Cindai sebagai rujukan anak cucu keturunannya. Bahagian ini seperti wujud pengaruh dari drama bersiri Supernatural yang pernah ditayangkan dalam TV suatu masa dulu namun disesuaikan dengan alam Melayu. Hal ini memandangkan Cindai spesies jembalang pontianak telah dipakukan di belakang tengkuknya boleh bertukar wajah menjadi manusia dan hidup dalam dunia manusia. Cindai berupaya melindungi drinya dari penyingkapan ain secara zahir.

Kedua-dua kisah di Kampung Lembah Beringin dan Kampung Buana Senandung dihubungkan sehingga ke zaman ini melalui watak-watak utama iaitu Syamel, Rosman, Anita dan Hanum Saskia. Syamel dan Rosman merupakan jurai dari keturunan Adi. Syamel mencintai Hanum Saskia namun setelah menyedari Hanum Saskia merupakan jembalang dan menyangka Hanum Saskia adalah Cindai maka Syamel telah membunuh Hanum Saskia. Watak Rosman dan Anita pula merupakan pegawai polis yang bertanggungjawab menyiasat pembunuhan Hanum Saskia dan pembunuhan bersiri yang berlaku di sekitar ibu negara. 

Walau bagaimanapun, setelah Hanum Saskia dibunuh, watak Anita yang merupakan pegawai polis telah menimbulkan persoalan kepada aku. Dalam halaman 393:
Tangisan Anita semakin mengesak rancak apabila kenangan memilukan itu menjengah ruang ingatannya di benak. Hanum Saskia telah mati di tangannya sendiri. Sekalian membangkitkan kebenciannya pada Rosman dan Syamel. Sedangkan dia gigih berusaha bertahan di sini dan nyaris terbakar mendengar ayatul Kursi dikumandangkan Syamel.
Anita menyeka air matanya. Sedari tadi dia membendung kepiluannya disebabkan tega membunuh Hanum Saskia. Anita menghela nafas panjang sambil bangkit dari katil secara beransur-ansur. Dia menapak ke meja solek. Menatap wajahnya yang indah meskipun baru sahaja diwarnai kemuraman yang membuatkan rautnya tergugah kelam.
"Mereka menyangka... Hanum Saskia adalah Cindai," bisik Anita.
Anita merenung seraut wajahnya lagi di cermin meja solek. Sejurus melirikkan seulas senyuman yang dipenuhi muslihat. Senyuman kejahatan yang berusaha disembunyikan daripada penglihatan semua orang selama ini. Sinar matanya berubah galak.
"Ya. Hanum Saskia bukan... Cindai."
Senyuman Anita terus melebar sungguhpun berduka dan berbelasungkawa atas kematian jajarannya di sini.

Siapakah Anita? Adakah Anita sebenarnya Cindai? Aku pasti Anita merupakan jembalang. Watak Anita berupaya melindungi dirinya dari penyingkapan kasyaf dan ain secara zahir. Novel Kasyaf Ain seperti akan ada sambungannya. Aku tunggu dan lihat :)


P/S: Sehingga hari ini, aku memiliki semua novel-novel tulisan Ramlee Awang Murshid kecuali Mitos.

Khamis, 13 September 2018

Takwim Puasa Sunat Bermula 1 Muharam 1440H Sehingga 30 Zulhijjah 1440H

Puasa Sunat
Tarikh
Puasa 1 – 9 Muharam
·                           11 – 19 September 2018
Puasa Hari Asyura

(Pada 10 Muharam berserta sehari sebelumnya)

atau



(Pada 10 Muharam berserta sehari selepasnya)


·                         19 –  20 September 2018

                                atau


·                         20 – 21 September 2018
Puasa Sunat Sya'ban
·                     April – 5 Mei 2019
Puasa Enam (Puasa enam hari dalam bulan Syawal kecuali pada 1 Syawal)
·                     Jun –3 Julai 2019
Puasa 1 – 8 Zulhijah
·                            2 – 9 Ogos 2019
Puasa Hari Wuquf (Bagi sesiapa yang tidak menunaikan haji)
·                     10 Ogos 2018
Puasa Hari Isnin dan Khamis
Kecuali:
·                                          -- 
Puasa Hari Putih

(Pada 13, 14 dan 15 hari bulan setiap bulan dalam kalendar Hijrah)
·                     Muharam (23 – 25 September 2018)
·                     Safar (22 – 24 Oktober 2018)
·                     Rabiulawal (21 – 23 November 2018)
·                     Rabiulakhir (21 – 23 Disember 2018)
·                     Jamadilawal (19  – 21 Januari 2019)
·                     Jamadilakhir (18 – 20 Februari 2019)
·                     Rejab (20 – 22 Mac 2019)
·                     Sya’ban (19 – 21 April 2019)
·                     Syawal (17 –  19 Jun 2019)
·                     Zulkaedah (16 – 18 Julai 2019)
·                     Zulhijah (15 – 16 Ogos 2019)**


** Puasa Hari Putih pada 13 Zulhijjah 1440H jatuh pada Hari Tasyrik iaitu bersamaan 14 Ogos 2019. 

P/S: Selamat Berpuasa