Sabtu, 27 Oktober 2012

Konvokesyen PhD Di UKM

Aku sibuk dengan pelbagai persiapan dan menghadiri majlis yang disediakan oleh Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan serta Pusat Pengurusan Siswazah, UKM untuk para graduan PhD yang telah tamat dan diraikan dalam konvokesyen yang berlangsung pada 20 Oktober 2012.

Aku berada di UKM, Bangi selama dua minggu dari 12hb Oktober sehingga 26hb Oktober. Aku cuma ingin mengulangi perkara-perkara yang biasa aku lakukan sepanjang dalam pengajianku di UKM - pergi Perpustakaan Tun Seri Lanang, Masjid Universiti sama ada pada waktu subuh atau maghrib dan pergi ke Alamanda, Putrajaya apabila terasa kepala otak telah menjadi tepu. Aku tidak tahu bila lagi aku boleh mengulangi kebiasaan itu semua. Kali ini, aku menyambut hari raya Aidiladha di Bangi. Entah kali ke berapa aku menyambut Hari Raya Aidiladha di UKM, Bangi semenjak aku memulakan pengajian ijazah sarjanamuda pada sesi 1996/1997 kemudian diikuti ijazah sarjana dalam sesi 1999/2000. Sepanjang pengajianku di UKM, aku terpaksa menyambut hari raya Aidiladha di UKM kerana sibuk menyiapkan tesis. Semuanya menjadi kenang-kenangan dalam hidupku.
Tahniah Kepada Semua. Gambar Ini Selepas Majlis Pengiktirafan Penyelia dan Pemakaian Jubah Graduan PhD 2012 di DECTAR, UKM.
Gambar di atas pertama kali aku masukkan di dalam blog ini yang di dalamnya ada pemilik blog ini - Cik Misstree. Selepas konvokesyen ini dan secara rasmi aku bergelar Dr - berbaur pelbagai perasaan sedih dan gembira. Tamatlah sudah segala jerih perih perjalanan pengajian PhD aku selama tujuh tahun.

Prof. Dato' Dr. Abdul Rahman Embong dari IKMAS, UKM pernah bertanya kepadaku, "Apakah maksud doktor yang difalsafahkan?" Aku terdiam. Mujur pelajar PhD yang diselia oleh Prof. Dato' Dr. Abdul Rahman Embong memberikan jawapan, "Jangan sombong, jangan angkuh, jangan suka pandang rendah pada orang lain". Aku fikir itu bukan jawapannya tapi itu adalah peringatan yang berharga. Sebelum aku menamatkan pengajian PhD ini, aku telah mempersiapkan perenggu minda (mind set) dalam fikiranku, Dr. itu hanya gelaran di atas dunia, saat aku dikuburkan dan ditalkinkan, orang akan menyeru namaku (tanpa sebarang gelaran) berbintikan ibuku. Perkara yang paling penting ialah jerih perih itu dikira sebagai pahala kebajikan untukku, semoga sumbanganku dalam perkembangan ilmu memberi manfaat kepada ramai pihak dan menjadi pahala yang tidak putus sehingga hari akhirat. 

Peringatan Allah di dalam al-Quran surah al-Israa' ayat 85 yang bermaksud "Tidaklah kamu diberikan ilmu melainkan sedikit" mencantas rasa bangga dan sombong yang ada di dalam dada setiap manusia yang merasakan tinggi diri ekoran ilmu yang diberikan Allah.

Isnin, 1 Oktober 2012

Kata Pujangga: Charles ‘Tremendous’ Jones

Charles ‘Tremendous’ Jones

Anda akan menjadi orang yang sama dalam lima tahun akan datang seperti anda pada hari ini kecuali dengan siapakah anda berkawan dan apakah buku-buku yang anda baca.