Rancangan Rumpun Melayu Global yang
ditayangkan di TV1 menggambarkan orang Melayu nusantara yang merantau di negara
orang hidup bersatu. Bagi rakyat Malaysia, rakan taulan khususnya dari Malaysia
dianggap seperti adik-beradik sendiri.
Situasi yang sama jika dilihat
dalam kalangan Orang Malaya yang merantau di Sabah khususnya yang mendiami di
daerah atau bandar yang sama. Hal ini
berdasarkan pemerhatian aku sebelum era maklumat di hujung jari. Orang Malaya di
Sabah yang merantau khususnya disebabkan oleh tuntutan bekerja sebagai pegawai
Kerajaan Persekutuan, berkhidmat dengan
Kerajaan Negeri Sabah atau yang diterima sebagai peneroka tanah-tanah rancangan
FELDA di Sabah dalam awal 1970-an (datang ke negeri Sabah belayar menggunakan kapal laut) boleh dikatakan saling mengenali di antara satu
sama lain. Orang Malaya di Sabah yang berasal dari negeri-negeri yang berbeza
di Semenanjung Malaysia diibaratkan seperti keluarga sendiri melangkaui
semangat kenegerian.
Contohnya, orang Kelantan apabila
merantau di Sabah menganggap Orang Malaya berbangsa Melayu yang berasal dari
negeri-negeri di Semenanjung Malaysia sebagai ‘orang kita’. Hal ini berbeza
jika orang Kelantan berada di Semenanjung Malaysia, ‘orang kita’ ditakrifkan terhad
kepada orang Kelantan sahaja manakala orang Melayu yang berasal dari
negeri-negeri lain ditakrifkan sebagai ‘orang luar’. Begitu juga dengan Orang
Malaya di Sabah berbangsa Melayu yang berasal dari negeri-negeri Semenanjung Malaysia
yang lain turut merujuk sesama mereka sebagai ‘orang kita’.
Apabila bertemu sesama orang
Malaya yang merantau di Sabah, secara spontan mereka bercakap menggunakan ‘bahasa
kita’. Menjadi pantang kepada generasi lama Orang Malaya di Sabah apabila
generasi muda (anak-anak) Orang Malaya di Sabah bercakap menggunakan loghat
Sabah apabila bertemu dengan sesama ‘orang kita’. Aku masih ingat teguran ibu
saudara aku yang berasal dari Perak terhadap sepupu aku yang berasal dari Kedah
apabila bercakap menggunakan loghat Sabah sebagai medium komunikasi dengan ibu saudara
aku:
Kita ni ada ‘bahasa kita’. Bercakaplah guna ‘bahasa kita’.
Dalam konteks orang Malaya di
Sabah, ‘bahasa kita’ merujuk kepada dua situasi. Pertama, ‘bahasa kita’ merujuk
kepada dialek negeri-negeri masing-masing di Semenanjung. Mereka bercakap
menggunakan dialek negeri masing-masing walaupun orang yang dilawan bercakap
tidak berasal dari negeri yang sama. Kedua, tidak bercakap dalam dialek
negeri-negeri masing-masing sebaliknya bercakap menggunakan loghat orang Kuala
Lumpur. Hal ini khususnya apabila bertemu sesama Orang Malaya di Sabah yang
tidak berasal dari negeri yang sama sebaliknya boleh bercakap menggunakan
loghat orang Kuala Lumpur.
Kini, kebanyakan generasi baru
keturunan Orang Malaya di Sabah khususnya dalam kalangan para peneroka FELDA yang
dikategorikan sebagai generasi cucu-cicit tidak lagi meneruskan terma ‘bahasa
kita’ dan ‘orang kita’ dalam pergaulan seharian memandangkan ada di antara mereka
yang telah diserapkan sebagai ‘Orang Sabah’.
P/S: Generasi lama (ibu bapa & anak-anak) Orang Malaya di Sabah tidak suka bercakap menggunakan loghat Sabah apabila bertemu sesama 'orang kita', salah satu faktornya ialah loghat Sabah kedengaran kasar di telinga Orang Malaya di Sabah. Contohnya, menjadi pantang dan disifatkan kurang ajar apabila generasi anak bercakap menggunakan kata nama ganti diri 'aku' dan 'kau' dengan generasi yang lebih tua termasuklah ibu bapa.
Bersambung, sila klik Orang Malaya Di Sabah #6: Universiti Malaysia Sabah