Ahad, 31 Disember 2017

Doa: Hadiah Daripada Yang Hidup Kepada Yang Mati

Orang mati dalam kuburnya adalah seperti orang yang sedang tenggelam yang meminta pertolongan. Ia menunggu sampai kepadanya (rahmat) sesuatu doa dari anaknya, atau saudaranya, atau sahabat handainya. Apabila (rahmat) doa itu sampai kepadanya maka tidak terkira sukacitanya dan dirasainya (rahmat doa itu) lebih berharga daripada dunia dan segala isinya. Sebenarnya hadiah orang-orang yang hidup kepada orang mati ialah: ”Doa dan Istighfar”. (Riwayat oleh Ad-Dailami rahimahullah)



Rayuan rohnya dengan suara yang hiba dan menyayukan hati

Di dalam hadith juga diterangkan, maksudnya:

” Bahawa roh orang-orang mati datang beramai-ramai ke langit dunia pada tiap-tiap malam dan berhenti bertentangan dengan rumah masing-masing. Tiap-tiap satu roh di antaranya menyeru berkali-kali dengan suara yang hiba dan sayu, katanya:

” Wahai ahli rumahku! Wahai kaum kerabat dan anak-anakku! Wahai orang-orang yang telah mendiami rumah kami, dan yang telah membahagi-bahagi dan menerima harta pusaka peninggalan kami, adakah sesiapa di antara kamu yang masih ingat kepada kami atau yang pernah memikirkan keadaan kami yang sedang berada di alam Barzakh?...kenanglah kami dan bantulah kami dengan doa dan amal-amal yang salih, semoga Allah memberi rahmat kepada kamu...”

” Setelah puas menyeru dan merayu, kembalilah kumpulan roh itu ke tempat masing-masing untuk datang lagi pada malam berikutnya.

” Jika ada yang mendoakannya, kembalilah ia dengan gembira. Jika tidak, kembalilah ia dengan hiba dan hampa.” [Hadith yang menyayukan hati ini disebutkan dalam I’anah at-Talibin (2:144)] 

Kedua dua hadith ini menerangkan setakat mana berhajatnya orang yang mati kepada doa orang-orang yang hidup.




P/S: Aku rasa sebak apabila membaca petikan terjemahan hadis di atas. Sebelum ini, kadang-kadang sahaja aku membaca doa terjemahan Surah al-Hasyr ayat 10 apabila aku teringat. Kini, aku usahakan membacanya setiap hari. Aku yang masih hidup ini faham bagaimana rasanya hampa. Aku tidak mahu setiap malam kau merayu dan akhirnya kau kembali dalam keadaan hiba dan hampa.


"Wahai Tuhan Kami! ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan Kami! Sesungguhnya Engkau amat melimpah belas kasihan dan rahmat-Mu." (Surah Al-Hasyr 59 :10)

Ahad, 24 Disember 2017

Sombong: Kunci Segala Kejatuhan

Sewaktu berada di puncak, mereka tidak menjaga ketinggian ego yang bersarang dalam diri. Apabila diberi kekayaan sedikit, mereka mula berubah baik dari segi tutur kata mahupun tingkah laku. Tanpa sedar mereka sudah mula berubah sedikit demi sedikit menjadi sombong. Mereka mula melupakan orang yang membantu ketika naik. Bahkan mula sombong dengan tangan-tangan yang menghulurkan bantuan ketika susah.

Kita perlu menilai kesombongan diri yang wujud dalam diri. Manusia tidak pernah lari dari kesombongan. Tetapi kita punya kemampuan untuk mengekang kesombongan dari terus menjadi pakaian kehidupan. Permulaan sombong itu ada dalam hati dan kemudian diterjemahkan melalui kata-kata kita.

Orang yang sombong tidak pernah mengaku mereka sombong. Pada mereka, apa sahaja yang keluar dari mulut adalah satu kebenaran tanpa menyedari pedihnya kata-kata hinggakan melukakan hati orang yang mendengar. 

Tidak semua orang mampu menahan diri dari menjadi sombong ketika berada dalam fasa kekayaan. Kesombongan ini sangat halus lagi nipis hingga wujudnya tidak kita rasai. Kita perlu sentiasa menjaga hati dan lidah kerana di situlah bermulanya segala kesombongan. Apabila hati mula berasa besar diri maka lidah akan mula menuturkan kesombongan dan akhirnya kesombongan jelas terlihat pada perbuatan.

Kedudukan orang yang sombong tidak akan kekal lama. Ia mungkin boleh berada di atas untuk berpuluh tahun tetapi sampai masanya jatuh, mereka akan jatuh tanpa sempat berpaut. 

Berhentilah daripada menyombong diri biarpun sedikit kerana yang sedikit itu akan menjadi nyalaan api yang besar hingga membuat kepanasan diri hingga akhirnya diri dijauhi dan dibenci. Sombong adalah kunci segala kejatuhan.


Diolah semula dari sumber: Dr. Azhar Sarip. 2017. Sombong Kunci Segala Kejatuhan. Majalah Al-Islam, Disember Bilangan 526 Halaman 40-42. Utusan Karya Sdn. Bhd.


كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۖ فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ
Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. ('Ali Imran 3: 185)

Seseorang yang mempunyai sikap yang sombong itu boleh saja dijatuhkan melalui jalan kematian.


P/S: Pedih hatiku mendengar kata-katamu dan melihat perlakuanmu yang sombong. Aku berharap aku mampu melepaskan semuanya dan memaafkan perlakuaanmu dengan sepenuh hati aku. Selebihnya ia adalah urusanmu dengan Allah s.w.t.

Sabtu, 9 Disember 2017

B+ = +ve dalam -ve

Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan negatif.

Baik dan buruk hanya pada pandangan kita yang terbatas, namun pada pandangan-Nya yang Maha Luas, semua yang ditakdirkan ke atas hamba-Nya pasti bermaksud baik.

Seorang ahli hikmah, Ibn Atoillah menjelaskan hakikat ini menerusi katanya: 
“Barangsiapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pendeknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.”
Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini:
“Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.”
Tadbirlah hidup kita sebaik-baiknya, namun ingatlah takdir Tuhan sentiasa mengatasi tadbir insan.

Malah dalam keadaan berdosa sekalipun, ujian didatangkan-Nya sebagai satu pengampunan.

Manakala dalam keadaan taat, ujian didatangkan-Nya untuk meningkatkan darjat.

Justeru, telah sering para muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah) berkata tentang hikmah ujian:
“Allah melapangkan bagi mu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagi mu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya (kelapangan dan kesempitan), supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah.”

Sumber: Ustaz Pahrol Juoi 

Jumaat, 22 September 2017

Takwim Puasa Sunat Bermula 1 Muharam 1439H Sehingga 29 Zulhijjah 1439H

Puasa Sunat
Tarikh
Puasa 1 – 9 Muharam
·                           22 – 30 September 2017
Puasa Hari Asyura

(Pada 10 Muharam berserta sehari sebelumnya)

atau



(Pada 10 Muharam berserta sehari selepasnya)


·                         30 September – 1 Oktober 2017

                                atau


·                         – 2 Oktober 2017
Puasa Sunat Sya'ban
·                     1April – 16 Mei 2018
Puasa Enam (Puasa enam hari dalam bulan Syawal kecuali pada 1 Syawal)
·                     1Jun – 13 Julai 2018
Puasa 1 – 8 Zulhijah
·                            1– 20 Ogos 2018
Puasa Hari Wuquf (Bagi sesiapa yang tidak menunaikan haji)
·                     21 Ogos 2018
Puasa Hari Isnin dan Khamis
Kecuali:
·                      Hari Tasyrik 11 Zulhijah (Hari Khamis       23 Ogos 2018)
Puasa Hari Putih

(Pada 13, 14 dan 15 hari bulan setiap bulan dalam kalendar Hijrah)
·                     Muharam (4 – 6 Oktober 2017)
·                     Safar (2 – 4 November 2017)
·                     Rabiulawal (2 – 4 Disember 2017)
·                     Rabiulakhir (1 – 3 Januari 2018)
·                     Jamadilawal (30 Januari – 1 
                   Februari 2018)
·                     Jamadilakhir (1 – 3 Mac 2018)
·                     Rejab (31 Mac – 2 April 2018)
·                     Sya’ban (29 April – 1 Mei 2018)
·                     Syawal (27 –  29 Jun 2018)
·                     Zulkaedah (26 – 28 Julai 2018)
·                     Zulhijah (26 – 27 Ogos 2018)**
Puasa Hari Gelap***

(Pada 27, 28 dan 29 hari bulan setiap bulan dalam kalendar Hijrah)
·                     Muharam (18 – 20 Oktober 2017)
·                     Safar (16 – 18 November 2017)
·                     Rabiulawal (16 – 18 Disember 2017)
·                     Rabiulakhir (15 –  17 Januari 2018)
·                     Jamadilawal (13 – 15 Februari 2018)
·                     Jamadilakhir (15 – 17 Mac 2017)
·                     Rejab (14 – 16 April 2018)
·                     Sya’ban (12 – 14 Mei 2018)
·                     Syawal (11 – 13 Julai 2018)
·                     Zulkaedah (9 – 11 Ogos 2018)
·                              Zulhijjah (8 – 10 September 2018)

** Puasa Hari Putih pada 13 Zulhijjah 1439H jatuh pada Hari Tasyrik iaitu bersamaan 25 Ogos 2018. 

*** Puasa Hari Gelap juga boleh dilakukan pada 28, 29 dan 30 hari bulan bagi bulan dalam kalendar Hijrah yang mengandungi 30 hari). Pada masa ini, matahari dan bulan berada pada kedudukan sebaris. Ketika ini, daya tarikan matahari telah bergabung dengan daya tarikan bulan. Kesan tarikan ini amat kuat di mana kebiasaannya air laut pasang akan lebih tinggi pada waktu tengahari dan air laut surut lebih rendah pada waktu malam. Manusia dan segala yang ada di bumi menjadi lebih ringan pada waktu siang dan lebih berat pada waktu malam. Fenomena ini memberikan kesan seperti berada dalam keadaan tekanan (stress). Berpuasa pada hari gelap dapat mengurangkan kesan tersebut. Wallahu'alam.

P/S: Selamat Berpuasa 

Selasa, 12 September 2017

Kalimah Suci Dalam Islam

Kalimah suci ialah apa-apa perkataan yang dikaitkan dengan nama yang dihormati dalam Islam sama ada berbentuk tulisan, lukisan simbol, gambar dan apa sahaja yang dimaksudkan dan difahami mewakili sesuatu kalimah. Di antara kalimah suci yang dihormati dalam Islam ialah:
  1. Mushaf Al-Quran
  2. Petikan ayat Al-Quran
  3. Kalimah Allah dan nama-nama Allah yang lain (Asma ul-Husna) serta apa sahaja kalimah yang menunjukkan sifat-sifat Allah.
  4. Nama Nabi Muhammad s.a.w.
  5. Nama Nabi-Nabi
  6. Nama malaikat
  7. Hadis Nabi Muhammad s.a.w.
  8. Doa-doa
  9. Gambar-gambar yang mengandungi kalimah suci. Contohnya, gambar masjid yang tertera ayat-ayat Al-Quran pada dinding masjid.
Kalimah suci termasuk apa sahaja yang ditulis dalam bentuk tulisan termasuk tulisan rumi. Sesuatu kalimah suci dibaca dalam bahasa Arab walaupun kalimah suci tersebut ditulis dalam tulisan rumi. Hal ini termasuklah singkatan s.a.w., s.w.t. dan r.a. tatkala kita melihat singkatan tersebut kita tidak membaca huruf singkatan sebaliknya kita berselawat, bertasbih dan sebagainya.

Contohnya, wujud sebahagian orang yang menulis No. 786 mewakili kalimah Bismillah maka apabila mereka melihat perkataan No. 786, mereka tidak membaca “nombor tujuh lapan enam” sebaliknya mereka menyebut lafaz Bismillah. Oleh itu, No. 786 diklasifikasikan sebagai kalimah suci yang perlu dihormati. 

Semua bahan yang mengandungi kalimah suci sama ada ditulis, dicetak, diukir, dilukis dan sebagainya mesti dihormati dan tidak boleh disimpan atau diletak di tempat yang tidak sewajarnya.

Pelupusan bahan-bahan yang mengandungi kalimah suci sama seperti kaedah pelupusan mushaf Al-Quran. Terdapat dua kaedah pelupusan:
  1. Menanam di dalam tanah di tempat yang tidak didiami dan tidak akan dimajukan. Kawasan tersebut menjadi seperti tanah kubur yang tidak boleh dibangunkan atau dimajukan.
  2. Menghilangkan tulisan dengan cara dibakar dan dihanyutkan ke laut. Bahan-bahan yang mengandungi kalimah suci hendaklah dibakar dalam bekas kedap haba sehingga abunya berwarna putih; abu berwarna hitam dikhuatiri masih terdapat huruf-huruf yang masih boleh dibaca. Setelah bahan-bahan tersebut dibakar, abunya bertukar menjadi warna putih tidak boleh dibuang ke dalam sungai kerana dibimbangi tersangkut di tebing sungai atau di tempat lain sebelum ia sampai ke laut.

Sumber: Diubah suai dari artikel bertajuk Haram Menulis, Mencetak Ayat Al-Al-Quran Dalam Huruf Selain Huruf Arab yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) untuk Takwim Dan Waktu Ibadah Bagi Seluruh Negeri Kedah Darul Aman (bulan Rabiul Awal 1437H). 

Khamis, 13 Julai 2017

Iznik

Iznik dari Turki - pemberian individu yang suatu masa dulu kehidupannya belum senang dan masih memerlukan orang lain.















Dahulu iznik dikenali sebagai nicaea telah menjadi pusat seramik yang terkenal era Empayar Uthmaniyah. Di bawah naungan diraja Empayar Uthmaniah, pelbagai jenis barangan seramik iznik telah dihasilkan sebagai peralatan domestik dan untuk menghiasi bangunan-bangunan utama di Turki seperti istana dan masjid. Pada mulanya, corak iznik mempunyai komposisi beralun yang diadun dengan motif tradisional Turki serta interpretasi dari era Yuan dan Ming serta pengaruh dari Parsi dan Eropah. Iznik menggunakan kobalt biru di atas latar berwarna putih, kemudian tukang seramik Iznik telah menghasilkan palet yang lebih pelbagai dan berwarna-warni yang menakjubkan pada pertengahan abad ke-16. Motif-motif bungaan seperti tulip, teluki dan teratai merupakan di antara corak hiasan yang utama. Selain itu, daun saz, buah delima, corak arabes, awan larat, sisik ikan dan chintamani turut mewarnai corak hiasan iznik.