Sabtu, 27 Januari 2018

Wahai Muslimah, Tutuplah Auratmu Dengan Sempurna Semasa Hayatmu Masih Ada

Sumber: Klik sini
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (An Nur:31)


Hikmah Menutup Aurat Khas Bagi Muslimah

Lebih-lebih lagi ayat di ayat, Allah menjelaskan hikmah agung dan kebaikan besar yang akan mereka dapatkan dengan melaksanakan perintah-Nya, iaitu penjagaan daripada Allah bagi kaum wanita sehingga mereka tidak diganggu dan disakiti ketika keluar rumah. 

Syaikh Abdurrahman as-Sa'di berkata, "Ini menunjukkan bahawa gangguan (bagi wanita daripada orang-orang yang berakhlak buruk) akan timbul jika wanita itu tidak mengenakan jilbab (yang sesuai dengan syariat). Kerana, jika wanita tidak memakai jilbab, boleh jadi ada orang menyangka bahawa dia bukan wanita yang 'afifah (terjaga kehormatannya), sehingga orang yang ada penyakit (syahwat) dalam hatinya akan menganggu dan menyakiti wanita tersebut, atau bahkan merendahkan atau melecehkannya... Maka dengan memakai jilbab (yang sesuai dengan syariat) akan mencegah (timbulnya) keinginan-keinginan (buruk) terhadap diri wanita daripada orang-orang yang mempunyai niat buruk". (halaman 46) 


Sumber: Zamri Hashim (Timbalan Mufti Negeri Perak). 2018. Syariat dan identiti Arab. Majalah Al-Islam, Januari Bilangan 527 Halaman 44-46. Utusan Karya Sdn. Bhd. 


Ironi Setelah Meninggal Dunia 

Ramai sahabat si mati menasihati waris agar memadam gambar-gambar si mati yang tidak menutup aurat dengan sempurna yang berada dalam laman sosial. Setelah meninggal dunia, waris pula dibebankan dengan tugasan menapis/memadam gambar-gambar si mati dek perbuatan si mati yang semasa hayatnya memuatnaikkan gambar-gambar sedemikian. 
Alangkah baiknya andai para sahabat si mati menasihatkan si mati agar menutup aurat dengan sempurna semasa hayatnya masih ada. 

Perintah menutup aurat dikenakan semasa seseorang muslimah masih hidup. Menjaga aurat termasuk tidak memuatnaikkan gambar-gambar yang mendedah aurat dalam facebook, instagram, blog dan lain-lain medium laman sosial dalam internet untuk tatapan para lelaki yang bukan mahram. 


P/S: Wahai Muslimah, istiqamahlah dalam menutup aurat. Istiqamah itu adalah pertolongan Allah khas buat mereka yang ikhlas hendak kembali kepada-Nya.

Selasa, 16 Januari 2018

Travel Ke Afrika








Penulis: Dr. Hayya Bilal
Tajuk: Afrika Aku Mai Lagi
Tahun Terbit: Mac 2017
Penerbit: Jamilah Jaafar
Muka Surat: 314
Harga: RM40.00










Travelog Dr. Hayya Bilal ke empat negara di Afrika iaitu Uganda, Kenya, Sudan dan Rwanda disampaikan secara santai, lucu dan sarat dengan informasi. Pembaca memperolehi ilmu baru mengenai politik, ekonomi, sosial, sejarah dan budaya mengenai suku kaum tertentu yang ada di Afrika. Aku membaca buku ini sambil baring di atas katil (sesetengah bahagian membaca sambil ketawa) dan sampai ke Afrika tanpa perlu membahayakan diri sehingga meninggal dunia ataupun mengeluarkan perbelanjaan besar.
Terdapat 54 buah negara di Afika. 1800 bahasa tidak rasmi dan 27 bahasa rasmi. Tanahnya seluas lebih kurang 30 juta kilometer persegi atau 20 peratus daripada kawasan daratan bumi. Gunung tertinggi di Afrika ialah di Kilimanjaro, Tanzania. Antara 7 benda ajaib di dunia ialah Air Terjun Victoria yang terdapat di Afrika.

Sebelum ini, beberapa kali aku ke kedai buku Popular Book Co (M) Sdn. Bhd. di Village Mall Sungai Petani, Kedah melihat buku ini berada di rak buku. Aku membeli buku ini hasil dari wang sedekah lebih kurang RM50.00 yang diberikan oleh kawan-kawan arwah adik aku untuk meringankan beban perasaan sedih yang ditanggung oleh kami sekeluarga berikutan kematian adik aku. 

Terima kasih kepada kawan-kawan arwah adik aku kerana memasukkan wang ke dalam akaun Maybank aku. Sebenarnya pemberian wang sedekah dapat meringankan beban perasaan aku untuk memiliki buku ini. Aku beli buku ini sempena kematian adik aku. 

Aku ingin menambah empat tips penting khususnya bagi sesiapa yang ingin travel ke negara-negara di Afrika:
  1. Dapatkan maklumat rasmi mengenai kewujudan wabak penyakit di sesebuah negara khususnya dari World Health Organization (WHO). Jika perlu sila dapatkan vaksin terlebih dahulu sebelum bertolak ke negara-negara di Afrika. Maklumat kewujudan wabak penyakit di sesebuah negara penting kerana syarikat-syarikat penerbangan antarabangsa menggunakan maklumat rasmi yang dikeluarkan oleh WHO. Kewujudan wabak penyakit menyebabkan banyak syarikat-syarikat penerbangan antarabangsa membatalkan penerbangan ke negara terbabit. Jika ditakdirkan anda meninggal di negara berkenaan, (jika waris tidak mahu jenazah anda dikebumikan di negara berkenaan) maka waris mengalami kesukaran lambat menerima jenazah anda berikutan penerbangan kargo yang terhad.
  2. Cakna dengan maklumat cuaca dalam tempoh lawatan khususnya mengenai hujan, ribut dan taufan. 
  3. Lihat terlebih dahulu keadaan kemudahan yang disediakan oleh pihak pengurusan sesuatu tempat pelancongan seperti struktur pondok yang menempatkan khemah.
  4. Aku setuju dengan saranan Dr. Hayya Bilal yang mencadangkan agar travel ke Afrika dibuat secara berkumpulan. Sebaik-baiknya aku mencadangkan agar pergi ke Afrika dengan beberapa orang (minimum 3-4 orang) ahli keluarga/rakan senegara.  Andai berlaku sesuatu yang tidak diingini dalam tempoh lawatan seperti ditimpa kemalangan (jangan sempitkan fahaman anda dengan hanya kemalangan jalan raya), ada ahli rombongan lain senegara yang boleh memaklumkan kepada keluarga di tanah air. Ahli rombongan lain yang senegara berperanan menemankan anda ke hospital dan menjadi saksi mengenai perkara sebenar yang terjadi kepada diri anda. Hal ini dapat mengelakkan berlaku penipuan (contoh: pihak pengurusan yang terdiri penduduk tempatan) untuk menutup perkara sebenar yang terjadi kepada diri anda andai berlaku kematian/kecacatan kekal/hilang ingatan dan sebagainya. 

P/S: Dulu aku tengok ramai orang Afrika di Kuala Lumpur. Sekarang aku tengok  sudah ada orang Afrika di Sungai Petani, Kedah