Isnin, 5 Januari 2015

Penyediaan Juadah Kenduri Kahwin Masyarakat Melayu-Islam Di Malaysia

Masyarakat Melayu di Malaysia menggunakan perkataan "kenduri" bagi merujuk majlis jamuan makan yang diadakan sempena perkara yang perlu diraikan seperti kenduri kahwin, kenduri selamat, kenduri arwah, kenduri kesyukuran dan kenduri apam (menyambut mikraj dalam bulan Rejab). Namun begitu, istilah "kenduri" itu sendiri dihubungkan dengan elemen ibadah keagamaan di mana sebelum sesuatu majlis jamuan makan berlangsung pelbagai acara keagamaan diadakan terlebih dahulu seperti bacaan tahlil, zikir, bacaan surah Al-Fatihah, bacaan Surah Yaasin, membaca surah tiga Qul (Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas), marhaban, bacaan selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. dan doa.

Semenjak peningkatan kesedaran Islam dalam kalangan masyarakat Melayu di Malaysia bermula awal 1980-an, kini ramai keluarga dalam masyarakat Melayu mula menitikberatkan aspek syariat Islam dalam mengadakan kenduri kahwin atau walimatul urus iaitu: 
  1. Majlis kenduri kahwin yang diadakan bersifat sederhana walaupun tafsiran sederhana bersifat subjektif.
  2. Tidak mengadakan majlis persandingan. Jika diadakan majlis persandingan, kebiasaannya pengantin perempuan memakai baju pengantin (ketat dan tudung yang dipakai tidak dilabuhkan menutup dada) yang disifatkan menutup aurat dari sudut pandangan adat masyarakat Melayu tetapi tidak memenuhi tuntutan menutup aurat seperti yang digariskan dalam syariat Islam.
  3. Tempat duduk para tetamu diasingkan di antara lelaki dan perempuan.
  4. Tidak mengklasifikasikan tetamu yang diundang dari aspek kedudukan harta dan pangkat.
  5. Lagu-lagu yang dikumandangkan semasa majlis kenduri kahwin sedang berlangsung ialah lagu yang berunsurkan islamik.
  6. Setiap kali masuk waktu solat, lagu-lagu yang dikumandangkan diberhentikan untuk menghormati azan, para jiran dan tuan rumah yang hendak mendirikan solat pada awal waktu.
Walau bagaimanapun, salah satu aspek ciri islamik yang kurang dititikberatkan dalam mengadakan kenduri kahwin ialah aspek makanan. Kebiasaannya makanan yang dihidangkan dalam majlis kenduri kahwin ialah makanan yang berat (nasi dan lauk-pauk seperti ayam/daging/acar) dan makanan ringan (bubur, buah-buahan dan kuih-muih) serta minuman. Penyediaan makanan berat (lauk-pauk) seperti masak merah, gulai, masak kicap, rendang dan sebagainya lazimnya berkuahkan minyak yang banyak manakala makanan ringan serta minuman pula amat manis kerana penyediaannya menggunakan gula yang banyak.

Islam amat menitikberatkan aspek penjagaan kesihatan. Dalam hal ini, kesihatan yang sempurna turut bergantung kepada pemakanan yang baik, halal, seimbang dan tidak berlebih-lebihan.
Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik (Al Maidah 5: 5).
Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kepada-Nya sahaja kamu beriman (Al-Maidah 5: 88).
Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan (Al-A'raf 7: 31).
Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu (Al-Baqarah 2: 168).
Sewajarnya kenduri kahwin bagi masyarakat Melayu yang menganuti agama Islam menghidangkan makanan yang lazat, baik dan seimbang kerana Allah telah menetapkan tatacara pemakanan umat Islam. Agama Islam meletakkan kesihatan dan kesejahteraan di tempat yang pertama selepas keyakinan (keimanan). Kenyataan tersebut berdasarkan sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: 
Mintalah kepada Allah kesihatan dan kesejahteraan kerana sesungguhnya tidak ada perkara yang lebih baik dari kesihatan selepas keyakinan (iman) (Hadis Riwayat Ibnu Majah).

6 ulasan:

  1. perkongsian yg baik.. dulu ada ustaz pernah pesan, makanan antara tetamu jangan dibezakan, hatta dgn makanan pengantin sekalipun. sbb skrg ni klau kita tengok, makanan pengantin mesti hebat2 atas meja pengantin, x sama dengan makanana tetamu. sebabnya kata ustaz tu, kita kena raikan tetamu. x kn kita makan sedap2, tapi tetamu makan biasa2 je..
    wallahu a'lam...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Komen yang baik. Ini salah satu lagi aspek yang dipandang remeh oleh masyarakat Melayu. Tuan rumah yang menjemputlah yang kena maklum hal-hal sebegini agar kenduri yang dibuat menepati syariat Islam. Saya pun nampak perbezaan juadah di antara untuk pengantin dengan para tetamu. Juadah majlis makan beradab untuk pengantin lagi hebat berbanding untuk tetamu walhal pengantin makan beberapa suap saja. Majlis makan beradab untuk pengantin adalah salah satu adat dalam kenduri kahwin masyarakat Melayu.

      Jika saya menghadiri kenduri kahwin sebagai tetamu, saya tidaklah rasa kecil hati dengan perbezaan juadah yang dihidangkan untuk para tetamu berbanding majlis makan beradab. Saya lebih terasa hati jika makanann yang dihidangkan berkuahkan minyak. Kita terpaksa ambil minyak yang dihidangkan sekali dalam bekas lauk-pauk sebagai kuah untuk dimakan dengan nasi.

      Padam
    2. yup.. betol tu.. pasai makanan tu sendiri kena jaga... pernah juga makan kenduri kuah yg berminyak.. sampai nak kena cedok kuah yg bahagian bawah...

      Padam
  2. masih berlaku jemputan lelaki dan wanita tidak dipisahkan tempat makan ... rasa tak selesa tapi terpaksa . dah kat restoran pun mcm tu juga ...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya setuju. Minoriti kenduri kahwin masyarakat Melayu yang memisahkan jemputan lelaki dan wanita sebaliknya majoriti tidak memisahkan jemputan lelaki dan wanita :)

      Padam