Ahad, 24 Disember 2017

Sombong: Kunci Segala Kejatuhan

Sewaktu berada di puncak, mereka tidak menjaga ketinggian ego yang bersarang dalam diri. Apabila diberi kekayaan sedikit, mereka mula berubah baik dari segi tutur kata mahupun tingkah laku. Tanpa sedar mereka sudah mula berubah sedikit demi sedikit menjadi sombong. Mereka mula melupakan orang yang membantu ketika naik. Bahkan mula sombong dengan tangan-tangan yang menghulurkan bantuan ketika susah.

Kita perlu menilai kesombongan diri yang wujud dalam diri. Manusia tidak pernah lari dari kesombongan. Tetapi kita punya kemampuan untuk mengekang kesombongan dari terus menjadi pakaian kehidupan. Permulaan sombong itu ada dalam hati dan kemudian diterjemahkan melalui kata-kata kita.

Orang yang sombong tidak pernah mengaku mereka sombong. Pada mereka, apa sahaja yang keluar dari mulut adalah satu kebenaran tanpa menyedari pedihnya kata-kata hinggakan melukakan hati orang yang mendengar. 

Tidak semua orang mampu menahan diri dari menjadi sombong ketika berada dalam fasa kekayaan. Kesombongan ini sangat halus lagi nipis hingga wujudnya tidak kita rasai. Kita perlu sentiasa menjaga hati dan lidah kerana di situlah bermulanya segala kesombongan. Apabila hati mula berasa besar diri maka lidah akan mula menuturkan kesombongan dan akhirnya kesombongan jelas terlihat pada perbuatan.

Kedudukan orang yang sombong tidak akan kekal lama. Ia mungkin boleh berada di atas untuk berpuluh tahun tetapi sampai masanya jatuh, mereka akan jatuh tanpa sempat berpaut. 

Berhentilah daripada menyombong diri biarpun sedikit kerana yang sedikit itu akan menjadi nyalaan api yang besar hingga membuat kepanasan diri hingga akhirnya diri dijauhi dan dibenci. Sombong adalah kunci segala kejatuhan.


Diolah semula dari sumber: Dr. Azhar Sarip. 2017. Sombong Kunci Segala Kejatuhan. Majalah Al-Islam, Disember Bilangan 526 Halaman 40-42. Utusan Karya Sdn. Bhd.


كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۖ فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ
Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. ('Ali Imran 3: 185)

Seseorang yang mempunyai sikap yang sombong itu boleh saja dijatuhkan melalui jalan kematian.


P/S: Pedih hatiku mendengar kata-katamu dan melihat perlakuanmu yang sombong. Aku berharap aku mampu melepaskan semuanya dan memaafkan perlakuaanmu dengan sepenuh hati aku. Selebihnya ia adalah urusanmu dengan Allah s.w.t.

1 ulasan: