Khamis, 26 Disember 2013

Anak Muda & Kepentingan Menguasai Ilmu

Catatan sejarah Islam menunjukkan orang tua gemar menonjolkan anak-anak muda kepada khalayak umum kerana kedalaman ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh mereka. Khalifah Umar Al-Khattab r.a. pernah mengemukakan kehebatan Ibnu Abbas r.a. dalam sebuah majlis yang dihadiri oleh para sahabat yang telah tua walhal Ibnu Abbas r.a. pada ketika itu masih muda. Para sahabat bertanya kepada Ibnu Abbas r.a. berkenaan agama mereka.

Ibnu Abbas r.a. berkata "Allah Azzawajalla tidak mengurniakan seseorang hamba-Nya mengenai sesuatu ilmu melainkan sewaktu masih muda dan kebaikan itu tetap ada ketika usia muda." Beliau membacakan tiga firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
  1. "Mereka berkata: Kami dengar ada seorang anak muda yang mencela berhala-berhala ini dan anak muda itu dipanggil Ibrahim" (Al-Anbiyaa': 60).
  2. "Kami kisahkan kepadamu (Muhammad) cerita Ini dengan benar. Sesungguhnya mereka adalah anak-anak muda  yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambah pula untuk mereka hidayah" (Al-Kahfi: 13).
  3. "Wahai Yahya, terimalah kitab itu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh! Dan Kami berikan kepadanya hikmah kebijaksanaan semasa ia masih kecil" (Maryam: 12).
Oleh itu, penguasaan ilmu amat penting kepada setiap individu Muslim walaupun perlu mempelajarinya daripada seorang anak kecil. Ayub As-Sakhtiani berkata "Pernah aku terjumpa seorang tua yang berumur 80 tahun sedang mempelajari sesuatu daripada seorang anak kecil." 

Dalam satu kisah yang lain, Abu Amru Ibnu-Ala' pernah ditanya berkenaan "Maniskah seorang yang sudah tua belajar dari seorang anak kecil?" dan jawab Abu Amru Ibnu-Ala' "Kiranya kejahilan itu akan menampakkan seseorang itu bodoh di khalayak ramai, maka pelajaran pula yang menampakkan ia elok di hadapan mereka".
 
Sumber: Muhammad Hassan. 2011. Mandi hadas.  Johor Bahru: Pustaka Azhar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan