Sabtu, 26 September 2015

Pembinaan Masjid Kariah Kelisa Ria, Sungai Petani, Kedah

Kepada muslimin dan muslimat di seluruh dunia yang ingin menyumbang dana bagi pembinaan Masjid Kariah Taman Kelisa Ria, Sungai Petani, Kedah anda boleh menyalurkan
sumbangan melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad atas nama:

JAWATANKUASA PEMBINAAN MASJID KELISA RIA
NO. AKAUN BANK ISLAM MALAYSIA BERHAD: 0202 00100 66 346 

atau

Melalui Bendahari Masjid Kariah Kelisa Ria: 
Tuan Haji Nasron. No. Tel: 017-5588771

Rujukan kelulusan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah:
No. Kebenaran: Bil(17)dlm.AGAMA(K)A-4-2013



P/S: Jom berinfak. Infak merupakan ibadah yang dituntut dalam Islam yang bermaksud sumbangan sama ada berbentuk wang tunai, makanan, harta yang bernilai dengan penuh keikhlasan dan mengharapkan ganjaran pahala daripada Allah s.w.t. Dari sudut bahasa, infaq berasal dari perkataan anfaqa yang bermaksud mengeluarkan harta untuk kepentingan sesuatu manakala dari sudut syarak, infaq merujuk kepada perbuatan mengeluarkan sebahagian harta yang diperintahkan dalam Islam.

Selasa, 1 September 2015

Falsafah Kacang

Keakraban masyarakat Melayu lama dengan alam tergambar dengan jelas melalui pepatah-petith yang menggunakan alam sebagai perlambangan. Pepatah-petitih adalah aspirasi pemikiran Melayu secara tersurat dan tersirat mengandungi nilai sosial, moral, fungsi adat bermasyarakat dan menonjolkan falsafah kehidupan bangsa Melayu. Peribahasa Melayu bagai kacang lupakan kulit memberi gambaran mengenai orang yang lupa akan asalnya setelah menikmati kesenangan. Dalam hal ini, kacang dalam perumpaan itu merujuk kepada kacang tanah dijadikan sebagai perlambangan orang manakala kulit (kacang) dilambangkan sebagai asal-usul seseorang individu.

Sumber: klik [...]
Berbalik kepada persoalan dalam entri ini, kenapa perumpamaan kacang lupakan kulit? Kenapa tidak ada perumpamaan pinang lupakan kulit? Penelitian bangsa Melayu lama terhadap alam amat halus sehingga pinang (dalam hal ini, buah pinang merujuk kepada pinang yang telah tua) dan kulitnya tidak sesuai dijadikan perlambangan yang memberi makna orang yang lupa akan asalnya setelah menikmati kesenangan sebaliknya kacang dan kulitnya lebih sesuai dijadikan perlambangan yang menepati maksud tersebut. Hal ini dapat dilihat berdasarkan sifat kacang tanah itu sendiri di mana ia mudah/senang dibuka kulitnya sehingga boleh dibuka tanpa menggunakan sebarang alat. Buah pinang tua sifatnya lain, untuk mengupas kulit pinang perlu kepada alat seperti parang khas jenis bendo atau cengkok/cokok/kikuk. Sifat kulit buah pinang tua itu sendiri yang mempunyai sabut maka proses mendapatkan isi pinang yang telah licin dibuang sabut adalah proses yang sukar kerana memerlukan tenaga dan tekanan yang kuat.

Dalam kehidupan masyarakat Melayu, falsafah ‘kacang’ menggambarkan sesuatu yang mudah. Kini, masyarakat Melayu moden turut menggunakan ‘kacang’ bagi perkara yang senang tanpa perlu bersusah-payah contohnya, generasi muda bangsa Melayu menyatakan ‘kacang je’ menunjukkan perkara itu mudah dilakukan. Belum ada perumpamaan dalam masyarakat Melayu lama dan moden menggunakan buah pinang tua sebagai sesuatu yang mudah atau senang.

Dalam hal ini, wajarlah perumpaan kacang lupakan kulit merujuk kepada orang yang lupa akan asalnya setelah menikmati kesenangan. Orang yang lupa akan asalnya menunjukkan orang yang MUDAH/SENANG lupa kepada asal-usulnya setelah kehidupannya senang.