Ahad, 16 Mac 2014

Misi Kerajaan Malaysia Mencari MH370 #2

Isu misi Kerajaan Malaysia mencari pesawat MH370 mendapat perhatian masyarakat dan media antarabangsa. Sebanyak 14 buah negara terlibat dalam misi ini melangkaui pertubuhan kerjasama negara-negara serantau. Aku rasa hairan juga bagaimana Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai menganggap misi ini sebagai isu nasional walhal di dalam pesawat MH370 melibatkan penumpang dari 14 buah negara. Pasti misi ini melibatkan isu hubungan antarabangsa Malaysia dengan negara-negara lain kerana pencarian MH370 melangkaui sempadan negara-bangsa yang ditandai di darat, laut dan udara. 

Entri kali ini adalah sambungan entri sebelum ini Misi Kerajaan Malaysia Mencari MH370 #1. Aku hanya menyatakan secara ringkas misi Kerjaan Malaysia tanpa menambah sebarang pendapat peribadi kecuali perenggan di atas dalam entri ini. Berikut adalah misi Kerajaan Malaysia mencari MH370 dalam tempoh empat hari dari 12hb Mac sehingga 15hb Mac:
  • Hari Kelima: Kerajaan Malaysia melakukan operasi ini secara besar-besaran dan telah menambah pesawat dan kapal dengan peralatan canggih. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menyeru agar rakyat Malaysia bertenang, bersabar dan berdoa. Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) meletakkan 15 orang pegawai di Anjung Tinjau, Kuala Lumpur International Airport (KLIA) bagi memantau kehadiran bomoh, Ibrahim Mat Zin yang dikatakan mampu mengesan pesawat MH370 dengan cara melakukan upacara simbolik ala "tikar terbang". Pemantauan ini memandangkan amalan ritual bomoh tersebut bertentangan dengan akidah Islam. Operasi ini menggunakan kepakaran 13 buah negara. India melalui tentera lautnya turut menyertai kerja mencari pesawat MH370 dengan menggerakkan satelit Rukmini (GSAT-7) manakala Jepun menghantar empat pesawat serta agensi pegawai pantai dan Brunei pula turut menawarkan bantuan aset. Selain itu, teori Lubang Hitam (Black Hole) turut dikaitkan dengan kehilangan MH370.  Operasi ini diperluaskan ke kawasan Laut Andaman sempadan Thailand-Myanmar. Pihak berkuasa Vietnam menghadkan operasi di perairan Vietnam berikutan penumpuan operasi mencari dan menyelamat di Selat Melaka dan Laut Andaman.
  • Hari Keenam: Kerajaan Malaysia tidak akan menghentikan operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370. Dalam hal ini, Malaysia tidak menyembunyikan sebarang maklumat berkaitan operasi ini. Mustahil faktor elektrik dan mekanikal menjadi punca kerosakan komunikasi kerana pesawat MH370 dilengkapi lima unit radio dan dua transponder. Malaysia Airlines System Berhad (MAS) mengesahkan data enjin terakhir yang diterima dari pesawat MH370 ialah pada 8hb Mac 2014 pukul 1.07 pagi. Lokasi pencarian ditumpukan di Laut China Selatan (isyarat terakhir yang diterima dari MH370) dan Selat Melaka berikutan petunjuk yang diterima dari radar primer (milik tentera Malaysia) dan radar sekunder (Jabatan Penerbangan Awam, Malasyia di Subang). Usaha pencarian ini diperluaskan ke Timur Laut China Selatan. Seorang pegawai kanan Pentagon dipetik oleh ABC News mendakwa MH370 mungkin terhempas di Lautan Hindi. Penyiasat Amerika Syarikat mendedahkan satu andaian baru kemungkinan pesawat MH370 dirampas untuk tujuan sabotaj (digunakan bagi tujuan lain pada masa hadapan). Wall Street Journal memetik dua sumber keselamatan dan penerbangan Amerika Syarikat, pesawat MH370 masih berada di udara selama empat jam dari lokasi terakhir ia dilaporkan hilang. Seseorang dikatakan telah bertindak mematikan sistem transponder MH370 dan mengarahkan pesawat tersebut ke tempat lain. Pendedahan ini menimbulkan kebarangkalian pesawat itu terbang selama lima jam (termasuk kira-kira sejam bermula ia berlepas dari Kuala Lumpur International Airport) ke kawasan lain pada jarak tambahan 3,500 kilometer hingga ke sempadan Pakistan atau destinasi Lautan Hindi atau Laut Arab. Mengenai teori Lubang Hitam (Black Hole), pakar pertahanan dan fizik Malaysia menolak dakwaan tidak berasas yang mengatakan kehilangan MH370 adalah disebabkan oleh ujian alat perang eloktronik sebaliknya menyatakan penggunaan alat perang eloktronik tidak mustahil diuji terhadap pesawat-pesawat komersial tetapi bukan melibatkan pesawat negara lain.
  • Hari Ketujuh: Malaysia kekal mengetuai misi pencarian MH370 kerana di bawah Protokol Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa, pihak berkuasa negara di mana sesuatu pesawat didaftarkan akan mengetuai siasatan sekiranya berlaku insiden. Malaysia minta kerjasama Vietnam memperluaskan pencarian ke Lautan Hindi. Amerika Syarikat turut mengerah pencarian di Lautan Hindi. Operasi antarabangsa ini melibatkan 48 buah pesawat dan 57 buah kapal dari 13 buah negara. Satelit Inmarsat milik United Kingdom menerima beberapa isyarat 'ping' atau nadi elektronik telah menguatkan dakwaan penyiasat Amerika Syarikat sebelum ini bahawa pesawat MH370 terbang empat jam tanpa dikesan oleh radar selepas terputus hubungan. MH370 dikatakan gagal menghantar mesej kerana tidak melanggan sistem Boeing Airplane Health Management untuk penggunaan data satelit. Syarikat pembuatan pesawat, Boeing Co. menawarkan perhidmatan satelit untuk mengumpulkan maklumat operasi penerbangan pesawat dan menghantar data tersebut ke pengkalan utama. Perhidmatan ini diwujudkan bagi menyediakan maklumat untuk proses pembaikan atau kerja penyelenggaran sebelum pesawat Boeing mendarat. Namun begitu, Malaysia Airlines System Berhad (MAS) tidak melanggan perkhidmatan ini tetapi pesawat masih mempunyai keupayaan satelit dan mengeluarkan isyarat secara automatik. Selain itu, pakar seismologi China mengesan gegaran kecil di dasar laut di antara Malaysia dan Vietnam pada pukul 2.55 pagi pada hari MH370 dilaporkan hilang mungkin disebabkan oleh MH370 terhempas ke laut. Walau bagaimanapun, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn menjelaskan Malaysia belum menerima laporan rasmi berhubung dengan maklumat itu daripada Pentagon, Amerika Syarikat dan China. Kapal Perang Amerika Syarikat, Kidd menuju ke Lautan Hindi dari Laut China Selatan meneruskan usaha mencari pesawat MH370. Kerajaan Malaysia tetap meneruskan usaha menyelamat 239 orang penumpang dan anak-anak kapal MH370 walaupun peluang semakin tipis. Pembuat enjin Boeing, Rolls-Royce dan Cabang Siasatan Kemalangan Udara dari United Kingdom tiba di Malaysia untuk membantu merungkai kehilangan MH370. Vietnam juga telah menurunkan status operasi mencari pesawat MH370 dari status kecemasan kepada normal tetapi operasi ini tidak dihentikan. Tentera negara India menggunakan pesawat yang dilengkapi peralatan pengesan haba bagi membuat tinjauan di sekitar 572 buah pulau di Laut Andaman bagi mencari MH370. Malaysia Airlines System Berhad (MAS) telah menukar kod laluan penerbangan Kuala Lumpur-Beijing dan Beijing-Kuala Lumpur masing-masing dari MH370 kepada MH318 dan MH371 kepada MH319 bagi menghormati penumpang dan anak-anak kapal yang masih belum ditemui.
  • Hari Kelapan: Kerajaan Malaysia dan pihak terbabit kini menilai semula penghantaran aset ke kawasan itu dan ditumpukan di kawasan baru di sebelah Barat Semenanjung Malaysia. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengumumkan MH370 sah berpatah balik di mana Sistem Laporan dan Komunikasi Pesawat (ACARS) dimatikan secara sengaja sebelum menghampiri Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Transponder dimatikan ketika MH370 menghampiri sempadan Vietnam. Komunikasi terakhir di antara MH370 dengan satelit pada 8hb Mac 2014 pukul 8.11 pagi. Seorang pegawai Kerajaan Malaysia berkata penyiasat menyimpulkan salah seorang juruterbang atau seseorang yang berpengalaman telah mensabotajkan pesawat MH370. Kediaman Kapten Zaharie Ahmad Shah di Laman Seri, Seksyen 13, Shah Alam dan kediaman pembantu juruterbang, Fariq Ab. Hamid di Seksyen 7, Shah Alam turut dikunjungi oleh polis dari Bukit Aman tidak lama selepas Perdana Menteri Malaysia mengumumkan siasatan kehilangan pesawat menjurus ke arah anak-anak kapal dan para penumpang memandangkan pergerakan pesawat itu selepas ia hilang daripada radar utama tentera (Malaysia) menunjukkan ia telah dilakukan secara sengaja oleh seseorang di dalam pesawat itu. Kunjungan pihak polis tersebut adalah untuk tujuan siasatan dan temubual ahli keluarga terbabit. Walau bagaimanapun, pihak polis telah mengambil simulator Boeing 777 di kediaman Kapten Zaharie Ahmad Shah untuk dianalisa. Sistem simulator penerbangan tersebut dipasang sendiri pada November 2012 menggunakan perkakasan FSX dan FS9 pada enam skrin monitor. Sistem itu juga dilengkapi dengan dua kad grafik terbaru jenama Asus 7970 serta beberapa peralatan canggih yang lain. Misi mencari dan menyelamat MH370 di Laut China Selatan dihentikan. Kini, tumpuan pencarian MH370 di dua koridor iaitu Koridor Utara (dari utara Thailand sehingga sempadan Kazakhstan) dan Koridor Selatan tertumpu dari utara Indonesia sehingga ke selatan Lautan Hindi kerana MH370 disahkan telah melencong dari laluan asal dan dipercayai berpatah balik ke arah barat sebelum membelok menghala ke barat laut sehingga keluar dari liputan radar tentera. Radar tentera menunjukkan pesawat itu terbang sehingga ketinggian 45,000 kaki dan munukar arah secara mendadak ke barat sebelum turun ke paras 23,000 kaki ketika menghampiri Pulau Pinang. MH370 kemudian terbang pada ketinggian 35,000 kaki. Perubahan mendadak altitud pada ketinggian 45,000 kaki adalah konsisten dengan pergelutan dalam kokpit. Kejadian ini telah menimbulkan teori bahawa juruterbang sengaja melakukannya agar para penumpang dan anak-anak kapal pengsan. Pesawat yang terbang melebihi had pesawat 43,100 kaki dengan kabin yang dinyahtekanankan boleh memberi kesan tersebut. Pesawat MH370 dikhuatiri terhempas di dua lokasi iaitu Teluk Bengal dan lokasi lain di Lautan Hindi. Beberapa isyarat 'ping' sebelum ini menunjukkan pesawat tersebut menempuh sejauh beribu-ribu kilometer sebelum terhempas di Lautan Hindi kerana kehabisan minyak. Walau bagaimanapun, penglibatan pemisah atau pengganas atau lanun udara mungkin terbabit dalam insiden ini tidak ditolak. Kumpulan pemisah China disyaki kerana wujud penindasan terhadap etnik tersebut manakala perbuatan lanun udara pula disyaki kerana maklumat sebelum ini menunjukkan MH370 turut dinaiki oleh beberapa bilionaire China.  

2 ulasan:

  1. Assalamualaikum!
    Makin lama makin kompleks dan pencarian makin mencabar meliputi kawasan yang lebih luas.

    BalasPadam