Isnin, 16 Mei 2011

Al-Fatihah

Seumur hidupku, pagi ini pertama kali aku melawat jenazah yang terbujur kaku di depanku di Kampung Sesapan Kelubi, Beranang. Pergi takkan kembali.  Dia hanya seorang teman sekuliah di UKM yang jauh tapi kukenali. Amat mengharukan apabila ibu saudaranya menyambutku bersama-sama dengan seorang pensyarah dan temanku, ketika menghulurkan tangan bersalam dengan kami sambil mengucapkan, "Maafkanlah anak buah saya kalau ada salah dan silap dia". Semoga Allah mengampunkan dosa-dosanya dan di tempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah.

Apabila ...

Apabila kita berusaha untuk patuh sepenuhnya kepada apa yang terkandung di dalam syariat agama, maka kita dilihat terlalu asing bagi kebanyakan orang yang tahap kepatuhan kepada syariat agama adalah berada pada tahap pertengahan dan rendah.

Apabila kita berusaha untuk patuh sepenuhnya kepada apa yang terkandung di dalam syariat agama, maka kita dilihat sebagai individu yang menimbulkan fitnah dalam lingkungan sosial yang kepatuhan agama berada pada tahap pertengahan dan rendah.

Apabila kita tidak mahu dihina, kita menjaga diri kita dari lingkungan sosial yang boleh membawa kepada penghinaan terhadap diri kita, maka kita disisihkan.

Apabila kita terlalu menjaga diri kita untuk berada dalam lingkungan sosial yang selamat menurut syariat pemisahan di antara jantina untuk mengelakkan fitnah, maka kita dilihat sebagai individu yang lain dari yang lain.

Apabila kita rasa tidak tertanggung dalam menghadapi perkara yang menjadi ujian hidup atau untuk mengkafarahkan dosa-dosa silam kita, maka kita dilihat sebagai individu yang inferior complex.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah saw, "Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang orang yang asing". (Hadis Riwayat Muslim)

Rusuhan

Sudah tua rupanya rusuhan kaum yang melanda Tanah Melayu 42 tahun yang lalu pada 13 Mei. Aduhai bangsaku... Melayu.


Puisi bertajuk Melayu oleh Sasterawan Negara Usman Awang

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun

       Jika menipu pun masih bersopan
       Bila mengampu bijak beralas tangan
Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak
Dalam sejarahnya

Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali

Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri

Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing

Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Segala yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu ?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka!