Khamis, 28 Ogos 2014

Impian Imigran dan Cerita-cerita Lain


Buku ini adalah kumpulan cerpen Feast of the Dead telah diterjemahkan oleh Nazel Hashim Mohamad ke dalam bahasa Melayu yang diberi judul Impian Imigran dan Cerita-cerita Lain; diterbitkan oleh Pekan Ilmu Publications Sdn. Bhd. Ampang, Selangor, Malaysia pada tahun 2012. 

Anthony Fragola adalah Profesor Pengajian Media di Universiti North Carolina di Greensboro. Beliau berbangsa Italiano-Americano dihubungkan dengan leluhur keturunan beliau berasal dari Italy dan berhijrah ke Amerika. Oleh itu, buku ini bertemakan Amerika-Italy yang meneroka pemencilan generasi pertama Itali yang berhijrah ke Amerika daripada masyarakat Amerika dan budaya Italy. 

Cerpen-cerpen dalam buku ini saling berkait di antara satu sama lain merupakan kisah benar penulis dari zaman kanak-kanak sehingga dewasa. Buku ini dimulakan dengan cerpen-cerpen mengenai seorang budak lelaki dan peranan neneknya yang berusaha menanamkan ke dalam dirinya mengenai budaya dan kehidupan masyarakat Sicily, Italy yang meliputi elemen bahasa Italy dalam dialek Sicily, agama Kristian dan kepercayaan mistik, supra natural serta unsur dongeng. 

Beliau berusaha menjejaki pertalian masa lampau namun generasi ibu bapanya sendiri telah terputus hubungan dengan warisan tanah di negara tua (Italy) demi mengejar impian Amerika untuk mengumpul harta kekayaan. Hal ini menyebabkan usaha pencarian hubungan warisan di Italy dibalas dengan penerimaan dingin sanak saudara yang masih mendiami kampung halaman di Syracuse, Italy ekoran terputusnya hubungan dengan generasi pertama Italy yang telah berhijrah dan meninggal dunia di Amerika Syarikat.

Sabtu, 16 Ogos 2014

Qada' dan Qadar

Dalam al-Quran terkandung doa-doa yang wajar diucapkan oleh seorang anak khusus untuk ibu bapanya.

  1. Doa Nabi Nuh a.s. yang terkandung dalam surah Nuh ayat 28 yang bermaksud "Ya Tuhanku, ampunilah aku, ibu bapaku, dan siapa pun yang memasuki rumahku dengan beriman dan semua orang yang beriman lelaki dan perempuan. Dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang yang zalim itu selain kehancuran."
  2. Doa Nabi Sulaiman a.s. yang dinyatakan oleh Allah s.w.t. dalam surah An-Naml ayat 19 yang bermaksud "Maka dia (Sulaiman a.s.) tersenyum lalu tertawa kerana (mendengar) perkataan semut itu. Dan dia berdoa, Ya Tuhanku, anugerahkanlah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kedua orang tuaku dan agar aku mengerjakan kebajikan yang Engkau redhai, dan masuklah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh."
  3. Doa khsus untuk ibu bapa yang terkandung dalam surah Al-Isra' ayat 24 yang bermaksud "Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, Wahai Tuhanku, kasihanilah kedua-duanya sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku ketika kecil."
  4. Doa kebaikan dan kesejahteraan yang tertera dalam surah Al-Ahqaf ayat 15 yang bermaksud "Dan Kami perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua-dua orang tuanya. Ibunya telah mengandungkannya dengan susah payah. Masa mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata, "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah aku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu dan sesungguhnya aku aku terdiri daripada orang Islam (yang tunduk patuh kepada-Mu)."
Hikmah penekanan berbuat kepada ibu bapa yang terkandung dalam al-Quran adalah sebagai manifestasi kesyukuran seorang hamba kepada Allah s.w.t. dan lambang ketundukan kepada qada' dan qadar yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. kerana seseorang tidak berhak memilih sendiri individu-individu yang difikirkan sesuai untuk menjadi ibu bapanya. 

P/S: Wahai ibu bapa, tunaikanlah hak Allah dan tunaikanlah hak anak. Buktikan kamu adalah ibu bapa yang tepat dan terbaik yang dipilih oleh Allah s.w.t. untuk anak kamu.

Selasa, 5 Ogos 2014

Doa, Pesanan dan Nasihat Yang Bermakna

Dalam hidup ini, bukan sahaja aku malah sesiapa sahaja pernah bertemu dengan orang lain yang bukan terdiri daripada ahli keluarga memberi pesanan dan kata-kata nasihat atau menitipkan doa tanpa diminta. Ada kata-kata nasihat berupa pesanan dan doa yang menyentuh hati aku sehingga aku masih mengingatinya sehingga hari ini. Di antara pesanan, kata-kata nasihat dan doa kepada aku:
  1. Ketika aku bersekolah darjah empat, Ustaz Yusuf dalam kelas mata pelajaran agama Islam memberikan pesanan kepada semua pelajar di dalam kelas iaitu, "Apabila kita mendengar orang menyebut nama Nabi Muhammad, kita kena sebut Sallallahu 'Alaihi Wasallam ." Bagi orang lain pesanan ini mungkin hanya biasa-biasa sahaja, tetapi bagi aku yang bersekolah dalam darjah empat pada ketika itu, pesanan ini amat bermakna bagiku. Sehingga kini, aku masih mengamalkan pesanan Ustaz Yusuf itu.
  2. Pada peringkat akhir pengajian Masters, pensyarah yang menyelia projek (tesis) Masters aku memberikan kata-kata nasihat, "Jaga solat lima waktu dan rajin-rajin buat qiamulail." Sungguh bermakna nasihat itu.
  3. Ketika aku masih berada dalam pengajian PhD di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),  selepas menunaikan solat sunat hari raya aidiladha di Masjid Universiti, UKM, aku masuk ke dalam bilik persalinan wanita  untuk menyalin telekung dan memakai tudung. Tiba-tiba masuk seorang wanita yang tidak aku kenali ke dalam bilik persalinan wanita yang aku fikir dia lebih tua daripada aku. Wanita itu bertanya kepada aku, "Buat PhD ke?" Aku menjawab, "Ya". Sebelum wanita itu keluar dari bilik persalinan, dia berpesan kepada aku, "Banyak-banyaklah berdoa, hari ini hari raya." Aku rasa amat terharu seolah-olah dia tahu aku ada masalah dalam pengajian PhD aku.
  4. Semasa aku melakukan kerja lapangan PhD di Kelantan, di antara responden yang aku temubual ialah Menteri Besar Kelantan,Tuan Guru Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Sebelum temubual bermula, Tuan Guru sempat berbasa-basi dengan aku sambil bertanya, " Mari Kelantan dok dengan siapa?" Aku menjawab, "Sorang ja". Tuan Guru yang tahu aku belum berkahwin sempat mendoakan, "Saya doakan awak bertemu jodoh." Aku juga mendapat doa ini daripada seorang abang pemandu teksi di Kelantan. Abang pemandu teksi itu memandu teksinya membawa aku dari hotel tempat aku menginap ke tempat aku menemui responden untuk tujuan memperolehi data sumber primer melalui temubual. Aku hanya mendengar doa itu tanpa sebarang reaksi. Walau apapun, terima kasih Tuan Guru Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz dan abang pemandu teksi di Kelantan. 
  5. Aku mempunyai seorang sahabat yang baik bernama Normah. Suatu hari dia memberi nasihat kepada aku berkenan menqada puasa Ramadhan, "Awak kena banyak-banyak sabar dalam hal ni". Nasihat ini menjadi penguat semangat kepada aku. Dia memberikan nasihat yang sememangnya aku perlukan walaupun aku tidak pasti apakah kata-kata pesanan atau nasihat yang aku perlukan pada ketika itu. Terima kasih kerana menjadi sahabat saya. Terima kasih kerana menasihati saya.
P/S: Terima kasih kepada semua pihak yang pernah memberikan pesanan, kata-kata nasihat dan menitipkan doa buat diri saya.