Ahad, 30 April 2017

Orang Malaya Di Sabah #9: Syiar Islam Di Sabah

Entri ini aku fokuskan daerah Sandakan. Selama 20 tahun (sebelum 1997) aku tinggal di Sabah, Sandakan lebih dekat di hatiku. Di Sandakan, ada beberapa buah masjid utama. Jarak di antara setiap masjid di Sandakan tidaklah dibina seperti pembinaan sebuah gereja bagi kiraan satu batu sepanjang Jalan Labuk. Bermula dari pusat bandar sehingga setiap jarak sepanjang Jalan Labuk (dalam kiraan batu) pasti ada sebuah gereja. Contohnya di pusat bandar ada sebuah gereja, di batu satu ada sebuah gereja, kemudian di batu dua ada sebuah gereja lagi dan begitulah seterusnya walaupun majoriti penduduk di sekitar kawasan tersebut tidak ramai beragama Kristian. Pada ketika itu, majoriti Muslim di Sandakan mendiami di kampung dan kawasan pinggir bandar; sangat sedikit Muslim di Sandakan yang mendiami taman-taman perumahan di bandar.
Sumber: Masjid Jamek Bandaran Sandakan

Di antara masjid utama di Sandakan ialah pertama, masjid di pusat bandar. Terdapat sebuah masjid tertua di negeri Sabah telah dibina sejak tahun 1890 yang kini dikenali sebagai Masjid Jamik As-Syeikh Hasabollah At-Tohiri atau sebelumnya dikenali dengan nama Masjid Jamek Bandaran Sandakan bersebelahan bangunan Wisma Sandakan. 

 


 
Sumber: Labuk Road Bus Co. Sdn. Bhd.
Kisah yang aku tidak boleh lupa berkaitan masjid ini ialah seorang sahabat baik aku di sekolah menengah (tingkatan 1 sehingga tingkatan 5) pernah bercerita berkenaan seorang pemandu bas Labuk Road Bus Co. Sdn. Bhd. berbangsa Cina telah memeluk agama Islam selalu kelihatan berjalan kaki dari stesyen bas pusat bandar Sandakan ke Masjid Jamek Bandaran Sandakan untuk menunaikan solat. Pada ketika itu, seorang berbangsa Cina memeluk agama Islam adalah suatu peristiwa yang amat mengagumkan bagi penduduk yang beragama Islam di Sandakan.

Kedua, masjid yang terkenal di Sandakan ialah sebuah masjid milik persendirian iaitu Masjid Datuk Pengiran Galpam terletak di Jalan Datuk Hj PDM Galpam. Masjid ini terletak di tepi jalan utama (Jalan Labuk) lebih kurang 7 batu dari pusat bandar. 

Sumber: Masjid Datuk Pengiran Galpam


Solat Jumaat termasuklah solat fardu di masjid ini diimamkan oleh ustaz-ustaz yang berasal dari Malaya yang mengajar di sekolah-sekolah rendah/menengah kebangsaan yang tinggal berhampiran dengan Masjid Datuk Pengiran Galpam. Solat Jumaat tetap diadakan di masjid ini walaupun bilangan jama’ahnya tidak mencukupi 40 orang lelaki Islam yang memenuhi syarat-syarat diwajibkan menunaikan solat Jumaat. Pada hari Jumaat, aku pernah melihat Muslimah (orang Sabah) yang memakai telekung putih berjalan kaki menuju ke masjid ini untuk turut serta menunaikan solat Jumaat - senario yang sukar dilihat di Semenanjung Malaysia.
Sumber: Masjid Daerah Sandakan

Ketiga, Masjid Daerah Sandakan yang dirasmikan oleh Yang Di-Pertuan Agong Malaysia Yang Ke-9 Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah pada tahun 1990. Masjid ini terletak di Sim-Sim lebih kurang 1KM dari pusat bandar Sandakan. 

Sempena majlis perasmian masjid ini, para pelajar beberapa buah sekolah rendah/menengah di Sandakan turut terlibat di mana para pelajar sekolah terbabit dikehendaki berdiri sambil memegang dan mengibarkan bendera kecil Malaysia di sepanjang kiri dan kanan jalan utama yang dilalui oleh kereta rasmi yang dinaiki Yang Di-Pertuan Agong Malaysia Yang Ke-9 bersama Tuanku Permaisuri dari Lapangan Terbang Sandakan sehingga ke Masjid Daerah Sandakan. Sekolah aku turut terlibat namun aku tidak hadir ke sekolah pada hari berkenaan. Aku tidak menjadi sebahagian pelajar sekolah yang berdiri sambil memegang dan mengibarkan bendera kecil Malaysia di sepanjang kiri dan kanan jalan utama menunggu kereta rasmi yang dinaiki Yang Di-Pertuan Agong Malaysia Yang Ke-9 bersama Tuanku Permaisuri meluncur laju di depan para pelajar berkenaan.

Di Sandakan tidak ada sekolah agama pada sebelah pagi atau petang yang khusus buat para pelajar Muslim yang bersekolah rendah/menengah kebangsaan seperti negeri-negeri di Semenanjung Malaysia. Namun, kini aku mendapati sekolah agama sedemikian sudah ada di Kota Kinabalu. Para pelajar sekolah di Sandakan memperolehi pendidikan asas agama Islam dari sekolah rendah/menengah kebangsaan yang dihadiri oleh mereka di samping ajaran Islam yang diperolehi dari ibu bapa/penjaga. Hanya terdapat dua buah sekolah agama di Sandakan iaitu Sekolah Agama Negeri Tanjung Papat dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sandakan kini dikenali Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Juhar Sandakan.

Ustaz-ustaz dari Malaya yang tinggal di Sandakan kebanyakan membuka kelas mengaji al-Quran di rumah masing-masing khususnya untuk kanak-kanak dan remaja yang tinggal berhampiran. Aku juga belajar mengaji al-Quran dari ustaz-ustaz tersebut. Matlamat kelas mengaji al-Quran adalah sekadar boleh membaca al-Quran tanpa menekankan aspek tajwid apatah lagi tafsir dan tarannum.

Ketika aku tinggal di Sandakan suatu masa dahulu, bukan sesuatu yang mengejutkan dalam kalangan orang Sabah yang beragama Islam terdapatnya amalan bida’ah berpuasa fardu bulan Ramadan bermula sehari lebih awal iaitu hari syak yang jatuh pada 30 Sya’ban. Alasan mereka memulakan puasa fardu Ramadan pada 30 Sya’ban adalah dikhuatiri bulan Ramadan pada tahun berkenaan hanya 29 hari (tidak mencukupi 30 hari).

Selain itu, amalan bida’ah lain dilakukan oleh orang Sabah yang beragama Islam ialah Muslimah yang tidak ke masjid menunaikan solat Jumaat dilarang menunaikan solat zohor sehingga jama’ah di masjid selesai menunaikan solat Jumaat.

Pengaruh agama Kristian amat kuat di Sabah. Kebanyakan penganut agama Kristian di Sabah terdiri dari golongan bumiputera dan bangsa Cina. Negeri Sabah dikatakan sebagai pusat penyebaran agama Kristian di Malaysia manakala negara Filipina merupakan pusat penyebaran agama Kristian bagi rantau Asia Tenggara.

Dalam tempoh (1999-2002) ketika aku sedang berada dalam pengajian Master di Universiti Kebangsaan Malaysia, aku pernah mengikuti seminar yang dianjurkan oleh Fakulti Pengajian Islam. Apa yang hendak aku ceritakan di sini ialah dalam seminar berkenaan ada seorang peserta lelaki (aku menjangkakan dia Orang Sabah) menyatakan pandangannya kepada khalayak yang hadir sesuai dengan lagak orang muda (dalam lingkungan usia 20-an) yang bersemangat tinggi agar Universiti Malaysia Sabah yang baru beberapa tahun ditubuhkan mewujudkan sebuah Sekolah/Fakulti Pengajian Islam untuk menampung keperluan menegakkan syiar Islam di Sabah.

P/S: Apabila aku melihat gambar-gambar dalam entri ini, aku terkenang akan zaman kanak-kanak dan remaja aku di Sandakan. Aku rindu Sandakan. 😢 Ketika aku bekerja di Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun 2004, ada seorang pelajar perempuan dari Sandakan menceritakan kepada aku, "sekarang Sandakan dah lain."