Rabu, 24 Jun 2020

Hukum dan Penjelasan Ucapan R.I.P. Untuk Kematian Bukan Islam

R.I.P. adalah akronim kepada Rest In Peace dan merupakan kalimah yang biasa diucapkan oleh orang bukan Islam setiap kali menerima berita kematian.

Hukum seorang Muslim mengucapkannya kepada kematian orang bukan Islam adalah haram dan dilarang sama sekali. Ia bersandarkan kepada hadis riwayat Muslim dalam peristiwa yang berlaku saat kematian bapa saudara Rasulullah s.a.w. yang sangat dikasihinya iaitu Abu Thalib.

Apabila Abu Thalib hampir mati, maka Rasulullah s.a.w. pun pergi kepadanya. Didapati ada bersamanya Abu Jahal dan ‘Abdullah bin Abi Umayyah bin al-Mughirah lalu Rasulullah s.a.w. pun berkata: 
“Wahai pakcik! Katakan لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ satu ucapan yang aku akan menjadi saksi untuk engkau dengannya di sisi Allah.”
Abu Jahal dan  ‘Abdullah bin Abi Umayyah berkata:
“Wahai Abu Talib! Adakah engkau sudah benci kepada agama ‘Abd al-Muttolib?”
Namun Rasulullah s.a.w. tetap terus mengemukakan kalimah لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ kepada Abu Thalib. Namun Abu Thalib tetap mengulangi ucapan bahawa ia tetap berada berada di atas agama`Abd al-Muttolib sehingga akhir hayatnya. 

Rasulullah s.a.w. pun berkata: 
“Sesungguhnya demi Allah! Aku akan meminta ampun untuk engkau selagi aku tidak dilarang daripadanya.”
Selepas itu Allah s.w.t menurunkan ayat 113 dalam Surah At-Taubah:
مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَى مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ 

Maksudnya: Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.
Bersandarkan kepada dalil di atas, kita mengetahui bahawa Allah s.w.t. sendiri menegur Rasulullah s.a.w. supaya tidak mendoakan kepada orang musyrik (bukan Islam) yang telah meninggal dunia walaupun ahli keluarga sendiri. 

Maka kita juga tidak seharusnya mendoakan atas ucapan apa sekalipun kepada orang bukan Islam setelah kematiannya termasuklah dengan ucapan R.I.P. (Rest In Peace) atau maksudnya "Berehatlah Engkau Dengan Tenang" kerana perbuatan tersebut jelas bertentangan dengan hukum syarak.

Bagi kita orang Islam, ucapan yang disunnahkan kepada kita adalah kalimah istirja' iaitu "Innalillahi wainna ilaihi roojiiun" untuk setiap berita kematian. Ucapan istirja' juga diucapkan untuk setiap musibah yang berlaku. Hal ini disebutkan oleh Allah s.w.t. menerusi firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 156:
 وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِينَ  ٱلَّذِينَ إِذَآ أَصَـٰبَتۡهُم مُّصِيبَةٌ۬ قَالُوٓاْ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيۡهِ رَٲجِعُونَ
Maksudnya: Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun (bermaksud: Sesungguhnya kami milik Allah dan hanya kepada-Nyalah kami kembali)".
Ayat ini menerangkan tentang apa sahaja bentuk musibah yang berlaku sama ada pada diri kita ataupun orang lain, maka ucapan yang perlu kita sebutkan adalah "Innalillahi wainna ilaihi roojiiun". Ucapan ini juga terpakai bagi setiap kematian orang bukan Islam dan juga termasuk haiwan peliharaan kita.

Semoga dengan penjelasan ini dapatlah memberi kefahaman untuk memperbaiki kekhilafan yang telah dilakukan selama ini. Biasakan yang betul, betulkan yang biasa.

Wallahu'alam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan