Kerajaan Malaysia bersungguh-sungguh menjalankan misi mencari MH370. Misi MH370 ini hampir menenggelamkan isu panas lain di Malaysia seperti musim panas yang melanda Semenanjung Malaysia sejak Januari 2014 yang dijangka tamat pertengahan Mac 2014.
Entri pada kali ini berkenaan mengenai misi Kerajaan Malaysia mencari MH370 selama empat hari (8hb Mac sehingga 11hb Mac) sehingga entri ini ditulis:
- Hari Pertama: Pesawat MH370 berlepas dari Kuala Lumpur International Airport pada 8hb Mac pukul 12.41 pagi. Juruterbang MH370 tidak buat sebarang panggilan kecemasan. Pada pukul 1.30 pagi merupakan kali terakhir isyarat radar dieterima pada ketinggian 10,668 meter dan 120 batu nautika di timur Kota Bharu, Kelantan, Malaysia. Pada pukul 2.40 pagi pesawat MH370 disahkan hilang oleh Jabatan Penerbangan Awam, Malaysia. Terdapat dua penumpang masing-masing warga Itali dan Austria dipercayai tidak berada di dalam pesawat. Kedutaan Austria mengeluarkan kenyataan bahawa pasport warga Austria tersebut dicuri. Selain di Subang, Pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak, Kelantan turut beroperasi sebagai markas untuk semua jenis penerbangan yang terbabit dalam operasi pencarian MH370. Misi mencari dan menyelamat pesawat MH370 menumpukan di kawasan laluan Kuala Lumpur ke Beijing menurut prosedur operasi standard (SOP). Timbul spekulasi yang mengatakan pesawat itu melakukan pendaratan cemas di Nanning, China manakala spekulasi lain pula menyatakan pesawat itu terhempas di sebuah pulau selatan Veitnam. Spekulasi tersebut disahkan oleh Jabatan Penerbangan Awam Malaysia sebagai tidak benar.
- Hari Kedua: Kerajaan Malaysia menjangkakan pesawat MH370 melakukan air turn back (patah balik) ke Kuala Lumpur International Airport setelah dua jam penerbangan. Radar Tentera Udara Diraja Malaysia menunjukkan MH370 menghala ke Kota Bharu, Kelantan pada pukul 2.40 pagi. Misi pencarian MH370 diteruskan di kawasan darat menggunakan helikopter dan kawasan operasi diperluaskan dari 20 batu nautika persegi ditingkatkan kepada 50 batu nautika persegi di perairan lokasi terakhir MH370 dilaporkan terputus iaitu di Laut China Selatan berhampiran dengan perairan selatan Vietnam. Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah menghantar empat kapal laut ke Pulau Perak kira-kira 60 batu nautika dari Langkawi, Kedah yang dikatakan telah berpatah balik ke arah Selat Melaka. Operasi mencari dan menyelamat pesawat itu turut melibatkan 24 pesawat dan 40 buah kapal termasuk dari Amerika Syarikat, Australia, China, Vietnam, Singapura, Thailand, Filipina dan Indonesia. Juruterbang pesawat tentera Vietnam yang menyertai misi pencarian telah mengesan tompokan minyak sepanjang 20 kilometer pada jarak 500 meter di antara satu sama lain di 140 kilometer ke selatan Pulau Tho Chu di pesisir selatan Vietnam. APMM mengemukakan minyak yang ditemui kira-kira 20 batu nautika dari pesawat MH370 dilaporkan terputus hubungan. Sampel minyak tersebut untuk ujian makmal. Tidak ada petunjuk berkaitan MH370 di kawasan 70 hingga 100 batu nautika persegi dari pantai di perairan Kelantan, Terengganu dan sempadan Thailand dan Vietnam setelah tinjauan dari udara dilakukan. Walaupun pihak berkuasa Vietnam menemui 'objek' yang mungkin sebahagian daripada pesawat yang hilang namun penemuan itu belum disahkan. Pihak Polis Diraja Malaysia tidak meletakkan ancaman pengganas sebagai faktor utama kehilangan pesawat MH370 tetapi tidak menolak kemungkinan tersebut. Data pemantauan awal yang diperiksa oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat, Pentagon mendapati tidak ada sebarang letupan di Laut China Selatan apabila MH370 terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara di Subang.
- Hari Ketiga: Pelbagai 'objek' yang ditemui sebelum ini yang dikatakan pintu pesawat sebenarnya ialah kayu terikat seperti pontun manakala jaket keselamatan hanyut sebenarnya ialah kanvas lusuh berwarna oren. APMM juga mengesahkan beberapa tompokan minyak yang ditemui di Laut China Selatan bukan minyak yang digunakan oleh pesawat MH370 sebaliknya minyak itu digunakan oleh tongkang. Perluasan kawasan pencarian pesawat MH370 sehingga ke perairan pantai barat Semenanjung Malaysia adalah berdasarkan laluan pesawat yang mungkin berpatah balik. Operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370 diperluaskan sehingga 100 batu nautika dari Igari. Operasi mencari dan menyelamat membabitkan kerjasama sembilan buah negara iaitu Amerika Syarikat, Singapura, Filipina, Vietnam, China, Thailand, Indonesia, Australia dan New Zealand. Secara keseluruhannya, sebanyak 41 buah kapal dan 24 buah pesawat digunakan dalam operasi ini. Operasi ini dipecahkan kepada beberapa blok iaitu blok A dan B adalah untuk pemantauan pesawat manakala blok C dan D adalah untuk pemantauan kapal laut. Blok E pula adalah kawasan yang diperluaskan lagi seluas 100 batu nautika persegi membabitkan operasi pesawat dan kala laut sekiranya tiada sebarang penemuan di blok A, B, C dan D.
- Hari Keempat: Pencarian diluaskan kepada lebih 500,000 batu nautika persegi dari pantai Sumatera ke Hong Kong. Ketua Polis Negara Malaysia, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata tumpuan diberikan kepada empat faktor kemungkinan utama dalam penyiasatan kes kehilangan pesawat MH370 iaitu rampasan pesawat, sabotaj, masalah psikologi penumpang dan anak-anak kapal serta masalah peribadi mereka. Satu pasukan khas telah ditubuhkan dan diketuai oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah. Siasatan dari pelbagai sudut dijalankan dengan kerjasama agensi risikan dari 14 buah negara termasuk Jerman dan Iran. Polis dan Interpol turut mendedahkan identiti dua orang penumpang warganegara Iran yang menggunakan pasport curi untuk menaiki pesawat MH370; Pouria Nour Mohammad Mehrdad berusia 19 tahun telah menggunakan pasport curi warga Austria milik Christian Kozel manakala Delavar Syed Mohamad Reza berusia 30 tahun menggunakan pasport curi warga Itali milik Luigi Maraldi. Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Aloyah Mamat berkata, kedua-dua penumpang yang menggunakan pasport curi itu mempunyai tempoh visa sosial masih sah ketika diperiksa. Pegawai Imigresen yang bertugas pada waktu itu telah mematuhi semua proses Operasi Prosedur Standard (SOP) ketika pemeriksaan dibuat dan didapati wajah mereka sama dengan gambar dalam pasport.
semoga pesawat ini berjaya ditemui segera.
BalasPadamInsya-Allah
PadamHai. OK insya-Allah, saya akan singgah melawat blog awak :)
BalasPadam