Ahad, 28 Julai 2019

Hanya Allah Saja Yang Berhak Menghukum

Baru-baru ni, aku tengok satu video artis Malaysia sambil dia menyediakan masakannya, dia menegur sesetengah netizen yang meninggalkan komentar dalam ruang komen video-videonya di youtube. Kata artis tersebut, “Hanya Allah saja yang berhak menghukum. Jangan ambil kerja Allah.” 

Aku tidak mahu membincangkan berkenaan komentar netizen tersebut. Bersesuian dengan tajuk entri ini, aku hendak membincangkan kenyataan “Hanya Allah saja yang berhak menghukum.” 

Sebelum aku melanjutkan perbincangan ini, aku juga pernah menerima peringatan tersebut daripada seseorang berikutan tindakan aku menyampaikan tazkirah yang pernah aku dengar dalam siaran radio. Sehingga satu tahap, individu tersebut menyatakan bahawa dia tidak mahu berubah. 

Aku tidak menafikan pihak yang menyampaikan tazkirah hendaklah menyampaikan secara berhikmah dan tidak boleh menghukum perbuatan seseorang individu. Perkara yang disampaikan mengandungi nas bersumberkan al-Quran, hadis, fatwa ijma’ para ulama. Contohnya, seseorang menyampaikan peringatan bahawa perbuatan meninggalkan solat secara sengaja adalah haram dan berdosa besar. Adakah wajar seseorang individu itu menjawab, “Hanya Allah saja yang berhak menghukum”? Dalam al-Quran, Allah berfirman dalam surah al-Asr ayat 1-3 yang bermaksud:
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.
Pada pandangan aku, kenyataan “Hanya Allah saja yang berhak menghukum” kedengaran negatif. Individu yang menyatakan ungkapan tersebut bersifat defensif dan "apologetic" atas perbuatan seseorang yang tidak melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah. Aku pernah terbaca seorang muslimah menulis kenyataan berbentuk defensif dalam blog miliknya, “I’m not judging anyone. I’m sinner myself.” 

Pada masa yang sama, orang yang mengungkapkan kenyataan “Hanya Allah saja yang berhak menghukum” juga mengandungi nada sombong kerana menolak apa yang disampaikan kepadanya. Ungkapan sedemikian dinyatakan oleh umat akhir zaman ini dan aku tidak pernah membaca atau mendengar kenyataan sedemikian dalam tazkirah bahawa para sahabat Rasulullah s.a.w., tabi'in atau golongan tabi tabi’in pernah mengungkapkan kenyataan tersebut.

Hidayah itu sudah diperolehi oleh seseorang apabila dia beragama Islam, beriman serta mempunyai pengetahuan mengenal Allah yang Maha Esa, tidak ada Tuhan yang layak sembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad s.a.w. adalah pesuruh Allah. Namun begitu, taufik itu adalah pertolongan Allah untuk mendorong dan membolehkan seseorang mengerjakan amal soleh. Allah memberikan taufik kepada mereka yang bersungguh-sungguh hendak mengabdikan diri dengan penuh rasa kehambaan untuk mendekatkan diri kepada-Nya. 


P/S: Pengajaran yang aku perolehi dari kisah ini ialah mahalnya nilai taufik daripada Allah.

2 ulasan: