Jumaat, 16 September 2011

Cinta: Karipap dan Ketupat

Buku: Karipap-Karipap Cinta

Buku: Ketupat Cinta



Persamaan di antara kedua-dua buku ini ialah tajuk buku berkisar berkenaan makanan yang dihubungkan dengan cinta. Resepi untuk menghasilkan makanan yang sedap dalam buku Karipap-karipap Cinta ialah penyediaan makanan perlu kepada kasih sayang dan keikhlasan.  Buku ini bersifat humor yang menghubungkan di antara karipap dan cinta. Ali yang merupakan watak utama dalam buku ini berusaha meraih cinta daripada Sarah dengan cara mempelajari cara-cara membuat ketupat yang sedap. Resepi untuk menghasilkan karipap-karipap cinta ialah:
3 ulas rasa suka
1 botol hati gembira
1 biji rendah diri (saiz besar)
2 cawan tolak ansur
5 keping kehormatan
Secubit rasa rindu
3 batang tanggungjawab yang dipotong halus
3 bekas cita-cita
10 guni kejujuran diayak untuk membuang kata dusta

Cara membuat: ramuan di atas diadun dengan ilmu dan akal, masukkan dalam kuali persahabatan dan tunggu sehingga masak. Setelah masak, hidangkan bersama orang yang tersayang.

Karipap cinta yang sedap menuntut kejujuran yang tinggi.

Ketupat Cinta pula menghidangkan kisah politik 'dapur', asal-usul sesuatu makanan, hubungan di antara falsafah iman dan makanan serta budaya dan pemikiran. Walau bagaimanapun dalam buku ini, pembaca bukan sahaja dihidangkan pelbagai resepi masakan Melayu lama, bahan-bahan dan cara memasak dan falsafah di sebalik setiap masakan malah buku ini merupakan mengandungi humor satira politik yang menyentuh pergolakan siasah era Perdana Menteri Malaysia yang keenam.  Para pembaca yang mengikuti perkembangan isu semasa di Malaysia khususnya dari aspek politik, hiburan dan kisah cinta berprofil tinggi tidak sukar untuk mencari pertalian di antara kisah-kisah dalam Ketupat Cinta dengan peristiwa sebenar. Pelbagai isu semasa dianyam dengan ramuan-ramuan silam dihidangkan sebagai Ketupat Cinta khususnya untuk renungan rakyat Malaysia.

Justeru, kedua-dua buku ini masing-masing menampilkan kelainan resepi 'cinta' yang diadunkan sebagai karipap dan ketupat.

Sabtu, 3 September 2011

Peganganku

Islam menyediakan satu pegangan hidup kepada manusia yang dijadikan oleh Allah hanya untuk menyembah-Nya.
Tidak Aku jadikan jin dan manusia kecuali hanya untuk beribadah kepada-Ku [Adz-Dzaariyaat 51:56].
Pegangan hidup ini mengandungi falsafah yang cukup mendalam untuk dihayati oleh setiap Muslim. Pastinya pegangan ini jauh lebih besar malah konsep perkahwinan itu turut dijadikan sebagai ibadah yang menjadi sebahagian daripada pegangan hidup ini. Namun begitu, wahai wanita, janganlah bersedih jika bersendirian sehingga memandang tanpa perkahwinan kehidupan ini dilalui tanpa makna dan serba-serbi tidak sempurna. Besarkan dan luaskan pandangaan hidup bahawa setiap insan itu dijadikan oleh Allah untuk beribadah dan menyembah-Nya. Masih banyak sisi lain yang boleh dilakukan agar dinilai sebagai ibadah.  Kisah Yvone Ridley memeluk agama Islam menonjolkan perubahan pegangan dan pandangan hidupnya yang jauh lebih luas iaitu:
..., sebagai seorang ibu tunggal yang telah tiga kali berkahwin, dia berkata bahawa Islam telah membebaskannya daripada kebimbangan peribadi. Katanya, "Aku tidak lagi duduk gelisah dan menunggu telefon berdering daripada seorang lelaki. Aku tidak lagi berasa stress hanya kerana soal-soal lelaki. Untuk pertama kalinya sejak zaman remaja, aku tidak mempunyai tekanan untuk mempunyai teman lelaki ataupun untuk bersuami." (Anton Kurnia 2011: 152).
Apabila pandangan hidup ini dijuruskan hanya berpegang untuk beribadah kepada Allah, semua perkara yang bersifat peribadi itu menjadi kecil. Inikah yang dialami oleh Rabiatul Adawiyah? Namun, aku tahu Rabiatul Adawiyah adalah nama besar dan merupakan ahli sufi wanita yang tidak layak untuk dibandingkan dengan diriku atau Yvone Ridley.  

Kisah Yvone Ridley dan Taliban di Afghanistan

Sumber: Telaga Biru Sdn. Bhd.
 
Buku ini ditulis oleh Anton Kurnia (2011) mengisahkan perjalan Yvonne Ridley yang bertugas sebagai wartawan di Britain menemui cahaya Islam.
Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam) [Surah Al-Qasas 28:56]
Kisah ini merupakan sebuah travelog selepas keruntuhan WTC pada 11 September 2001 dan diikuti dengan serangan Amerika serta sekutunya di Afghanistan. Selepas Yvonne Ridley keluar dari Afghanistan dan kembali ke Britain, beliau mengkaji Islam dan mengucap dua kalimah syahadah selepas dua tahun keluar dari penjara. Beliau memeluk agama Islam ketika masyarakat Barat sedang mengalami sindrom Islamifobia. Beliau aktif menulis dan mengadakan ceramah untuk meluruskan salah faham masyarakat Barat terhadap Islam. 

Di antara perkara utama yang menjadi tumpuan Yvone Ridley ialah memperbetulkan penggunaan istilah 'serangan berani mati' yang digunakan oleh Barat terhadap 'operasi syahid'. Dalam hal ini, 'serangan berani mati' merupakan istilah yang disinonimkan dengan 'operasi syahid' di mana 'serangan berani mati' merupakan tindakan masyarakat Barat yang berjuang tanpa tujuan yang jelas manakala menurut perspektif Islam matlamat 'syahid' adalah untuk membela keyakinan dan berjuang di jalan Allah untuk mendapatkan keredhaan Allah. Seperkara lagi perhatian Yvone Ridley ialah mengenai perjuangan feminisme. Beliau berusaha memperbetulkan pandangan masyarakat Barat terhadap kedudukan wanita di dalam Islam di mana penindasan terhadap wanita di negara-negara Islam adalah disebabkan oleh budaya setempat.  Dalam hal ini, Islam memelihara hak wanita malah meletakkan kedudukan wanita pada tempat yang tinggi.

Yvone Ridley turut mengkritik para pemimpin di negara-negara Islam yang disifatkan sebagai pengecut dan tunduk kepada Amerika Syarikat. Beliau menyatakan:
Kita mengharapkan pemimpin Islam yang setara dengan Ernesto Guevara de la Serna (lebih kenali sebagai Che Guevara), Fidel Castro atau Hugo Chavez. Namun begitu, pengecualian diberikan kepada as-syahid Syeikh Ahmad Yasin dan Marwan Barghouti.
Walau bagaimanapun, seperkara yang lucu dan agak sarkastik ialah kritikan Yvone Ridley (sebelum memeluk agama Islam) terhadap tentera Taliban ketika beliau menjemur pakaian dalamnya secara terbuka pada tali ampaian di dalam kawasan Penjara Kabul. Beliau menolak untuk menyisihkan pakaian dalamnya dari tempat jemuran yang terbuka yang dapat dilihat oleh para tentera yang berkawal. Pegawai di Jabatan Luar Negara Taliban menghampiri beliau dan menyatakan:
Lihat, jika mereka (tentera Taliban) melihat benda-benda seumpama ini, mereka akan mempunyai fikiran-fikiran yang tidak bersih.
Yvone Ridley berkata dalam hati dengan perasaan takjub dan bercampur sinis:
Afghanistan hampir dibom oleh negara terkaya di dunia dan yang mereka fikirkan adalah pakaian dalamku yang hitam dan kendur. Amerika sebenarnya tidak perlu mengebom Taliban. Cukup terjunkan sahaja satu rejimen wanita yang melambai-lambaikan pakaian dalam mereka. Dijamin para tentera Taliban akan mundur dan lari lintang-pukang.
Buku ini wajar dibaca terutama sebagai bahan bacaan awal dan pengenalan kepada politik Afghanistan di samping Yvone Ridley yang boleh dijadikan sebagai teladan kepada kita yang masih berusaha memperbaiki diri untuk mendekatkan diri kepada Allah.