Entry ini adalah sempena Maulidur Rasul s.a.w. yang sepatutnya diterbitkan dalam blog ini pada 14 Januari 2014M bersamaan 12 Rabiul Awwal 1435H. Rasulullah s.a.w. memiliki empat sifat terpuji iaitu siddiq (benar), amanah (boleh dipercayai), tabligh (menyampaikan) dan fathonah (bijaksana). Entry ini mengetengahkan gambaran empat sifat Rasulullah s.a.w. menerusi peristiwa perselisihan dalam kalangan para sahabat dan pembenaran Rasulullah s.a.w. terhadap mereka.
*********************************************************************************
At-Tabrani melaporkan daripada Ka'ab bin Ujrah bahawa pada suatu hari, mereka (golongan Ansar, Muhajirin dan Bani Hasyim) duduk di dalam masjid berhadapan dengan rumah Rasulullah s.a.w. Mereka berselisih mengenai siapa yang lebih utama kepada Rasulullah s.a.w. dan paling dicintai oleh baginda.
Golongan Ansar berkata: "Kami beriman kepada Rasulullah s.a.w., mengikuti baginda, berperang bersama-sama dan menjadi tentera baginda dalam memerangi musuh, maka kami adalah golongan yang utama untuk baginda dan paling dicintai oleh baginda."
Golongan Muhajirin pula berkata: "Kami adalah golongan yang berhijrah bersama-sama Allah dan Rasul-Nya. Kami kehilangan keluarga dan harta. Kami menghadiri apa yang kamu hadiri dan menyaksikan apa yang kamu saksikan. Kami lebih utama untuk Baginda dan paling dicintainya."
Golongan Bani Hasyim pula menyatakan: "Kami adalah keluarga Rasulullah s.a.w. Kami menghadiri apa yang kamu hadiri dan menyaksikan apa yang kamu
saksikan. Kami lebih utama untuk Baginda dan paling dicintainya."
Lalu Rasulullah s.a.w. keluar dari rumah dan datang kepada mereka lantas bertanya: "Apakah kamu mahu mengatakan sesuatu?"
Golongan Ansar berkata kepada Rasulullah s.a.w. sebagaimana apa yang mereka sebut tadi. Setelah Rasulullah s.a.w. mendengar perkataan mereka lantas baginda menyatakan: "Kamu membenarkan orang yang menginginkan ini kepada kamu".
Setelah itu, golongan Ansar bercerita mengenai apa yang dikatakan oleh golongan Muhajirin dan Bani Hasyim sebentar tadi, maka jawab Rasulullah s.a.w. : "Mereka benar. Jadi, berbuat baik kepada orang yang menginginkan ini kepada mereka."
Rasulullah s.a.w. bertanya: "Apakah aku sudah memberikan keputusan kepada kamu?"
Jawab golongan Muhajirin dan Bani Hasyim serentak: "Benar, Demi ayah kami, Tuan, dan ibu kami, wahai Rasulullah s.a.w."
Kata Rasulullah s.a.w.: "Manakala kamu, wahai kaum Ansar, aku adalah saudara lelaki kamu."
Jawab golongan Ansar: "Allah Akhbar, kami mengikuti Tuan dan Tuhan Kaabah."
Kata Rasulullah s.a.w. lagi: "Manakala kamu, wahai Muhajirin, aku termasuk dalam kalangan kamu."
Jawab golongan Muhajirin dengan rasa hati yang puas: "Allah Akhbar, kami mengikuti Tuan dan Tuhan Kaabah."
Kata Rasulullah s.a.w. kepada Bani Hasyim: "Manakala kamu termasuk dalam diri aku dan untuk aku."
Jawab Bani Hasyim dengan rasa puas hati dan redha: "Allah Akhbar, kami mengikuti Tuan dan Tuhan Kaabah."
Ka'ab bin Ujrah berkata: "Kami semua berdiri dan setiap daripada kami berasa puas dan gembira atas keputusan yang ditetapkan oleh baginda berkenaan dengan perkara yang mendatangkan perselisihan di antara kami."
Sumber: Miftahul Asror Malik. 2013. Selembut hati Rasulullah. Batu Caves: PTS Islamika Sdn. Bhd.
*********************************************************************************
Allah Akhbar! Subhanallah! Usahkan di antara sahabat (Ansar, Muhajirin dan Bani Hasyim) berasa puas hati dan gembira dengan jawapan Rasulullah s.a.w., malah aku yang membaca kisah ini berasa puas hati dan gembira dengan jawapan baginda Nabi Muhammad s.a.w.
Allahu Akbar.. kerana Allah... moga kita ambil tladan dan pngajaran.. In Shaa Allah
BalasPadam