Memaparkan catatan dengan label Pemilik Blog. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pemilik Blog. Papar semua catatan

Jumaat, 2 September 2016

Keperitan Menjadi Ghurabaa'



























Dalam kehidupan ini aku berusaha menurut kemampuan aku untuk taat melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Ketika pertama kali aku bekerja, sangkaan aku, rakan-rakan sekerja boleh menerima aku seadanya. Dalam lingkungan tempat kerja aku adalah menjadi kebiasaan untuk bercerita mengata sesama mereka apatah lagi orang yang mereka lihat sebagai 'asing' (ghurabaa').

Aku jenis yang diam dan tidak mengambil kisah mengenai politik pejabat. Hal ini menyebabkan aku dilihat sebagai 'asing' berbanding rakan-rakan sekerja aku yang lain. Aku yang pendiam tidak ditafsirkan sebagai silence is golden tetapi sebaliknya ditafsirkan sebagai tidak bercampur dengan orang. Pedih hati aku apabila aku terdengar perbualan isteri jiran sebelah rumah aku dengan seorang ibu tua di dapur rumah mereka berkenaan diri aku, "Rajin baca quran tapi tak bercampur dengan orang. Tak bolehlah macam tu".

Apabila orang datang berbual dengan aku, aku juga bercerita dan bersembang seperti orang lain. Apabila ada majlis di tempat kerja, aku hadiri majlis tersebut tetapi aku membaca pandangan mata mereka yang melihat aku sebagai 'asing'.

Sehingga sampai satu tahap, sebelum aku cuti belajar, ketua di pejabat aku menjaja cerita memberitahu kepada rakan-rakan sekerja aku yang lain bahawa "Saya paling tidak suka (sebut nama aku), diam saja". Ketua di pejabat aku menyampaikan kepada aku secara bersemuka, "Anda tidak perlu menjadi terlalu sopan untuk menjadi seorang ...".

Setelah tamat cuti belajar, aku kembali ke tempat kerja lama, antara yang disampaikan kembali kepada aku ialah mantan ketua pejabat aku yang kontrak perkhidmatannya sudah tidak sambung lagi tidak suka kepada aku. Tindakan mantan ketua di pejabat aku suatu masa dulu sebelum aku cuti belajar di antaranya telah membawa padah kepada aku selain dari masalah pengurusan di tempat kerja aku. Kata-kata dan tindakan mantan ketua di pejabat aku suatu masa dulu sebelum aku cuti belajar di antaranya telah dijadikan sebagai rujukan oleh pihak pengurusan agar aku tidak diambil kembali bekerja di tempat kerja lama aku.

Dalam riwayat Imam Ahmad dan Imam Thabrani, maksud ghurabaa' adalah “Manusia soleh yang sedikit di antara manusia yang banyak. Orang yang menentang mereka lebih banyak di banding yang mentaati (suka kepada) mereka.”

Dalam riwayat Imam Thabrani daripada Sahl r.a, Rasulullah s.a.w. ditanya, “Siapakah ghurabaa' itu wahai Rasulullah?” Beliau menjawab, “Iaitu orang-orang yang melakukan perbaikan ketika orang-orang lain rosak.”


P/S: Aku tidak meletakkan diri aku sebagai insan yang sangat baik dan solehah. Aku manusia biasa yang ada banyak kekurangan. Aku hanya berusaha menjadi hamba-Nya yang taat menurut kadar kemampuan diriku. Al-hamdulillahi 'ala kulli haal (Segala puji bagi Allah pada setiap masa).

Jumaat, 12 Ogos 2016

Syarat-Syarat Perlantikan dan Tamat Perkhidmatan

Beberapa hari sebelum ini, aku terbaca satu surat tawaran dan syarat-syarat perlantikan termasuk Tamat Perkhidmatan untuk taraf jawatan Perlantikan Sementara atas dasar sebulan ke sebulan yang dikeluarkan oleh sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam. Di antaranya berbunyi:
Tuan/Puan boleh diberhentikan dari jawatan ini pada bila-bila masa selepas diberi sebulan notis atau dibayar sebulan gaji dengan tidak diberi sebarang sebab.
Pada pandangan aku, klausa "Tuan/Puan boleh diberhentikan dari jawatan ini pada bila-bila masa selepas dibayar sebulan gaji dengan tidak diberi sebarang sebab" mengandungi maksud tersirat iaitu majikan berhak tidak mengemukakan sebab sebenar mengapa seseorang pekerja diberhentikan di mana ia berpunca dari salah satu butiran di bawah:

  1. Pekerja.
  2. Majikan.
  3. Kedua-dua belah pihak iaitu pekerja dan majikan.
(Jika sebab sebenar pekerja tersebut diberhentikan adalah berpunca daripada pekerja maka rekod pekerja yang diberhentikan adalah bersih).

Tamat perkhidmatan seperti dalam klausa di atas boleh berlaku sama ada dengan pengetahuan pekerja (bermaksud dengan notis sebulan) atau tanpa pengetahuan pekerja atau ketika pekerja masih bekerja atau pekerja cuti dalam perkhidmatan.

Jika pekerja masih bekerja, cukup sahaja dibayar sebulan gaji contohnya Disember 2015, maka keesokan harinya pada 1 Januari 2016 (hari bekerja bagi Negeri Kedah jika tarikh 1 Januari tidak jatuh pada hari Jumaat atau hari Sabtu) pekerja masih hadir ke pejabat untuk bekerja, bermula pukul 8 pagi, pekerja terbabit boleh menerima tarikh berhenti bekerja (tamat perkhidmatan) daripada majikan tanpa sebarang sebab.

Apabila tarikh berhenti kerja sudah dikeluarkan oleh majikan dan disampaikan kepada pekerja yang hadir ke pejabat untuk bekerja secara rutin bermula pukul 8 pagi, maka pekerja terbabit boleh pulang dan tinggal diam rumah.

Bermula tarikh berhenti kerja, perkerja tersebut masih tertakluk kepada Warta Kerajaan Persekutuan bagi Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Perlantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012 dalam Bahagian II Perlantikan di mana pekerja tersebut:
Seseorang yang telah ditamat perkhidmatan dari perkhidmatan awam atau dibuang kerja tidak boleh dilantik semula ke dalam perkhidmatan awam kecuali dengan kebenaran khas suruhanjaya.
Oleh itu, perkerja yang masih hidup dalam tempoh baki hayatnya bermula dari tarikh tamat perkhidmatan tidak boleh dilantik semula ke dalam perkhidmatan awam. Walau bagaimanapun, kebenaran khas suruhanjaya diperlukan bagi sesetengah kes bergantung kepada sebab seseorang pekerja diberhentikan, begitu juga terdapat sesetengah kes pekerja yang ditamatkan perkhidmatan dibenarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam tanpa kebenaran khas suruhanjaya untuk dilantik semula memegang jawatan dalam perkhidmatan awam bergantung kepada sebab seseorang pekerja diberhentikan.

Aku fikir dan rasa lucu dengan syarat-syarat perlantikan dan tamat perkhidmatan yang dikeluarkan oleh sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam tersebut di mana pegawai terbabit tertakluk kepada Warta Kerajaan Persekutuan bagi Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Perlantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012 kerana pada fikiran aku, pekerja terbabit boleh jatuh kepada perbuatan dianiya oleh majikan "secara sah menurut cara yang dibenarkan" oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia. 

Jumaat, 18 Mac 2016

Alone





























حسبي ربّي، جللا الله
ﻣﺎ 
في قالبي، غائرولله
نور محمد، صلی اللہ
هَقُّلْ، لاإله إلا الله

Jumaat, 11 Disember 2015

Hari Ini 29 Safar 1437H

Aku kongsi puisi di bawah ini sempena hari ini adalah hari lahir aku yang ke-41 dalam kalendar hijrah. Puisi di bawah aku tulis ketika aku berusia 18 tahun sempena hari lahir aku yang ke-18 dalam kalendar masihi. Beberapa bulan lepas, aku terjumpa puisi ini di dalam kotak yang menyimpan barang-barang lama milik aku.


TAJUK: 18

I
Tanggal 18 Ramadhan 1414H
genap 18 piama anakanda
meniti jurang-jurang kehidupan
bersama suka duka yang penuh
berhikmah.

      Jutaan kasih
      kepada ayah dan bonda
      atas kelahiran anakanda
      di alam fana ini.

Tak terbalas oleh anakanda
setiap bibit kasih
dan taburan budi
yang tersemai di batas-batas hari.

    Hanya sekalung doa
    daripada anakanda:
    "Bismillahirrahmannirrahim
         Ya Allah,
          Kasihanilah ayah dan bondaku
          sebagaimana mereka mengasihaniku 
          dari tapak kaki sebesar dua jaris hingga
          kudewasa.
                                                          Amin"
                  ***********

II
Namun,
terlalu banyak peritiwa
menumpang-himpit
di hari bahagia.

    Hampir nanar aku
    kuharap panas sampai ke petang
    rupanya hujan di tengah hari
    Kufikir kurenung
    adakah ia satu bala atau rahmat
    buat jiwaku?

Tetapi,
aku tidak mengharap
sebuah rentetan sejarah
berakar umbi
dari bala atau rahmat
yang sukar kutafsir.

     Namun,
     butir-butir kenangan
     bermain di ruang mataku
     tak mungkin dapat kugulung
     seperti secebis kertas,
     tapi, lan kulontar ia
     jauh di sudut hati.


ATI
6 ATAS I
SMKS.

Khamis, 30 April 2015

Orang Malaya Di Sabah #3

Ya Seam@Seam (Mohd Hashim Ujang) adalah individu yang meninggalkan banyak komen tidak puas hati terhadap Kerajaan Persekutuan dalam entri Orang Malaya di Sabah #1

























Aku tidak sangka entri Orang Malaya Di Sabah #1 yang ditulis dan diterbitkan pada 9 November 2011 mendapat page view yang paling tinggi dalam blog ini sehingga dipos dalam forum dan facebook. Entri itu ditulis bukan bertujuan mempertikai peraturan imigresen di Sabah tetapi untuk menjelaskan kedudukan anak-anak orang Malaya yang lahir di Sabah. 

Aku sendiri tidak menyimpan harapan walau sebesar zarah pun agar diterima sebagai orang Sabah dari aspek perundangan. Seandainya suatu hari nanti anak-anak orang Malaya yang lahir di Sabah diperakui sebagai orang Sabah dari aspek perundangan, aku tidak berkehendak untuk menurut sebarang prosedur perundangan agar aku menjadi orang Sabah. 
Aku lebih suka menjadi anak orang Malaya yang lahir di Sabah. Aku lebih suka menjadi orang berketurunan Melayu dari Malaya.
Setelah tamat pengajian Masters di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pada tahun 2002, aku bekerja di sebuah cawangan badan berkanun di Wilayah Persekutuan Labuan. Induk badan berkanun itu berada di Kota Kinabalu, Sabah. Urusan berkaitan slip gaji aku diurusakan oleh induk badan berkanun tersebut. Walaupun aku sudah mempunyai nombor kad pengenalan baru (xxxxxx-12-xxxx) tetapi memandangkan aku adalah anak orang Malaya yang lahir di Sabah maka urusan gaji aku menggunakan nombor kad pengenalan lama Negeri-Negeri Tanah Melayu (A31xxxxx). Tujuannya agar badan berkanun tersebut dapat membezakan bahawa aku ini anak orang Malaya yang lahir di Sabah setaraf dengan anak orang Malaya yang lahir di Malaya.

Sepanjang 20 tahun aku tinggal di Sabah, bapa aku telah berurusan dengan Jabatan Imigresen Negeri Sabah maka kedua ibu bapa aku dan aku telah mendapat permit masuk tinggal tetap di Sabah pada tahun 1979. Situasinya sama seperti warganegara asing yang mendapat taraf penduduk tetap di Malaysia dengan menggunakan kad pengenalan berwarna merah. Bezanya kedua-dua ibu bapa aku dan aku tidak menggunakan sebarang kad pengenalan khas. Kedua-dua ibu bapa aku dan aku diberikan sepucuk surat yang menyatakan Jabatan Imigresen Negeri Sabah meluluskan pemberian permit masuk tinggal tetap di Sabah. Tujuan bapa aku mendapatkan permit masuk tinggal tetap di Sabah adalah untuk memudahkan kami agar tidak perlu lagi setiap tahun memperbaharui permit masuk tinggal di Sabah dari Jabatan Imigresen Negeri Sabah. Sehingga hari ini aku masih menyimpan surat itu seperti yang tertera dalam gambar di bawah. 

Surat ini adalah surat lama pada tahun 1979 yang ditaip menggunakan mesin taip. Maklumat yang dihitamkan dalam surat ini melibatkan data peribadi, nombor rujukan surat dan cawangan pejabat imigresen yang terlibat.

Selain itu, kedua-dua ibu bapa aku mesti hadir membawa passport Malaysia masing-masing di Jabatan Imigresen Negeri Sabah untuk catitan khas bahawa kedua ibu bapa aku dan aku telah mendapat permit masuk tinggal tetap di Sabah. Ketika itu, aku masih kanak-kanak maka aku tidak mempunyai passport Malaysia, rekod diri aku dimasukkan dalam passport ibu aku pada bahagian maklumat anak-anak. Selama 20 tahun aku tinggal di Sabah, urusan pengeluaran passport Malaysia bagi orang Malaya mesti dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen di Semenanjung Malaysia. 

Aku tidak boleh melupakan pengalaman aku ketika hendak memperolehi passport Malaysia agar aku boleh keluar seorang diri dari negeri Sabah ke Semenanjung Malaysia untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana Muda (degree) di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Pegawai imigresen negeri Sabah (aku pasti pegawai itu adalah orang Sabah) memaklumkan kepada bapa aku berkenaan prosedur mengeluarkan passport Malaysia untuk aku:
Jika dia mahu buat passport antarabangsa, kami kena hantar ke sana (Semenanjung Malaysia). Apa yang diambil kira di sini ialah asal-usul keturunan. Kami tidak bertanggungjawab kalau passport dia belum siap sedangkan dia mahu jalan sudah. Kami hanya boleh keluarkan Dokumen Perjalan Terhad saja.
Sekarang sudah berbeza, urusan pengeluaran passport Malaysia bagi orang Malaya sudah boleh dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Negeri Sabah. Walaupun kedua-dua ibu bapa aku dan aku mempunyai permit masuk tinggal tetap di Sabah, tetapi kami kembali menetap ke Malaya di mana tempat kami berasal.
Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Walaupun negeri orang berhujankan emas tetapi lebih baiklah di negeri sendiri yang berhujankan batu.
P/S: Jika anda hendak meninggalkan komen berkenaan entri ini, sila pastikan anda tidak melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan Akta Hasutan 1948. 


Selasa, 5 Ogos 2014

Doa, Pesanan dan Nasihat Yang Bermakna

Dalam hidup ini, bukan sahaja aku malah sesiapa sahaja pernah bertemu dengan orang lain yang bukan terdiri daripada ahli keluarga memberi pesanan dan kata-kata nasihat atau menitipkan doa tanpa diminta. Ada kata-kata nasihat berupa pesanan dan doa yang menyentuh hati aku sehingga aku masih mengingatinya sehingga hari ini. Di antara pesanan, kata-kata nasihat dan doa kepada aku:
  1. Ketika aku bersekolah darjah empat, Ustaz Yusuf dalam kelas mata pelajaran agama Islam memberikan pesanan kepada semua pelajar di dalam kelas iaitu, "Apabila kita mendengar orang menyebut nama Nabi Muhammad, kita kena sebut Sallallahu 'Alaihi Wasallam ." Bagi orang lain pesanan ini mungkin hanya biasa-biasa sahaja, tetapi bagi aku yang bersekolah dalam darjah empat pada ketika itu, pesanan ini amat bermakna bagiku. Sehingga kini, aku masih mengamalkan pesanan Ustaz Yusuf itu.
  2. Pada peringkat akhir pengajian Masters, pensyarah yang menyelia projek (tesis) Masters aku memberikan kata-kata nasihat, "Jaga solat lima waktu dan rajin-rajin buat qiamulail." Sungguh bermakna nasihat itu.
  3. Ketika aku masih berada dalam pengajian PhD di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),  selepas menunaikan solat sunat hari raya aidiladha di Masjid Universiti, UKM, aku masuk ke dalam bilik persalinan wanita  untuk menyalin telekung dan memakai tudung. Tiba-tiba masuk seorang wanita yang tidak aku kenali ke dalam bilik persalinan wanita yang aku fikir dia lebih tua daripada aku. Wanita itu bertanya kepada aku, "Buat PhD ke?" Aku menjawab, "Ya". Sebelum wanita itu keluar dari bilik persalinan, dia berpesan kepada aku, "Banyak-banyaklah berdoa, hari ini hari raya." Aku rasa amat terharu seolah-olah dia tahu aku ada masalah dalam pengajian PhD aku.
  4. Semasa aku melakukan kerja lapangan PhD di Kelantan, di antara responden yang aku temubual ialah Menteri Besar Kelantan,Tuan Guru Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Sebelum temubual bermula, Tuan Guru sempat berbasa-basi dengan aku sambil bertanya, " Mari Kelantan dok dengan siapa?" Aku menjawab, "Sorang ja". Tuan Guru yang tahu aku belum berkahwin sempat mendoakan, "Saya doakan awak bertemu jodoh." Aku juga mendapat doa ini daripada seorang abang pemandu teksi di Kelantan. Abang pemandu teksi itu memandu teksinya membawa aku dari hotel tempat aku menginap ke tempat aku menemui responden untuk tujuan memperolehi data sumber primer melalui temubual. Aku hanya mendengar doa itu tanpa sebarang reaksi. Walau apapun, terima kasih Tuan Guru Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz dan abang pemandu teksi di Kelantan. 
  5. Aku mempunyai seorang sahabat yang baik bernama Normah. Suatu hari dia memberi nasihat kepada aku berkenan menqada puasa Ramadhan, "Awak kena banyak-banyak sabar dalam hal ni". Nasihat ini menjadi penguat semangat kepada aku. Dia memberikan nasihat yang sememangnya aku perlukan walaupun aku tidak pasti apakah kata-kata pesanan atau nasihat yang aku perlukan pada ketika itu. Terima kasih kerana menjadi sahabat saya. Terima kasih kerana menasihati saya.
P/S: Terima kasih kepada semua pihak yang pernah memberikan pesanan, kata-kata nasihat dan menitipkan doa buat diri saya. 

Jumaat, 13 Jun 2014

Luahan Hati Yang Paling Dalam

Entri kali ini adalah "luahan hati yang paling dalam" mengenai kawan-kawan sejantina yang dikenali sejak sekian lama. Aku jarang membuat entri dalam blog ini berkaitan "luahan hati yang paling dalam" melainkan entri-entri tertentu yang dikategorikan sebagai lebel PhD.

Pertemuan kembali dengan kawan-kawan aku pada 7hb Jun 2014 yang dikenali sejak sekian lama sejak zaman ijazah sarjana muda di UKM sesi 1996/1997 adalah berikutan berita kematian salah seorang kawan kami yang telah meninggal dunia hampir dua bulan yang lalu. Berkenaan arwah, aku tidak mahu bercerita mengenai dirinya. Aku hanya menitipkan doa yang baik-baik untuk arwah, jika ada kebaikan daripadaku untuknya maka biarlah ia tersimpan dalam hatiku yang paling dalam.

Pertemuan aku dengan mereka, pemerhatian aku mengenai mereka, mengingatkan aku mengenai peribahasa Melayu, "Anak sungai lagi berubah, inikan pula hati orang". Semasa belajar dahulu situasinya tidaklah berduit sangat, hanya mengharapkan wang pinjaman daripada Jabatan Perkhidmatan Awam dan MARA; kadang kala aku belanja mereka makan. Pertemuan kali ini selepas enam tahun tidak bersua, pasti kini berbeza jika dibandingkan dengan zaman selepas pengajian di universiti. Kini, mereka sudah berjawatan tetap dan memiliki harta (kereta dan rumah masih berstatus sewa-beli) serta masih sedang berusaha untuk memiliki harta-harta yang lain (lot kedai dan rumah-rumah yang lain untuk disewakan kepada orang lain) sebagai aset. 

Dari sudut psikologi, aku melihat mereka yang dikategorikan sebagai "budak-budak kampung"  kini self-esteem mereka meningkat kerana mereka sudah berjawatan tetap dan memiliki harta. Self-esteem yang rendah jelas ada dalam jiwa mereka dalam hal ketiadaan pasangan hidup kerana mereka belum berkahwin. Saya juga belum berkahwin tetapi tidaklah mengalami self-esteem yang rendah dalam hal ini.

Self-esteem yang tinggi dalam diri mereka (dari sudut harta) menyebabkan apabila mereka berbual dengan aku situasinya tidak ubah seperti kata peribahasa Melayu "berkelahi di ekor alahan" maksudnya berbantah-bantah dalam hal yang tidak penting merasakan pandangan diri mereka sentiasa betul termasuklah dalam hal memandu kereta; Pada pandangan mata mereka, akulah yang tidak pandai memakir kereta walhal jika aku tidak parkir masuk jauh ke dalam maka pintu kereta aku sebagi pamandu dan pintu kereta penumpang di belakang aku (pemandu) tidak boleh dibuka kerana dihalang oleh tiang yang menyokong bumbung parkir kereta. Kami semua keluar pergi ke pasar malam di Kepala Batas menggunakan kereta aku maka akulah supir mereka. Pada diri mereka, hujah dan pendapat mereka tidak boleh diatasi oleh sikap, hujah dan pendapat yang lebih baik dan benar. 

Aku tidak tenang dengan pandangan mata (al-ain) salah seorang daripada mereka. Al-Ain ialah pandangan mata terhadap sesuatu yang diikuti oleh perasaan kagum tanpa beserta iri hati atau beserta iri hati yang tidak diucapkan kalimah "masya-Allah" boleh menyebabkan terjadi kemuradatan terhadap orang yang dilihat. Rasulullah s.a.w. bersabda, "Penyakit al-ain memang ada. Seandainya ada yang dapat mendahului takdir, tentulah ia didahului oleh penyakit al-ain. Dan apabila engkau diminta mandi, hendaklah kalian mandi (Sahih Muslim nombor 2188).

Pertemuan dengan mereka setelah sekian lama tidak bertemu menuntut agar aku bersabar diam tidak berbalah dengan mereka dalam perkara yang remeh-temeh walaupun ada dua situasi daripada banyak situasi cakap-cakap mulut yang memecahkan kesabaran aku sehingga aku terpaksa menjawab kata-kata yang diucapkan oleh salah seorang daripada mereka. Akhirnya pada hari pertemuan itu, aku mengambil keputusan untuk tidak tinggal lama dengan mereka.

P/S: Self-esteem penting dalam setiap diri individu tetapi berhati-hati jangan terjebak dalam sikap ego. Berhati-hati dengan pandangan mata (al-ain).  Hasbunallahu wa ni'mal wakil (cukuplah Allah bagiku).

Ahad, 9 Mac 2014

I Love MAS: Pray For MH370

Sejak usia aku belum mencecah dua tahun, aku mula menaiki pesawat Malaysia Airline System Berhad (MAS). Aku mula menaiki pesawat Air Asia pada tahun 2005 yang menawarkan penerbangan tambang murah pertama di Malaysia. Bermula 2007, MAS juga turut menawarkan penerbangan tambang murah tanpa perlu menurunkan status MAS yang telah memenangi Best Airline to Asia bagi kategori Travel Weekly Globe Awards 2006.

Banyak perbezaan jika dibandingkan di antara Air Asia dengan MAS. Air Asia dan MAS menawarkan penerbangan tambang murah berteraskan penawaran-permintaan seat dan jarak penerbangan. Ketika pertama kali aku menaiki pesawat Air Asia, tambang murah Air Asia turut melibatkan pengecualian sesetengah perkhidmatan seperti penetapan seat kepada penumpang, penyediaan makanan (sebaliknya Air Asia menjual makanan di dalam pesawat), Air Asia tidak menyewa aerobridge [kecuali di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) semua penerbangan domestik dan antarabangsa mesti menyewa aerobridge] serta kapten, pramugari, pramugara Air Asia yang kurang berbudi bahasa. Mungkin harga tiket kapal terbang yang mahal termasuk bayaran budi bahasa kapten dan anak kapal.

Pada tahun 2006, aku mengalami pengalaman ngeri menaiki pesawat Air Asia dari Wilayah Persekutuan Labuan ke KLIA [sebelum Low Cost Carrier Terminal (LCCT), KLIA dibuka]. Setelah selamat mendarat, di depan pintu pesawat hadapan, ketika aku sedang berada dalam perut pesawat, aku terdengar seorang penumpang lelaki bercakap dengan suara yang amat perlahan (tanpa aku ketahui buah butir percakapannya) di luar pintu pesawat hadapan. Seorang pramugari dengan suara yang lantang berkata, "Ooo, nak komplenlah ni." Dalam penerbangan Air Asia yang lain dari KLIA ke Alor Setar, sebelum berlepas aku telah meminta pertolongan seorang pramugara untuk meletakkan beg berisi laptop dalam ruang penyimpanan barang di atas memandangkan aku bersaiz kecil molek ketinggian 157cm. Setelah tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Alor Setar pramugara yang telah menolong aku turun dari pesawat setelah melihat aku tercari-cari anak kapal yang dapat membantu aku mengambil beg berisi laptop yang telah diletakkan dalam ruang penyimpanan di atas. Setelah aku melihat tiada seorang pun anak kapal di dalam pesawat, maka aku terpaksa berdiri di atas kerusi penumpang untuk mengambil beg berisi laptop tersebut.

Sehingga kini, aku tidak mengalami pengalaman ngeri sepanjang aku menaiki pesawat MAS berbanding ketika aku menaiki pesawat Air Asia walaupun terdapat rungutan penumpang berkenaan makanan yang disediakan untuk para penumpang seperti "nasi lemak telanjang" dan "asam pedas tidak ada ikan". Aku generasi yang lahir dan membesar dengan menaiki pesawat  MAS, pesawat Air Asia wujud ketika aku telah dewasa. Aku lebih suka menaiki pesawat MAS berbanding Air Asia. Aku bangga melihat MAS menggunakan logo wau bulan (sesetengah pihak mengatakan wau kucing) itu terbang ke serata dunia. Wau adalah lambang jati diri kehebatan bangsa Melayu. Apabila MAS berjaya mendarat di sesebuah negara, maka secara tersiratnya negara tersebut telah berjaya "ditawan" oleh Malaysia.  
... tujuan wau bulan itu sendiri yang dicipta dan dijadikan sebagai lambang penaklukan oleh seorang anak Raja Melayu bernama Sanjaya yang terkenal sebagai pakar pelayaran, pakar perang di lautan dan di daratan, seorang yang berani dan merupakan penakluk yang nekad serta menyimpan impian untuk menakluki dunia. ... Sanjaya akan menaikkan wau bulan pada setiap negeri atau kawasan yang berjaya ditawannya, ... . Sumber: sila klik di sini [...].
Pada 8hb Mac 2014 pukul 2.40 pagi waktu tempatan, Malaysia dan seluruh dunia dikejutkan oleh berita kehilangan perhubungan dengan MH370 pesawat Boeing 777-200 dalam penerbangan dari KLIA ke Beijing yang membawa 227 orang penumpang (dari 14 buah negara) dan 12 orang anak kapal. Pesawat tersebut dipandu oleh Kapten Zaharie Ahmad Shah dan dibantu oleh pembantu juruterbang Fariq Ab. Hamid. Kedudukan terakhir MH370 sebelum pesawat itu hilang dari radar adalah 065.515 Utara (longitud) dan 1033443 Timur (latitud). Aku sangat terkejut dan rasa sungguh sedihSad Smileywalaupun tidak ada seorang pun yang berada di dalam pesawat MH370 aku kenali. Sehingga entri ini ditulis, MH370 belum lagi ditemui. I am humbly asks all people around the world to pray for Malaysia flight MH370 will find 

Ahad, 2 Mac 2014

My Special Birthday Wish

Setiap tahun MPH Bookstores Sdn. Bhd. memberi diskaun 15% pembelian buku-buku kepada ahli MPH Reader's Circle sempena tarikh hari lahir (birthday). Pemberian diskaun tersebut (hanya sekali) bermula seminggu sebelum tarikh hari lahir sehingga seminggu selepas tarikh hari lahir. Bermula 22hb Februari, aku layak menikmati diskaun 15% tersebut bagi tahun 2014. Pada mulanya, aku tidak tahu bahawa pemberian diskaun tersebut hanya sekali dalam tempoh 15 hari. 

Aku rasa rugi kerana menggunakan pemberian 15% diskaun semasa membeli buku-buku di MPH Bookstores di Tesco Sungai Petani. Saiz MPH Bookstores di Tesco Sungai Petani kecil dan buku-buku yang dijual juga sedikit jika dibandingkan dengan MPH Bookstores di Amanjaya Mall, Sungai Petani. Nasihat aku kepada semua ahli MPH Reader's Circle, sebelum menggunakan pemberian 15% diskaun, terlebih dahulu survey MPH Bookstores dan buku-buku yang dijual. MPH Bookstores yang besar menawarkan buku-buku yang lebih banyak, pasti memberikan pelbagai pilihan jika hendak membeli kuantiti buku yang banyak. 

My birthday special wish agar pihak MPH Bookstores Sdn. Bhd. boleh mempertimbangkan cadangan untuk meningkatkan pemberian diskaun 15% sebanyak dua kali (seminggu sebelum tarikh hari lahir dan seminggu selepas tarikh lahir) kepada ahli-ahli MPH Reader's Circle. Hal ini untuk memberi peluang kepada ahli-ahli MPH Reader's Circle meningkatkan pembelian buku-buku sebagai hadiah lahir buat diri mereka sendiri di samping menambah koleksi buku-buku peribadi milik mereka.   

Rabu, 9 November 2011

Orang Malaya di Sabah #1

Aku dilahirkan dan dibesarkan di Sabah kerana mak dan abah aku bekerja di sana. Sebelum 1980-an, orang Semenanjung lebih dikenali sebagai orang Malaya. Semasa aku berumur tiga tahun, aku biasa dengar kawan-kawan abah aku yang terdiri daripada orang Sabah menjerit (sambil bergurau) kepada abah aku, "Hoi, orang Malaya". Apabila aku demam dan batuk, aku takut berjumpa dengan doktor yang berasal dari Australia maka aku yang duduk di atas pangkuan abah berkata, "Abah, batuk dah tak ade, batuk dah balik Maya". Perkataan Maya merujuk kepada Malaya. Semasa usia aku tiga tahun, ada sesetengah perkataan aku tidak dapat menyebut dengan betul. Harapanku di dalam hati agar abah percaya dan terus berkata, "O ye ke, kalau macam tu kita balik jelah". Ternyata abah cuma mendengar dan berkata, "Ya" tanpa berganjak dari klinik itu. 

Semasa aku meniti zaman kanak-kanak, dalam proses aku belajar bercakap, aku diajar oleh mak abahku bercakap dalam bahasa orang Malaya. Aku hanya boleh bertutur perkataan "bah" dihujung sesuatu ayat ketika aku berusia empat tahun hasil aku mendengar perbualan mak dan abah aku ketika berbual dengan kawan-kawan mereka berdua. Contohnya, " makan sudah bah". Hal ini tidak hanya berkisar pada percakapan harian tetapi juga melibatkan makanan. Mak abah aku mengajar aku dan adik beradik makan makanan orang Malaya khususnya makanan dari negeri Kedah dan Perak. Walaupun selama 20 tahun aku tinggal di Sabah, aku tidak biasa makan makanan orang Sabah. Ketika sambutan hari raya Aidilfitri, mak dan abah aku menghidangkan ketupat palas dan rendang. Ini adalah di antara cara mak dan abah aku mengukuhkan identiti aku adik beradik bahawa 'kita Orang Malaya'. 

Pengukuhan identiti ini ditambah lagi dengan diskriminasi yang wujud dalam undang-undang dan perbezaan hak di antara orang Malaya dan orang Sabah. Aku tidak layak memohon biasiswa atau pinjaman dari Yayasan Negeri Sabah walapun aku dilahirkan di Sabah. Justeru, aku hanya layak memohon biasiswa yang ditawarkan di negeri kelahiran mak dan abah aku sahaja.  Aku diwajibkan memiliki pasport untuk keluar dan masuk dari Sabah ke Semenanjung Malaysia. Semasa berurusan di pejabat imigresen Negeri Sabah, pegawai di situ pernah menyatakan kepada abah aku berkenaan status diri aku, "Dia mesti ada pasport sebab yang diambil kira di sini adalah asal usul keturunan". Di dalam kad pengenalan aku juga tidak ada huruf 'H' yang menunjukkan aku ini rakyat Sabah. Sila lihat perbezaan di antara kedua-dua mykad di bawah. Mykad yang bernama Rowan Sebastian Atkinson (ini saja yang aku dapat dari Google) mengandungi huruf 'H' di penjuru bawah sebelah kanan menunjukkan Rowan adalah rakyat Sabah berbeza dengan mykad yang dimiliki oleh Norsuhaila Binti Mahdi yang berasal dari Selangor tidak memiliki huruf 'H'.

Sumber: Google

Sumber: http://sumijelly.com/2011/07/01/selangor-ke-kuala-lumpur/

Isu kedudukan orang Malaya di Sabah ini berlarutan sehingga kini. Adik aku yang bekerja di Sabah pernah melalui pengalaman dihamun oleh pegawai imigresen di airport Kota Kinabalu. Adikku juga sama seperti aku yang turut dilahirkan di Sabah. Dalam mykad kami tertera nombor '12' yang menunjukkan kami dilahirkan di Sabah namun tanpa huruf 'H' pada mykad, kami tetap tidak diiktiraf sebagai orang (rakyat) Sabah. Ketika itu, adik aku hendak naik kapal terbang ke KLIA dan seterusnya ke Alor Setar. Pada ketika ini, mak dan abah aku telah berpindah balik ke Malaya. Apabila pegawai imigresen memeriksa mykad adik aku, ternyata alamat yang tertera dalam mykad ialah alamat tetap di Sungai Petani dan tidak memiliki huruf 'H'. Lantas pegawai imigresen menyoal adik aku berkenaan 'pas kerja' di Sabah. Sepanjang adik aku bekerja di Sabah (di sebuah badan berkanun), dia tidak pernah membuat pas kerja kerana pegawai sumber manusia di tempat dia bekerja tidak arif berkenaan undang-undang kerakyatan dan imigresen di negeri Sabah.  Pegawai imigresen itu menghamun adikku di depan orang ramai,
Walaupun kamu lahir di negeri Sabah, kamu tetap bukan orang Sabah. 
Aku dan semua anak-anak Orang Malaya yang dilahirkan di Sabah, pada haikikatnya kedudukan kami di Sabah ialah 'kami tetap dilayan seperti ibu bapa kami dilayan' kecuali mereka yang mempunyai salah seorang daripada ibu bapa adalah orang Sabah. Ini adalah cara agar orang Malaya tidak merampas hak orang Sabah dan hak orang Sabah terus terpelihara untuk orang Sabah sahaja ketika Sabah dan Sarawak bersetuju bergabung dengan Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura untuk membentuk Malaysia. Oleh itu, bagiku, aku berasal dari Sungai Petani, Kedah dan negeri Sabah itu tidak lebih sekadar tempat lahirku sahaja.

P/S: Adakah Datuk Seri Najib Tun Razak bermimpi di siang hari ketika beliau mencanangkan 1Malaysia?

Bersambung... sila klik: 

Ahad, 13 Februari 2011

Diriku

Pada suatu petang di rumahku di Labuan sekitar tahun 2004, ketika menonton TV bersama housemateku (seorang pensyarah yang aku namakan sebagai Miss X) memberi aku tiga soalan untuk mengenali personaliti seseorang.

Miss X memberi aku soalan yang pertama: ketika kamu berjalan di dalam sebuah hutan, binatang apakah yang kamu hendak temui? JAWAPAN aku: Kancil. Miss X bertanyaku: Kenapa? JAWAPAN aku: Sebab kancil binatang yang cerdik.

Miss X memberi aku soalan yang kedua: kamu terus berjalan di dalam hutan, tiba-tiba kamu menemui sebatang pokok yang dipenuhi dengan emas permata. Miss X bertanya aku: Berapa banyakkah emas permata yang aku akan ambil? Miss X memberi aku pelbagai contoh jawapan seperti mencabut pokok tersebut dan membawa pulang ke rumah atau mengisi emas permata di dalam beberapa karung guni atau mengambilnya sedikit sahaja. JAWAPAN aku: Aku mengambilnya sedikit sahaja.

Miss X memberi aku soalan yang ketiga: kamu terus berjalan di dalam hutan, kamu menemui sebuah rumah kosong dan kamu terpaksa bermalam di rumah tersebut. Adakah kamu akan membina pagar di sekeliling rumah tersebut atau rumah tersebut kamu biarkan tanpa pagar atau jika kamu membina pagar beberapakah ketinggian pagar tersebut? JAWAPAN aku: Aku akan membina pagar yang tinggiiiiiiiiiiii, tinggiiiiiiiiiiiiii, tinggiiiiiiiiiiiiiii sangat.

Miss X mengangguk-ngangguk setelah mendengar ketiga-tiga jawapanku. Dia memberi tafsiran di sebalik setiap soalan yang diberikan dan aku mengangguk-ngangguk tanda bersetuju. YA, ITULAH DIRIKU.

Tafsirannya:
Soalan yang pertama, aku suka kancil dan saya mahu menjadi seperti kancil yang cerdik. Soalan yang kedua merujuk bagaimana aku melihat harta dunia ini. Soalan ketiga, rumah itu ibarat diriku dan pagar itu ibarat jarak yang aku bina dengan orang di sekelilingku. Orang yang rapat dan kenal  aku mungkin tak terasa 'ketinggian pagarku'  itu tetapi kepada orang yang kenal aku tapi tak mesra akan terasa "aku tahu  Cik Misstree tapi aku tak 'kenal' Cik Misstree". Misteri sungguh...

Rabu, 2 Februari 2011

Hari ini 29 Safar 1432H

Di dalam kalender Hijrah, aku dilahirkan pada 29 Safar 1396H. Hari ni birthday aku tapi aku tidak buat sebarang sambutan. Aku cuma perasan hari ini 29 Safar selepas aku buka blog ini. Aku sudah berusia 36 tahun dan semakin tua. Aku perasan juga kesihatan diriku tidak seperti dahulu. Jika sakit lambat untuk sembuh walaupun sekarang aku semakin sihat berbanding dulu. Al-hamdulillah. 

Semoga Allah memanjangkan usiaku di dalam peningkatan imanku dan ketaatanku kepada-Nya.
Amin Rabbul 'Alamin

Khamis, 20 Januari 2011

Muqaddimah: Blog Saya, Ladang Pahala Saya

Ini pertama kali aku buat blog. Blog Saya, Ladang Pahala Saya. Saya menulis blog ini kerana Allah s.w.t. Harapan saya agar blog ini memberikan manfaat kepada sesiapa yang berkunjung di sini.  Moga Allah s.w.t. mengambil kira apa yang saya tulis di blog ini sebagai pahala (saham akhirat) yang tidak putus buat diri saya.

Aku rasa bosan dan tidak bebas hendak menulis di dalam facebook aku. Di sini aku rasa bebas sebab pengenalan diri aku ialah Cik Misstree. Misstree? Sebutan macam misteri. Memang misteri. Aku tidak suka menonjolkan diri. Oleh itu, blog  ini aku jadikan sebagai medan tempat aku  hendak tulis macam-macam perkara. Maka, aku namakan sebagai Macam-Macam-Ada. Suka hati aku hendak tulis apa. Fasal pandangan aku mengenai sesuatu perkara atau tentang kehidupan aku. Barulah lega sikit perasaan aku ini. Aku rasa tidak puas hati, tulis saja dalam blog. Aku seperti 'Aiman yang tak kisah'; aku tidak kisah kalau rakyat satu Malaysia hatta satu dunia ini baca blog aku, bukan anda semua kenal aku. (big grin)

Walau bagaimanapun, Polis Diraja Malaysia khususnya bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ... boleh mengesan siapa pemilik sesuatu blog. Politkus Malaysia sekarang takut kepada blogger. Dulu politikus pada zaman Persekutuan Negeri-Negeri Tanah Melayu takut kepada komunis, sekarang politikus Malaysia takut kepada kartunis. Aku pasti politikus takut kepada sesiapa yang boleh menggugat kedudukan (kuasa) mereka. Aku tidak kisah. Aku adalah warganegara Malaysia yang bertanggungjawab. Aku tidak akan langgar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan Akta Hasutan 1948 malah aku tidak kisah andai kata Menteri Perdana-Menteri Perdana hendak tukar gagasan pembangunan berteraskan Islam di Malaysia ini. Mula-mula, Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam, selepas itu tukar pula kepada Islam Hadhari dan kemudian tukar pula kepada Wasathiyyah.

Biarlah Si Luncai terjun bersama labu-labunya...