Aku ingin menyambung entri sebelum ini Tips Masuk Ke Dunia PhD #1 agar anda mengetahui sisi gelap dan terang dunia PhD.
- Cuba beri kefahaman yang jelas kepada ahli keluarga terdekat anda mengenai pekerjaan & tugasan kajian PhD anda. Sekiranya anda memperolehi cuti belajar dengan gaji beserta dengan biasiswa, pada hakikatnya anda hanya diberi cuti dari menghadirikan diri di pejabat tempat anda bekerja. Semasa cuti belajar, anda perlu tekun belajar selama 9 jam sehari sama dengan tempoh waktu anda bekerja di pejabat.
- Anda perlu menyedari dan memahami bahawa dunia PhD itu ada sisi gelapnya yang tersendiri. Kebiasaannya di universiti tempat belajar, para pensyarahnya mempunyai kumpulan kawan dan musuh yang tersendiri. Apabila sesama pensyarah tidak menyukai penyelia anda maka kebiasaannya yang berlaku mereka akan menyerang pelajar PhD yang berada di bawah seliannya walaupun sesama penyarah itu doctorate belaka. Kisah benar ini telah berlaku di UPM, seorang pelajar PhD berusia 50-an bekerja sebagai pengurus besar mempunyai penyelia yang bergelar profesor tetapi tidak disukai oleh beberapa orang penyarah di sebuah jabatan. Apabila profesor tersebut dipanggil bertugas di sebuah kementerian maka dia telah bertindak mencarikan penyelia yang 'satu kepala' untuk pelajarnya yang bertanggungjawab menggantikan tugasnya. Penyelia baru pula masih dalam kategori pensyarah junior. Malangnya, apabila pelajar PhD ini membentangkan proposal, dia telah digagalkan oleh dua orang pensyarah yang tidak 'satu kepala' dengan profesor yang telah bertugas di kementerian. Pelajar PhD yang terbabit membentangkan proposal untuk kali kedua setelah membuat pembetulan berdasarkan komen dan cadangan yang diberikan oleh dua orang pensyarah yang bertanggungjawab menilai proposal tersebut. Malangnya pelajar PhD tersebut digagalkan sekali lagi. Pelajar PhD tersebut bertindak berjumpa (menyerang) salah seorang penyarah untuk bertanya kenapa proposalnya digagalkan untuk kali kedua. Pensyarah tersebut tidak memberikan sebarang jawapan malah memarahi pelajar PhD tersebut kerana tidak menghormati pensyarah. Akhirnya, pelajar PhD tersebut berhenti dan meneruskan pengajian di UKM.
- Dalam tempoh pengajian, banyak-banyakanlah beristighfar dan mohonlah kepada Allah agar dikurniakan idea dan buah fikiran yang bernas. Sebaik-baiknya, sebagai hamba Allah tips ini diamalkan terus sehingga ke akhir hayat.
- Selepas menghantar tesis sementara menunggu viva, kalau boleh setiap malam buatlah solat hajat. Pada hari anda divivakan, sebelum menghadiri viva, buatlah solat hajat memohon pertolongan Allah.
- Semasa viva, jika ditanya jawab dengan tenang. Ingat semua fakta dan data yang penting. Tindakan mencari-cari jawapan di dalam tesis PhD anda semasa menjawab soalan yang ditanyakan kepada anda akan menyebabkan anda kelihatan tidak meyakinkan di mata para pemeriksa tesis. Tips 4 dan 5 telah diberikan oleh seorang profesor yang bertugas di USM.
- Akhir sekali, jika anda lulus PhD, syukurlah kepada Allah atas nikmat yang diberikan-Nya. Jika gagal, redhalah dengan ketentuan Allah, mungkin dengan ujian ini Allah menetapkan agar anda semakin rapat dengan-Nya. Perkara yang tidak diberikan oleh Allah itu ada hikmahnya, mungkin jika anda diberikan PhD, anda semakin jauh dari Allah. Nasihat ini juga diberikan oleh seorang profesor yang bertugas di USM.
Akhir kalam, selamat menempuh cabaran dalam dunia PhD. Semoga berjaya.