Jumaat, 9 Oktober 2020

Bersedekah

Ramai di antara kita pernah menerima sedekah termasuklah aku. Entri kali ini aku hendak cerita fasal sedekah makanan yang pernah aku terima. Sedekah makanan yang paling besar dan bemakna bagi diri aku ialah pada waktu aku susah dan tidak ada makanan yang hendak dimakan dalam erti kata lain duit ada tapi tidak seberapa. Di bawah ini aku senaraikan beberapa entiti yang aku pernah menerima sedekah makanan daripada mereka. Jangan salah faham, aku tidak minta sedekah tapi mereka yang memberi sedekah. 


Masjid UKM 

Dulu selepas aku tamat belajar di Masters di UKM, aku pernah bekerja sebagai pembantu penyelidik dengan gaji RM500.00 sebulan. Pendapatan sebanyak itu sebenarnya tidak cukup. Salah satu cara aku menjimatkan duit ialah ambil makanan yang disediakan oleh Masjid UKM pada setiap malam Jumaat. Pihak Masjid UKM ada menyediakan makanan yang sudah dibungkus dalam polisterin yang diletakkan di atas talam besar di luar ruang solat muslimah selepas selesai solat isyak. Setiap minggu, menu makanan yang disedekahkan sentiasa bertukar di antara nasi goreng, mee goreng dan meehoon goreng. 


Puan Saliha Hassan 

Semasa aku masih dalam pengajian Masters di UKM, aku ada mengambil kursus yang diajar oleh Puan Saliha Hassan. Beliau satu-satunya pensyarah aku yang selalu bersedekah makanan kepada para pelajar Masters yang diajarnya. Caranya, kuliah diadakan pada hari Sabtu. Sebelum kuliah bermula, beliau akan memesan pihak kafe di bangunan pentadbiran untuk menyediakan juadah makanan untuk semua pelajar-pelajar Masters. Pihak kafe menghantar makanan yang dipesan oleh beliau ke tempat kuliah yang diadakan. Kami para pelajar Masters menikmati makanan yang disediakan pada waktu rehat. Kadang-kadang, beliau pesan kepada kami agar pergi makan di kafe pentadbiran dan sebut nama beliau di kaunter pembayaran untuk memudahkan tujuan rekod harga makanan yang kami makan. Semoga Puan Saliha Hassan terus dikurniakan kesihatan yang baik. Aameen. 


Gerai Nasi Lemak Cik Maliah 



Aku selalu pergi ke gerai Cik Maliah yang menjual nasi lemak di Amanjaya Zon Anggerik Sungai Petani, Kedah dalam kawasan perumahan yang aku tinggal. Aku selalu beli nasi lemak berlauk rendang ayam. 

Dalam musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kena guna apps MySejahtera scan QR code hatta gerai di tepi jalan sekali pun. 

Setiap kali aku beli nasi lemak di Gerai Nasi Lemak Cik Maliah, aku bawa tupperware sendiri dari rumah. Tujuannya untuk memudahkan Cik Maliah mengisi nasi lemak yang aku beli ke dalam tupperware tanpa perlu menggunakan plastik dan surat khabar untuk membungkus nasi lemak maka secara tidak langsung dapat mengurangkan penghasilan sampah.



Gambar sebelah kanan ialah nasi lemak sukatan dua cawan yang aku beli di Gerai Nasi Lemak Cik Maliah manakala gambar sebelah kiri ialah ulam raja yang aku petik dari pokok yang ditanam di halaman rumah untuk dimakan bersama nasi lemak. Kadang-kadang aku makan nasi lemak dengan ulam pucuk daun kari. Ini saja yang aku mampu.

Cik Maliah selalu bagi diskaun kepada aku. Kalau hari Jumaat maka Cik Maliah menjadi terlebih pemurah. Lauk rendang ayam yang aku ambil selalu dia tidak kira harganya. Dia hanya minta aku bayar harga nasi lemak kosong tanpa lauk. Semoga Allah melimpahruahkan rezeki Cik Maliah. Aameen.


Dimensi Baharu Didikan Rasulullah s.a.w. Dalam Memahami Amalan Bersedekah

Rasulullah ﷺ mendidik umatnya agar tidak kedekut dengan harta dunia. Baginda menyatakan bahawa tidak akan berkurang harta orang yang bersedekah. Hal ini amat berbeza dengan doktrin ekonomi konvensional yang amat menekankan aspek simpanan agar harta/aset semakin meningkat; bersedekah bermakna pengeluaran yang akan menyebabkan harta seseorang semakin berkurang. Sabda Rasulullah ﷺ: 

مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ، وَمَا زَادَ اللَّهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا، وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ للَّهِ إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ 

“Tidak akan berkurang harta orang yang bersedekah dan Allah akan menambahkan kemuliaan bagi orang yang memberi kemaafan. Begitu juga Allah akan mengangkat kedudukan seorang yang bersifat tawaduk.” (Hadis Riwayat Muslim).
Malah Rasulullah ﷺ mengajar Aisyah bahawa harta yang disumbangkan akan kekal sebagai amalan dan diberi ganjaran pahala di sisi Allah. Perkara ini difahami melalui dialog Rasulullah ﷺ bersama Aisyah yang menceritakan mengenai para sahabat yang telah menyembelih kambing untuk sumbangan. Lalu Rasulullah ﷺ bertanya kepada Aisyah: 

مَا بَقِيَ مِنها؟ قالت: مَا بَقِيَ مِنها إِلَّا كَتِفُهَا، قَالَ: بَقِي كُلُّهَا غَيرَ كَتِفِهَا 

“Apakah masih berbaki kambing tadi wahai Aisyah? Aisyah menjawab: Tiada yang tinggal melainkan bahagian bahu sahaja. Lalu Rasulullah membetulkan kenyataan Aisyah: (bukan begitu Wahai Aisyah) kekal semuanya yang telah disumbangkan tadi (sebagai amalan) melainkan bahagian bahunya sahaja (yang tertinggal bukan sebagai amalan) (Hadis Riwayat At-Tirmizi).

Selasa, 22 September 2020

Pembeli Projek Sarjana Cik Misstree

 


Gambar di atas adalah kulit hadapan projek sarjana Cik Misstree yang dikemukakan untuk memenuhi sebahagian daripada syarat memperolehi ijazah sarjana (Masters) di Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2001. Bahagian tengah kulit hadapan projek sarjana yang telah dikaburkan ialah nama sebenar Cik Misstree :)

Projek sarjana ini pernah dibeli oleh Ustaz Dr. Sulaiman Ibrahim dengan harga RM25.00. Beliau merupakan pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. Minggu lepas, aku baru dapat tahu Ustaz Dr. Sulaiman Ibrahim telah meninggal dunia kira-kira lima tahun lalu. Aku dapat berita ini setelah mendengar rakaman kuliah agama yang disampaikan oleh Ustaz Dato' Shamsuri Ahmad dalam You Tube, sila klik link https://youtu.be/pDNbiRWlTxw 

Aku masih ingat lagi, penyelia projek sarjana aku pernah bagi tahu aku, "Kalau awak nak jumpa Ustaz Sulaiman Ibrahim, awak boleh jumpa dia. Dia baik sangat orangnya. Dia senior saya semasa saya belajar di Kolej Islam Kelang."

Aku pernah jumpa Allayarham Ustaz Dr. Sulaiman Ibrahim dua kali untuk urusan jual beli projek sarjana aku. Aku rasa sedih juga mendengar khabar kematian Ustaz Dr. Sulaiman Ibrahim, really touching my deep heart.


P/S: Insya Allah, aku dalam perancangan untuk terbitkan projek sarjana aku dalam bentuk buku. Sebelum itu, aku perlu edit dan melakukan penambahbaikan projek sarjana ini termasuklah melakukan temubual (interview) dengan beberapa orang tokoh besar di Malaysia dalam bidang agama (+politik).

Jumaat, 11 September 2020

Perpustakaan Mini Di Rumah Cik Misstree

Entry kali ini, aku nak cerita (sebenarnya lebih kepada nak tunjuk :D ) perpustakaan mini di rumah aku di Sungai Petani, Kedah). Pelbagai genre buku menjadi koleksi peribadi aku iaitu novel, agama, umum dan buku-buku ilmiah. Kepada semua pembaca blog aku, mari jemput jamu mata. 

















Kebanyakan buku-buku dalam perpustakaan mini di rumah sudah dibaca oleh aku sekeluarga. Namun, ada juga yang belum dibaca. Aku beli terlebih dahulu buku-buku tersebut, selepas itu aku cari masa yang sesuai untuk membacanya. Aku risau juga hobi aku yang suka membeli dan mengumpul buku-buku kelak memjadikan sebagai tsundoku. Apa itu tsundoku? Tsundoku merupakan perkataan dari bahasa Jepun yang merujuk kepada:



P/S: Sekarang di antara hobi aku ialah mengumpul buku-buku digital dalam format pdf dan aku simpan dalam akaun Google Drive. Kalau mengumpul buku dalam format pdf tanpa membacanya, maka tidak bolehlah seseorang itu digelar tsundoku :D

Rabu, 26 Ogos 2020

Takwim Puasa Sunat Bermula 1 Muharam 1442H Sehingga 30 Zulhijah 1442H

Puasa Sunat

Tarikh

Puasa 1 – 9 Muharam

20 – 28 Ogos 2020

 

 

Puasa hari Asyura

 

Pada 10 Muharam dan sehari sebelumnya

 

Atau

 

Pada 10 Muharam dan sehari selepasnya

29 Ogos 2020

 

29 Ogos 2020 dan 28 Ogos 2020

 

Atau

 

29 Ogos 2020 dan 30 Ogos 2020

 

 

Puasa sunat Sya’ban

15 Mac – 12 April 2021

 

 

Puasa enam hari dalam Syawal (kecuali 1 Syawal)

14 Mei – 11 Jun 2021

 

 

Puasa 1 – 8 Zulhijah

11 – 18 Julai 2021

 

 

Puasa  Hari Wukuf di Arafah (bagi yang tidak menunaikan haji)

19 Julai 2021

 

 

Puasa Isnin dan Khamis

Kecuali:

 

1 Syawal – 13 Mei 2021 (Khamis)

 Hari Tasyrik (12 Zulhijah) – 22 Julai 2021 (Khamis)

 

 

Puasa Hari Putih

 

Pada 13, 14 dan 15 hari bulan setiap bulan dalam kalendar hijri)

Muharam (1 – 3 September 2020)

Safar (1 – 3 Oktober 2020)

Rabi’ul Awal (30 Oktober – 1 November 2020)

Rabi’ul Akhir (28 – 30 November 2020)

Jamadil Awal (28 – 30 Disember 2020)

Jamadil Akhir (26 – 28 Januari 2021)

Rejab (25 – 27 Februari 2021)

Sya’ban (27 – 29 Mac 2021)

Syawal (25 – 27 Mei 2021)

Zulkaedah (24 – 26 Jun 2021)

Zulhijah (24 – 25 Julai 2021)


P/S: Selamat Berpuasa 

Sabtu, 1 Ogos 2020

Andai Berharap Allah Pelihara Anak, Maka Jadilah Ibu Bapa Yang Soleh

Al-Quran menggambarkan kepada kita bagaimana Allah memelihara anak kepada pasangan ibu bapa yang soleh. Perkara ini direkodkan dalam Surah al-Kahf. Firman Allah:

وَكَانَ أَبُوْهُمُا صَالِحاً
“Dan kedua ibu bapa mereka adalah orang yang soleh.” (Surah al-Kahf ayat 82)

Perhatikan bagaimana disebabkan ibu bapa yang soleh, Allah memelihara harta dan anak tersebut dari dizalimi. Berdasarkan ayat ini, al-Imam Ibn Kathir menjelaskan:

فيه دليل على أن الرجل الصالح يُحفظ في ذريته
“Melalui ayat ini terdapat petunjuk yang menjelaskan bahawa lelaki yang soleh, Allah akan memelihara zuriatnya.”
Manakala al-Imam al-Qasimi pula memperincikan lagi penjelasan ini dengan menyebutkan:

وفي الآية إشارة إلى إرشاد الآباء ، الذي يخشون ترك ذرية ضعاف ، بالتقوى في سائر شؤونهم حتى تحفظ أبناؤهم وتغاث بالعناية منه تعالى
“Melalui ayat ini, terdapat pengajaran yang menunjukkan tentang keutamaan bimbingan seorang ayah yang bimbang untuk meninggalkan anak mereka dalam keadaan yang lemah, (lalu si ayah) menjaga ketaqwaannya dalam segenap aspek sehingga anaknya dipelihara oleh Allah dan dibantu oleh bantuan Ilahi.”
Berdasarkan kefahaman ini seorang Tabi'en bernama Said ibn Musayyib berkata kepada anaknya:

لأزيدنَّ في صلاتي مِنْ أجلِك ، رجاءَ أنْ أُحْفَظَ فيكَ
“Aku akan menambah (kualiti dan kuantiti) solatku supaya Allah memelihara engkau.”

Di sinilah titik muhasabah buat diri kita semua. Andai kita berharap agar Allah memelihara anak kita, maka kita hendaklah menjadi ibu ayah yang soleh. Benarlah sabda Rasulullah s.a.w., sekiranya kita jaga hak Allah, Allah jaga kita.


Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Universiti Sains Islam Malaysia




P/S: Kesimpulannya, dalam proses membesarkan anak-anak, tidak hanya cukup sekadar mendidik dan mengajar anak-anak tetapi ibu bapa juga perlu mendidik diri sendiri meningkatkan takwa dan amal soleh. 

Rabu, 24 Jun 2020

Hukum dan Penjelasan Ucapan R.I.P. Untuk Kematian Bukan Islam

R.I.P. adalah akronim kepada Rest In Peace dan merupakan kalimah yang biasa diucapkan oleh orang bukan Islam setiap kali menerima berita kematian.

Hukum seorang Muslim mengucapkannya kepada kematian orang bukan Islam adalah haram dan dilarang sama sekali. Ia bersandarkan kepada hadis riwayat Muslim dalam peristiwa yang berlaku saat kematian bapa saudara Rasulullah s.a.w. yang sangat dikasihinya iaitu Abu Thalib.

Apabila Abu Thalib hampir mati, maka Rasulullah s.a.w. pun pergi kepadanya. Didapati ada bersamanya Abu Jahal dan ‘Abdullah bin Abi Umayyah bin al-Mughirah lalu Rasulullah s.a.w. pun berkata: 
“Wahai pakcik! Katakan لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ satu ucapan yang aku akan menjadi saksi untuk engkau dengannya di sisi Allah.”
Abu Jahal dan  ‘Abdullah bin Abi Umayyah berkata:
“Wahai Abu Talib! Adakah engkau sudah benci kepada agama ‘Abd al-Muttolib?”
Namun Rasulullah s.a.w. tetap terus mengemukakan kalimah لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ kepada Abu Thalib. Namun Abu Thalib tetap mengulangi ucapan bahawa ia tetap berada berada di atas agama`Abd al-Muttolib sehingga akhir hayatnya. 

Rasulullah s.a.w. pun berkata: 
“Sesungguhnya demi Allah! Aku akan meminta ampun untuk engkau selagi aku tidak dilarang daripadanya.”
Selepas itu Allah s.w.t menurunkan ayat 113 dalam Surah At-Taubah:
مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَى مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ 

Maksudnya: Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.
Bersandarkan kepada dalil di atas, kita mengetahui bahawa Allah s.w.t. sendiri menegur Rasulullah s.a.w. supaya tidak mendoakan kepada orang musyrik (bukan Islam) yang telah meninggal dunia walaupun ahli keluarga sendiri. 

Maka kita juga tidak seharusnya mendoakan atas ucapan apa sekalipun kepada orang bukan Islam setelah kematiannya termasuklah dengan ucapan R.I.P. (Rest In Peace) atau maksudnya "Berehatlah Engkau Dengan Tenang" kerana perbuatan tersebut jelas bertentangan dengan hukum syarak.

Bagi kita orang Islam, ucapan yang disunnahkan kepada kita adalah kalimah istirja' iaitu "Innalillahi wainna ilaihi roojiiun" untuk setiap berita kematian. Ucapan istirja' juga diucapkan untuk setiap musibah yang berlaku. Hal ini disebutkan oleh Allah s.w.t. menerusi firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 156:
 وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِينَ  ٱلَّذِينَ إِذَآ أَصَـٰبَتۡهُم مُّصِيبَةٌ۬ قَالُوٓاْ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيۡهِ رَٲجِعُونَ
Maksudnya: Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun (bermaksud: Sesungguhnya kami milik Allah dan hanya kepada-Nyalah kami kembali)".
Ayat ini menerangkan tentang apa sahaja bentuk musibah yang berlaku sama ada pada diri kita ataupun orang lain, maka ucapan yang perlu kita sebutkan adalah "Innalillahi wainna ilaihi roojiiun". Ucapan ini juga terpakai bagi setiap kematian orang bukan Islam dan juga termasuk haiwan peliharaan kita.

Semoga dengan penjelasan ini dapatlah memberi kefahaman untuk memperbaiki kekhilafan yang telah dilakukan selama ini. Biasakan yang betul, betulkan yang biasa.

Wallahu'alam.

Rabu, 13 Mei 2020

Kesan Maksiat Pada Wajah

1. Rasulullah mendidik para pemuda agar membenci maksiat. Perkara ini benar-benar meresap ke dalam jiwa para sahabat sehingga mereka merasakan maksiat bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan. Kata Saidina Abdullah ibn Mas’ud: 


إن المؤمنَ يرى ذنوبه كأنه قاعد تحت جبلٍ يخاف أن يقع عليه، وإن الفاجرَ يرى ذنوبه كذُبابٍ مر على أنفه، فقال به هكذا 

“Orang mukmin akan melihat dosanya seumpama bukit yang akan menghempap diri mereka sedangkan orang yang fajir (pelaku maksiat) itu melihat dosa mereka seumpama lalat yang hinggap dihidup mereka sahaja, lalu ditepisnya.” 

2. Bahkan sebahagian sahabat merasakan bahawa perlakuan dosa mampu memberikan kesan kepada wajah seorang Muslim. Saidina Abu Darda pernah berpesan bahawa dosa yang dilakukan oleh manusia boleh dirasai oleh hati orang-orang yang beriman sehingga mereka tidak gemar melihat wajah pendosa. Kata Abu Darda’: 

ليتق أحدكم أن تلعنه قلوب المؤمنين وهو لا يشعر ، يخلو بمعاصي الله ، فيلقي الله له البغض في قلوب المؤمنين 

“Takutlah kamu dari dilaknat oleh jiwa-jiwa orang yang beriman dalam keadaan kamu tidak sedari. Mereka yang melakukan maksiat dalam keadaan bersembunyi ini, Allah akan mencampakkan rasa benci jiwa yang beriman terhadapnya.” 

3. Dalam kenyataan ini, Saidina Abu Darda seolah ingin menyedarkan kita bahawa dosa yang kita lakukan akan memberikan kesan kepada jiwa mukmin, sehingga mereka berasa tidak selesa, atau marah dengan kita. 

4. Dengan sebab itu Ibn Rajab menukilkan kata-kata salafusoleh yang menyatakan bahawa dosa dan maksiat yang kita lakukan boleh memberikan bekas kepada wajah kita. Ia direkodkan oleh Ibn Rajab yang menyebutkan: 

إن العبد ليذنب الذنب فيما بينه وبين الله ، ثم يجيء إلى إخوانه ، فيرون أثر ذلك عليه 

“Sesungguhnya seorang hamba itu, ketikamana dia melakukan maksiat seorang diri (yang hanya Allah mengetahuinya) lalu dia datang kepada sahabat-sahabatnya, maka mereka (sahabat tersebut) boleh melihat kesan maksiat tersebut pada dirinya. 

5. Atas sebab itu Rasulullah ada berpesan kepada Saidatina Aisyah bahawa ada manusia yang ditinggalkan kerana manusia takut dengan kejahatannya. Sabda Baginda: 

يَا عَائِشَةُ إِنَّ شَرَّ النَّاسِ مَنْزِلَةً عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَنْ وَدَعَهُ أَوْ تَرَكَهُ النَّاسُ اتِّقَاءَ فُحْشِهِ 

“Wahai Aisyah, sesungguhnya sejahat-jahat manusia di sisi Allah di hari akhirat nanti adalah mereka yang ditinggalkan oleh manusia kerana kejahatan yang mereka lakukan (samada kata-kata atau perbuatan mereka).” 

6. Ada dikalangan kita yang manusia merasa bahagia dengan kehadiran mereka. Ada dikalangan kita juga yang dibenci dengan kewujudan mereka yang kejahatan yang mereka lakukan. Tidak kira samada kejahatan terhadap manusia atau terhadap Islam itu sendiri. 

Semoga Allah memelihara dan menjauhkan kita dari dosa. Semoga Allah menjadikan kita hamba yang soleh disisiNya. 

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Universiti Sains Islam Malaysia 



P/S: Aku kongsi artikel ini sebab aku suka artikel ini dan sebagai peringatan kepada semua yang singgah menjenguk blog aku terutamanya diri aku sendiri.