Penulis: Sahidzan Salleh
Tajuk: One Two Jaga: Movie Tie-In
Tahun Terbit: Julai 2018
Penerbit: Buku Fixi Sdn Bhd
Halaman: 283
Harga: RM19.90
Sudah lama aku selesai membaca novel One Two Jaga: Movie Tie-In sekitar dalam bulan Oktober 2018. Bukan semua buku yang aku baca, aku buat ulasan dalam blog ini tetapi novel ini ada daya tarikannya yang sendiri. Novel ini ditulis oleh Sahidzan Salleh berasal dari Sandakan, Sabah; olahan skrip filem One Two Jaga arahan Nam Ron.
Novel ini mengisahkan tentang pergelutan hidup beberapa watak buruh asing dari Indonesia yang hidup di pinggir kota dan lorong gelap Kuala Lumpur. Kedatangan buruh asing tanpa izin mengundang masalah rasuah dalam kalangan kakitangan jabatan kerajaan dalam ruang lingkup bahagian hal-ehwal keselamatan dalam negeri - polis-imigresen-jabatan pendaftaran negara. Isu rasuah yang ditimbulkan dalam novel ini adalah berskala kecil tidak seperti dalam buku ditulis oleh Tom Wright & Bradley Hope yang bertajuk Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and The World yang merupakan cacatan peristiwa rasuah berskala besar di Malaysia.
Rasuah wujud kerana ada permintaan dan penawaran. Penawaran rasuah oleh para peniaga yang kaya-raya dan wujud permintaan rasuah oleh segolongan kakitangan jabatan kerajaan bahagian keselamatan dalam negeri; kehendak peribadi yang ingin hidup senang/mewah melebihi dari pendapatan gaji bulanan yang diterjemahkan menerusi watak anggota polis bernama Hassan. Lompang yang mengisi di antara permintaan dan penawaran rasuah dalam novel ini diterjemahkan dalam sektor ekonomi khususnya industri pembinaan. Buruh asing pendatang tanpa izin diambil bekerja dalam industri pembinaan kerana ia murah dan mudah. Jika berlaku kemalangan maut di tempat kerja seperti insiden terjatuh dari bangunan tinggi yang sedang dalam pembinaan maka tindakan melupuskan mayat adalah mudah berbanding pihak syarikat kontraktor pembinaan mengambil warganegara Malaysia atau buruh asing yang mempunyai dokumen yang sah bekerja dalam industri. Hal ini dinyatakan dalam halaman 51-52:
"Kalau macam tu, kau uruskan macam yang sudah-sudahlah," ujar Pak Sarip. Dia berasa sedikit lega kerana jika pekerja itu ada dokumen yang sah, terpaksalah dia membuat laporan lagi pada pihak berwajib. Leceh dan boleh mendatangkan lebih banyak masalah bukan saja kepadanya, tapi juga pada pihak pemaju dan kontraktor. Kemalangan jiwa di tapak bina bukan isu kecil jika sampai ke pengetahuan pihak berwajib. Ramai yang akan turun padang. JKR. CIDB. NIOSH. Polis. Kompeni TV. Menteri. Eh, semualah. Kerja-kerja pembinaan akan dihentikan untuk siasatan. Berapa banyak kos dan masa yang akan terbuang? Jadi, selagi boleh tutup kes sebegitu, Pak Sarip akan tutup. Kalau dah tak boleh sangat, terutama sekali jika melibatkan pekerja-pekerja tempatan, Pak Sarip akan bincang dengan pihak pemaju terlebih dahulu dan selalunya dia akan menjadi orang tengah antara pemaju dan waris si mati. Wang pampasan akan cuba disogok pada waris si mati untuk menutup mulut mereka. Kalau tak boleh selesai juga, pihak pemaju dan Pak Sarip akan buat wayang memburuk-burukkan si mati, misalnya mangsa itu bukan mati di tapak bina mereka, tapi dibunuh oleh Ah Long. Bila sampai tahap begitu, Pak Sarip akan minta bantuan dari polis-polis yang dibayar mereka. Dengan duit, semua benda boleh jadi.
Baru-baru ini tular dalam media sosial video pendek Tun Dr. Mahathir Mohamad yang bertajuk "Bila kata orang Melayu malas, orang marah saya tapi ini kebenaran." Tun Dr. Mahathir menyatakan orang Melayu malas tidak mahu bekerja sebagai buruh kasar dalam industri pembinaan menyebabkan kelompangan tersebut diisi oleh buruh asing di mana Malaysia kini mempunyai buruh asing seramai 7,000 orang. Adakah benar kenyataan Tun Dr. Mahathir tersebut? Kewujudan buruh asing di Malaysia berfungsi menampung kelompangan keperluan tenaga kerja yang tidak diisi oleh warganegara Malaysia terutama yang melibatkan isu keselamatan (termasuk isu kesihatan) di tempat kerja.
Seperkara yang menarik dalam novel ini di sebalik memaparkan isu rasuah ialah sindiran sinis berkenaan perkara halal dan toyyiba. Pertama, isu makanan yang toyyiba menerusi perbualan Hassan (mengambil wang rasuah) dan isterinya Rozita (berzina dengan Kadeer warganegara Bangladesh kerana Hassan mengalami masalah mati pucuk) dalam halaman 164-163:
Hassan mengeluh memandang kari ayam di depannya itu. Tak jumpa apa yang dicari. "Mana hatinya?" tanyanya pada Rozita.
Dah buang," jawab Rozita selamba. "Ika, Afiq, meh sini makan."
"Lah! Apasal tak masak sekali?" Hassan bernada kecewa. "Ayam dah lah mahal sekarang ni."
"Tak eloklah makan hati ayam," jawab Rozita. "Banyak toksik. Takkan abang tak tahu ayam yang kita makan ni ayam ternak? Dah cucuk macam-macam ubat gemuk. Kita makan hati dia, nanti hati kita pula yang sakit." ***
"Merepeklah awak ni." Hassan mengaut potongan-potongan ayam ke pinggannya. "Habis yang kita makan daging dia ni tak bahaya?"
"Dah tu, apasal abang tak beli je ayam organik?"
"Ayam ni pun dah berbelas ringgit sekilo, awak nak saya beli ayam organik pula?"
*** Dari perspektif ilmu tasawuf, hati yang sakit (qalbun maridh), merujuk kepada hati yang masih mempunyai kehidupan tetapi dalam hatinya ada benih-benih penyakit. Golongan manusia yang mempunyai hati ini hidup berpandukan nafsu ammarah melakukan kejahatan dan maksiat. Dalam Al-Quran, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya nafsu (ammarah) itu sangat menyuruh berbuat jahat.“ (Surah Yusuf: 53).
Ada juga golongan manusia yang hidup berlandaskan nafsu lawwamah tetapi ia mengkritik dan menyesali diri sendiri setelah melakukan kejahatan dan memohon keampunan. Dalam Al-Quran, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
“Aku bersumpah dengan nafsu lawwamah.” (Surah Al-Qiamah: 2).
Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati." (Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Nu'man bin Basyir).
Kedua, berkenaan berus cat halal yang tertera dalam halaman 197-198:
Di hujung meja kaunter itu, ada seorang pelanggan Melayu yang sedang komplen pada pekerja kedai, berus cat yang dijual mereka tiada cop halal. Dia berasa was-was menggunakan berus cat mereka sewaktu mengecat rumahnya, dan akibat perasaan was-was itu, kerja mengecat rumahnya tertangguh selama dua hari.
"Waduh, berus cat pun maunya dicop halal? Pak Sarip bingung.
"Apa yang tak halal berus ni, Encik?" tanya pekerja sambil memegang berus cat yang digunakan oleh pelanggan itu. Dia mengetuk-ngetuk berus itu di bucu meja. Sudah mengeras macam batu.
"Bulu berus ni dari bulu babilah, sebab tu tak halal!" kata lelaki Melayu itu.
Pekerja kedai menggaru-garu kepalanya. "Macam mana encik tahu?"
"Aku tahulah. Lagi pun sekarang ni kan, tiap berus cat yang dijual kena ada tanda halal? Ni takde."
"Hari tu aku belum tahu lagi. Dah baca facebook, baru tahu."
Seorang supervisor kedai datang mendekati mereka. Dia ambil berus cat itu dan membeleknya seketika. "Resit ada?" tanyanya pada pelanggan itu.
Pelanggan geleng. Supervisor itu capai pen marker di meja lalu menulis di batang berus itu perkataan 'HALAL'. "Nah! Dah halal," kata Supervisor menghulurkan semula berus cat pada pelanggan itu.
"Kau cina jangan nak bergurau dengan aku," kata pelanggan itu yang mula naik angin.
"No receipt, no talk. Dah jual maa. Macam mana kami nak tahu you beli berus ni kat sini? Entah-entah kedai lain.
"Okey, baik!!" Pelanggan itu keluarkan telefon bimbitnya dan mula menangkap gambar Supervisor. Kemudian dia mula membuat rakaman video untuk live FB. "Ini cina semua boleh balik tongsan! Kedai barua ni jual dekat aku berus babi! Aku ni Melayu!!"
Aku tidak berkesempatan menonton filem One Two Jaga semasa ditayangkan di pawagam. Aku terbetik dalam hati mahu menonton filem ini selepas membaca fatwa filem "One Two Jaga" yang ditulis oleh Dr. Mohd Faizal Musa@Faisal Tehrani:
“One Two Jaga” menurut saya, adalah menghampiri kesempurnaan sebagai sebuah filem. “One Two Jaga” menurut saya adalah satu tiket untuk Malaysia memenangi Oscar.
Filem ini mengetengahkan realiti yang terjadi dalam masyarakat Malaysia. Aku kena tunggu filem ini ditayangkan di TV sempena hari raya Aidilfitri dalam tiga hingga empat tahun lagi.
P/S: Dari lima bintang, aku beri lima bintang kepada novel ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan