Rabu, 7 April 2021

Orang Malaya Di Sabah #10: Dua Kewarganegaraan Di Sabah

Sudah beberapa tahun, siri entri Orang Malaya di Sabah tidak disambung. Kali ini, aku hendak sambung siri entri ini tetapi berkenaan dengan isu dua kewarganegaraan di Sabah.

Semasa aku masih bersekolah tingkatan enam (1993-1994), aku cuma dengar saja cerita classmate aku bahawa dia memiliki dua kad pengenalan iaitu Malaysia dan Indonesia. Bapanya melakukan perniagaan kecil-kecilan di Sandakan; kini ex-classmate aku telah menjadi kaya raya memiliki rangkaian pasaraya di Sabah, stesyen minyak Petronas dan wisma bangunan kedai di Tawau. Dia sekeluarga akan balik ke Indonesia apabila cuti sekolah pada bulan Disember. Caranya dia sekeluarga akan bertolak dari Sandakan ke Tawau melalui jalan darat. Setelah tiba di Tawau, dia sekeluarga bertolak melalui jalan laut untuk memasuki perairan Indonesia. 

Sebelum itu, dia sekeluarga akan menemui orang kepercayaan mereka di Tawau yang menjadi tempat untuk mereka menititipkan kad pengenalan Indonesia. Dia sekeluarga akan mengambil kad pengenalan Indonesia dan meninggalkan kad pengenalan Malaysia kepada orang kepercayaan mereka tersebut di Tawau. Kedua-dua kad pengenalan Malaysia dan Indonesia merupakan dokumen rasmi yang sah. Modus operandi yang sama akan dilakukan oleh dia sekeluarga apabila kembali memasuki negara Malaysia. Kenapa Tawau? Hal ini adalah kerana bandar Tawau merupakan daerah yang bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia dan bandar pelabuhan yang terdekat untuk memasuki perairan negara Indonesia.

Pilihan Raya Negeri Negeri (PRN) Sabah yang ke-15 yang membuktikan memang wujud orang Sabah yang memiliki dua kewarganegaraan. Hal ini dilaporkan oleh pihak polis dalam sidang media bahawa wujud segolongan orang Sabah/warganegara jiran yang balik ke negara tetangga sebelum Kerajaan Malaysia mengambil langkah menutup pintu masuk negara dari dimasuki oleh warganegara asing. 

Setelah Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRN Sabah diadakan pada 26 September 2020, maka bermulalah orang Sabah yang memiliki dua kewarganegaraan yang berada di negara tetangga untuk memasuki negeri Sabah melalui lorong-lorong tikus untuk turut serta mengundi dalam PRN Sabah. Maklumat lanjut, sila klik https://www.astroawani.com/berita-malaysia/prn-sabah-polis-sahkan-cubaan-warganegara-jiran-masuk-mengundi-260210 Betapa bersaudaranya orang Sabah dengan Indonesia/Filipina, mengalahkan orang Malaya.

Selain itu, dalam portal berita Harian Metro bertarikh 26 September 2020 menyatakan:
Lebih 100 individu disyaki memiliki dua kerakyatan yang cuba pulang untuk mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) dihalau keluar daripada memasuki perairan Sabah, kelmarin.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, individu terbabit menaiki dua bot jongkong dan dua bot laju dikesan cuba memasuki perairan negara melalui sempadan laut di Sandakan.

"Kita terpaksa menghalang mereka kerana melalui jalan yang tidak sah, bukan menafikan hak mereka untuk mengundi tetapi cara mereka masuk tidak betul dan kita perlu halang.
"Kita percaya mereka mempunyai dua dokumen atau dwi kerakyatan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar, hari ini.

Lorong Tikus, Hutan Tebal Mencabar ESSCOM Tangani PATI
Kalabakan: Banyaknya jalan-jalan tikus dan kedudukan muka bumi Tawau serta Kalabakan yang berhutan tebal dan bersempadan dengan Indonesia, memberi cabaran besar kepada pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menangani isu pendatang tanpa izin (PATI) di Sabah.

Komander ESSCOM Datuk Ahmad Fuad Othman berkata kawasan sempadan Kampung Kandoangan, Kalimantan Utara, Indonesia dan Kilometer 11, Kalabakan di sebelah Malaysia menjadi antara jalan tikus yang aktif digunakan tekong darat untuk membawa masuk pendatang haram warga Indonesia ke Malaysia, tidak kira siang atau malam.

"Taktik pendatang haram itu, kebiasaannya bergerak dalam kelompok 10 hingga 15 orang dan kemudian akan 'disambut' ejen menggunakan pacuan empat roda di sempadan Malaysia," katanya kepada media ketika tinjauan ESSCOM di sini, baru-baru ini.

Wakil Bernama juga berpeluang bersama pasukan keselamatan itu meninjau tempat transit (staging point) yang dikesan digunakan pendatang haram untuk menyusup masuk ke Malaysia melalui Sabah.

Menurut Ahmad Fuad, dengan bentuk muka bumi dan geografi persekitaran laluan yang dilitupi hutan tebal, ia seumpama 'perisai' bagi pendatang haram bersembunyi sehingga berhari-hari lamanya daripada dihidu pasukan keselamatan yang membuat rondaan di kawasan itu.

Zon Selamat Timur Sabah (ESSZON) merangkumi 10 daerah yang meliputi 1,733.7 kilometer dari Kudat hingga ke Tawau.

Daerah yang terbabit adalah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Ahmad Fuad berkata, pihak berkuasa mengesan terdapat banyak laluan tikus atau staging point sepanjang 200 kilometer dari Tawau sehingga Kalabakan dan sejak April hingga Oktober lepas, seramai 1,995 PATI ditahan dan diusir balik ke negara asal kerana cubaan menyusup masuk melalui perairan Tawau.

Katanya, kedatangan migran haram melalui jalan-jalan tikus ini dikhuatiri menjadi punca penularan kes Covid-19 di Sabah yang setakat semalam merekodkan sebanyak 524 kes baharu daripada keseluruhan 852 kes yang dilaporkan seluruh negara.

Sabah masih menjadi negeri tertinggi kes Covid-19 dengan jumlah keseluruhan 20,422 daripada bilangan kumulatif kes 40,209 kes seluruh negara.

Menjelas lanjut mengenai modus operandi berkenaan, Ahmad Fuad berkata, PATI itu akan dibawa keluar melalui jalan-jalan ladang kelapa sawit yang biasanya sukar dilalui kenderaan biasa sehingga ke jalan utama di Kalabakan, sebelum meneruskan perjalanan sama ada ke Keningau, Tawau atau ke kawasan lain di pantai timur Sabah.

Katanya, terdapat lebih lima 'staging point' dikesan antara jarak lima hingga 10 kilometer dari KM11-Kandoangan yang dijadikan jalan tikus bagi aktiviti penyeludupan pendatang haram, antaranya di Jeti Kretam, Ladang Kretam di sini.

"Untuk tiba di jeti ini dari Nunukan, Indonesia, ia hanya memakan masa 40 hingga 50 minit dengan menggunakan bot berkuasa 200 kuasa kuda (hp) dengan menyusuri Sungai Serudong dan Sungai Silimpopon (Tawau).

"Laluan bercabang Sungai Serudong menjadikan kegiatan jenayah rentas sempadan di Kalabakan ini lebih sukar dikesan kerana mereka boleh masuk dan bersembunyi di laluan lain," katanya menambah tekong biasanya mengambil upah antara RM200 hingga RM800 untuk membawa seorang pendatang haram ke Sabah.

"Walaupun rondaan kerap dilakukan tetapi ada masanya pendatang ini dapat meloloskan diri dengan berlindung di ladang-ladang dan di Kalabakan sahaja terdapat lima ladang besar dengan keluasan setiap ladang melebihi 20,000 hektar," katanya.

Ahmad Fuad berkata, pasukan keselamatan yang membuat pemantauan sedaya upaya memastikan jalan tikus atau staging point dikenal pasti ini tidak dibolosi pendatang haram sekali gus mengekang penularan Covid-19 di Sabah.

"Kita ada Pos Kawalan Keselamatan Burs Point menempatkan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta Pos Serudong yang dikendalikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertanggungjawab memantau serta menjaga keselamatan sempadan sekali gus menggagalkan banyak cubaan menyusup masuk ke Sabah," katanya.

Sementara itu, katanya, ESSCOM bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mendapatkan maklumat berhubung jenayah rentas sempadan termasuk aktiviti kemasukan PATI.

Sehubungan itu, Ahmad Fuad turut menasihatkan pengurus-pengurus ladang kelapa sawit di kawasan itu agar melaporkan kepada pasukan keselamatan jika mengetahui kemasukan pendatang haram ini atau lokasi persembunyian mereka di ladang-ladang.

"Kita sudah memberi amaran dan nasihat kepada pihak ladang dan orang awam supaya tidak bersekongkol dengan tekong yang membawa masuk pendatang haram ini ke negara ini.

"Sekiranya didapati mereka turut melindungi pendatang haram, tindakan undang-undang mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) akan dikenakan," katanya.

Sumber: Harian Metro 


Implikasi Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sabah

Negeri Sabah mengalami bencana penularan Covid-19 berikutan kemasukan warganegara Indonesia dan Filipina melalui lorong-lorong tikus. Kerajaan Malaysia tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sabah kerana situasi bencana tersebut berada dalam terkawal sehinggalah Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara memutuskan untuk melaksanakan PKP 2.0 di Sabah yang bermula pada 13 Januari 2021.

3 ulasan: